Opinion

‘Dunia ini Adil’ – Sahihkan ketidakadilan, salahkan mangsa

Mengapa dalam hidup, kita sering salahkan mangsa - daripada kes rogol, pengamokan, seksaan dalam tahanan sampailah kepada kemiskinan? Kerana ia boleh gugurkan tanggungjawab kita untuk mengatasi ketidakadilan.

Dalam bidang psikologi sosial, terdapat suatu konsep yang dinamakan "teori dunia adil" (Just world theory).

Ramai orang percayakan dunia ini rata-ratanya adil, maka kalau seseorang itu ditimpa kemalangan atau penganiayaan, dia harus memikul tanggungjawab ke atas kemalangan atau penganiayaan itu.

Salahkan mangsa rogol

Sebagai contoh, kalau seseorang perempuan itu dirogol, maka kita bertanya: terdapat berjuta-juta perempuan di negara ini, kenapa kebanyakan mereka tidak dirogol?

Satu penjelasan yang lazim didengar ialah si mangsa itu berpakaian yang "menggoda" maka lelaki tidak dapat kawalkan diri.

Ini membawa kepada cara penyelesaian yang mudah: mengawal pakaian wanita daripada mengawal tingkah laku lelaki. Tetapi, "teori dunia adil" dalam fenomena rogol ini cacat dalam dua aspek.

Pertama, secara empiriknya, ia mengabaikan banyak kes rogol yang melibatkan bayi perempuan, perempuan tua atau perempuan yang berpakaian konservatif.

Dalam kata yang lebih teknikal, kesimpulan ini salah kerana ia dicapai berdasarkan sampel terpilih dan tidak rawak. Daripada mengkaji si pelaku jenayaah itu, kita mengkaji si mangsanya.

Kedua, secara normatifnya, ia menghalalkan perbuatan merogol itu. Sekalipun jika perempuan itu berpakaian yang lebih mendedah, ini tidak bermakna lelaki boleh mendapat lesen untuk merogol perempuan itu.

Secara analoginya, sekiranya memakai rantai leher emas dan berjalan di pusat bandar, maka apakah ini hak pencuri untuk mencuri atau merampas rantai emas itu?

Teori Dunia Adil itu dalam erti itu sebenarnya mengsahihkan (legitimises) nafsu si perogol dengan menyalahkan si mangsa. 

Salahkan mangsa pengamokan

Satu lagi kes yang mirip cirinya dengan kes rogol ialah pengamokan. Kalau seseorang atau sesekumpulan itu mengamok kerana mereka rasa tersinggung dengan pandangan sesuatu pihak lain, maka kita salahkan pihak yang "menyinggung" dan bukan pihak yang mengamok.

Dalam kata lain, mengamok itu seolah-olah menjadi sesuatu hak dan pelakunya tidak bersalah.

Pengamokan itu dilihat seolah-olah sebagai suatu tindakan "mempertahankan diri" sungguhpun ia sebenarnya ialah "kegagalan mengawal kemarahan" dan "cabaran kepada kedaulatan undang-undang".

Ini sebenarnya adalah rasional di belakang Akta Hasutan. Kita sering diberitahu negara akan kelam-kabut kalau tiada Akta Hasutan kerana ada pihak yang akan menyalahgunakan kebebasan bersuara sampai pihak lain yang tersinggung mungkin melakukan keganasan dalam kemarahan.

Daripada mengambil tindakan terhadap keganasan yang berlaku (boleh didakwa dengan beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan, Polis secara efektifnya menghalalkan pengganasan dan memberikan "impuniti" (perlindungan) kepada pihak yang mengganas. 

Pada masa yang sama, dengan menggunakan Akta Hasutan, polis juga "memansuhkan" kebebasan bersuara mengikut Perkara 10(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan dan "menghukum" rakyat yang percaya kepada Perlembagaan Persekutuan.

Salahkan mangsa seksaan dalam tahanan

Antara pelbagai ketidakadilan yang dibawa "Teori Dunia Adil", salah satunya ialah berleluasanya seksaan dalam tahanan yang berlaku di lokap polis, penjara dan kem tahanan.

Satu kes yang amat diketahui masyarakat ialah kematian mendiang saudara Teoh Beng Hock http://teohbenghock.org/ selepas "soal-selidik" selama 11 jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat negeri Selangornya.

Kes ini dibuka semula setelah Mahkamah Rayuan menolak "keputusan terbuka" oleh Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Tragedi Beng Hock ini mendapati simpati ramai rakyat dan merentasi sempadan kaum dan agama, bukan saja kerana pembunuhan beliau ini mempunyai unsur politik yang jelas, tetapi kerana beliau menepati jangkaan kita seorang warga yang baik: beliau berpendidikan tinggi, mempunyai pekerjaan yang baik, menyayangi keluarganya dan bakal berkahwin dengan tunangnya.

Ini menyebabkan kita rasa amat susah untuk percaya "dunia ini adil" dalam kes Beng Hock.

Tetapi, kira-kira 7 tahun sebelum keguguran Beng Hock pada 2009, secara puratanya, kira-kira 3  akan gugur dalam tahanan setiap 4 hari, menurut jawapan yang diberikan kepada Parlimen.

Mengapa kita tidak dengar kemarahan sepertimana dalam kes Beng Hock. Ini kerana kebanyakan mereka yang gugur itu mungkin penjenayah kecil atau pendatang asing tanpa izin.

Apakah kalau seseorang itu pernah melakukan jenayah, maka mereka boleh diseksa sampai mati dalam tahanan? Mengikut "Teori Dunia Adil", jawapan malangnya adalah "ya".

Salahkan mangsa kemiskinan

"Teori Dunia Adil" ini tidak diguna pakai berkenaan dengan jenayah seperti rogol, amok dan penyeksaan, maka juga dalam konteks sosio-ekonomi. Sering, golongan miskin disalahkan untuk kemiskinan mereka. Mereka dituduh sebagai malas, lemah atau tidak berusaha secara bersungguh-sungguh.

Dalam kata lain, kita menganggap dunia ekonomi ini adil, maka si pemenang itu adalah mereka yang rajin, kuat dan berusaha, sebaliknya si gagal harus memikul tanggungjawab atas kegagalan mereka.

Pandangan sedemikian sering tidak mengambil kira tentang dugaan dan rintangan dalam hidup yang di luar kawalan individu seperti penyakit dan kemalangan, yang mungkin mengurangkan keupayaan mencari rezeki atau menghabiskan simpanan individu malah keluarganya.

Pandangan ini juga tidak mengambil kira kekurangan yang berunsurkan struktur. Kalau seseorang pelajar dari keluarga miskin dan komuniti terpencil itu cuma mengenali komputer untuk kali pertamanya apabila beliau masuk universiti, apakah kebarangkalian beliau dapat bersaing dengan sepenuhnya dengan rakan sebaya yang bermain dengan ipad pada umur 4-5 tahun?

Sememangnya ada juga kekecualian di mana sesetengah insan tetap berjaya mengatasi dugaan dan rintangan dalam hidup atau sekatan yang berunsur struktur.

Tetapi, apakah adil untuk kita mengharapkan semua orang miskin itu tabah dan pintar seperti golongan minoriti yang berjaya? Padahal, ramai di antara yang golongan yang lebih "berjaya" juga mungkin kerana mereka bernasib baik ataupun dilahirkan dalam keluarga dan komuniti yang lebih kaya.

Salahkan mangsa supaya diri tidak serba-salah

Sebenarnya, tidak susah untuk memahami mengapa ramai orang - sering termasuk kita sendiri – menggun apakai "teori dunia adil" ini ke atas kesengsaraan orang lain dan menyalahkan si mangsa.

Kalau kita akui dunia ini tidak adil ataupun mempunyai elemen ketidakadilan, maka kita akan terasa tanggungjawab untuk mengubah status quo.

Dan apabila kita tahu keselamatan, kejayaan atau nasib baik relatif kita itu tidak boleh disimpulkan sebagai semata-mata akibat keputusan kita sendiri, kita terpaksa rendah diri dan membantu insan lain yang mungkin tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesengsaraan atau kegagalan mereka.

Dalam kata lain, apabila kita memberitahu diri kita dunia ini adil, sungguhpun kita nampak ketidakadilan itu dengan mata sendiri, kita sebenarnya cuba lari daripada tanggungjawab kita kepada nasib kita dan insan yang lain.

Bak kata Edmud Burke, seorang ahli politik Britain dalam kurun ke-18, "untuk kejahatan berjaya, yang diperlukan adalah sekadar bagi orang baik untuk tidak melakukan apa-apa". – 13 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments