Opinion

Mengapa saya tulis perkara sensitif dalam bahasa Melayu

Apa itu bahasa kebangsaan kalau ia tidak boleh menjadi pengantara untuk perbicaraan “perkara-perkara sensitif”? Bagaimana perpaduan boleh tercapai kalau “perkara-perkara sensitif” itu cuma boleh ditenggelamkan?

Rencana saya minggu lepas berkenaan babi yang merayau di kampung Kelantan mendapat sambutan yang hangat di luar jangkaan saya. Ia mendapat lebih “sukaan” (likes) dan “pengkongsian” (share) di atas Facebook dan komentar daripada sebarangan rencana bahasa Inggeris saya.

Saya berasa rendah diri atas sambutan itu. Ada rakan yang menjemput saya untuk bermastautin di Kelantan tetapi ada juga yang memanggil saya babi yang cuba mengajar orang Islam apa yang patut dan apa yang tidak. 

Ada juga yang membuat amaran ala “api kecil”.

Saya tidak berasa marah – sudah tentu tidak membuat laporan polis – sekalipun “dibabikan” kerana yang dimalukan oleh ungkapan itu bukan saya, keluarga saya atau guru-guru saya.

Saya diajar untuk berfikir dan bersopan-santun. Maka, kalau ada orang yang katakan sesuatu yang tidak menyenangkan hati saya, saya tetap akan meneliti apa yang dikatakan.

Kalau itu benar atau berasas, maka saya akan menerimanya sungguhpun tidak rela. Sebaliknya kalau ia palsu atau tidak berasas, saya akan memilih antara mengabaikannya atau membidas dengan tegas tetapi sopan.

Saya pasti ada antara saudara-saudari yang sekarang membaca rencana ini akan bertanya: kalau sopan, mengapa anda membincangkan babi dalam bahasa Melayu – bukan itu satu perkara yang sensitif untuk orang Melayu/Islam?

Saya faham perasaan sedemikian. Kita sememangnya dididik oleh sekolah, masyarakat dan media membincangkan perkara sensitif itu tidak sopan seolah-olah kesopanan itu tidak dapat wujud sama dengan keupayaan kita menangani perkara-perkara rumit yang dilabelkan “sensitif” itu.

Biar saya jawab dalam bentuk soalan: Apa yang saudara saudari harapkan?
A. Saya tidak mempunyai pandangan tentang perkara sensitif?
B. Saya mempunyai pandangan tentang perkara sensitif tetapi tidak membincangkannya?
C. Saya membincangkan perkara sensitif tetapi tidak dalam membincangkannya dalam bahasa Melayu?

Bagi saya tidak mempunyai pandangan tentang perkara sensitif, ataupun lebih tepat lagi, pandangan yang menyinggung pihak yang melabelkan isu-isu sensitif, cuma dua kemungkinan: Saya tidak mempunyai sebarang pandangan atau saya bersetuju dengan pihak yang tersinggung.

Persoalan seterusnya, apakah saya benar-benar tidak boleh berbincang tentang perkara-perkara sensitif?

Saya agak pasti, kalau saya tulis menjelaskan mengapa orang Muslim mengelak babi sampailah kena gunakan beg plastik sebagai sarung tangan sebelum menyentuh makanan tin tidak halal, malah membela orang Islam, saya pasti tidak ada pihak yang marah kerana saya membangkitkan perkara sensitif.

Saya akan mengundang kemarahan sekumpulan pembaca yang lain. Daripada dibandingkan dengan seekor babi, saya akan dibandingkan dengan seorang insan tertentu yang bernama Ridzuan.

Jelas sekali, apa yang dimaksudkan oleh “menyentuh perkara sensitif” sebenarnya bukan pasal apa perkara yang disentuh tetapi pendirian yang dipegang. “Sensitif” adalah nama lain untuk “political correctness” (maaf saya tidak tahu istilah bahasa Melayu yang sesuai) dalam kaca mata pemerintah dan komuniti majoritas.

Tetapi saya akan tetap terlindung daripada “pembabian” kalau saya tulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Cina.

Sebenarnya saya bermula sebagai kolumnis politik dalam bahasa Cina pada 1998 dan menulis kolum politik dalam bahasa Inggeris pada 2008. Kolum bahasa Melayu di The Malaysian Insider adalah kolum mingguan pertama saya dalam bahasa Melayu.

Saya mengundang kritikan atau kemarahan pembaca bahasa Cina hanya apabila saya mengkritik sikap atau pemikiran assabiyah komuniti Cina. Saya hanya akan dipuji untuk keberanian saya jika saya tulis apa yang saya tulis minggu lepas dalam bahasa Cina.

Jika saya tuliskannya dalam bahasa Inggeris, saya rasa majoriti pembaca saya akan bersetuju kalau tidak sekali memuji saya. Kebarangkalian saya “dibabikan” itu rendah, dan kalau ia berlaku, pasti yang “membabikan” saya itu dikutuk teruk oleh pembaca lain.

Dalam kata lain, bahasa Cina dan bahasa Inggeris adalah “zon selesa” saya. Kalau saya inginkan tepukan dan pujian, saya akan tulis dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Mengapa saya keluar dari “zon selesa” untuk bertulis dalam bahasa Melayu dan menanggung bahaya “dibabikan” malah mungkin diserang dalam bentuk yang lain?

Jawapan saya ringkas: Kerana saya memang percayakan bahasa Melayu itu sebagai bahasa kebangsaan untuk Malaysia.

Kalau sesuatu bahasa itu tidak dapat mendukung perbincangan daripada semua kelompok dalam sebuah negara-bangsa, apakah bahasa itu mampu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan?

Ada yang mempertikaikan tentang nama bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia.

Saya tidak ada masalah langsung – saya rasa bodoh sekali jika kita terdapat Bahasa Malaysia, Bahasa Brunei, Bahasa Singapura di samping Bahasa Indonesia tetapi tidak ada bahasa Melayu.

Di mana wujudnya Bahasa Australia, Bahasa New Zealand, Bahasa Kanada malah Bahasa British (dan bukan Bahasa Inggeris atau Bahasa Inggeris British)?

Bagi saya mengiktiraf penutur asal sesuatu bahasa itu tidak “mengkaumkan” atau “mevernakularkan” sesuatu bahasa kebangsaan. 

Yang “mengkaumkan” atau “mevernakularkan” sesebuah bahasa kebangsaan itu ialah apabila bahasa itu cuba dibenarkan untuk mendukung sebahagian – sekalipun ia majoritas – dan bukan semua kelompok dalam masyarakat.

Malangnya, ini sedang berlaku dengan bahasa Melayu. Ia dijadikan bahasa khas Muslim bila sampai ke perihal yang berkaitan dengan agama.

Bukan saja penutur bahasa Melayu yang Kristian dilarang memanggil Tuhan “Allah” dan pembawa pesanannya “Nabi”, malah teori evolusi dilarang masuk ke dalam dunia bahasa Melayu.

Karya agung Charles Darwin “The Origin of Species” boleh didapati di perpustakaan dan kedai buku secara sah tetapi “Asal-usul Spesies” diharamkan sejak 2006.

Halangan ini tidak boleh disifatkan sebagai usaha untuk menghalang orang Islam daripada dipengaruhi teori evolusi kerana ramai orang Islam yang bisa membaca bahasa Inggeris dan bahasa lain.

Halangan ini khas untuk “mengurungkan” penutur bahasa Melayu dengan sejenis pandangan dunia yang mungkin mendapat pujian di Arab Saudi tetapi akan memencilkan diri daripada dunia.

Bagaimana bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan? Kecualilah kita mentakrifkan perpaduan itu sebagai ketiadaan perbezaan pendapat.

Kalau rakyat memang mempunyai pendapat-pendapat berlainan tetapi tidak boleh membincangkannya dalam bahasa Melayu, apakah bahasa Melayu itu tetap bahasa kebangsaan?

Saya mendapat pendidikan saya dari sekolah Cina dan membina pandangan dunia liberal saya daripada pembacaan dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Ini tidak mengurangkan sedikit pun penghargaan saya kepada bahasa Melayu, bahasa lingua franca Nusantara hampir 2000 tahun lamanya dan bahasa pertama untuk lebih daripada 60% rakyat Malaysia.

Saya mendukungi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Saya menolak pandangan bahasa Melayu itu bahasa keempunyaan orang Melayu, malah lebih sempit lagi orang Melayu yang cuma mempertimbangkan pandangan yang direstui oleh Umno, PAS, Perkasa, Isma dan sebagainya.

Saya inginkan bahasa Melayu yang mampu membincangkan segala suka dan duka segala ingin dan dengki semua orang Malaysia, sebuah bahasa kebangsaan yang tidak dipaksakan ke atas sesiapapun tetapi menjadi pilihan pertama yang sukarela untuk komunikasi terluas.

Untuk tujuan ini, saya tidak kisah terus “dibabikan”. – 15 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments