Opinion

Bahasa Melayu bahasa Asean, tapi bagaimana?

Penggunaan sesebuah bahasa bergantung kepada kebergunaan dan kebolehgunaannya. Apakah kita sedia mempertingkatkan kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, dilapor mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi Asean di seminar "Bahasa Melayu as Asean language" anjuran bersama Jabatan Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selasa lalu.

Alasan Salleh, Bahasa Melayu/Indonesia mempunyai 400 juta penutur di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand, dan selatan Filipina.

Sebarang usaha mengangkat Bahasa Melayu harus disambut baik. Namun, cadangan mengagung-agungkan cuma sesuatu bahasa dalam era global ini, dengan menggugurkan bahasa rasmi Asean yang sedia ada, bahasa Inggeris, tidak realistik dan oleh itu, kurang serius kedengarannya.

Sebenarnya, cadangan sebegini tidak baharu.

Pada September 2011, bekas menteri penerangan, komunikasi dan budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim dan pemimpin parti Golkar Indonesia, Priyo Budi Santoso, masing-masing mencadangkan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dijadikan bahasa rasmi Asean.

Ini malah diusahakan oleh Tan Sri Mohd Yusof Hitam selama 6 tahun beliau sebagai ketua pengarah Asean, tetapi tidak mendapat sokongan. 

Kalau kita tidak meneliti kekuatan dan kelemahan Bahasa Melayu demi memperkasakannya, maka sampai abad ke-22 mungkin saranan sebegini dibuat dan tetap tidak berhasil.

Dengan penduduk Asean seramai 625 juta (anggaran 2013), Bahasa Melayu/Indonesia memang bahasa majoriti dan digunakan meluas di 3 buah negara – Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Ini memang mendahului bahasa Vietnam (75 juta penutur, anggaran 2007), Thai (60 juta, anggaran 2001) dan Burma (43 juta, sekitar 2007), yang cuma dituturi meluas di sebuah negara sahaja.

Akan tetapi, mengapa negara ini harus meninggalkan bahasa Inggeris untuk menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa serantau?

Ramai pejuang bahasa suka membincangkan penggunaan bahasa dan berangan penggunaannya boleh dipaksakan.

Apakah kekuatan kita memaksa orang menggunakan bahasa kita?

Bahasa agung disebar tanpa dipaksa.

Satu contoh yang baik ialah Bahasa Melayu sendiri, pada seketika dituturi dari Bangkok dan Manila di utara sampai ke Batavia di selatan, dari Aceh di barat ke Makassar dan Ambon di timur.

Ini bukan kerana terdapat empayar Melayu yang menurunkan dasar bahasa empayar di tanah jajahannya. Kuasa Sri Vijaya dan Melaka tidak pernah sampai ke Bangkok, Ambon atau Manila.

Bahasa Melayu menjadi lingua franca bukan kerana pak menteri di balai agung Palembang atau Melaka ingin memasyhurkan nama budaya atau bahasanya.

Penggunaan Bahasa Melayu didorong kebergunaan (usefulness) dan kebolehgunaan (usability) bahasa itu.

Bagaimana kita ingin membina kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu?

Kebergunaan bererti bahasa itu membawa nilai atau manfaat kepada penggunanya. Ini boleh datang daripada daya pembelian kita ataupun tarikan budaya kita kepada orang luar.

Sebagai contoh, bahasa Korea tidak biasa dituturi di luar Korea Selatan, Korea Utara dan 2 wilayah di timur laut China. Tidak banyak manfaat kewangan belajar bahasa Korea. Akan tetapi, ramai anak muda tertarik dengan bahasa itu kerana K-pop.

Begitu juga, ramai yang belajar sedikit ungkapan Hindi kerana mengikuti filem dan lagu Bollywood.

Kalau penutur Bahasa Melayu/Indonesia belum menjadi pasaran lumayan, bagaimana dengan tarikan budaya kita?

Mungkinkah wujudnya M-pop atau I-pop sehari nanti? Bagaimana pula dengan penulis, penyiar dan novelis kita?

Indonesia menjadi tetamu kehormat Frankfurter Buchmesse, ekspo buku utama Jerman, baru-baru ini.

Sungguhpun berucap dalam Bahasa Indonesia, mereka dilaporkan menarik perhatian pelancong seluruh dunia dengan penulisan yang matang dan terbuka.

Penerbit Indonesia inklusif sekali termasuk penerbit buku Islam seperti Republika dan juga penerbit buku keagamaan Kristian seperti Kanisius.

Di ruang pameran "17,000 Pulau Imajinasi", Indonesia mempamerkan warisan kaya mereka termasuk manuskrip Hindu lama mereka.

Sebagai perbandingan, pavilion Malaysia bertemakan "Citarasa Malaysia" menjalani banyak acara dalam Bahasa Inggeris dan menjamu selera tetamu dengan hidangan nasi lemak, lontong, sate dan teh tarik

Berita baiknya untuk Malaysia, antara lain, 2 buah karya Faisal Tehrani terbitan DuBook Press turut memikat hati peminatnya di bumi yang jauh.

“Advencer Yaya & Fufu”, kisah dua beradik yang mengajar dan memperjuangkan hak asasi manusia kepada kanak-kanak di seluruh dunia, berjaya menarik penerbit Indonesia, Singapura dan China.

Pada masa sama, "Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?" pula berjaya memikat penerbit Jerman, Itali dan Sepanyol.

Berita buruknya, buku kanak-kanak "Advencer Yaya & Fufu" digugurkan dari katalog Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), "50 Best Malaysian Titles For International Rights".

Penerbit kemudian mendapati sebab ia digugurkan ialah latar belakang penulis (Faisal Tehrani) yang kontroversi, tema buku itu (hak asasi manusia) dan juga wataknya (Tok Adam dan Nenek Hawa yang dikhuatiri boleh mengelirukan kerana seakan menyamai Nabi Adam dan Hawa).

Bagaimana kebergunaan Bahasa Melayu boleh dipertingkatkan jika hasil minda perlu dipolisi dan dihalang daripada diketahui sedunia?

Penapisan sebenarnya banyak menjejaskan kebolehgunaan Bahasa Melayu.

Contoh yang paling jelas ialah pengharaman sejak 2006 sebuah buku berjudul "Asal-usul Spesies", yakni edisi Bahasa Indonesia karya agung bapa teori evolusi Charles Darwin "Origin of Species".

Dalam jawapan kepada ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berkata buku itu diharamkan kerana ia menjejaskan keharmonian orang awam dengan hujahnya yang bertentangan dengan ajaran Islam dan “Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Islamik” dan kepercayaan Sunnah Wal Jamaah.

Kalau teori evolusi melanggar kepercayaan umat Islam, maka harus dikeluarkan fatwa untuk mengharamkannya supaya akidah semua orang Islam terselamat.

Mengapa edisi Bahasa Indonesia yang diharamkan sementara edisi Inggeris tetap dibenarkan?
Apakah bahasa Inggeris boleh mengkebalkan akidah manakala Bahasa Melayu itu tidak?

Lebih daripada itu, apakah hak pegawai di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menjadikan Bahasa Melayu (kononnya Bahasa Malaysia) itu hak orang Islam sahaja di mana apa yang dikira sebagai tidak sesuai untuk orang Islam turut tidak sesuai untuk semua penutur Bahasa Melayu?

Dan kalau “Asal-usul Spesies” pun tidak boleh dibaca, bagaimana Bahasa Melayu boleh digunakan untuk mencari ilmu dalam biologi, sains dan falsafah?

Bagi saya, pempolisan Bahasa Melayu seperti ini yang menjatuhkan kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu.

Selagi kita enggan membebaskan Bahasa Melayu daripada penjara intelektual, usah kita berangan Bahasa Melayu boleh kembali ke zaman keemasannya dan menjadi lingua franca sekali lagi di Asia Tenggara. – 8 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments