Opinion

Dapatkah Pak Samad ‘memelayukan’ DAP?

Dengan penyertaan Datuk A. Samad Said, DAP harus mengambil peluang keemasan ini memposisikan dirinya sebagai parti pejuang bahasa Melayu.

Ada yang berasa pilu kerana Pak Samad menyertai DAP yang kononnya parti Cina, bukan PAS atau PKR. Ada yang tertanya-tanya sama ada beliau dapat menarik lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, bertanding sebagai calon DAP and mengundi calon.

Ada yang khuatir sasterawan negara yang disegani itu akan menjadi sekadar maskot DAP dan keunggulan beliau tercemar.

Pada pendapat saya, peranan yang paling utama yang boleh dimainkan oleh Pak Samad dalam DAP bukan menarik ahli, calon dan undi Melayu untuk parti itu, tetapi membantu DAP menyusun semula posisi dan memperkayakan wacana DAP.

Dalam kata lain, sumbangan terpenting yang dapat dilakukan Pak Samad ialah “memelayukan” DAP dalam pengungkapan polisi parti itu.

Dengan ungkapan nakal “memelayukan”, saya  bermaksud menambah ciri Melayu-mesra dalam posisi pragramatiknya supaya DAP dapat lebih cepat berubah menjadi parti “wakil-semua” (catch-all).

Imej anti-Melayu DAP berkaitan dengan wacana parti itu dalam 3 perkara pokok: (a) apakah pendiriannya terhadap pemberdayaan untuk orang Melayu, atau secara khasnya, dasar pengganti Dasar Ekonomi Baru (DEB); (b) bagaimana menunjukkan pendirian sekularnya menguntungkan orang Islam dan bukan saja golongan minoriti; dan (c) apakah pendiriannya terhadap bahasa Melayu.

Sumbangan besar yang boleh dibuat oleh Pak Samad sudah tentu adalah pada isu ketiga.

DAP sebagai parti pejuang bahasa Melayu?

Saya langsung tidak bersetuju dengan fitnah DAP menolak bahasa Melayu. Persoalan saya: Dapatkah DAP muncul sebagai parti pejuang bahasa Melayu dan bersaing dengan Umno meraih undi pencinta bahasa Melayu?

Ini kedengaran seperti omong kosong tetapi mengapa tidak?

Dalam isu bahasa, kebanyakan penyokong DAP merupakan salah satu daripada 2 kumpulan ini: (a) pencinta bahasa ibunda minoriti seperti bahasa Cina, Tamil, Iban, Kadazandusun dan sebagainya; (b) pendukung bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, bahasa teknologi dan bahasa neutral (kerana bukan bahasa ibunda untuk kebanyakan rakyat Malaysia) yang dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Mungkinkah pencinta-pencinta bahasa Melayu suatu hari nanti juga membilang DAP sebagai parti pilihan mereka?

Ini persoalan besar: Apakah wawasan DAP terhadap pembangunan bahasa Melayu dalam masa 50 tahun depan, selain penerimaan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Bahasa Melayu serba dipersalahkan

Baru-baru ini Sultan Johor mencadangkan Malaysia mencontohi Singapura dengan membina sekolah satu aliran menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama.

Menurut baginda, bahasa Inggeris sebagai bahasa neutral boleh menyatukan rakyat dengan menghapuskan perbedaan sekolah. 

Pandangan baginda ini mendapat sambutan kuat ramai orang bukan Melayu termasuk ramai penyokong DAP tetapi ia bukan sesuatu hujah yang baharu.

Bahasa Melayu dipersalahkan untuk sekurang-kurangnya 3 perkara. Selain gagal menyatukan rakyat, bahasa Melayu juga didakwa gagal membuka minda seperti bahasa Inggeris.

“Kesalahan” ketiga ialah bahasa Melayu menghalang pelajar menguasai kemajuan sains dan teknologi. Dakwaan ini adalah asas polisi “Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris” (PPSMI) yang ditentang oleh Pak Samad sendiri dengan berdemonstrasi di jalanraya pada 2009.

Menurut satu hujah yang sangat cetek, kalau rakyat Malaysia semua belajar dalam bahasa Inggeris dan menguasainya, maka Malaysia akan bersatu, maju dan berminda terbuka.

Apakah bahasa Melayu yang salah?

Bagi saya, hujah sebegitu cetek sekali kerana ia memberikan penjelasan yang dangkal untuk fenomena yang kompleks.

Sebagai contoh, mengapa sekolah bahasa Inggeris – dahulu di Malaya/Malaysia, sekarang di Singapura – nampaknya dapat menyatupadukan rakyat?

Satu sebab penting ialah tiada diskriminasi berdasarkan keturunan/kepercayaan. Sesiapapun yang menguasai bahasa Inggeris mempunyai peluang yang lebih cerah menaiki tangga masyarakat.

Lain sekali dengan bahasa Melayu sekarang. Betapa baik bahasa Melayu sekali pun, orang bukan Melayu tetap menghadapi “dinding gelas” dalam peluang pendidikan dan pekerjaan di sektor awam.

Sudah tentu, ini akan menghakis insentif orang bukan Melayu untuk menguasai dan menggunakan bahasa Melayu.

Jika tetap ada rakyat yang rasa dirinya dianaktirikan, apakah penggunaan bahasa Inggeris yang “neutral” dapat mengatasi prasangka dan sikap saling tidak percaya antara kaum?

Kekurangan budaya kerja metrokratik dalam sektor awam adalah salah satu sebab mengapa kualiti pendidikan kita semakin merosot.

Kalau tiada insentif untuk menghasilkan hasil penyelidikan bermutu tinggi dalam bahasa Melayu, bagaimana dapat bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa ilmu?

Dan kalau kualiti pengajaran di sekolah tidak dipertingkatkan, apakah pembelajaran matematik dan sains bertambahbaik semata-mata guru sekarang “bercakap orang putih”?   

Akhir sekali, mengapa bahasa Melayu itu dikatakan tidak dapat membuka minda seperti bahasa Inggeris?

Kita mesti tanya, mengapa “The Origin of Species”, karya agung Charles Darwin yang memberi asas kepada teori evolusi dalam kajian biologi, boleh didapati secara sah dalam bahasa Inggeris sedangkan penterjemahannya dalam bahasa Indonesia yang berjudul “Asal-Usul Species” itu tetap diharamkan sejak 2006?

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, “Asal-Usul Species” itu perlu diharamkan kerana ia “memberi gambaran mengenai asal-usul penciptaan makhluk yang bertentangan dengan ajaran Islam dan didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.” 

Kalau edisi bahasa Melayunya boleh rosakkan akidah orang Islam, kenapa edisi bahasa Inggerisnya tidak diharamkan sama sekali? Apakah orang Islam yang boleh baca bahasa Inggeris itu lebih kuat imannya? Bagaimana pula dengan hak orang bukan Islam yang tidak khuatir akidah mereka dirosakkan?

Nyata sekali, keperluan kepartaian untuk mengurung minda anak-anak Islam dalam acuan tertentu menjejaskan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sekatan ini sebenarnya sama logik dengan pengharaman orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah yang bertujuan menjadikan bahasa Melayu itu sesuai mendukung fahaman tertentu sahaja. 

Kalau kita tidak membela bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sesuai digunakan oleh umat semua agama, kalau kita tidak membela hak pembaca bahasa Melayu untuk memahami idea Charles Darwin, adilkah kita salahkan bahasa Melayu bahawa ia tidak membuka mata pembacanya?

Dasar Umno lemah-lesukan bahasa Melayu

Jelas sekali, fenomena yang dipersalahkan kepada bahasa Melayu sebenarnya datang daripada dasar Umno yang memilih bulu, yang tidak menggalakkan persaingan dan meritokrasi, dan yang cuba menyekat keupayaan berfikir penutur bahasa Melayu.

Pendekatan Umno memupuk bahasa Melayu sebelum kembali mengagungkan bahasa Inggeris pada penghujung kurun ke-20 sebenarnya mempunyai 2 masalah pokok.

Pertama, pembelajaran dan penguasaan bahasa itu dilihat sebagai “permainan jumlah sifar” (zero sum game). Dalam kata lain, kalau ingin diangkat bahasa Melayu, maka bahasa lain haruslah dipinggirkan. Sikap ekslusif ini sebenarnya merugikan penutur bahasa Melayu dengan menjadikan mereka katak di bawah tempurung.

Kedua, pengangkatan bahasa Melayu bermotivasi sempit untuk mengangkat darjat orang Melayu daripada mengangkat semua penutur bahasa Melayu.

Diskriminasi yang kekal untuk orang bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu menghakis insentif orang bukan Melayu untuk mendalamkan penguasaan dan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dan sebaliknya menabur perasaan negatif di antara mereka terhadap bahasa Melayu.

Dengan mengharamkan penggunaan kalimah Allah dan berpuluh perkataan oleh orang bukan Islam, perhitungan kepartaian yang sempit kini menyempitkan lagi bahasa Melayu sebagai bahasa untuk Muslim saja bila masuk ke ruangan agama.

Kalau DAP ingin menjadi parti “wakil-semua”, ia mesti menentukan pendekatannya terhadap bahasa Melayu – ketepikan saja bahasa Melayu kerana kapasiti dan potensinya dijejaskan oleh Umno?

Atau, pulihkan dan angkatkan bahasa Melayu dengan pembelaan yang produktif dan efektif?

Pak Samad antitesis Umno

Pak Samad sebenarnya adalah antithesis kepada Umno dalam pendekatan mengangkat bahasa Melayu.

Pertama, Pak Samad tidak menolak bahasa lain kerana ingin angkat bahasa Melayu. Beliau banyak membaca dalam bahasa Inggeris untuk memahami dunia ini daripada Barat, India sampai ke China, dan kemudian membawa masuk pengetahuannya dalam penulisan bahasa Melayunya.

Sebagai contoh, puisi beliau yang masyhur “Unggun Bersih” membawa masuk cerita Sam Adams bangkit memusnahkan daun teh di kapal British di perlabuhan Boston. 

Kedua, Pak Samad mengangkat bahasa Melayu dan pada masa yang sama menolak sama sekali etno-centrisme. Beliau angkat bahasa Melayu untuk semua rakyat Malaysia dan bukan untuk mengangkat saja orang Melayu.

Sikap keterbukaan dan keterangkuman Pak Samad sejak penyertaannya dalam pergerakan Bersih telah berjaya mengubah sikap ramai orang bukan Melayu terhadap bahasa Melayu.

Mereka secara sukarela menghayati puisi Pak Samad dan menghargai bahasa Melayu kerana penghormatan terhadap Pak Samad.

Pak Samad membawa peralihan paradigma dalam perjuangan mengangkat bahasa Melayu – bahasa Melayu diangkat untuk semua dan diangkat tanpa meminggir atau memperkecilkan bahasa lain.

Saya berharap DAP akan membentuk Kumpulan Kerja bagi membangunkan bahasa Melayu di bawah pimpinan Pak Samad.

Bermakna, kalau Pak Samad dapat mengumpulkan cerdik-pandai pencinta bahasa Melayu untuk membentuk polisi atau pelan tindakan memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi awam dan bahasa ilmu sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, ia menjadi jawapan terbaik terhadap fitnah DAP itu anti-bahasa Melayu. – 5 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments