Opinion

Bersih 4: Lu caya pada Najib?

Kalau anda rasa Parlimen seharusnya meluluskan “usul undi tidak percaya” terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kecewa dengan kelesuannya, maka anda harus menyertai Bersih 4 untuk memberitahu Najib dan Parlimen yang anda sudah hilang kepercayaan kepada beliau.

Demokrasi berparlimen vs Demokrasi berpresiden

Kebelakangan ini kita sering dengar ulasan pelbagai pihak yang seolah-olah memberikan gambaran “perhimpunan yang menuntut perdana menteri mengundurkan diri” itu sama seperti dengan “penggulingan kerajaan” dan seterusnya ini satu kesalahan kerana dianggap aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Mengapa Seksyen 124B menggunakan ungkapan “demokrasi berparlimen” yang khusus maknanya dan bukan ungkapan “demokrasi berperwakilan” yang umum maknanya?

Sudah tentu ahli Parlimen tidak membabi buta meluluskan pindaan akta ini (Akta A1430) pada 2012, dan sudah tentu sebaliknya mereka memang arif dengan makna “demokrasi berparlimen” dan perbezaannya dengan “demokrasi berpresiden”.

PM adalah pekerjaan mudah dipecat

Di bawah “demokrasi berpresiden”, badan perundangan (Kongres) dan badan eksekutif (Presiden) dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya berasingan dengan tempoh khidmat yang bebas daripada sesama lain.

Kongres tidak boleh memecat presiden kecuali melalui proses “impeachment” yang hanya boleh dimulakan jika presiden melakukan kesalahan sangat besar.

Dalam erti ini, presiden adalah suatu pekerjaan yang terlindung daripada pemecatan sewenang-wenangnya.

Di bawah “demokrasi berparlimen”, badan perundangan (Parlimen) dipilih secara langsung dan badan eksekutif (Jemaah Menteri) dipilih secara tidak langsung.

Ketua negara (bagi Malaysia, Yang di-Pertuan Agong) melantik ahli yang “mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen” sebagai perdana menteri.

Sungguhpun Parlimen mempunyai tempoh maksimum yang tetap, perdana menteri boleh membubarkan Parlimen pada bila-bila masa jika diperkenankan oleh ketua negara.

Sebaliknya, Parlimen juga boleh menjatuhkan perdana menteri pada bila-bila masa dengan meluluskan “usul undi tidak percaya” terhadap perdana menteri.

Jika ini berlaku, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan atau meminta kerestuan ketua negara untuk membubarkan Parlimen.

Berbanding dengan presiden, perdana menteri adalah pada teorinya sejenis pekerjaan yang mudah dipecat.

Kalau majikan biasa mungkin perlu memberikan notis sebulan atau 3 bulan sebelum memecat pekerjanya, Parlimen boleh memecat perdana menteri pada bila-bila masa saja apabila majoriti ahlinya sudah hilang kepercayaan kepadanya.

Demokrasi kuat jika perdana menteri senang dibuang kerja

Mudahnya untuk tukar perdana menteri dan risiko kerjaya yang tinggi bagi perdana menteri sebenarnya adalah kelebihan demokrasi berparlimen.

Ia memaksa perdana menteri dan kerajaan untuk lebih sensitif dengan kehendak rakyat.

Dalam masa krisis, sifat keanjalan ini memudahkan pertukaran pemimpin negara dan boleh elakkan kebuntuan politik yang berpanjangan.

Sebagai contoh, seorang presiden yang dipercayai ramai sebagai perasuah boleh tetap berkuasa selagi belum disabit dakwaan dalam proses “impeachment”.

Akan tetapi, seorang perdana menteri yang dipercayai ramai sebagai perasuah boleh dipecat oleh Parlimen dengan mudahnya dengan “undi tidak percaya” sungguhpun kesalahannya belum disabitkan di mahkamah.

Ini kerana pemimpin negara boleh ditukar dengan mudah, “demokrasi berparlimen” membenarkan rakyat untuk bersikap “cerewet” iaitu tetapkan piawaian yang lebih tinggi untuk mutu pemimpin.  

Secara ringkasnya, dalam “demokrasi berparlimen”, semakin senang perdana menteri dibuang kerja, maka semakin kuatlah demokrasi.

Ringgit jatuh, Najib undur?

Dalam krisis ekonomi Greece Julai lepas, pakej reformasi sebagai syarat untuk bantuan Kesatuan Eropah (EU) itu perlu diluluskan oleh Parlimen di kedua-dua pihak, yang menerima bantuan (Greece) dan yang memberikan bantuan (Jerman dan Perancis).

Dalam kes Greece, jika pakej itu ditolak Parlimen, maka perdana menterinya Alexis Tsipras akan meletakkan jawatan.

Keputusan undi di Parlimen menarik sekali. Segelintir ahli Parlimen parti Tsipras “memberontak”, malah timbalan menteri kewangannya turut meletakkan jawatan eksekutifnya untuk membuat undi “tidak”. Namun, pakej itu akhirnya diluluskan dengan sokongan parti pembangkang.

Ini suatu contoh jelas bagaimana demokrasi berparlimen seharusnya berfungsi – ahli Parlimen tidak semestinya mengundi garisan parti. Terutamanya, ahli “penyokong” parti pemerintah mesti berpotensi untuk memberontak, dan mereka pula bersedia untuk meletakkan jawatan eksekutif untuk turut serta.

Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Najib sekarang bukan sahaja membawa beban cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat jelata, menambahkan pembinasaan institusi negara (Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Polis, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)), malah krisis keyakinan yang dicetuskannya memburukkan lagi kejatuhan nilai ringgit.  

Mengapa Parlimen kita tidak mengadakan sidang tergempar sekarang untuk membahaskan isu ini, dan lebih penting lagi, sama ada Parlimen boleh percaya kepada Najib untuk memimpin negara?

Sekarang ringgit sudah jatuh ke tahap RM4 berbanding AS$1. Berapa nilai ringgit agaknya bila Parlimen kembali bersidang pada Oktober?

Rakyat bos kepada Parlimen, Parlimen bos kepada perdana menteri

Apakah kita sebagai rakyat tidak boleh buat apa pun? Sudah tentu tidak. Rakyat adalah bos kepada Parlimen dan Parlimen adalah bos kepada perdana menteri. Jika Parlimen sebagai bos kecil tidak ingin memecat Najib, maka rakyat sebagai bos besar mesti bersuara.

Ini sebabnya perhimpunan aman Bersih 4 akan berlangsung selama 34 jam pada 29 hingga 30 Ogos adalah “undi tidak percaya” kepada Najib.

Bersih 4 bukanlah “kuasa rakyat” atau “kebangkitan ala musim bunga Arab”. Terdapat 4 laluan yang berpotensi untuk “menjatuhkan” Najib.

Pertama, Najib meletak jawatan kerana beliau rasa malu melihat lautan rakyat yang bangkit menuntut pengundurannya.

Kedua, Parlimen meluluskan undi tidak percaya kepada Najib dan akibatnya Najib meletakkan jawatan.

Ketiga, Najib memohon restu Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen tetapi permintaan beliau ditolak dan beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Keempat, permintaan Najib untuk membubarkan Parlimen diperkenankan Yang di-Pertuan Agong tetapi Najib kalah dalam pilihanraya.

Kesemua ini adalah laluan yang absah dan ikuti lunas “demokrasi berparlimen”.

Oleh itu, Bersih 4 tidak “menjejaskan demokrasi berparlimen” (Seksyen 124B) tetapi sebaliknya “memperkukuhkan demokrasi berparlimen” (tuntutan ke-4 Bersih 4) dengan mengembalikan kemudahan untuk menukar perdana menteri.

Sesiapa yang cuba halang rakyat bersuara sebagai bos langsung kepada Parlimen dan bos tidak langsung kepada Najib, siapa yang cuba melenyapkan suara keramat rakyat, merekalah yang melanggar Seksyen 124B.

Tetapi, apakah peluang kejayaan keempat-empat laluan itu?

Kalau cuma 26, 260, 2,600 atau 26,000 rakyat yang sertai Bersih 4, sudah pasti ia akan gagal.

Akan tetapi, apa jadi kalau 260,000 rakyat bermalam di jalan raya Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu? Berapa lama lagi Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dapat bermalam di Seri Perdana?

Kejayaan atau kegagalan Bersih 4 bergantung kepada kita semua.

Ambil sehelai wang kertas 1 ringgit daripada dompet anda. Berapa agak nilainya bila sampai tahun baru 2016?

Tepuk dada tanya selera – lu caya pada Najib?

Kalau lu tak caya pada Najib, jom kita turun jalanraya pada 29 dan 30 Ogos ini. – 16 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Carta 4 laluan yang mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipaksa undur akibat Bersih 4. – Gambar The Malaysian Insider, 16 Ogos, 2015.Carta 4 laluan yang mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipaksa undur akibat Bersih 4. – Gambar The Malaysian Insider, 16 Ogos, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments