Tujuan Akta Hasutan sebenarnya untuk mengawal perasaan kita supaya tidak naik marah terhadap pemerintah atau orang lain, tetapi, apa salahnya dengan kemarahan, salah satu perasaan semulajadi dan asas manusia, selagi ia tidak membawa keganasan?
Dalam membincangkan sama ada Akta Hasutan harus dikekal atau dimansuhkan, ramai bercakap tentang penyalahgunaannya oleh pihak pemerintah bagi mencapai kepentingan kepartian.
Apa guna undang-undang?
Bagi saya, “penyalahgunaan” sesuatu undang-undang itu perkara yang harus dibincang kemudiannya hanya setelah kita selesai meneliti “kebergunaan” undang-undang itu.
Untuk memudahkan perbincangan, kita harus menetapkan pada prinsipnya: apakah kegunaan undang-undang secara amnya?
Undang-undang harus wujud untuk menjadikan masyarakat lebih selamat dan bebas, dengan menghukum mereka yang menjejaskan keselamatan dan kebebasan kita. Ia tidak wujud semata-mata untuk menghukum rakyat sehingga masyarakat menjadi kurang selamat dan kurang bebas.
Sebagai contoh, perintah berkurung wajar dalam keadaan darurat untuk mencegah anasir-anasir jahat daripada membahayakan orang ramai pada waktu malam. Ia tidak wajar dalam keadaan aman kerana tidak ada keperluan sama.
Jika perintah berkurung dikuatkuasakan dalam masa aman sehingga rakyat biasa ditahan kerana melawat saudara-mara sampai lewat malam, itu bukan penyalahgunaan undang-undang, tetapi kewujudan undang-undang itu salah sama sekali.
Jika bersetuju dengan prinsip ini, kita harus bertanya: adakah Akta Hasutan menjadikan masyarakat kita lebih selamat dan bebas, atau sebaliknya?
Dalam perbincangan kita, kebebasan tidak mutlak, tetapi diwajarkan hanya apabila ia tidak menghalang kebebasan orang lain, atau dalam kata lain, kebebasan di bawah undang-undang adil dan munasabah.
Keselamatan dan kebebasan itu bukan saja tidak bercanggah tetapi saling bergantungan: Apa gunanya saya selamat daripada serangan orang lain tetapi hidup sebagai seorang hamba? Apa gunanya saya bebas tetapi boleh mati bila-bila masa kerana serangan orang lain?
Apa yang diharamkan Akta Hasutan?
Seseorang itu boleh disabitkan bersalah di bawah Akta Hasutan jika melakukan atau cuba melakukan sesuatu yang mempunyai atau akan mempunyai “kecenderungan menghasut”; menyebut perkataan "menghasut", atau, mengedarkan atau mengimport penerbitan “menghasut”.
Hukumannya sangat berat: dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya untuk pesalah kali pertama; dan dipenjara sehingga lima tahun untuk pesalah berulang.
Apa itu “menghasut”? Ia merujuk kepada kenyataan dan perbuatan yang mempunyai “kecendurangan menghasut”.
Apa pula “kecendurangan menghasut”? Tafsiran di bawah Akta itu merangkumi enam bahagian tetapi kita boleh ringkaskan kepada dua kumpulan.
Pertama, kecenderungan membawa “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak setia” atau “perasan tidak puas hati” kepada Raja atau Kerajaan [sekysen 1(a) dan 1(d)] atau pendtabdiran keadilan [1(c)], atau membangkitkan rakyat melakukan perubahan dengan cara tidak sah di sisi undang-undang [1(b)].
Kedua, kecenderungan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan (classes) [seksyen1(e)].
Seksyen 1(f) yang ditambah selepas 1969 itu menambahkan kecenderungan bagi mempersoalkan empat perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan: kewarganegaraan (Bahagaian III), Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), dan Raja-raja Melayu (Perkara 181).
Seksyen ini tidak menyatakan rasionalnya tetapi boleh difahamkan dalam kedua-dua kumpulan utama kecenderungan di atas.
Akta Jangan Naik Marah? Akta Janji Puas Hati?
Bagaimana kita boleh melahirkan rasa “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak setia”, “perasaan niat jahat” dan “pemusuhan”? Sudah tentu dalam hati kita perlu muncul sedikit-sebanyak “kemarahan” ataupun, seperti yang digunakan dalam Seksyen 1(d), “perasaan tidak puas hati”.
Akta Hasutan sebenarnya boleh diberikan nama lain: “Akta Jangan Naik Marah” atau “Akta Janji Puas Hati”.
Sememangnya, apa yang menjadi kesalahan dalam Akta Hasutan ini bukan perbuatan tetapi memperlihatkan sesetengah perasaan.
Sekalipun dalam Seksyen 1(b), ia bukan pasal perbuatan sebenar dalam “mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah” dari sisi undang-undang, tetapi pasal “membangkitkan” keinginan.
Nyata sekali, kalau sesuatu perbuatan itu salah di sisi undang-undang, sudah terdapat hukumannya di bawah undang-undang yang mengharamkannya, tidak perlu lagi Akta Hasutan.
Seksyen 121A, Kanun Keseksaan menghukum kesalahan “melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong”, malah Seksyen 132 menghukum kesalahan bersubahat dalam pemberontakan (mutiny) angkatan bersenjata.
Apa yang diharamkan Akta Hasutan bukanlah terhadap perbuatan, tetapi perasaan, secara khasnya, perasaan tidak puas hati atau marah.
Apa yang bahaya – kemarahan atau keganasan?
Persoalannya, mengapa pemerintah harus mengawal perasaan rakyat? Puas hati atau tidak, marah atau sayang, bukankah kesemua itu naluri manusia?
Mengapa kita cuma dibenarkan berasa puas hati dan sayang, dan mesti dihalang daripada berasa tidak puas hati atau marah?
Perasaan ini anugerah Maha Esa kepada manusia bersama dengan akal kita. Sedangkan anjing dan kucing pun tahu merajuk, apakah alasan pemerintah di bumi mencegah atau menyekat naluri sedemikian?
Alasan lazim ialah Malaysia sebuah masyarakat majmuk, banyak perkara sensitif perlu dijaga, jika tidak, rusuhan akan berlaku.
Mengikut logik ini, masalah rakyat Malaysia sebenarnya ialah kegagalan mengawal perasaan – kalau kita marah, kita akan mengamuk, merusuh, membunuh dan melakukan segala yang kejam dan keji.
Kalau ini alasannya, apa yang perlu dicegah ialah keganasan atau selebih-lebihnya kecenderungan untuk mengganas. Bukankah ada Kanun Keseksaan dengan pelbagai peruntukan menghukum keganasan?
Kalau segala keganasan itu dihukum, sudah tentu tidak ada pihak yang suka-suka mengancam merusuh , atau membakar ibu pejabat parti lawan ?
Ketagihan kepada Akta Hasutan ini menimbulkan persoalan besar: apakah kemarahan (perasaan) itu dianggap salah supaya keganasan (perbuatan) diwajarkan?
Tidakkah ganjil apabila keganasan sering dilepaskan oleh kedua-dua Kanun Keseksaan dan juga Akta Hasutan?
Sememangnya, sekiranya masyarakat mendaulatkan undang-undang, dan sekiranya imuniti tidak diberikan kepada mana-mana pihak yang mengamuk atau mengganas tidak kira dalam apa keadaan pun, lama-kelamaan mengamuk dan mengganas tidak akan menjadi suatu “sub-culture”, apakah yang bahaya tentang kemarahan atau ketidakpuasan hati?
Hak bersuara Abdullah Zaik harus dibela
Mungkin ada yang mempertikaikan: apa kebaikannya kemarahan atau ketidakpuasan itu? Bukankah ia perasaan negatif? Bukankah kita harus berusaha mengurangkan sengketa dan mengeratkan silaturrahim? Justeru, bukankah baiknya kemarahan atau ketidakpuasan itu disekat?
Jawapannya tidak untuk soalan terakhir.
Sebagai contoh, Presiden Isma, Abdullah Zaik, menuduh orang Cina penceroboh di Malaysia. Saya bantah sama sekali pendakwaan beliau di bawah Akta Hasutan, bukan kerana saya setuju dengan kenyataannya yang begitu ekslusif dan assabiyah.
Kenyataan sebegini mesti ditolak tidak kira nenek-moyang siapa menjadi sasaran, samada rakyat Malaysia berketurunan Cina atau Portugis, Inggeris, Siam, Jepun, India, Arab, Turki, Bugis, Aceh, Jawa, Bosnia, Bangladesh, Filipina dan sebagainya.
Sebaliknya, saya percaya masyarakat terdiri daripada insan berbagai ragam – ada yang munasabah, ada yang tidak; ada yang adil, ada yang tidak.
Untuk membina Malaysia yang benar-benar harmonis, kita harus mengetahui apa yang dikatakan oleh golongan kanan-ultra seperti Abdullah Zaik.
Kita boleh membidas apa yang dikatakannya – berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau apa yang dikatakan itu tidak berasas, kita sudah pasti boleh menjawab dengan fakta dan membetulkan kepalsuannya.
Tetapi, lebih penting, kenyataan ini boleh menjadi pengukur suhu masyarakat dan membantu kita memahami apa yang perlu penambahbaikan.
Asalkan saudara Abdullah Zaik tidak membuat ugutan keganasan atau menyeru orang lain melakukan keganasan terhadap komuniti Cina yang beliau nampaknya begitu benci, kebebasan bersuara beliau harus dibela.
Menghukum beliau kerana perasaan beliau tidak meredakan perasaan sama dalam hatinya atau mereka yang sependapat dengannya. Sebaliknya, hukuman cuma menjadikan beliau seorang wira di kalangan pengikutnya.
Sebagai warga Malaysia keturunan Cina, saya tidak perlukan Akta Hasutan mengawal perasaan untuk menjaga keselamatan saya, seperti didakwa oleh Ibrahim Ali.
Keselamatan saya terjaga apabila keselamatan warga Malaysia lain turut terjaga, apabila kedaulatan undang-undang itu suatu realiti di Malaysia, di mana tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang selepas melakukan keganasan.
Bahaya sayang atau puas hati dipaksa
Segala yang baik harus wujud secara semulajadi, bukan kerana paksaan undang-undang. Bayangkan kalau kita didenda kerana tidak memohon maaf semasa Hari Raya, apakah ungkapan “maaf zahir batin” itu menunjukkan kejujuran kita atau sebaliknya kemunafikan kita?
Begitu juga, masyarakat harmoni tidak dapat dicapai dengan bersenyum di muka dan berdendam di hati kerana undang-undang memaksa kita menyembunyikan atau menafikan kemarahan atau ketidakpuasan.
Penekanan kebebasan bersuara cuma akan membawa peletupan masyarakat sehari nanti seperti gunung berapi.
Masyarakat yang benar-benar harmoni ialah masyarakat yang jujur dan ikhlas menghadapi kemarahan dan ketidakpuasan di kalangan rakyat – sama ada terhadap pemerintah atau sesama rakyat – supaya berusaha menjadi jalan penyelesaian.
Oleh itu, mari kita bersama-sama tolak apa-apa "Akta Jangan Naik Marah" atau "Akta Janji Puas Hati", tidak kira nama rasminya Akta Hasutan atau Akta Keharmonian Nasional. – 21 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments