Opinion

Duit rakyat RM42 bilion: Bagaimana pagar dapat makan padi?

Pagar makan padi, kerana 3 sebab - pagar tidak dapat ditukar ganti, pagar berkuasa besar untuk bermaharajalela dan padi yang kritik pagar itu sering dihukum.

Semasa kita menunggu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Putrajaya, sama ada bercuti untuk membolehkan penyiasatan yang lebih bebas atau selama-lamanya, adalah penting kita mengkaji mengapa beliau boleh menjadi PM pertama yang disiasat kerana dana awam masuk ke akaun peribadinya.

Sampai hari ini, beliau tidak pernah menafikan fakta kemasukan dana yang berjumlah AS$700 juta atau RM2.6 bilion itu. Beliau cuba menafikan penggunaan dana itu untuk dirinya sendiri.

Kalau bukan sendiri, untuk kegunaan siapa? Untuk kegunaan Umno membeli undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?

RM2.6 bilion yang didakwa masuk akaun Najib itu cuma sebahagian kecil bila banding dengan jumlah hutang 1MDB iaitu RM42 bilion.

Semua ini dana awam. Langsung tiada sebab untuk sebahagiannya masuk ke dalam akaun peribadi PM! 

Harapkan pagar, pagar makan padi. Mengapa?

Ramai rakyat yang sekarang ingin Najib berundur. Tetapi, kita mesti jelas apa yang kita hendak selepas Najib berundur.

Apakah ini semata-mata kerana kejahatan, ketamakan dan kekurangan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor?

Suatu “kekurangan” Najib yang dikecam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ialah beliau tidak cukup keras dan terlalu liberal.

Tiada perdana menteri yang lebih keras dan lebih autoritarian daripada Dr Mahathir sendiri tetapi beliau didakwa menyebabkan kerugian sebanyak RM100 bilion dalam pemerintahan 22 tahunnya.

Skandal agung terakhir zaman Dr Mahathir yang melibatkan jualan tanah Port Klang Free Zone (PKFZ) mencatatkan kerugian RM12 bilion.

Kalau PM baharu itu memuaskan citarasa Dr Mahathir, berapa billion Malaysia akan rugi bila tamat pemerintahannya?

Kita tidak boleh marah atau hampa saja kerana “harapkan pagar, pagar makan padi”. Sebaliknya kita mesti tanya: Kenapa pagar dapat makan padi?

Kenapa ada pagar orang lain yang tidak makan padi sedangkan pagar kita sentiasa makan padi? Apakah padi tak salah?

Pagar tidak dapat ditukar ganti

Kalau pagar akan ditukar ganti jika didapati makan padi, maka pagar akan lebih takut untuk makan padi. Sebaliknya, kalau pagar akan tetap jadi pagar sekalipun semua padi habis dimakannya, kenapa pagar tidak makan padi?

Sebab terutama kita rugi RM42 bilion (1MDB) dalam masa tidak sampai 10 tahun selepas kerugian RM12 bilion (PKFZ) sememangnya ialah pilihan raya yang tidak bebas, tidak adil dan tidak bersih.

Ini bukan saja kerana penipuan “kasar” berkenaan dengan “proses” seperti pengundi hantu, kawalan media dan pembelian undi, tetapi lebih-lebih lagi kerana penipuan “halus” yang berkaitan dengan “sistem”, iaitu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang langsung berat sebelah.

Dalam PRU13 Pakatan memenangi 51% undi tetapi masih kalah kerana cuma dapat 40% kerusi di Parlimen. Ini hasil kerja jahat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses persempadanan semula 2003-2005.

Kalau SPR dapat menentukan kemenangan Umno/BN seperti yang lepas, maka kita mesti bersedia untuk 1MDB yang baru sekalipun Najib digantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau orang lain.

SPR itu sebenarnya merupakan satu lagi “pagar”. Ia ditugaskan untuk menjalani pilihan raya tetapi badan inilah yang membinasakannya, tanpa segan silu.

Apabila pagar tidak dapat dituka rganti, mengapa pagar tidak makan padi?

Pagar bermaharajalela

Kalau pagar itu mempunyai penyemakan dan pengimbangan dalaman, maka kebarangkalian pagar makan padi itu juga dapat dikurangkan.

Malangnya, pagar bukan saja tidak dapat ditukar ganti, ia juga mempraktikkan pemusatan kuasa. Seluruh pagar itu tunduk kepada tiang yang paling tinggi maka tiang agung itu bermaharajalela.

Salah satu fungsi utama Parlimen ialah untuk mengawal dan melindungi wang rakyat dengan menyemak dan mengimbangkan kuasa eksekutif.

Setiap kementerian seharusnya diselia oleh jawatankuasa-jawatankuasa khas atau tetap. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seharusnya dipengerusikan ahli Parlimen daripada pembangkang. Slot khas seharusnya ditetapkan untuk PM menjawab soalan yang dituju khas untuknya.

Malangnya, semua ini tidak berlaku. Parlimen kita rubber stamp PM dan menteri-menterinya. Bagaimana kita mungkin hentikan rasuah dan penyelewengan yang setiap tahun dikemukakan dalam laporan audit negara?

Menteri kewangan seharusnya dipegang menteri kanan supaya dapat menyemak kuasa PM. Tetapi, bermula dengan Dr Mahathir pada penghujung 1990-an, PM merangkap jawatan menteri kewangan. Haruskah kita hairan dengan penyelewengan 1MDB di bawah menteri kewangan?

Seterusnya, peguam negara kita juga pegawai tertinggi dalam pendakwaan. Mungkin PM malah menteri didakwa jika mereka terlibat dengan rasuah?

Ini diikuti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Mungkin SPRM menyiasat PM dengan bebas?

Tambahan pula, kita tiada undang-undang kebebasan informasi (FOI) yang membolehkan rakyat memperoleh maklumat tentang operasi kerajaan.

Malah, menteri dan pegawai kanan kerajaan tidak perlu mengisytiharkan kekayaan dan pendapatan mereka. Maka, timbullah cerita dongeng seperti harta warisan daripada ayah ataupun cincin hasil daripada tabungan sejak kecil.

Tanpa penyemakan dan pengimbangan, mengapa pagar tidak harus makan padi?

Padi dihukum bila kritik pagar

Sebab ketiga pagar dapat makan padi dengan dahsyatnya ialah padi yang berani mengkritik pagar itu selalu dihukum.

Sekarang kita lihat, daripada menyiasat dan memaklumkan kepada rakyat apa yang berlaku dengan kemasukan RM 2.6 juta ke akaun peribadi Najib, pihak berkuasa lebih minat untuk mencari siapa yang membocorkan maklumat ini.

Ketakutan rakyat untuk mengkritik dan membantah adalah sebab mengapa pemimpin kerajaan berani melakukan pelbagai penyelewengan dan tanpa segan silu berkuliah dalam persidangan antarabangsa tentang pembanterasan rasuah!

Pengkritik kerajaan dianiayai tidak semestinya atas kesalahan “anti kerajaan” tetapi sering atas nama kaum, agama dan negara.

Undang-undang zalim seperti Akta Hasutan yang diperkuatkan kuasanya awal tahun ini, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma),  Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) menjadi alat untuk membisukan rakyat, tak kira dia pensyarah, kartunis atau budak sekolah.

Satu sebab penganiayaan politik boleh berlaku dengan mudah ialah pihak polis yang amat bersifat “kepartian” dan menjadi alat politik pemerintah.

Itu sebabnya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak ditubuhkan sungguhpun dicadangkan Suruhanjaya Diraja 10 tahun yang lepas.

Apabila padi dianiaya kerana mengkritik pagar sampailah kebanyakan padi itu diam dalam ketakutan, mengapa pagar tidak makan padi?

Tanpa demokrasi, duit rakyat akan terus dirompak!

Semasa mengucapkan “Selamat Jalan” kepada Najib, kita mesti ingat duit rakyat dirompak sebenarnya adalah kerana demokrasi kita sudah dicacatkan.

Kerana tiada demokrasi, kita hilang RM100 bilion di bawah Dr Mahathir dan sekurang-kurangnya RM42 bilion di bawah Najib.

Kalau kita tidak tuntut demokrasi, berapa bilion akan kita hilang di bawah PM baharu? Berapa peratus GST akan kita perlu bayar untuk tutup kerugian di bawah PM baru? – 12 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments