Opinion

Apa salahnya Mohamad Nasir di Kelantan pada 1977?

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanya soalan yang begitu relevan sekali berkenaan krisis menteri besar Selangor: “Apa salah Khalid Ibrahim?”

Soalan beliau ini relevan kerana orang ramai juga tertanya-tanya dan ia gagal dijawab dengan berkesan oleh PKR yang ingin Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur.

Kalau ditanya secara lebih abstrak, soalan itu boleh berbunyi, “Dalam keadaan apakah seorang ketua kerajaan itu boleh dan harus dipecat?” Jawapan sebenarnya bergantung kepada sistem politik.

Sistem kerajaan berpresiden (Presidentialism)

Mengikut sistem kerajaan berpresiden – yang hanya boleh wujud dalam republik – ketua kerajaan (sama ada presiden atau gabenor) dipilih berasingan daripada badan perundangan, kongres.

Ketua kerajaan dan kongres mempunyai tempoh jawatan tetap dan tidak terikat kepada pihak lain.

Oleh itu, ketua kerajaan hanya boleh dipecat dalam keadaan sangat luar biasa seperti melakukan jenayah atau terlibat dalam skandal besar.

Pemecatan ini dilakukan oleh kongres dan proses itu dinamakan “impeachment”.

Satu contoh tidak asing adalah “impeachment” Presiden Gus Dur oleh Majlis Perwakilan Rakyat (gabungan kedua-dua dewan bawah dan atas Kongres Indonesia) pada 2001 dalam beberapa jam selepas beliau mengeluarkan perintah presiden untuk mengisytiharkan darurat, pembubaran Dewan Perwakilan Rakyat (dewan bawah) dan pilihan raya baru dalam masa setahun.

Presiden/gabenor tidak boleh dipecat atau digulingkan oleh jemaah menterinya kerana mereka ini dilantik olehnya dan tidak mendapat mandat daripada rakyat. Dalam kata lain, semua menteri dalam sistem kerajaan berpresiden adalah kakitangan presiden/gabenor dan bukan rakan sejawat atau setarafnya.

Sistem kerajaan berparlimen (Parliamentarianism)

Sistem kerajaan berparlimen – yang menjadi pilihan tunggal sistem kerajaan yang boleh digunapakai untuk monarki berperlembagaan – beroperasi atas logik yang sangat berbeza sekali.
Ia tidak mempunyai dua pilihan raya berasingan untuk kuasa eksekutif dan kuasa perundangan.

Pilihan raya diadakan untuk memilih ahli-ahli Parlimen/Dewan Undangan. Negeri (DUN) dan mereka ini pula akan memilih sesama sendiri yang menjadi ketua kerajaan (perdana menteri/menteri besar/ketua menteri).

Ketua kerajaan kemudian memilih ahli-ahli jemaah di kalangan rakan-rakan sejawatnya di Parlimen/DUN. Dalam erti ini, Parlimen (badan perundangan) seolah-olah menjadi “badan pemilih” (electoral college) kepada kerajaan (badan eksekutif).

Mengikut logik ini, Parlimen boleh menjatuhkan kerajaan itu bila-bila masa sahaja dengan undi tidak percaya dalam Dewan. Apabila ini berlaku, ketua kerajaan ada dua pilihan. Pertama, letak jawatan dan beri laluan untuk pemimpin yang lain – sama ada daripada parti yang sama atau lain – untuk membentuk kerajaan lain. Kedua, mohon restu ketua negara (raja atau presiden) untuk membubarkan Dewan supaya rakyat boleh mengemaskinikan mandat mereka.

Mekanisme pembubaran dewan sebelum tamat penggalnya ini penting untuk melindungi kerajaan daripada peras ugut segelintir wakil rakyat. Oleh kerana badan perundangan  menjadi penobat badan eksekutif, maka pengundi juga akan memikirkan senario pembentukan kerajaan dalam memilih wakil-wakil rakyat. Ini menjadi satu asas untuk politik kepartian (party politics) dalam kerajaan berparlimen, di mana kerajaan bertanggungjawab melalui disiplin parti.

Pengundi memilih sesebuah parti atas dasar dan programnya, kemudian dengan fleksibiliti munasabah, parti mengambil bahagian dalam Parlimen dan mungkin kerajaan berasaskan dasar dan programnya.

Oleh kerana kerajaan berparlimen ini sebenarnya berasaskan parti, maka perubahan ketua kerajaan itu boleh berlaku dalam parti, dan tidak semestinya menjadi perihal antara parti yang perlu diputuskan dalam Dewan.

Dalam kata lain, penggunaan undi tidak percaya oleh rakan-rakan separti adalah sesuatu tidak normal. Mengikut semangat sistem Parlimen Westminster yang menjadi asas sistem politik kebanyakan negara komanwel, pertukaran ketua kerajaan itu malah boleh dimulakan di kabinet.

Ini kerana perdana menteri/menteri besar/ketua menteri bukanlah bos kepada menteri-menterinya, tetapi adalah rakan setaraf (peer) kepada mereka sungguhpun diunggulkan. Beliau dikatakan “yang terutama antara yang setaraf” (first among equals atau dalam bahasa latin, “primus inter pares”).

Dalam rekaan sistem ini, semua menteri Kabinet bukan sahaja rakan sekerja kepada ketua kerajaan tetapi juga bakal pengganti dan pesaing potensinya. Pertukaran ketua kerajaan maka bukanlah pengkhianatan dalam era feudal dahulu, malah salah satu mekanisme metabolisme untuk parti pemerintah.

Kerajaan berparlimen macam bola sepak

Daripada segi praktis, ketua kerajaan di bawah sistem kerajaan berparlimen sememangnya boleh dipecat tanpa melakukan apa-apa kesalahan, kerana pemecatan itu bukanlah “impeachment” dalam sistem presiden yang bermaksud berlakunya jenayah, skandal atau salah laku yang besar.

Di United Kingdom, Margaret Thatcher dicabar sebagai pemimpin Parti Konservatif dan perdana menteri United Kingdom pada 1991 oleh seorang bekas menteri Michael Heseltine.

Selepas gagal mencapai sokongan kukuh di kalangan ahli Parlimen Konservatif dalam pengundian pertama, Margaret Thatcher enggan meneruskan ke pengundian kedua dan sebaliknya meletak jawatan supaya perpecahan partinya boleh diubati secepat mungkin.

Di Australia, Perdana Menteri Kevin Rudd dicabar timbalannya Julia Gillard, yang juga daripada parti Buruh, pada Jun 2010.

Beliau terus meletak jawatan untuk mengelakkan kekalahan dalam pengundian yang dibuat oleh semua ahli Parlimen Buruh, apabila jelas majoriti daripada rakan sejawatannya di Parlimen menyokong Gillard.

Kedua-dua Thatcher dan Gillard tidak berundur kerana apa-apa jenayah, skandal atau salah laku. Kesalahan mereka cumalah pencadangan cukai yang tidak popular sehingga menjejaskan sokongan kepada parti mereka, sehinggalah ahli-ahli Parlimen malah menteri inginkan kepimpinan baru. Seperti bola sepak, kerajaan berparlimen adalah permainan berpasukan.

Pasukan yang tidak dapat bersatu padu dan menggembling tenaga tidak akan menang. Ini sebabnya pasukan Jerman dapat menewaskan pemain Brazil yang lebih bersikap individu dengan keputusan rekod 7-1 dalam permainan semi-final Piala Dunia baru-baru ini.

Mana-mana pemain yang tidak dapat bekerjasama dengan pemain lain tidak sesuai untuk terus bermain dalam pasukan bola sepak, apatah lagi pemain ini adalah kaptennya. Apakah kapten ini perlu terlibat dengan sindiket bookie atau kes maksiat untuk digugurkan daripada pasukannya? Jawapannya jelas sekali.

Malahan, seseorang kapten itu gagal sekalipun beliau paling tinggi akhlak, baik budi perketi dan handal permainannya kalau dia gagal memimpin pasukannya.

Apakah salahnya Mohamad Nasir di Kelantan pada 1977?

Soalan yang dihulurkan atas kes Khalid di Selangor pada 2014 ada jawapannya tertulis di dalam kes Datuk Mohamad Nasir di Kelantan pada 1977. (Satu rujukan yang baik ialah tesis kedoktoran Prof Mohammad Agus Yusoff bertajuk “Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations”, mukasurat 144-153)*. Seperti Khalid, Mohamad Nasir juga menonjolkan imej yang tegas tentang akauntabiliti.

Seperti Khalid, Mohamad Nasir enggan berlembut dengan rakan-rakan separtinya yang dikatakan terlibat dalam rasuah atau berminatkan dengan pengambilan sumber-sumber awam seperti tanah.

Apakah akauntabiliti bukan mutu yang kita perjuangkan dalam politik yang mulia? Justeru, mengapa Mohamad Nasir dan Khalid ditentang? Apakah rakan-rakan separti yang menentang Mohamad Nasir dan Khalid itu tidak nampak seolah-olah mereka menyokong rasuah?

Jawapannya ringkas sahaja. Akauntabiliti itu sememangnya harus ditegakkan tetapi ini harus dilakukan dengan memperkasakan institusi-institusi awam dalam pencegahan rasuah dan pendedahan  salah laku.

Ini bukan alasan untuk kegagalan menerima sokongan daripada partinya. Apabila seseorang ketua kerajaan berparlimen itu gagal mendapat sokongan partinya sendiri, maka terdapat tiga jalan keluar sahaja: Pertama, peletakan jawatan; kedua, pembentukan kerajaan baru dengan penyokong lain; ketiga, beliau mesti memenangi semula hati parti-partinya.

Di sini timbul soalan baru: Apakah menteri besar Selangor boleh ditentukan oleh PKR sendiri sedangkan ini adalah kerajaan Pakatan Rakyat? Tidakkah parti lain juga mempunyai kuasa veto? Di sini, jawapan untuk Selangor pada 2014 ada di Kelantan pada 1977.

Seperti Khalid, Mohamad Nasir memposisikan dirinya sebagai menteri besar gabungan (Barisan Nasional) dan bukan partinya (PAS). Ketika itu, PAS mempunyai 22 orang Adun manakala Umno mempunyai 13 dan MCA seorang.

Dalam kata lain, kerajaan BN Kelantan (termasuk penyokongnya di Dewan) terdiri daripada (a) sayap anti-Nasir yang terdiri daripada 21 orang ADUN PAS dan (b) sayap pro-Nasir yang 15 orang jumlahnya, terdiri daripada Adun Umno, MCA and Mohamad Nasir sendiri. Nisbahnya: 7:5.

Kalau mengikut pendirian parti atau pemimpin tertinggi parti masing-masing, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor (termasuk penyokongnya di Dewan) terdiri daripada (a) sayap anti-Khalid yang terdiri daripada 28 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), yakni 13 orang dari PKR kecuali Khalid dan 15 orang dari DAP; dan (b) sayap pro-Khalid yang terdiri daripada 16 orang Adun, yakni 15 dari PAS and Khalid sendiri. Nisbahnya 7:4.

Maka, ceritanya mudah saja, prinsipnya sama saja, sungguhpun 37 tahun sudah berlalu. Kalau Mohamad Nasir tidak salah mengingkari PAS pada 1977, Khalid juga tidak salah mengingkari PKR pada 2014.

Kalau PAS (diwakili Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bertindak betul dalam menyokong Khalid di Selangor pada 2014, maka Umno juga bertindak betul dalam menyokong Mohamad Nasir di Kelantan pada 1977.

Sebaliknya, kalau PAS berhak memecat Mohamad Nasir di Kelantan pada 1977, PKR juga berhak memecat Khalid di Selangor pada 2014. Dalam mesyuarat pada 10 Ogos yang akan datang, yang ditentukan pertama sekali bukanlah masa depan PKR dan Selangor tetapi masa silam PAS dan Kelantan.

Kalaulah PAS begitu sayangkan Khalid sampai sanggup menidakkan dirinya dan mengiakan Umno dalam episod Kelantan pada 1977, maka kerajaan campuran PAS-Umno itu memanglah satu pilihan yang bernas untuk Kelantan pada 1977 dan juga untuk Selangor pada 2014. – 1 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 145.Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 145.

Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 146.Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 146.

Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 147.Federalism in Malaysia: A Study of Centre-State Relations mukasurat 147.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments