Dengan meningkatnya minat terhadap sistem politik sekarang, ada yang tertanya-tanya mengapa kita tidak mengamalkan sistem kerajaan berpresiden (presidentialism) saja kerana sistem ini membenarkan kita memilih secara langsung ketua kerajaan dan beliau tidak boleh dipecat oleh parti selagi tidak melakukan kesalahan besar yang membolehkan impeachment.
Sememangnya, kalau kita tidak sukakan parti-parti politik, maka masa depan pendemokrasian menjadi persoalan besar di bawah sistem kerajaan berparlimen (parliamentarianism). Sistem ini memang berasaskan parti-parti politik dalam pembentukan dan perjalanan kerajaan.
Empat jenis sistem politik di Nusantara
Sebenarnya, sistem kerajaan berparlimen terdapat dua jenis: sistem monarki (beraja) berperlembagaan dan republik berparlimen (parliamentary republic).
Sistem monarki berperlembagaan ini jauh berbeza dengan sistem monarki mutlak lebih tua yang memberikan kuasa tidak terhad kepada raja. Manakala republik berparlimen yang merupakan penyesuaian daripada sistem monarki berperlembagaan ini juga jauh berbeza daripada republik berparlimen.
Yang menarik sekali, keempat-empat jenis sistem politik ini boleh didapati di Nusantara.
Indonesia dan Filipina yang paling awal mencapai kemerdekaan adalah republik berpresiden manakala Malaysia yang merdeka seterusnya adalah monarki berperlembagaan. Singapura mengamalkan sistem republik berparlimen setelah pemisahan daripada Malaysia manakala Brunei yang enggan menyertai Malaysia dan paling lewat mencapai kemerdekaan itu kekal sebagai monarki mutlak.
Pembelaan monarki berperlembagaan oleh Walter Bagehot
Salah satu hujah sokongan paling menyakinkan untuk sistem kerajaan berparlimen itu dibuat oleh Walter Bagehot dalam belaannya untuk sistem monarki berperlembagaan di Britain.
Sistem ini lazimnya dikenali sebagai sistem Westminster kerana Parlimen Britain terletak di Istana Westminster di London dan ia adalah sistem kerajaan berparlimen paling lama dan menjadi model kepada kebanyakan negara-negara Komonwel tidak kira yang mengekalkan atau menamatkan sistem beraja selepas kemerdekaan.
Walter Bagehot pula adalah seorang tokoh pemikir politik dan wartawan yang menjadi ketua penyunting majalah The Economist pada 1861-1877. Sampai hari ini, majalah yang sangat berpengaruh itu masih menerbitkan sebuah kolum “Bagehot” yang membincangkan perihal Britain dalam kenangan kepada beliau.
Arus menggantikan monarki dengan republik
Abad ke-19 melihat semakin hari semakin popularnya idea untuk menggantikan sistem beraja dengan republik. Satu perkembangan pemisah ialah Revolusi Perancis yang melihat bukan sahaja sistem monarki itu digulingkan, malah Raja Perancis terakhir, Louis ke-16, dipancung kepalanya dengan suatu alat yang bernama guillotine pada 1793, setahun selepas dijatuhkan daripada takhtanya.
Arus ini akan terus merebak di benua Eropah dalam abad ke-20, di mana Maharaja, raja dan sultan dari Rusia, Jerman, Austria, Turki, Itali, Yugoslavia ke Romania dijatuhkan satu demi satu selepas Perang Dunia Pertama atau Perang Dunia Kedua.
Dan tidak sampai setengah abad sebelum pemancungan Raja Louis ke-16, orang Inggeris sendiri memancungkan kepala Raja Charles I yang didakwa dan disabit “pengkhianatan” (treason) pada 1649. Baginda berperang dengan parlimen dalam Perang Saudara England kerana perkara agama, wang dan gaya pemerintahannya.
Sistem monarki itu digantung selama 11 tahun tetapi akhirnya dipulihkan. Namun, selepas pemulihan, Raja England tidak lagi mempunyai kuasa besar dan sebaliknya terpaksa memerintah mengikut nasihat parlimen.Pemerintahan raja yang bersifat nominal ini dinamakan sebagai “Mahkota dalam Parlimen” (Crown in Parliament).
Ketika Bagehot menerbitkan karya agungnya, The English Constitution, sistem alternatif untuk demokrasi ialah sistem kerajaan berpresiden yang diamalkan oleh Amerika Syarikat sejak 1789. Republik berparlimen belum lagi muncul ketika itu.
Ketua negara dan ketua kerajaan
Satu kelebihan sistem berparlimen Westminster berbanding sistem berpresiden Amerika Syarikat, bilang Bagehot, ialah pembahagian ketua negara dan ketua kerajaan yang mempunyai fungsi yang berlainan.
Bagehot berhujah, setiap sistem politik itu mempunyai dua bahagian yang berlainan fungsinya, yang berwibawa (dignified) dan yang cekap (efficient).
Elemen berwibawa itu diperlukan untuk menyatukan rakyat dan ditumpukan kesetiaan rakyat. Untuk mencapai tujuan ini, elemen berwibawa ini mestilah nampaknya mulia dan tidak terlibat dan tercemar oleh perbalahan di kalangan rakyat. Dalam kata lain, elemen ini mestilah berkecuali daripada persaingan dan persengketaan politik kepartian.
Elemen cekap itu pula diperlukan untuk mentadbir negara dan menggerakkan rakyat. Untuk tujuan ini, elemen cekap ini boleh malah perlu mengotorkan tangannya. Dalam kata lain, elemen ini bukan saja tidak dapat pisahkan diri daripada politik kepartian, malah ia harus mendapatkan kekuatan daripadanya.
Dalam Sistem Westminster, kedua-dua fungsi ini dipisahkan dengan jelas sekali, di mana raja atau ratu sebagai ketua negara memainkan fungsi berwibawa itu manakala perdana menteri sebagai ketua kerajaan pula memainkan fungsi cekapnya.
Sebagai perbandingan, di bawah sistem berpresiden, presiden adalah ketua negara dan juga ketua kerajaan. Maka, rakyat tidak dapat pisahkan perasaannya terhadap presiden sebagai ketua kerajaan daripada perasaannya terhadap presiden sebagai ketua negara.
Ini menjadi masalah apabila kerajaan mengambil dasar atau keputusan yang membelahbahagikan rakyat, yang sering tidak dapat dielakkan kerana satu sebab atau sebab lain. Dalam Perang Iraq 2003, ramai rakyat Britain dan Amerika Syarikat marah dengan kerajaan mereka yang memulakan perperangan dengan alasan palsu.
Di Britain, kemarahan itu ditujukan kepada Perdana Menteri Tony Blair sebagai ketua kerajaan Parti Buruh dan rakyat masih boleh sayangkan Ratu Elizabeth ke-2 sebagai ketua negara United Kingdom.
Di Amerika Syarikat, kemarahan terhadap President George W Bush sebagai ketua kerajaan parti Republik tidak mungkin dipisahkan dengan sempurnanya daripada perasaan terhadap Presiden George W Bush sebagai ketua negara Amerika Syarikat. Maka, perpaduan rakyat mungkin terjejas.
Indahnya raja kerana tidak memihak
Hampir setengah abad selepas penulisan Bagehot, fikiran Republikanisme masih ada pasarannya di United Kingdom dan ia bukanlah satu kesalahan hasutan. Geraja Anglican, agama rasmi England, juga tidak akan mengecam pandangan sebegini sungguhpun raja/ratu adalah penaungnya.
Maka, ramai yang mempersoalkan mengapa rakyat harus membelanjakan lebih daripada 30 juta pound setahun untuk menyara kerabat raja.
Satu jawapan yang lazim ialah institusi raja ini adalah kegunaan pragmatiknya. Jutaan pound ini berbaloi kerana monarki memberi prestij kepada United Kingdom dan mengekalkan “kuasa lembut”nya.
Bukan saja menantu diraja, dari Puteri Diana sampai ke Kate Middleton, menjadi sensasi sedunia, malah pertukaran pengawal harian di Istana Buckingham itu menarik jutaan pelancong setiap tahun.
Jawapan yang lebih menyakinkan ialah orang ramai terutamanya kelas politiknya percaya dengan fungsi yang dimainkan oleh Ratu Elizabeth sekarang sebagai sebuah ketua negara yang tidak memihak dalam politik kepartian, seperti yang dihujahkan oleh Bagehot.
Intipati hujah Bagehot ini sebenarnya amat menarik ini – institusi monarki ini indah sebenarnya kerana ia tidak membuat apa-apa keputusan politik, maka ia tidak boleh disalahkan dan boleh terus dicintai.
Raja/ratu Britain selepas Charles I tidak pernah melawan Parlimen. Mereka langsung tidak akan terlibat dalam rundingan dalam perihal pembentukan kerajaan. Apabila perdana menteri memohon pembubaran Parlimen, maka mereka akan memperkenankan. Meraka tidak akan menyalahfahamkan peranan mereka sebagai ahli politik.
Sebenarnya, Raja Muda Charles sering dikecam kerana sering pandai-pandai memberi pandangan dirinya terhadap isu awam. Perbuatan sebegini akan menjemput kritikan kepada institusi monarki dan malah mungkin pengakhirannya.
Ada yang menyindir baginda kalau begitu minat dengan politik, maka baginda harus melepaskan hak warisan dirajanya dan mengambil bahagian dalam pilihan raya saja sebagai ahli politik.
Raja itu mesti berada di atas, dan bukan di dalam, politik. Raja mesti menyatukan dan bukan memecahbelahkan rakyat.
Indahnya monarki berperlembagaan ala Westminster. – 15 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments