Mengapa mustahil “satu wilayah, dua sistem”? Ada yang bertanya, mengapa Kelantan perlu kerestuan Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan hukum hudud di negerinya, malah terhad kepada umat Islam sahaja?
Persoalan ini melupakan hakikat yang rakyat Sabah dan Sarawak juga ada yang melawat dan bermastautin di Kelantan dan akan tertakluk kepada undang-undangnya.
Lebih penting lagi, kita perlu tanya, mungkinkah wujudnya dua sistem kehakiman jenayah yang berlainan dalam sebuah wilayah yang sama?
Kalau seseorang penjenayah Muslim mencuri harta benda atau merompak si mangsa yang bukan Muslim, maka hukum mana yang akan digunapakai?
Jika hukum common law yang digunapakai dan hukumannya lebih rendah daripada hukuman potong tangan, tidakkah ini akan menggalakkan penjenayah Muslim untuk memilih mangsa bukan Muslim?
Maka akhirnya bukan Muslim mungkin terpaksa memilih hukum hudud jika mereka tidak ingin dimudaratkan oleh kesan “limpahan” (spillover) hukum hudud.
Sebaliknya, jika seseorang penjenayah bukan Muslim mencuri harta benda atau merompak mangsa yang Muslim, maka apakah penjenayah ini boleh dikecualikan daripada hukum hudud?
Jika penjenayah bukan Muslim boleh dikecualikan, maka apa terjadi kalau para penjenayah Muslim “outsource”kan pencurian atau perompakan kepada penjenayah bukan Muslim, ala Ali-Baba yang terbalik? Ini sudah pasti akan menggagalkan hasrat umat Muslim untuk mengurangkan jenayah dengan hukuman berat.
Dan apa terjadi jika berlaku jenayah yang melibatkan Muslim dan bukan Muslim sekali dalam kedua-dua pihak penjenayah dan mangsanya? Di mahkamah manakah kes jenayah ini akan dibicara?
Atau kes-kes ini akan dibicara dua kali, di Mahkamah Syariah untuk pihak Muslim, dan di Mahkamah Common Law untuk pihak yang bukan Muslim?
Soalan-soalan ini seolah-olah ingin mencari pasal, tetapi senario seperti ini sememangnya boleh dan akan berlaku. Maka, apakah cara penyelesaian Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan? Sampai hari ini, satu FAQ (senarai soalan yang biasa ditanya) pun kita tidak nampak.
Nyata sekali, untuk melaksanakan dua sistem kehakiman jenayah yang berlainan tanpa menghadapi kerumitan seperti itu, kita perlukan semua bakal penjenayah mengambil ikrar: “Maka saya janji bahawa saya sebagai seorang Muslim/bukan Muslim cuma akan memangsakan mereka yang Muslim/bukan Muslim sahaja apabila melakukan jenayah agar tidak membawa kerumitan.”
Sistem kehakiman jenayah itu bagaikan sistem memandu mengikut kiri atau kanan. Dalam satu wilayah yang sama, kita cuma boleh memilih satu sistem sahaja. Kalau kita meletakkan dua sistem, maka sudah pasti akan berlaku pelanggaran.
Ini berlainan dengan sistem kehakiman untuk perihal peribadi atau keluarga. Dalam konteks keluarga adalah seagama, maka kewujudan sistem beraneka itu tidak menjadi masalah.
Secara analoginya, keluarga anda boleh memandu mengikut kiri dalam halaman rumah sementara sekeluarga jiran anda boleh memandu mengikut kanan, dan tidak berlaku pelanggaran.
Sesetengah pendukung hudud suka memberi contoh sistem millet di Empayar Ottoman di mana setiap komuniti agama – Muslim, Kristian Ortodoks, Katolik, Armenian, Yahudi – mempunyai mahkamahnya sendiri yang bernama millet.
Hakikatnya, millet itu sebenarnya mengawal perihal peribadi dan keluarga seperti undang-undang Syariah dan undang-undang anak negeri di Sabah dan Sarawak. Apabila sesuatu kes itu melibatkan Muslim, maka undang-undang Syariah akan digunapakai.
Ketidaksamarataan antara Muslim dan bukan Muslim itu pula berasaskan konsep Jhimmi, yang bermaksud warga bukan Muslim yang terlindung dalam negara Muslim dan tidak setaraf dengan Muslim.
Maka, model Ottoman itu tidak harus dipakai oleh pendukung hudud kecuali mereka menganggap warga bukan Muslim itu Jhimmi dan tidak setaraf dengan mereka.
Pelaksanaan hudud perlukan perlembagaan baru
Sungguhpun dalam konteks sistem kehakiman jenayah “satu wilayah, dua sistem” tidak munasabah, tidak mustahil untuk adakan sistem berlainan untuk wilayah lain.
Dalam kata lain, secara konsepnya, Kelantan boleh melaksanakan Hukum Syariah ke atas semua yang berada dalam wilayahnya sedangkan semua negeri lain terus mengekalkan sistem Common Law.
Ini seperti negara China melaksanakan sistem memandu secara kiri di Hong Kong dan Macau tetapi sistem memandu secara kanan di wilayah lain. Ia sememangnya mendatangkan kerumitan, tetapi bukanlah mustahil.
Jika Kerajaan Kelantan ingin melaksanakan hukum hudud secara menyeluruh, maka ia harus melakukan dua perkara.
Pertama, ia mesti membuka perbincangan dan perdebatan tentang hukum hudud kepada semua, dan bukan berdasarkan lagi pegangan menyokong pelaksanaan hudud adalah kewajipan Muslim.
Kerajaan Kelantan mesti dengan jujur dan beraninya mengemukakan kajian pelaksanaan hukum hudud di negara lain, terutamanya di Aceh yang kita kenali dan kelebihannya, atau cara penyesuaian untuk mengatasi kekurangannya. Dan semua pihak termasuk bukan Muslim mesti bebas mempersoalkan apa-apa perkara pun.
Dalam kata lain, hukum hudud kalau dilaksanakan, mesti dilaksanakan dengan cara yang adil dan demokratik, bukan secara paksaan majoriti.
Kedua, Kerajaan Kelantan mesti meminta Kerajaan Persekutuan untuk menjemput semua negeri, dengan Sabah dan Sarawak sebagai pihak setaraf dengan Semenanjung, untuk menggubal sebuah Perlembagaan Persekutuan yang baru.
Dengan Perlembagaan baru ini, sistem Persekutuan kita boleh dilonggarkan di mana Kelantan boleh menuntut kuasa autonomi untuk mengadakan sistem kehakiman jenayah yang berlainan, dan negeri-negeri lain juga boleh menuntut kuasa autonomi untuk perkara lain.
Misalnya, Sabah dan Sarawak mungkin juga boleh menuntut kuasa untuk keselamatan dalam negeri, pendidikan, bahasa dan agama.
Maka, apa yang perlu dilakukan Kelantan sekarang bukanlah memperluaskan kuasanya dengan sokongan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 76A, “Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri” yang cuma memerlukan kelulusan majoriti ringkas.
Jalan singkat ini sama sekali membelakangkan Perjanjian Malaysia 1963 dan menggugat asas moral kewujudan Malaysia. Sudah tentu perasaan akan dilukai jika nanti ada rakyat Sabah dan Sarawak yang meminta Kelantan atau mana-mana negeri Semanjung yang lain keluar dari Malaysia kalau tidak ingin menghormati perjanjian 1963 itu.
Kalau Kerajaan Kelantan ingin melaksanakan hukum hudud dengan cara yang adil dan sahih dari sisi demokrasi, maka ia harus dengan jujur dan ikhlasnya meminta Kerajaan Persekutuan membuka pintu untuk perundingan sebuah Perlembagaan Persekutuan yang baru, seperti yang pernah disarankan oleh saudara Chan Foong Hin, Adun Sri Tanjung, Sabah. – 19 Disember, 2014.
* Bahagian 1 di sini.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments