Pengangkatan bahasa Inggeris di Sarawak bukan sahaja kemerosotan nilai instrumental bahasa Melayu, tetapi juga nilai identitinya. Ramai Orang Sarawak yang menolak bahasa Melayu sebagai lambang politik Tanah Melayu.
Saya kira diri saya seorang pejuang bahasa Melayu dalam erti memperjuangkan kebergunaan dan kebolehgunaan bahasa Melayu yang lebih tinggi agar penggunaannya lebih meluas.
Sebab itu saya menulis satu-satu kolum mingguan saya dalam bahasa Melayu, dan bukan Inggeris yang saya mula gunakan untuk tulis komentar politik sejak 2008 atau bahasa Cina – yang lebih awal lagi – sejak1998.
Namun, saya tidak marah apabila ahli Parlimen menggunakan bahasa Inggeris dalam Parlimen, diikuti pengumuman pemerintah negeri Sarawak bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi kedua di negeri itu.
Saya bukan sahaja tidak marah malah saya faham mengapa ramai orang Sarawak – tidak hairan kalau diikuti orang Sabah sehari nanti – mempertahankan hak menggunakan bahasa Inggeris itu sebagai hak negeri, dengan merujuk kepada Perjanjian Malaysia pada 1966.
Bagi saya, daripada merasai bingung, marah dan dibelakangi, lebih baik kita fahami apakah sebabnya berlaku perubahan besar dalam politik bahasa ini. Ini penting sekali apabila program dwi-bahasa sedang giat diusahakan pemerintah.
Nilai identiti vs nilai instrumental
Adalah penting untuk kita menganalisis mengapa nilai sesebuah bahasa naik dan turun.
Secara amnya, nilai sesuatu bahasa boleh dibahagi kepada dua: identiti (jati diri) dan instrumental (peralatan).
Nilai instrumental adalah manfaat yang dinikmati oleh penutur bahasa kerana menuturkan atau menggunakan sesebuah bahasa itu.
Ini mungkin kerana bahasa itu membolehkan pembelajaran ilmu dan teknologi dan membawa kemajuan dan pencerahan. Ia juga mungkin kerana ia digunakan orang ramai atau golongan yang berkuasa atau berada dan membawa keuntungan atau prospek kerjaya lebih baik.
Nilai identiti ialah nilai bahasa dalam membantu kita mendefinisikan kita sendiri. Dengan menuturkan sesebuah bahasa, kita memilih siapa kita – etnik, agama, negara-bangsa, kelas sosial ataupun ideologi – dan menyiarayakan pilihan ini kepada mereka yang melihat dan mendengar kita berbahasa. Ini yang dimaksudkan dengan “bahasa jiwa bangsa”.
Nilai instrumental dan nilai identiti ini boleh saling mempengaruhi.
Sebagai contoh, jika sesebuah bahasa itu mempunyai nilai instrumental yang tinggi, maka penuturnya mungkin berasa bangga atas kebolehan menuturkannya dan di situlah terlahirnya nilai identiti yang membezakan si penutur dengan mereka yang tidak dapat menguasai bahasa itu.
Sebaliknya, jika sesebuah bahasa itu dijadikan bahasa rasmi kerana nilai identitinya, nilai instrumentalnya juga naik kerana “penggunaan” (usage) bahasa itu bertambah dan dimestikan dalam banyak aspek.
Nilai apa yang merosot?
Untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu, bermula dengan status rasmi yang akan dikongsi dengan bahasa Inggeris di Sarawak, kita mesti meneliti apakah nilainya – nilai instrumental, nilai identiti, atau kedua-duanya yang terancam.
Bahasa Melayu tidak menjadi lingua franca kerana status bahasa rasmi – kalau adalah perkara ini – pada zaman Sri Vijaya atau Melaka.
Ia terus digunakan apabila empayar Jawa Majapahit adalah kuasa terkuat di Nusantara, kemudiannya pada zaman penjajahan Belanda sampailah pejuang-pejuang nasionalis Indonesia yang kebanyakannya berlatarbelakangkan Jawa seperti Sukarno memilihnya sebagai bahasa kebangsaan negara pasca-penjajahan baharu.
Dalam kata lain, dalam kes bahasa Melayu, nilai instrumental dan nilai identiti itu menghasilkan status bahasa rasmi, bukan sebaliknya.
Jika hari ini bahasa Melayu hilang kedudukan tunggal bahasa rasminya di Sarawak, ia berlaku kerana nilai instrumental dan nilai identitinya sudah pun jatuh.
Jika kita tidak mempertingkatkan nilai instrumental dan nilai identiti bahasa Melayu, maka pengekalan status bahasa rasmi tidak membawa makna besar dalam jangka panjang.
Contoh terbaik ialah bahasa Irish yang terjejas penggunaannya di bawah pemerintahan British di Ireland.
Kerana nilai identitinya, bahasa Irish diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi pertama di Republik Ireland selepas kemerdekaan.
Akan tetapi, kerana nilai instrumentalnya terhad berbanding dengan bahasa Inggeris, kebanyakan rakyat Ireland cuma menggunakannya sebagai bahasa kedua dan bukan bahasa asal.
Persaingan bahasa Inggeris dalam nilai identiti
Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem mempertahankan pendiriannya atas status bahasa rasmi kedua untuk bahasa Inggeris itu dengan alasan pragmatisme. Ramai juga rakyat Sarawak yang memberikan alasan yang sama dalam menyokong dasar beliau ini.
Hakikatnya, bahasa Melayu kalah kepada bahasa Inggeris di hati rakyat Sarawak, bukan sahaja dalam medan nilai instrumental, tetapi juga dalam medan nilai identiti.
Apabila penggunaan bahasa Inggeris itu diperjuangkan sebagai hak negeri dan dikaitkan dengan sejarah pembentukan Malaysia, bahasa Inggeris sebenarnya sudah menjadi lambang kepada imaginasi nasionalisme yang berlainan.
Bagi ramai orang Sarawak, bahasa Inggeris melambangkan politik yang lebih merangkumi (inclusive) dan perpaduan yang kurang menitikberatkan kaum dan agama yang merupakan legasi pemerintahan Rajah Puteh.
Ini berbeza sekali daripada Semenanjung Melayu di mana bahasa Melayu sering dilihat sebagai lambang utama ketuanan Melayu dan – dengan orang bukan Islam dilarang menggunakan perkataan seperti “Allah”, “Nabi” dan “Kitab” – ketuanan Islam.
Kita sering dengar ada pihak yang mempertikaikan kewarganegaraan orang lain kerana kelemahannya berbahasa Melayu ataupun sokongan kepada parti oposisi.
Ini sebenarnya adalah legasi politik anti-Malayan Union pada 1946 yang melihat Semenanjung Malaysia sebagai Tanah Melayu hak orang Melayu dan seterusnya kerakyatan orang bukan Melayu itu sebagai kurniaan daripada orang Melayu yang boleh ditarik balik bila tak suka.
Ungkapan bahasa nasionalisme Melayu ini bukan sahaja menyakiti hati orang bukan Melayu di Semenanjung tetapi juga ramai rakyat Sarawak dan Sabah, kerana negeri mereka turut dianggap sebagai sebahagian Tanah Melayu.
Hakikatnya, sejarah mengambil jalan yang lain sekali di Borneo terutama di Sarawak. Kerajaan Sarawak (Kingdom of Sarawak) menerima kemajmukan rakyatnya.
Pada 1946 apabila orang Melayu Semenanjung memprotes kepada orang Inggeris kerana Perlembagaan Malayan Union yang mudah memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu, orang Melayu dan orang Iban di Sarawak melawan orang Inggeris untuk menghalang “cession” (pemberian) Sarawak daripada tangan Rajah Puteh kepada Empayar British.
Orang ingin mengekalkan pemerintahan Rajah Puteh yang sudah menjanjikan demokratisasi pada 1941 dan ingin lihat Sarawak mencapai kemerdekaan sebagai sebuah monarki berperlembagaan.
Orang Melayu Sarawak tidak kisah keluarga Brooke itu berkulit putih dan beragama Kristian. Malah, pada 1949, seorang anak muda Melayu, Rosli Dhobi, membunuh Sir Duncan Steward, Gabenor British di Sarawak dalam usaha mengangkat Rajah Muda Anthony Brooke dan memerdekakan Sarawak.
Bagi saya, apabila penggunaan bahasa Inggeris diperjuangkan sebagai hak negeri Sarawak, itu tanda amaran bahasa kebangsaan kita sudah menjadi korban politik etnik Semenanjung yang begitu kuat dibenci dan dihina di seberang Laut China Selatan.
Dengan pengharaman Kitab Injil bahasa Melayu/Indonesia, dengan insiden-insiden anak murid peribumi Borneo Kristian dimurtadkan guru Melayu dari Semenanjung, penggunaan bahasa Melayu semakin membawa implikasi bukan sahaja Ketuanan Melayu/Islam tetapi juga ketuanan Semenanjung.
Sebagai perbandingan dan secara “default”, bahasa Inggeris melambangkan keterangkuman (inclusion) dan kebebasan.
Sememangnya di Semenanjung pun, kita dapati wacana yang lebih merangkumi dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.
Kalau kita ingin menyelamatkan bahasa Melayu, maka kita mesti memisahkan bahasa Melayu dengan nasionalisme Melayu/Muslim Semenanjung yang sempit.
Hanya apabila bahasa Melayu itu menjadi bahasa yang bebas digunakan dan dimiliki semua kaum dan agama di Malaysia, ia akan mempunyai nilai identiti yang dihargai semua.
Ini seharusnya menjadi perjuangan kita di samping berusaha mempertingkatkan nilai instrumental bahasa Melayu. – 29 November, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments