Opinion

‘Harapan Baru’: Hijrah daripada nasionalisme Muslim ke Islamisme inklusif? (II) Ekonomi

Nasib parti baru Gerakan Harapan Baru (GTB) mesti mencari dalam ajaran Islam asas untuk polisi pengganti DEB yang bukan saja tidak menganaktirikan orang bukan Melayu, tetapi paling penting, dapat benar-benar mengangkat orang Melayu.

Perbezaan (II): Pembelaan orang Melayu

Baru-baru ini graduan undang-undang universiti tempatan yang bernama Zahra bercakap di pentas Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) tentang kesempitan wang dan ketidaktentuan masa depan sekalipun mendapat pendidikan tinggi. Bercakap untuk "jutaan anak Melayu" yang masa depan mereka "amatlah kelam dan kelabu", Zahra menyeru kepada elit politik dan yang lain supaya "membela nasib orang Melayu dan Bumiputera seperti pendatang di tanah air sendiri".

Jelas dalam kaca beliau, kesempitan wang itu masalah yang agak khusus kepada orang Melayu dan Bumiputera berbanding dengan orang bukan Melayu/Bumiputera yang - secara tersiratnya - hidup senang di tanah air orang asing. Zahra gagal melihat gaji yang hampir beku dalam masa suatu generasi sedangkan harga melampung naik itu menyusahkan anak muda tak kira kaum dan agama. Ini bukan kerana diskriminasi sengaja.

Jika ekonomi dapat kurangkan ketagihan buruh murah, maka gaji untuk buruh tidak berkemahiran akan naik, dan gaji profesional muda secara semula jadi juga akan dinaikkan. Namun, pentingnya dikupas kekecewaan anak muda Melayu seperti Zahra yang rasa mereka terpinggir sebagai orang Melayu (dan bukan kerana mereka bukan golongan elit).

Seperti ditanya Zahra, kalau yang berpendidikan tinggi pun rasa begitu, bagaimana pula mereka yang tidak pergi ke menara gading dan tidak datang daripada keluarga berada?

Dalam rusuhan di Plaza Low Yat pada 13 Julai, apa yang menyebabkan anak muda Melayu mengamuk dan menyerang pemandu yang berlalu semata-mata kerana dia orang Cina dalam bulan Ramadan yang suci?

Bukankah ia propaganda orang Melayu yang miskin ditipu oleh orang Cina yang kaya sedangkan isu asalnya kes pencurian? Dalam perkembangan terbaru yang agak serupa, pada Hari Raya kedua, seorang pekedai cermin mata di Time Square (jaraknya 3 minit daripada Plaza Low Yat) dibelasah sampai masuk hospital oleh sekumpulan anak muda yang disyaki mencuri.

Sememangnya, keganasan dan perbuatan mengamuk mesti dikecam dan ditegah, bukan dibela malah diberi semangat oleh pihak seperti Isma.

Akan tetapi, masyarakat Malaysia juga mesti menghadapi dan menyelesaikan kekecewaan anak muda Melayu kalau tidak ingin ia dipergunakan oleh "usahawan politik" (political entrepreneur) yang sibuk mencari modal.  

Apakah peluang anak Melayu naik tangga masyarakat?

Kekurangan "peluang untuk menaiki tangga masyarakat" (social upward mobility) adalah salah sebab utama kekacauan sosiopolitik dari Dunia Arab, Perancis (keturunan pendatang Muslim), Amerika Syarikat (komuniti Afrika), ke Taiwan.

Kalau generasi ibu bapa miskin, tetapi anak ada peluang jadi kaya jika berusaha, maka kemiskinan generasi ibu bapa itu lebih mudah ditahan kerana ia akan berakhir sehari nanti.

Sebaliknya, kalau anak tetap miskin seperti ibu bapa, sudah pasti kekecewaan dan kemarahan akan bertimbun di hati dan menunggu masanya untuk dinyalakan.

Dari pentas MTEM ke Plaza Low Yat, persoalan ini besar tetapi mudah: Apakah peluangnya untuk anak muda Melayu daripada keluarga yang susah untuk hidup senang dengan berusaha? Apakah peluang itu sama besar untuk anak muda Cina daripada keluarga yang susah?

Kalau jawapannya tidak selepas 45 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, mengapa tidak? Apakah penyelesaiannya?

Di sini kita perlukan perdebatan antara nasionalisme Melayu, nasionalisme Muslim dan Islamisme inklusif.

Nasionalisme Melayu - DEB selama-lamanya?

Jawapan daripada nasionalisme Melayu itu senang saja. DEB mesti dipanjangkan dan diperluaskan sampailah orang Melayu sendiri yang rasa cukup dan nak berhentikannya.

Logiknya senang sekali - Malaysia bumi orang Melayu, orang bukan Melayu dibawa masuk oleh penjajah Inggeris bukan diundang oleh orang Melayu; maka selagi orang Melayu belum berjaya, maka negara mesti menyekat kemajuan orang bukan Melayu untuk angkat orang Melayu. Dalam kata ringkas, "hak istimewa" orang Melayu itu berasaskan pada premis Melayu itu tuan rumah, orang bukan Melayu tetamu tidak diundang dan tetamu tidak patut lebih berjaya daripada tuan rumah.

Pandangan ini mengabaikan dua fakta penting: pertama, Sabah dan Sarawak bukan bumi Melayu; kedua, sekurang-kurangnya di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, orang Cina dibawa masuk oleh raja dan pembesar Melayu untuk membangun ekonomi berdekad sebelum penjajahan British.

Di Johor, peneroka Cina dibawa masuk untuk menanam gambir dan lada hitam oleh Temenggung Ibrahim dan Sultan Abu Bakar dengan sistem "kangchu" (tuan sungai). Ironinya, sistem ini yang bermula 1844 dibatalkan oleh penjajah British pada 1917, dua tahun selepas mereka menguasai Johor. 

Paling penting, nasionalisme Melayu tidak menjawab dua soalan.

Pertama, mengapa anak muda Cina tetap mempunyai "peluang menaiki tangga masyarakat" yang lebih baik daripada anak muda Melayu sungguhpun orang Cina menghadapi sekatan kuota atau diskriminasi dalam pendidikan, peluang pekerjaan sektor awam, lesen dan permit, kontrak kerajaan malah pembelian rumah?

Kedua, jika DEB dilanjutkan 45 tahun lagi, apakah jaminan anak muda marhaen Melayu akan dapat "peluang menaiki tangga masyarakat" dan bukan lihat anak menteri saja yang masuk sekolah swasta, dapat biasiswa ke luar negeri dan kembali kerja di GLC? Dalam kata lain, apakah jaminan DEB itu ubat yang betul dan lebih dimakan, lebih cepat sembuh? Kalau tidak, masih DEB selama-lamanya? Nasionalisme Muslim: "hak istimewa" orang Islam?

Nasionalisme Muslim sebenarnya tiada tokok tambah pada hujah utama nasionalisme Melayu kerana Islam itu bersifat sejagat dan anti asabiyah. Nabi Muhammad bersabda dengan jelas: "Wahai segenap manusia, sesungguhnya Robbmu satu dan bapamu satu. Tidak ada kelebihan bagi seorang Arab atas orang Ajam (bukan Arab) dan bagi seorang yang bukan Arab atas orang Arab dan yang (berkulit) merah atas yang hitam dan yang hitam atas yang merah, kecuali dengan ketakwaannya. Apakah aku sudah menyampaikan hal ini?"

Maka diskriminasi atas dasar kaum tidak dapat dijustifikasikan dengan Islam. Malah, kalau kita terima hakikat bahawa manusia cuma penghuni sementara di bumi ini, apa maksud tuan dan tetamu?

Apa yang ditambah secara langsung atau tidak langsung oleh hujah nasionalisme Muslim ialah kerana orang Melayu itu beragama Islam, maka mereka melebihi orang bukan Melayu dalam ketakwaan, maka absahlah kalau orang Melayu mempunyai hak atau layanan istimewa. Tiga bulan yang lepas, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad menggesa semua orang Islam dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka sudah membayar zakat.

Contoh lain termasuk seorang pemimpin Umno Pulau Pinang yang mendakwa pada November lepas "kekuatan ekonomi orang Cina kadang-kala dijana melalui perniagaan-perniagaan haram, melalui perjudian, melalui pelacuran, melalui maksiat…".

Seorang pendakwa bebas pula bertanya di 2009 "siapa tuan? siapa hamba?" kerana orang Cina minum di kedai sedangkan askar Melayu jaga di laut dan di tengah laut.

Islamisme Inklusif - Negara berkebajikan? Apakah pendekatan yang benar-benar berprinsipkan Islam untuk membela orang Melayu?

Kalau asabiyah, maka orang bukan Islam akan anggap Islam agama yang bukan sejagat tetapi yang memihak kepada penganutnya sahaja.

Lebih penting daripada jaga imej Islam di kaca mata dunia ialah keberkesanan dalam memperbaiki "peluang naik tangga masyarakat" anak Melayu.

Kalau pendekatan itu bersifat Islam tetapi tidak berkesan, nasionalisme Melayu atau nasionalisme Muslim akan tetap menarik daripada Islam sebenar yang menolak fahaman asabiyah.

Di sini, para pendukung Islamisme inklusif mungkin harus mencari pedoman daripada ajaran Islam: apakah cara penyelesaian Islam untuk menyediakan jaringan keselamatan untuk golongan terpinggir supaya mereka boleh berdikari dan hidup bermaruah, dan mempertingkatkan daya saing individu supaya dapat dikurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi?

Secara umumnya, terdapat dua pendekatan untuk mengatasi ketidaksamarataan sosioekonomi: (a) tindakan afirmatif yang memberi bantuan mengikut keahlian kelompok; (b) negara kebajikan yang memberi bantuan mengikut keperluan semasa.

Perbezaannya, tindakan afirmatif akan mengutamakan "orang maju/kaya dalam kelompok mundur/miskin" daripada "orang mundur/miskin dalam kelompok maju/kaya" manakala negara kebajikan mengutamakan semua yang mundur/miskin sungguhpun mereka mempunyai saudara yang maju/kaya.

Pendekatan mana yang lebih bersifat Islam?

Pendekatan tindakan afirmatif berasaskan premis keupayaan manusia lebih ditentukan kondisi kelompoknya daripada usaha individu, terutamanya jika semangat setiakawan berasaskan kelompok itu tinggi.

Maka, untuk mengangkat kelompok yang mundur/miskin, kita mungkin memberikan bantuan kepada yang maju/kaya dengan harapan kemajuan/kekayaan mereka akan melimpah dan memanfaatkan ahli kelompok yang kurang maju/kaya.

Ini adalah logik di sebalik DEB. Tetapi apakah premis operasinya realistik? Bagaimana kita menjelaskan berleluasanya fenomena "Ali-Baba" yang gagal melahirkan kedua-dua kontraktor utama dan kontraktor kecil Melayu yang berdaya saing?

Kerana orang Melayu ramai yang miskin, maka mereka rugi kalau pekerja asing murah dimasukkan tidak berhenti-henti dan menghalang kenaikan gaji. Akan tetapi, bukankah ini yang berlaku di bawah kerajaan pro Melayu dalam dua tiga dekad yang lepas?

Sudah tiba masanya kita memikirkan alternatif kepada DEB dan tindakan afirmatif. Mungkinkah negara kebajikan/berkebajikan - yang dijadikan slogan PAS pada 2008 - itu model yang seharusnya kita dalami?

Apa pendekatan Nabi kalau Baginda di Malaysia?

Harus ditegaskan kedua-dua hujah-hujah nasionalisme Melayu dan nasionalisme Muslim itu datang daripada kem Umno dan PAS secara keseluruhannya elak mengambil pendirian yang bersifat asabiyah.

Tetapi, PAS juga tidak berani mencabar hegemoni ideologi Umno berkenaan dengan DEB. Malangnya, apabila kegagalan DEB membarakan kegelisahan orang Melayu tentang survival mereka, PAS yang beranjak ke jalan tengah difitnah sebagai boneka Cina/DAP dan sebagainya.

Lebih teruk daripada PAS dalam 2008-2013, wadah baru GHB itu dilahirkan dengan label "barua Cina/DAP".

Satu-satu caranya mereka dapat membuang label itu untuk maju jaya ialah mencari jalan keluar untuk mengatasi kegelisahan anak muda Melayu yang terdengar di pentas MTEM dan ternampak di Plaza Low Yat.

Bukan sebarang jalan keluar, tetapi jalan keluar yang berprinsipkan Islam.

GTH harus tanya, kalau Nabi Muhammad hidup di Malaysia hari ini, kiranya apakah pendekatan baginda untuk mengangkat orang Melayu? DEB? – 20 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

* Bahagian (I) baca di sini.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments