Mengapa orang Melayu boleh terancam apabila mereka dibenarkan berfikir dan membuat keputusan sendiri? Jika liberalisme itu hantu, siapa yang untung sebagai bomoh?
Menurut Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, jika liberalisme tidak ditangani segera, umat Islam dan Melayu yang merupakan majoriti Malaysia akan dirempuh arus fahaman tersebut
Beliau menyifatkan liberalisme sebagai musuh terbaru Umno yang menggantikan PAS.
Tetapi mengapa pula, Umno dulu memusuhkan PAS? Apa salah PAS dahulu?
Beliau berkata, “Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam."
Kesalahan pertama: Anda bersaing dengan Umno
Apakah salahnya liberalisme sekarang?
Kata beliau, "Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam."
Nampaknya, siapa yang cuba berlumba dengan Umno, menjadi musuh kepada Umno! Dan kerana Umno itu kononnya memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, maka apa yang menjadi musuh kepada Umno turut mengancam orang Melayu dan umat Islam.
Persoalannya, apa yang tidak akan mengancam orang Melayu dan umat Islam kalau dapat bersaing dengan Umno?
Pernahkah mana-mana parti atau arus fikiran yang bersaing dengan Umno itu tidak pernah disifatkan sebagai ancaman kepada orang Melayu dan umat Islam?
Lihatlah PAS. Apabila PAS dahulu bersendirian, ia parti ekstrimis yang menolak orang bukan Muslim. Apabila bergabung dengan parti lain, maka ini parti yang diperkudakan orang Cina dan umat Kristian.
Kalau berideologi lain daripada Umno, sama ada Islamisme, sosialisme atau liberalisme, semua itu salah kerana mereka bersaing dengan Umno dan memecahkan Melayu dengan ideologi yang berlainan.
Tetapi, sekalipun ideologinya sama dengan Umno, misalnya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Kuli atau Parti Negara pimpinan Dato’ Onn, mereka tetap bersalah kerana mereka bersaing dengan Umno dan memecahkan Melayu dengan ideologi yang sama.
Dalam kata lain, salahnya bukan ideologi apa, salahnya apakah anda bersama dengan Umno. Kalau anda sama dengan Umno, maka segala-galanya dihalalkan.
Kesalahan Kedua: Anda tidak berkuasa dalam Umno
Lihat Pak Kassim Ahmad. Beliau didakwa dan diaibkan jentera Umno kerana pandangan keagamaanya.
Tetapi pengkritik Pak Kassim Ahmad semua membisu tentang Dr Mahathir yang merasmikan Seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian Semula” di Yayasan Perdana yang diketuainya?
Kalau Pak Kassim Ahmad itu ancaman kepada umat Islam, apakah Dr Mahathir yang menyokongnya tidak?
Sebenarnya, Dr Mahathir sendiri juga pernah menjadi musuh di mata pimpinan Umno. Kali pertama, beliau langsung dihalau keluar dari parti kerana mengkiritik Tunku.
Kali kedua, beliau yang pada teorinya sudah bersara mengadu beliau disekat dalam partinya dan akhirnya sendiri keluar parti untuk menjatuhkan penggantinya, Pak Lah.
Nyata sekali, kriteria kedua yang perlu untuk menjadi musuh Umno – dan seterusnya, secara automatik musuh kepada orang Melayu dan umat Islam itu – ialah anda sudah kehilangan kuasa.
Kalau anda masih berkuasa, by default, anda tidak mungkin menjadi musuh kepada Umno dan seterusnya ancaman kepada orang Melayu dan umat Islam.
Lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diaibkan dan “dijelmakan” sebagai seorang peliwat oleh Dr Mahathir dengan begitu bersungguh-sungguh.
Apa akan terjadi kalau Anwar tidak cuba mencabar Dr Mahathir dan menggugat empayar perniagaan anak-anak dan kuncu-kuncu Dr Mahathir pada tahun 1998, atau kalau Anwar sanggup pergi secara senyap?
Jika Anwar tidak hilang kuasa atau tidak lawan kuasa, apakah kita masih dapat menonton drama mahkamah Liwat 1.0 dan Liwat 2.0, ataupun, Anwar Ibrahim akan dapat pangkat Tan Sri atau Tun beberapa tahun kemudiannya?
Ambil lagi contoh Dr Mahathir. Jika pembangkang atau orang Melayu mengkritik NEP ia melesukan daya persaingan orang Melayu, maka itu mencabar maruah orang Melayu dan Perkasa mungkin datang memprotes hari keesokan harinya.
Tetapi, jika Dr Mahathir yang menyifatkan orang Melayu itu sebagai malas (dan tidak melihat berapa ramai anak Melayu dari keluarga jelata yang dinafikan peluang untuk diperkasakan), itu bukan penghinaan, tetapi nasihat. http://www.theinsiderarchived.com/bahasa/article/dr-mahathir-malu-dengan-kaum-cina-sebab-melayu-malas
Ancaman sebenar liberalisme: Kepercayaan kepada akal manusia
Kerana semakin pentingnya liberalisme dalam menakutkan orang Melayu terus bersatu di bawah naungan kerabat-kerabat bangsawan Umno, kini dengan pengiktirafan tarafnya sebagai musuh terunggul Umno, maka ada baiknya kita memahami apa maksudnya liberalisme.
Janganlah kita ikut bomoh jerit “hantu” tetapi tidak tahu pula itu hantu itu toyol atau pontianak.
Liberal sememangnya percaya kepada kebebasan individu, kesukarelaan dan ketiadaan paksaan. Dalam erti ini, kebebasan itu kaedah, bukan matlamat.
Perkara yang baik itu boleh dilakukan dengan bebas atau terpaksa. Sebagai contoh, melawat ke rumah anak yatim dan menghulurkan bantuan itu perkara amal.
Ini boleh berlaku secara paksaan – pemerintah boleh mendenda mereka yang tidak melawat ke rumah anak yatim dan menderma sekali seminggu.
Ini juga boleh berlaku secara sukarela – tidak ada perintah daripada pemerintah, tetapi kita masih pergi melawat anak-anak yatim dan memberikan kasih-sayang, dan kita mungkin melakukannya beberapa kali seminggu.
Cara kedua itu adalah cara liberal. Apakah kekurangannya cara ini?
Kritikan kepada liberalisme itu sebenarnya berasaskan satu set andaian besar: manusia tidak akan berbuat baik kecuali dipaksa, dan manusia akan berbuat jahat kalau dicegah dengan paksaan.
Dalam kata lain, manusia tidak berupaya berfikir untuk memilih yang baik dari yang buruk.
Kalau liberalisme itu berdosa, maka dosa paling besarnya ialah kepercayaan kepada manusia berupaya berfikir dan akal kita akan membawa kepada kebaikan.
Tiada liberal yang akan memperjuangkan demokrasi untuk haiwan, kerana mereka tidak mempunyai akal sepintar manusia.
Persoalan terusnya daripada pengkritik liberalisme: tidakkah kita melihat pelbagai gejala negatif di negara-negara yang liberal, misalnya hubungan seks yang tidak terkawal, kehamilan remaja dan perpecahan keluarga?
Jawapannya mudah. Liberalisme bermakna kita boleh memilih matlamat untuk sendiri. Ini bermaksud kita bebas melaksanakan moraliti dan membina keluraga mengikut nilai-nilai budaya dan agama kita.
Tiada yang menghalang selagi kita tidak paksa nilai-nilai ini kepada orang lain termasuk anak-anak kita.
Kita boleh menunjukkan keunggulan agama dan budaya, dan kebahagian yang dibawa institusi perkahwinan dan keluarga dan menjadi teladan kepada mereka yang kita kira sesat.
Masyarakat yang liberal itu tidak memihak kepada mereka yang memilih cara hidup yang alternatif. Pengamal agama dan nilai-nilai tradisional mempunyai hak yang sama untuk menyebar dan mengembangkan cara hidup mereka kepada yang lain.
Mereka tidak perlu berkompromikan kebebasan mereka. Sebaliknya mereka boleh menggunakan kebebasan untuk amar ma'ruf nahi munkar.
Dalam lain kata, liberalisme berpegang kepada persaingan idea-idea.
Mereka yang bencikan dan takutkan liberalisme itu sebenarnya bukan takutkan keburukan yang dibawa oleh liberalisme, tetapi takutkan persaingan. Mereka kurang keyakinan dengan pegangan sendiri dan mudah rasa terancam. Mereka lemah and lesu.
Mereka tidak dapat bersaing dengan hati, otak dan mulut maka mereka taksub dengan tumbuk dan senjata. Daripada pertembungan minda, mereka lebih sukakan membisukan pihak yang berlainan pendapat.
Daripada memperkasakan kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan sendiri, mereka menjerit hantu dan cuba menakutkan orang lain.
Mereka yang anti-liberalisme adalah pengecut. Mereka yang takutkan kebebasan berfikir dan bersuara itu sebenarnya tidak Melayu.
Mereka sudah lupa nenek-moyang orang Melayu yang begitu gagah menghadapi persaingan dan begitu yakin dengan kepercayaan mereka.
Mereka sudah hilang kebijaksanaan dan keberanian nenek-moyang dalam pepatah Melayu yang liberal ini: “berani kerana benar, takut kerana salah”. – 27 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments