Opinion

Mengapa saya akan sertai Bersih 4

Saya akan sertai perhimpunan aman Bersih 4 kerana saya ingin (1) pilihan raya bersih; (2) kerajaan bersih; (3) hak untuk membantah; dan (4) ekonomi diselamatkan.

Apakah tuntutan Bersih 4?

Ada ramai yang salah faham Bersih 4 mengambil sikap yang terlalu personal terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga menjadikan pengunduran beliau matlamat perhimpunan raksasa ini.

Sebenarnya, Bersih 4 mempunyai empat tuntutan, yakni:  (1) pilihan raya bersih; (2) kerajaan bersih; (3) hak untuk membantah; dan (4) selamatkan ekonomi.

Saya percaya tiada sesiapa yang akan bantah tuntutan yang terakhir, iaitu “selamatkan ekonomi”, kerana orang ramai memang merasakan kesempitan kerana cukai baharu (GST), inflasi, jatuh nilai ringgit dan sebagainya. 

Untuk mencapai tuntutan ini, selain polisi-polisi ekonomi yang lebih berkesan, kita perlu memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan teruk yang melanda negara kita termasuk skandal 1MDB yang berhutang sebanyak RM42 bilion, dan berkaitan dengan itu, RM 2.6 bilion didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Apa pula yang menyebabkan rasuah begitu berleluasa? Bersih 2.0 (Gabungan untuk pilihan raya Bersih dan Adil 2.0) mencadangkan tiga sebab yang bersifat sistemik.

Pertama, pilihan raya yang dimanipulasikan sehingga ahli dan parti politik yang rasuah tidak perlu risaukan kemarahan pengundi.

Kedua, kuasa eksekutif terlalu dipusatkan sehingga pemimpin bukan saja tidak takutkan pembangkang, malah juga langsung tidak takutkan kritikan dan bantahan daripada rakan-rakan separti atau segabungan.

Ketiga, sekalipun marah, rakyat tidak berani membantah kerana kebebasan bersuara disekat atau dihukum. Dan sekatan atau hukuman tidak semestinya berkaitan dengan isu rasuah, sebaliknya pengkritik kerajaan mungkin dilemparkan pelbagai tuduhan daripada anti-raja, anti-agama, sehingga kini, anti-demokrasi.

Sebenarnya, tiga tuntutan Bersih 2.0 yang terdahulu itu adalah ringkasan daripada agendanya yang menggariskan 10 reformasi institusi.

Tuntutan “pilihan raya bersih” itu sebenarnya mengandungi dua reformasi institusi:

1. Penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya

2. SPR menjadi badan yang bertanggungjawab kepada Parlimen

Tuntutan “kerajaan bersih” pula mengandungi enam reformasi institusi yang ingin memecah pemusatan kuasa Eksekutif:

1. Larangan untuk perdana jadi menteri kewangan

2. Penambahbaikan Parlimen

3. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi badan bertanggungjawab kepada Parlimen

4. Pisahkan Peguam Negara daripada Pendakwaraya

5. Gubalkan undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI)

6. Deklarasi Aset untuk nenteri dan pegawai tinggi

Tuntutan “hak untuk membantah” pula mewakili dua lagi reformasi institusi yang terakhir:

1. Mansuh/Pindaan undang-undang zalim

2. Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Semasa mengemukakan 10 reformasi institusi ini pada 6 Julai, Bersih 2.0 sebenarnya menegaskan jika tidak berlaku reformasi institusi, sekalipun berlaku pertukaran kepimpinan juga tidak akan dapat mencegah rasuah raksasa seperti skandal 1MDB, ataupun skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang bernilai RM12 bilion pada penghujung pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengapa Bersih 4 menuntut Najib undur diri?

Sekiranya reformasi institusi yang dijadikan sasaran, ada yang seterusnya bertanya, mengapa Bersih 4 turut menuntut Najib untuk mengundur diri?

Kalau kita lihat kembali pendirian Bersih 2.0 pada 6 Julai, ia memang cuma menuntut Najib mengambil cuti dan mengumumkan butir-butiran terperinci tentang transaksi RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaunnya.

Pendirian Bersih 2.0 cuma menjadi tegas dan menuntut pengunduran beliau hanya selepas pelucutan jawatan Peguam Negara yang dipegang Tan Sri Abdul Gani Patail dan pelantikan seramai 4 daripada 13 orang ahli Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Parlimen untuk menjadi menteri atau timbalan menteri.

Kedua-dua langkah ini nyata mempunyai niat buruk iaitu untuk melengahkan atau menjejaskan kerja penyiasatan dan pendakwaan ke atas 1MDB.

Apakah peluang 10 reformasi institusi itu dilaksanakan jika Najib nampaknya ingin membelakangkan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan tatapemerintahan baik (good governance)? Bukankah hampir sifar?

Kalau di Zaman Umayyah, Khalifah Umar Abdul Aziz boleh membezakan pelita kerajaan untuk kegunaan membaca dokumen kerajaan dan pelita peribadi untuk membaca bacaan peribadi, patutkah seorang PM yang tidak menafikan aliran wang masuk ke dalam akaunnya dan tidak memberikan sebarang keterangan (kecuali kenyataan “ini bukan untuk kepentingan sendiri”) kekal memimpin Malaysia?

Berupayakah beliau memimpin apabila kewibawaannya sudah jatuh berkecai di lantai?

Maka, kalau pemimpin berdegil untuk berkuasa tanpa integriti, apakah salahnya rakyat menjerit “undur” atau “tangkap”, selagi mereka tidak melaksanakan kehendak itu dengan kuasa sendiri?

Mungkinkah Bersih 4 berjaya?

Yang berkuasa untuk melaksanakan 10 reformasi institusi itu cumalah Parlimen dan perdana menteri. Yang berkuasa untuk memecat Najib juga cumalah Parlimen.

Apakah peluang untuk ahli-ahli Parlimen Umno dan BN meninggalkan Najib dan untuk perdana menteri dan Kabinet baharu – tidak kira ia terdiri daripada BN sahaja ataupun mengandungi ahli-ahli pembangkang – melaksanakan reformasi institusi?

Pada tahap ini, nampaknya juga sifar.

Maka, apa gunanya rakyat berhimpun untuk Bersih 4?

Jawapannya mudah. Kita ingin tunjukkan suara ramai untuk menolak rasuah yang berlaku kerana demokrasi berparlimen sudah pun dijejaskan.

Terpulanglah kepada ahli-ahli Parlimen sama ada untuk mendengar.

Sama ada kita ingin berdiam seolah-olah kita tidak kisah malah memperkenankan rasuah dan penjejasan demokrasi itu terus berlaku, itu terpulang kepada kita.

Itu sebabnya saya akan menyertai Bersih 4, pada 29-30 Ogos ini. – 1 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments