Opinion

Hasil tak serupa hasrat

Sering kita hampa kerana apa yang berlaku di dunia ini tidak mengikut hasrat kita. Bukan saja dugaan, ia sebenarnya mengingatkan kita tentang kewujudan “hasil yang tidak dihasratkan” (unintended consequences) dan manusia itu bukan Tuhan.

Dahulu kala, banyak masyarakat menekankan “hasrat” atau “niat” (intention) kerana atas jangkaan salah ia ada hubungan automatik dengan “hasil” atau “kesudahan” (outcome/consequence).

Keputusan sering dibuat dengan menilai hasrat dan bukan mengukur hasil. Akibat itu, kehidupan awam sering menjadi pertandingan antara elit siapa yang mempunyai “hasrat” atau “niat” yang lebih murni.

Peralihan tumpuan daripada “hasrat” kepada “hasil” itu sebenarnya sesuatu penganjakan paradigma yang cukup besar dan salah satu asas peradaban modern. Penganjakan ini memaksa kita menerima kerumitan dunia ini, sekurang-kurangnya dalam dua perkara.

Hasrat mulia boleh bawa malapetaka

Pertama, hasrat yang mulia bukan sahaja tidak semestinya membawa hasil yang baik, malah mungkin membawa malapetaka.

Bak kata pepatah Barat, “jalan ke neraka itu diratakan dengan hasrat-hasrat yang baik”.

Satu contoh moden yang paling baik ialah kempen “menghapuskan empat jenis haiwan perosak – nyamuk, lalat, tikus dan pipit – yang dilancarkan oleh Mao Zedong di Negara China pada 1958.

Terpilihnya nyamuk, lalat dan tikus itu jelas tetapi mengapa pipit? Ini kerana petani China pada masa itu dimobilisasikan oleh pemerintah untuk bertani secara kolektif dan sengsara kerana kekurangan makanan, dan mereka terasa terancam dengan burung pipit yang suka makan bijirin.

Dianggarkan  seekor burung pipit boleh memakan bijirin sebanyak 4.5 kg setahun. Maka, jika sejuta ekor burung pipit dapat dihapuskan, maka 60,000 orang dapat disara.

Dengan hasrat menyara lebih banyak rakyatnya, Pengerusi Mao pun pun melancarkan kempen anti-pipitnya. 

Sarang digugurkan, telur dipecahkan, anak-anak burung dibunuh, dan pipit yang terbang di langit sama ada ditembak ataupun dipaksa berterbangan tidak terhenti-henti sehingga gugur ke bumi dan mati.

Video kempen anti-pipit Mao Zedong

Kempen anti-pipit ini begitu berjaya sehingga pipit hampir pupus di benua China. Apa yang Mao dan pemerintah Parti Komunis China tidak ketahui ialah pipit juga makan serangga selain bijirin. Dengan terhapusnya pipit, maka belalangpun membiak tanpa terkawal.

Akhirnya, pipit terpaksa diimpot dari Soviet Union tetapi terlewat.

Bersama-sama dengan penebangan hutan dan penyalahgunaan racun pertanian secara meluas, belalang yang bermaharajalela ini  mengakibatkan Kebuluran Besar China (1958-1961) yang menyebabkan kematian seramai 30 juta rakyat.

Hasrat yang ingin memanfaatkan manusia dengan membunuh burung akhirnya membunuh manusia sendiri.

Hasrat kurang mulia boleh bawa rahmat

Kedua, yang sebaliknya, hasrat yang kurang mulia juga boleh membawa rahmat. Pengertian ini cukup penting untuk mensahihkan “kepentingan diri” (self-interest) sebagai penggerak ekonomi pasaran bebas.

Adam Smith, pemikir agung yang dikatakan pengasas kapitalisme, mencerahkan pemahaman ini dengan contoh pembuat dan pembeli roti.

Pembuat roti menjual roti bukan kerana belas kasihan kepada kelaparan pelanggannya, sebaliknya beliau risau tentang kelaparan sendiri dan keluarganya. Tetapi, untuk menyara diri dan keluarganya, maka beliau mesti menghasilkan roti yang dapat memuaskan keperluan pelanggannya.

Pada masa yang sama, pelanggan roti juga tidak membeli roti untuk memberikan rezeki kepada pembuat roti, sebaliknya kelakuan didorong untuk memuaskan keperluaan dan keluarganya. Beliau hanya akan melanggani pembuat roti jika pembuat roti itu dapat menghasilkan roti yang memuaskan.

Kedua-dua pembuat dan pembeli roti itu mengejar kepentingan mereka dan bukan kepentingan untuk pihak yang lain. Akan tetapi, apabila mereka masing-masing membahagiakan diri mereka, mereka turut membahagiakan pihak yang lain.

Dunia rumit, otak pintar, hati rendah

“Hasil yang tidak dihasratkan” itu mengingatkan kita  dunia ini rumit. Dan kerana dunia rumit, otak kita kena pintar, dan hati kita kena rendah.

Kepintaran bermaksud kita perlu memahami bagaimana dunia – termasuklah manusia, benda-benda hidup dan benda-benda tidak hidup – itu beroperasi dan berinteraksi.

Dalam kata lain, kita perlukan sains alam semulajadi dan sains sosial, yang sentiasa mencari jawapan untuk mendekati kebenaran.

Dunia tidak bergerak mengikut tekaan atau makian kita. Jangan kerana kita arif dalam satu bidang, maka kita jangan jadi bodoh sombong melantik diri kita sebagai pakar dalam segala bidang.

Kerendahan hati pula bermaksud mengakui had kuasa manusia. Manusia harus berendah diri di hadapan alam dan sesama sendiri.

Manusia cuma khalifah di bumi, bukan tuan punyanya di mana-manapun dan tidak berhak untuk memperlakukan ciptaan Tuhan yang lain. 

Bak kata hikmah pencinta alam, “kita tidak mewarisi dunia ini daripada nenek moyang kita. Kita pinjamnya daripada cucu-cicit kita.”

Dalam masyarakat, kita harus saling hormat-menghormati sebagai rakan yang setara, bekerjasama, bermuafakat dan berganding-bahu. Manusia tidak diberi kuasa bermaharajalela dan menzalimi insan yang lain.

Secara semulajadinya, ini membawa kita kepada demokrasi dan penegakan hak asasi-asasi manusia.

Keangkuhan manusia – “hasrat pasti berhasil”

Sebaliknya, fantasi  hasrat manusia itu pasti membawa hasil sebenarnya mewakili keangkuhan manusia yang tidak terhingga.

Mungkinkah manusia mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya untuk membuat perancangan yang tidak akan silap dan bersedia mengatasi segala cabaran yang akan muncul?

Kalau pengetahuan kita tidak mencecah langit, apakah asasnya kemahuan seseorang manusia itu harus menjadi hakiki di bumi?

Keangkuhan Mao harus menjadi renungan kita – kempen anti-pipitnya yang mengakibatkan bencana besar ekologi itu cumalah satu contoh yang paling menonjol.

Mao percaya dirinya boleh mengatasi alam dan mengatasi manusia yang lain. Beliau tidak perlu penyelidikan sains untuk membuat keputusan. Malah cerdekiawan dan rakan-rakan separtinya sering dihukum kerana berlainan pendapat.

Beliau berkuasa menentukan hidup-mati kedua-dua manusia dan haiwan. 

Lima tahun selepas berakhirnya Kebuluran Besar pada 1961, Mao yang rasa terpinggir memulakan Revolusi Kebudayaan China untuk mengambil semula kuasanya.

China dalam masa sepuluh tahun Revolusi itu menjadi masyarakat totalitarian – rakyat tidak bebas membuat apa-apapun kerana segala-gala halal haram ditentukan oleh pihak pemerintah.

Malah, rakyat diarahkan untuk mengintai dan merisik sesama ibu bapa dan anak, adik-beradik, sahabat handai, saudara-mara, jiran tetanga agar tidak ada yang berani terpesong daripada ajaran rasmi atau mencabar pemerintah.

Pada teorinya, China di bawah Mao sebuah republik komunis ateis, tetapi pemerintahan Mao sering dibandingkan pemerintahan mutlak Maharaja di zaman purba.

Dan Maharaja China dahulu kalanya memang melihat diri mereka sebagai Putera Tuhan (Tianzi).  Perintah Maharaja itu dikuatkuasakan di seluruh bumi China dan sesiapa yang melawan perintah boleh dihukum mati.

Dalam konteks itu, “hasrat” pemerintah sudah tentu senang menjadi “hasil”.

Dalam kes Mao, bukan sahaja “hasrat”nya menjadi polisi negara, malah kata-katanya turut disebarkan dalam bentuk “kitab merah kecil” (the little red book).

Kita sering kedengaran kecaman dan amaran tentang bahayanya komunis kerana konon sifat keateisannya.

Bagi, saya, ateis atau tidak, yang paling penting adalah manusia harus berhati rendah dan sentiasa akui terhadnya kemampuan manusia untuk mengawal segala-galanya di dunia ini.

Apa fahamanpun, apabila manusia itu salah menganggap dirinya berkuasa seperti Tuhan atau berfungsi sebagai jurucakap Tuhan, apabila percaya “hasrat” mereka tentu akan membawa “hasil” sekalipun bertentangan dengan sains atau demokrasi, keangkuhan itu membawa padah, lebih teruk daripada tonado, wabak ataupun kemalangan udara.  – 25 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments