Opinion

Kanun Jenayah Syariah, perbankan Islam, jenis petrol, arah memandu

Ramai orang Islam tertanya-tanya, mengapa orang bukan Islam ingin "masuk campur" dalam hal Kanun Jenayah Syariah sedangkan mereka boleh terima perbankan Islam?

Persoalan ini perlu dijawab dengan rapi dan jujur. Kalau tidak, sudah ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk mengapi-apikan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam.

Dan jika kemusykilan orang bukan Islam terhadap hukum syariah dijawab bukan dengan penjelasan rasional, sebaliknya dengan tuduhan, kecaman malah ancaman, ia sudah tentu tidak membantu orang bukan Islam memahami Islam dan menghayati maqosid (tujuan) syariah.

Hak pemegang taruh

Persoalan mengapa orang bukan Islam "masuk campur" ini boleh dijawab dengan berpegang prinsip "pemegang taruh" (stakeholder) atau dalam kata yang lebih ringkas "pihak berkepentingan".

Jika perkara X berpotensi membawa kemanfaatan atau kemudaratan kepada kita, kita adalah pemegang taruh dalam perkara X dan kita berhak dilibatkan dalam pembuatan keputusan tentang perkara X.

Jika seseorang boleh dikecualikan daripada akibat sesuatu keputusan, maka dia boleh dikecualikan daripada pembuatan keputusan itu. Sebaliknya, dia harus dilibatkan dalam pembuatan keputusan itu supaya keputusan itu boleh jadi lebih adil.

Contohnya, jika sebuah syarikat ingin mendirikan kilang di hulu sebatang sungai dan sisa industri akan dibuang ke dalam sungai, maka semua penduduk yang tinggal di sepanjang sungai itu ke arah hilirnya adalah pemegang taruh dalam pendirian kilang ini. Mereka harus dilibatkan dalam keputusan sama ada pendirian kilang itu dibenarkan atau tidak.

Prinsip ini penting untuk pentadbiran baik. Kalau semua pemegang taruh itu boleh dilibatkan, maka keputusan yang dibuat akan dapat menjaga kepentingan lebih banyak pihak, dan kemungkinan persengketaan berlaku kerana keputusan itu akan dikurangkan. 

Orang bukan Islam pemegang taruh hukum syariah

Perasaan ramai orang Islam, orang bukan Islam tidak harus "masuk campur" dalam keputusan tentang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 Kelantan (KJSK) kerana mereka mempunyai persepsi orang Islam adalah satu-satunya pihak pemegang taruh dalam isu ini.

Seksyen 2 KJSK berbunyi "Kanun ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukalaf bagi apa-apa kesalahan di bawah Kanun ini yang dilakukan olehnya dalam negeri Kelantan."

Ini menggariskan semua orang Islam mukalaf yang mungkin berada di Kelantan dan berpotensi diadili di bawah Kanun ini - tidak kira apa negeri asalnya dan kewarganegaraannya - adalah pemegang taruh langsung.

(Satu-satu kekecualiannya ialah 9 Raja-raja Melayu yang hanya boleh diadili dalam Mahkamah Khas yang mengguna pakai Common Law di bawah Perkara 181 dan 182 Perlembagaan Persekutuan.)

Seksyen 2 ini mengecualikan orang bukan Islam sebagai tertuduh tetapi tidak sebagai pihak yang bakal menjadi mangsa jenayah.

Maka, apabila orang Islam mencuri daripada, merompak, membunuh atau mencederakan orang bukan Islam, maka kes akan diadili di Mahkamah Syariah di bawah KJSK. Amat merumitkan, orang Islam dan wanita tidak mempunyai keupayaan sepenuhnya dalam memberikan keterangan.

Nyata sekali, orang bukan Islam adalah pemegang taruh dalam KJSK.

Amat dikesali, sungguhpun kononnya Kelantan sudah bersedia selama 22 tahun, ahli politik Kelantan rata-rata tidak fahami KJSK dengan secukupnya untuk mengiktiraf orang bukan Islam sebagai pemegang taruh di sisi orang Islam.

Dan jika mana-mana kumpulan pemegang taruh sengaja dipinggirkan pendapat mereka atau dibisukan suara mereka, itu sudah tentu suatu ketidakadilan dan bercanggah dengan maqosid hukum syariah.

Sistem perbankan dan jenis minyak

Mungkin ada rakan-rakan yang masih tertanya, mengapa kerumitan ini tidak muncul dalam perlaksanaan perbankan Islam? Apakah perbezaan asas dan naluri kedua-dua projek ini?

Pilihan antara perbankan Islam dan konvensyen itu boleh diibaratkan dengan pilihan minyak untuk kenderaan kita.

Minyak RON95 itu lebih mencemari alam daripada RON97 manakala semua minyak fosil (yang dicari gali dari bumi) lebih mencemari alam daripada minyak bio (yang diproses daripada hidupan seperti minyak kelapa sawit).

Maka, kalau kita pentingkan alam sekitar, kita harus gunakan minyak RON97 malah tukar daripada kenderaan yang gunakan minyak fosil kepada kenderaan menggunakan minyak bio atau minyak campuran.

Perkara yang sama berlaku jika kita memilih untuk menabung dalam perbankan Islam kerana ingin mengelakkan riba (bunga).

Dalam kedua-dua kes ini, keputusan kita boleh mengubah tahap pencemaran udara atau solidariti dalam bidang ekonomi secara agregat.

Tetapi, kalau kita guna RON95, itu tidak menimbulkan apa-apa kesan langsung kepada kereta di sebelah kita yang mungkin guna RON95, RON97 atau minyak bio. Kita bebas membuat keputusan sendiri kerana kita bukan pemegang taruh langsung dalam keputusan masing-masing.

Dengan logik yang sama, kalau kita membuka akaun simpanan Al-wadiah, orang lain tidak tanggung akibat pilihan kita. Mereka boleh membuka akaun simpanan biasa atau tidak menabung apa-apa wang pun.

Sistem pengadilan jenayah dan arah kita memandu

Sebaliknya, sistem pengadilan jenayah itu jauh berbeza seperti arah memandu. Untuk tempat dan masa yang sama, semua kenderaan mesti dipandu mengikut kiri atau kanan.

Kita tidak mungkin membiarkan sesetengah kenderaan itu pandu kiri manakala sesetengah kenderaan lain itu pandu kanan. Sistem memandu yang berlainan jika wujud serentak maka sudah pasti akan berlaku perlanggaran. Maka, semua pihak adalah pemegang taruh dalam keputusan menentukan sistem memandu.

Sistem pengadilan jenayah yang berlainan adalah seperti sistem memandu. Keputusan kita memberikan akibat langsung kepada kenderaan di depan, belakang dan sisi kita. Maka, kita saling menjadi pemegang taruh dalam keputusan sesama sendiri.

Kalau kita ingin wujudkan dua sistem yang selari seperti sistem perbankan, dan seterusnya menghapuskan asas orang bukan Islam untuk berpendapat atas KJSK, maka kita perlukan bakal penjenayah yang beragama Islam membuat "aku janji".

Kalau mereka boleh berikrar:"Saya berjanji hanya akan memangsakan orang Islam dalam pencurian, rompakan, pembunuhan dan pencederaan", maka bolehlah orang bukan Islam dikecualikan daripada akibat KJSK dan seterusnya daripada proses pembuatan keputusan kerana mereka bukan pemegang taruh langsung. – 19 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments