Opinion

Mimpi di utopia pimpinan pakar

Kali ini mimpi saya tidak ada kena-mengena dengan agama, agamawan dan undang-undang yang digubal oleh agamawan. Mimpi ini pasal pimpinan pakar.

“Dari sedunia ke negara kita, hidup kita ini kecoh, kelam-kabut kerana politikus,” kata Ramly sambil makan burger kegemarannya. Rakan saya ini seorang jurutera komputer dan sangat ‘geeky’ perangainya.

“Politikus tamakkan kuasa dan sanggup rebut kuasa dengan seribu satu cara,” sahut Johnny Walker, seorang “venture capitalist”, sambil menghirup kopi Irelandnya.

“Dunia akan jadi lebih baik kalau kita boleh hapuskan politikus sama sekali,” kedua-dua mereka mencapai kesimpulan ini.

Politikus ini bukanlah sejenis binatang keluarga Muridae (tikus), tetapi istilah dalam bahasa Indonesia untuk ahli politik.

“Tanpa politikus, tanpa pemerintah, bagaimana manusia mengatur kehidupan masyarakat mereka?” tanya saya.

“Senang sahaja, kita boleh bergantung kepada sains dan teknologi, dan segala keputusan yang boleh dibuat sebaik-baiknya dengan mengoptimasikan maklumat. Maka, apa yang kita perlukan ialah pimpinan pakar dan teknokrat,” jawab Johnny Walker.

“Bagaimana kita boleh pastikan pakar-pakar tidak akan menyalahgunakan kuasa mereka?” tanya saya.

“Mereka boleh didisiplinkan dengan “honour” (harga diri) di antara sesama mereka. Dan mereka akan dimotivasikan dengan keupayaan untuk membawa kebaikan, seperti mana “raja ahli falsafah” (philosopher king) idaman Plato,” jawab Ramly.

“Elit pakar sudah tentu jauh lebih baik daripada elit politikus yang akan memperdayakan emosi massa,” sambung Johnny, “dan dengan pimpinan pakar, demokrasi boleh digantikan dengan ‘Pakarkrasi’.”

“Namun Chin Huat akan menggangur nanti kerana tanpa politikus, kita tidak perlu lagi ahli sains politik,” ejek Ramly.

“Tidak apa, kalau era itu benar-benar sampai seperti diimpikan oleh kamu berdua, maka saya akan cari kerja di muzium sebagai pengkaji masyarakat purba,” jawab saya.

Tiba-tiba saya mendapati diri saya bekerja di sebuah muzium. Era “Pakarkrasi” ini tidak ada pemerintah dan peraturan di masyarakat yang dikuatkuasa dengan kontrak swasta yang rapi. Seperti idaman Ramly dan Johnny, ia beroperasi berpandukan sains dan teknologi.

Di dalam teksi

Satu perubahan ketara yang saya dapat rasakan ialah kehilangan had laju di jalan raya. Setiap kenderaan boleh bergerak dengan seberapa laju yang disukainya. Tiada AES dan polis lagi yang memberi saman.

Jika berlaku perlanggaran, maka tanggungjawab akan ditentukan secara saintifik sekali dengan alat-alat pemantau yang canggih seperti CCTV di sepanjang jalan raya dan “black box” dalam kenderaan. Dan pihak yang bersalah akan diminta menanggung segala pampasan.

Dalam kata lain, kalau anda tidak salah, maka secepat mana pun tidak menjadi masalah. Ini sudah tentu menggembirakan mereka yang sukakan kelajuan.

Namun saya berpegang kepada kebijaksanaan lama: “Biar lambat asalkan selamat”.

Maka apabila saya mendapati diri saya dalam sebuah teksi yang dipandu begitu laju, saya pun cuba menegur si pemandu, “Pak pemandu, boleh tidak kurangkan laju?”

“Maaf, sebelum saya kurangkan laju, boleh saya tahu berapa lama pengalaman pak memandu kereta?” tanya kembali si pemandu.

“20 tahun.”

“Pernahkah pak ambil bahagian dalam perlumbaan sama ada yang rasmi seperti Formula 1 Grand Prix atau yang tidak rasmi seperti dalam wayang gambar The Fast and The Furious?” si pemandu tanya lagi.

“Tidak pernah,” saya mula rasa serba salah.

“Untuk makluman pak, saya memandu selama 40 tahun dan pernah menyertai Formula 1 Grand Prix 30 tahun dahulu dan masih berlumba secara ‘Fast and Furious’ setiap hujung minggu sekarang,” jawab si pemandu, “Pak mungkin pakar dalam bidang lain, tetapi bukan pakar dalam memandu kereta. Sayalah pakar di sini. Setuju?”

“Setuju,” suara saya sekarang menjadi sangat rendah.

“Maka, saya cadangkan pak hormati sahaja kepakaran saya dalam memandu kereta ini dan biarkan saya membuat keputusan yang paling baik untuk kepentingan pak. Kalau pak suka, pak boleh tidur saja dan saya akan kejutkan pak bila sampai di destinasi,” tegas si pemandu.

Saya merasakan jantung saya hampir melompat keluar dari badan melihat teksi itu keluar masuk laluan dalam pergerakan berbentuk Z.

Di kedai elektronik

Alhamdulillah tiada kemalangan berlaku dan saya berada di kedai elektronik Joyous Elephant dan  memilih TV pintar yang terbaru.

Saya mendapati satu dua buah model yang sangat menarik hati saya tetapi masing-masing ada kekurangannya: Model J5 terlalu tinggi penggunaan elektrik dan Model K4 kurang tajam definisinya.

Saya bayangkan betapa baik sekali kalau ada sebuah model yang boleh gabungkan kekuatan dua-dua model ini.

Jurujual yang cuba memujuk saya membuat belian itu mencadangkan saya berkomunikasi dengan seorang ahli daripada pasukan pereka TV pintar syarikatnya dari Bangalore. 

Saya berasa gembira sekali dan bersyukur dengan teknologi canggih kerana kini seorang yang muda muncul di skrin TV pintar di hadapan saya dan memperkenalkan dirinya, “Saya Vijay daripada pasukan pereka TV Joyous Elephant. Saya faham saudara ada maklum balas untuk kami.”

“Ya, saudara Vijay, saya mendapati Model J5 mengguna terlalu banyak elektrik dan Model K4 pula kurang tajam definisinya. Apakah syarikat saudara mempunyai rancangan untuk mengeluarkan model yang mengatasi kedua-dua kekurangan ini?”

“Untuk maklumat saudara, setiap keluaran Joyous Elephant itu direka dengan inovasi teknologi terbaru dan kajian pasaran yang rapi. Kami malah membuat penyesuaian untuk negara yang lain tetapi kami sedia faham kami tidak dapat memenuhi kehendak semua pengguna. Bolehkah saya tahu kelayakan saudara dalam kejuruteraan elektronik?” jawab Vijay.

“Maaf, saya bukan jurutera elektronik.”

“Kelayakan saudara dalam pemasaran?” tanya Vijay.

“Maaf, saya juga tiada kelayakan dalam pemasaran.”

“Apakah saudara seorang yang kreatif yang pernah dijemput membuat persembahan di sidang TED (Technology, Entertainment, Design)?” tanya Vijay lagi.

“Maaf, saya tidak pernah. Bidang saya adalah sains politik. Saya cuma tanya soalan ini sebagai seorang pengguna biasa.”

“Saya mempunyai 2 ijazah kedoktoran – satu dalam kejuruteraan elektronik daripada Universiti Stanford dan satu lagi dalam pemasaran daripada Universiti Harvard,“ Vijay memperkenalkan tauliahnya.

“Saya menghormati mereka yang mempunyai minat terhadap hidup masyarakat purba tetapi saya rasa saudara harus faham industri dalam masyarakat hari ini cukup rasional dan saintifik sekali – kami tidak membuat sebarang keputusan mengikut gerak hati,” Vijay terus berkuliah.

“Saya harap perbualan hari ini dapat menyakinkan saudara yang syarikat Joyful Elephant memang beroperasi berpandukan kepakaran dan sebagai pakar, kami tahu apa yang paling baik untuk saudara.”

Saya rasa malu, terkilan dan pening.

Di klinik

Kini saya mendapati diri saya berada di klinik Dr Dahlia. Nampaknya kepeningan itu sudah menyusahkan saya untuk tempoh yang lama.

Saya mengadu kepada doktor, “Dr Dahlia, ubat yang doktor berikan itu tidak berkesan. Malah, saya merasakan degupan jantung menjadi terlalu cepat dan tapak tangan saya selalu berpeluh. Saya rasa ini adalah kesan sampingan ubat ini. Tiadakah ubat yang lebih berkesan?”

“Sememangnya ada beberapa ubat alternatif tetapi masing-masing ada kesan sampingannya,” jawab Dr Dahlia.

“Boleh doktor bincangkan dengan saya ubat-ubat ini?” tanya saya.

“Sudah tentu sekali. Tetapi, boleh saya tahu kelayakan saudara dalam bidang perubatan atau farmasi?”

“Maaf, saya tiada kelayakan dalam perubatan atau farmasi. Bidang saya adalah sains politik.”

“Saudara, saya berharap saudara faham doktor perubatan tidak mendapat tauliah kami dalam masa beberapa hari atau bulan, atau membaca beberapa buah rencana umum tentang penyakit dan ubat sahaja. Sebaliknya, kami mengambil masa bertahun-tahun untuk belajar dan mengamalkan rawatan.” kata Dr Dahlia.

“Bagaimana dengan hak pesakit untuk dimaklumkan dan membuat keputusan sendiri?” sampuk saya.

“Saudara, idea yang orang biasa dapat membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan sendiri adalah fikiran naif zaman pra-kepakaran dan sesuatu yang dipopularkan politikus yang mendendangkan muzik demokrasi. Saudara seorang pengkaji masyarakat purba sudah pasti faham hakikat ini,” Dr Dahlia meneruskan kuliahnya.

“Masyarakat hari ini terlalu rumit untuk individu membuat keputusan yang berpengetahuan (informed decisions). Keputusan yang berpengetahuan itu cuma boleh datang daripada pakar berdasarkan kajian saintifik. Pakar dipandu oleh pengetahuan dan tidak tamakkan kuasa seperti politikus,” kata Dr Dahlia merumuskan intipati “Era Pakarkrasi” ini.

“Saintifik? Di manakah sains apabila segala pengetahuan itu dimonopoli segolongan pakar? Bukankah sains itu wujud untuk membebaskan minda manusia? Apakah pakar yang menafikan wujudnya kepentingan diri ini lebih baik daripada politikus yang sedia maklum dimotivasikan oleh kuasa tetapi suka tidak suka, kena faham suara hati massa?” saya tidak tertahan lagi.

Dan terkejutlah saya dari mimpi. Kedua-dua rakan saya masih asyik membincangkan utopia mereka yang berjaya menghapuskan politikus. – 5 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments