Opinion

Apakah bukan Muslim warga kelas dua, Hadi Awang? (Bahagian 1)

Penolakan pilihan raya kerajaan tempatan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang soalan yang lebih besar: apakah PAS di bawah Hadi memandang bukan Muslim sebagai “dhimmi” (warga negara kelas kedua) yang hidup terlindung di bawah Muslim, dan tidak layak menjadi pemimpin?

Minggu lepas saya bertanya, sama ada dalam penolakan pilihan raya kerajaan tempatan Hadi itu secara tidak langsung menghalalkan keganasan dan ketakutan sebagai alat politik untuk berkuasa, yang sememangnya selama ini cop niaga Umno tetapi ditolak oleh PAS?

Dalam kata lain, apakah tidak Hadi dengan menggunakan hantu 13 Mei sebagai alasan menolak demokrasi, mengambil risiko menyampaikan mesej yang salah, PAS itu seolah-olah Umno dalam baju hijau?

Dalam rencana hari ini, saya ingin mengupas soalan yang lebih besar daripada penghalalan politik keganasan: apakah penolakan pilihan raya kerajaan tempatan itu berakarkan fahaman golongan bukan Muslim itu adalah “dhimmi” (ahl ad-Dhimmah) yang hidup terlindung di bawah kuasa Muslim dan oleh itu tidak setaraf dengan golongan ketuanan Muslim?

Kupas ketakutan Melayu hilang kuasa

Hujah pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan Melayu hilang kuasa ini sebenarnya sangat biasa didengar di kalangan bukan saja orang Umno, tetapi juga orang PAS. Terus terang ini adalah alasan sesetengah pemimpin PAS di Selangor menentang percubaan untuk memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Hujah ini bukanlah langsung tidak munasabah bila kita fahami konteks masyarakat Malaysia di mana politik bersikap “winner-takes-all” (pemenang mengambil semua) dan menyebabkan setiap komuniti etnik takutkan komuniti sendiri akan dianaktirikan apabila komuniti etnik lain berkuasa.

Sekarang biar kita kupas hujah “pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan Melayu hilang kuasa”.

Hujah ini boleh berasaskan tiga senario:

(a)  Melayu merupakan minoriti.
(b) Melayu merupakan majoriti tetapi sistem pilihanraya mungkin merugikan perwakilan Melayu.
(c)  Melayu merupakan majoriti, sistem pililhanraya itu tidak merugikan perwakilan Melayu tetapi orang Melayu masih memilih bukan Melayu sebagai pemimpin kerajaaan tempatan.

Dalam kata lain, hujah ini boleh dipecahkan kepada tiga premis: (a) peratusan orang Melayu sebagai minoriti; (b) sistem pilihan raya yang tidak seimbang; (c) kebarangkalian orang Melayu memilih pemimpin-pemimpin atau parti-parti bukan Melayu.

Melayu mendominasi kebanyakan bandar

Premis pertama PRKT tidak harus dijalankan kerana orang Melayu adalah minoriti di kawasan bandar itu mengundang soalan yang menarik sekali: mengapa PAS tidak memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan di kawasan desa terutamanya di Kelantan dan Terengganu yang penduduknya lebih 95%  adalah orang Melayu?

Sekalipun di bandar, orang Melayu sebagai golongan minoriti itu bukan lagi realiti, tetapi mitos yang terperangkap dalam masa silam. Ini ditunjukkan oleh rakan saya di Penang Institute Dr Ong Kian Ming dengan menggunakan data daripada banci 2010.

Menurut Dr Ong, daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya dan 37 buah Majlis Perbandaran di Malaysia, cuma enam mempunyai lebih ramai pengundi Cina daripada Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Bahru Tengah, Pulau Pinang dan Subang Jaya (peratusan etnik penduduk-penduduk di kesemua 49 pihak berkuasa tempatan bandar ini boleh didapati di laman Dr Ong, ongkianming.com).

Dalam kata lain, di 88% daripada kawasan bandar, Melayu merupakan golongan terbesar (plurality) malah majoriti. Sekalipun di kawasan seperti Petaling Jaya, orang Melayu (46.2%) melebihi orang Cina (39.6%).

Pilih sistem pilihan raya yang seimbang

Sistem pilihan raya yang tidak seimbang adalah satu keprihatinan yang benar tetapi langsung bukan penghalang mutlak.

Sistem pilihan raya yang diguna pakai di Malaysia sekarang dikenali sebagai “First Past The Post” yang menghadiahkan kemenangan kepada pemenang undi paling banyak (plurality winner) sekalipun undi itu kurang daripada 50%.

Ini mendatangkan masalah dalam dua peringkat.

Pertama, dalam pertandingan beberapa penjuru, calon daripada golongan/parti minoriti mungkin menang jika golongan majoriti atau penyokong parti majoriti berpecah.

Dalam konteks masyarakat majmuk, kebarangkalian ini sebenarnya menggalakkan wacana assabiyah “perpaduan kaum” demi mengelakkan perpecahan “kaum sendiri” yang akhirnya menguntungkan “orang asing”.

Kedua, kerana cuma undi parti pemenang yang bernilai dalam perlantikan wakil, maka ketidakseimbangan kerusi-undi (seat-vote disproportionality) itu mungkin berlaku di peringkat makro sekalipun tidak berlaku pertandingan beberapa penjuru.

Sama ada masalah ini berlaku bergantung kepada persempadanan kawasan pilihan raya.

Akibat “pembahagian tidak sekata” (malapportionment) dan “persempadanan tidak adil” (gerrymandering) di bawah Suruhanraya Pilihan Raya (SPR), ketidakseimbangan pernah mencecah tahap yang gila: sehelai undi untuk BN sama nilai dengan 40 undi untuk PAS!

Ini berlaku pada 1986 apabila BN mendapat 84% kerusi Parlimen dengan undi 56% manakala PAS cuma mendapat 1 kerusi (0.5%) dengan undi 15%.

Dalam melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan, Pakatan seharusnya juga mencadangkan sistem pilihan raya yang lebih adil. Untuk pemilihan ahli-ahli majlis, sistem “ahli campur berkadar” (mixed member proportional, MMP) yang berjaya digunakan di Negara Jerman dan New Zealand boleh dipertimbangkan.

Di bawah sistem ini, pengundi diberi dua undi, satu undi untuk memilih wakil kawasan dan satu lagi undi untuk memillih parti, dan jumlah kerusi yang didapati oleh sesebuah parti itu bergantung kepada peratusan “undi parti” yang diperoleh. Ini lebih membolehkan hasrat pengundi terjadi – parti A dapat lebih undi, maka parti A juga dapat lebih kerusi.

Untuk pemilihan jawatan tunggal seperti datuk bandar, maka sistem “pusingan dua” (two-round system, TRS) seperti yang dilaksanakan di Perancis dan Indonesia dalam pemilihan presiden.

Di bawah sistem ini, jika tiada calon yang dapat 50% undi, maka pilihan pusingan kedua akan diadakan dan cuma dua orang calon terkuat dalam pusingan pertama boleh bertanding. Ini memastikan pemenang akhir pasti dapat undi majoriti dan bukan wakil minoriti.

Dengan sistem pilihan raya seperti MMP dan TRS, suara majoriti sudah pasti akan menjadi suara penentu. Melayu tidak mungkin hilang kuasa. – 1 Februari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments