Opinion

Mengapa pagar tidak patut makan padi?

“Harapkan pagar, pagar makan padi” adalah salah sebab utama nasionalisme etnik gagal mengangkat kaum yang diperjuangkannya.

Tiba masanya jangan bertanya lagi secara terkilan “mengapa pagar sanggup makan padi?” dan mula soal dengan realistik “mengapa pagar tidak patut makan padi?”

Apa yang diungkapkan dalam pepatah Melayu “harapkan pagar, pagar yang makan padi” adalah sejenis kasus “hasil yang tidak dihasratkan” (unintended consequence).

Dalam ilmu pengurusan, ia dibincangkan sebagai “masalah prinsipal-agen” (principal-agent problem). 

Prinsipal merujuk kepada pihak yang memberikan amanah manakala agen adalah pihak yang diberikan amanah. Masalah berlaku apabila si agen mengejar kepentingan diri dan mengorbankan kepentingan si prinsipal. Kalau menggunakan kata-kata yang kuat, si agen mengkhianati si prinsipal.

Contoh lazim digunakan ialah pengurusan syarikat (agen) tidak memaksimakan keuntungan yang akan memanfaatkan pemegang saham (prinsipal), sebaliknya membayar gaji besar kepada diri mereka ataupun melakukan pelaburan yang kurang menguntungkan.

Ini berlaku kerana dua sebab: kepentingan agen dan prinsipal itu berbeza, dan informasi yang tidak simetri (si prinsipal tidak mempunyai pengetahuan seluas si agen).

“Harapan” terhadap “pagar” itu berasaskan andaian pagar (si agen) dan padi (si prinsipal) mempunyai kepentingan yang sama, maka terlahirlah hasrat (intention) padi untuk dijaga dan dibela oleh pagar.

Padahal, kepentingan pagar mungkin berbeza dengan kepentingan padi: Kalau pagar itu lapar atau memang suka makan, mengapa tidak patut pagar makan padi?

Insentif yang sesuai juga wujud. Sememangnya, kalau bukan pagar, siapa lagi yang paling senang makan padi? Kan pagar yang paling dekat dengan padi dan paling dipercayai padi?

Samseng etnik

Ramai yang mengecam rasisme atau sentimen assabiyah kerana ia menolak atau menganiaya kaum yang lain. Mereka tidak melihat bahawa ia sering memakan kaumnya sendiri dahulu.

Di London, peniaga-peniaga kecil keturunan Turki dan Kurd sering menjadi mangsa kepada samseng kaum sendiri, dan bukan samseng etnik lain, yang datang memeras wang perlindungan. 

Pada tahun 2002, dianggarkan seramai 30,000 orang wanita Albania dipaksa menjadi pelacur di Eropah Barat. Siapa yang menculik dan menyeludup mereka dari kampung halaman ke kota raya asing? Tidak lain tidak bukan samseng dari Albania.

Ini bukan sesuatu yang ganjil. Sebaliknya, ini kelaziman hampir di seluruh dunia, kalau terdapat geng samseng yang berasaskan etnik, mereka sering akan memangsakan “orang sendiri” dahulu, dan kurang mengganggu “orang asing”.

Mengapa? Kalau berlainan kaum, mangsa lebih cenderung untuk melawan, kerana dirasakan dihina atau dianiaya. Tetapi, kalau kaum yang sama, mangsa itu lebih cenderung untuk tunduk sahaja kerana “depa orang kita, depa akan menjaga kita hari nanti bila kita ada masalah”.

Maka, kesamaan kaum itu seolah-olah memberikan hak untuk “pejuang” kaum untuk memilih siapa yang perlukan perlindungan mereka.

Asrama universiti

Saya teringat pengalaman sendiri saya pada tahun pertama universiti.

Apabila kami merasa lega kerana program orientasi rasmi telahpun tamat, tiba-tiba budak-budak freshie Cina dalam kolej kediaman (asrama) diberitahu untuk berkumpul di bilik budak-budak senior Cina tertentu kerana “orientasi tidak rasmi” akan bermula.

Kami diminta lakukan “tugasan” mengikut arahan senior dan siapa yang menentang akan dimarah sekuat-kuatnya agar budak-budak freshie akan kehilangan kesombongan mereka dan tidak lagi berlagak “cocky” kerana dapat masuk universiti.

“Ajaran” yang kami dapat itu tidaklah dahsyat mana-mana. Tiada penderaan fizikal langsung. Cuma marah dan hina.

Aktiviti-aktiviti yang lebih kurang sama juga berlaku dalam kumpulan mahasiswa lain mengikut kaum, negeri atau agama dan juga berlaku di sesetengah fakulti seperti fakulti perubatan.

Persoalan yang terbesar bagi saya ialah: Mengapa identiti etnik saya membenarkan individu-individu lain berfikir mereka berhak mempunyai harapan atau kuasa tertentu ke atas saya, semata-mata kerana kami berkongsi identiti itu?

Kononnya, aktiviti-aktiviti orientasi ini untuk membina semangat kekitaan yang kuat antara ahli-ahli komuniti kaum atau disiplin untuk “kebaikan bersama”.

Sebagai contoh, di kolej kediaman, persaingan untuk terus tinggal dalam kolej selepas tahun pertama itu sangat ketat, anda perlu giat dalam kegiatan sukan atau projek-projek kolej.

Dan sama ada anda dapat masuk ke dalam sesuatu pasukan atau projek itu mungkin bergantung lebih kepada siapa ketua pasukan atau pengarah projek itu, daripada kebolehan anda sendiri.

Pelantikan ketua pasukan dan pengarah projek pula mungkin bergantung kepada siapa yang menangi pilihan raya perwakilan mahasiswa kolej dan menjadi presiden dan ahli-ahli kanan. Tidak banyak bezanya daripada politik di peringkat kebangsaan.

Maka, “semangat kekitaan” dan mobilisasi mengikut kaum menjadi amat penting. Dan mata saya terbuka tentang bagaimana politik perkauman dipraktikkan sejak tahun-tahun universiti.

Saya menolak logiknya sama sekali tetapi saya boleh bayangkan bagaimana anak-anak muda yang berjaya dididik oleh latihan Biro Tatanegara akan takutkan “peminggiran kaum kita oleh kaum lain di bumi kita sendiri.”

(Jika anda ingin berkongsi pengalaman anda di universiti atau BTN, anda dialu-alukan menulis kepada saya di [email protected])

Ketagihan kepada si pelindung

Apabila kita takutkan sesuatu, kita mencari pelindung. Selain pagar, pelindung itu boleh jadi kucing kalau kita takutkan tikus, atau bomoh (atau ghostbuster sempena musim Halloween ini) kalau kita takutkan makluk halus.

Persoalannya, apakah kita menjadi ketagih kepada pelindung itu sampai akhirnya ia mengabadikan masalah kita?

Bayangkanlah, kalau anda seekor kucing yang rasional, dan tuanpunya anda itu seorang yang juga cukup rasional, dia menyimpan anda bukan sebagai haiwan kesayangan tetapi cuma kerana rumahnya terdapat banyak tikus.

Apakah akan terjadi kalau anda bersungguh-sungguh menghapuskan semua tikus, apakah tuan anda akan lebih sayangkan anda, ataupun dia akan lambat-laun merasakan kewujudan anda ini suatu liabiliti (mungkin anda suka menyerang ikan atau burung kesayangannya) dan bukan lagi aset (kerana tiada lagi tikus untuk diburu?)

Bukankah lebih rasional sebagai seekor kucing untuk menghapuskan sebahagian besar tikus tetapi membiarkan sebilangan terus membiak supaya tuan punya anda akan sentiasa rasakan kebergunaan anda?

Sama sekali – kalau semua hantu pupus dalam fikiran manusia, maka menganggurlah pak bomoh.

Dalam kata lain, kucing dan tikus, bomoh dan hantu, pada teori adalah musuh besar, tetapi dalam realiti kebergunaan suatu pihak itu bergantung kepada kewujudan yang lain.

Ada rakan Melayu yang hairan mengapa pengundi Cina tidak sokong MCA lagi sejak 2008.

Jawapannya mudah saja, kebanyakan pengundi Cina selama ini melihat MCA sebagai pagar yang makan padi.

Namun mereka juga melihat keperluannya kerana mereka fikir cuma MCA boleh bekerjasama dengan orang Melayu dan jika MCA tidak menyertai pemerintah, maka rusuhan 13 Mei akan berulang.

Apabila hantu 13 Mei disahkan palsu apabila Pilihan Raya Umum ke-12 tidak membawa rusuhan, maka pak bomoh pun hilang mata pencariannya.

Apabila saya membaca Najib menyatakan dalam ucapan Belanjawannya tentang golongan Bumiputera cuma mengawal secara efektifnya 10% saham korporat lebih empat dekad selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, saya tertanya-tanya: bilakah orang Melayu ingin memecat golongan pak bomoh yang siang malam cakap pasal hantu Cina itu? – 2 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments