Opinion

Mimpi lagi, kali ini saksi ‘road rage’ di Kelantan

Saya berasa amat rendah diri membaca sambutan yang cukup hangat tentang mimpi saya dirompak oleh orang Islam di Kelantan dan kes saya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ini mengukuhkan keyakinan saya bahawa Bahasa Melayu boleh menjadi perantaraan wacana isu penting dan “sensitif” seperti Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 Kelantan [KJSK]

Sememangnya, ada yang menuduh saya campur tangan dalam hal ehwal orang Islam kerana KJSK tidak terpakai pada orang bukan Muslim, seolah-olah mereka membentuk pandangan tanpa membaca dan memahami rencana saya.

Ada juga mempersoalkan kelayakan kerana saya bukan pakar undang-undang syariah seolah-olah seorang pembeli televisyen tidak boleh bertanya tentang fungsinya kalau dia bukan graduan kejuruteraan elektronik.

Ada juga yang langsung menuduh saya anti-Islam atau cuba mencabar orang Melayu malah menyalahkan The Malaysian Insider kerana menyiarkan rencana saya, seolah-olah cuma pandangan positif tentang Kanun Jenayah Syariah itu yang harus diterbitkan dan segala kemusykilan akan tersejat sendirinya.

Akan tetapi, terdapat juga pandangan yang menuju ke arah hukuman ta'zir. Antaranya, saya amat hayati balasan saudara Fuad Syazwan Ramli, seorang peguam di mahkamah Common Law.  

Beliau memberi ulasan dengan cara yang cukup professional, terbuka dan bersopan-santun, dan sikap ini harus diteladani oleh kita semua.

Beliau menekankan peri pentingnya Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 Kelantan (EKMSK) dalam melengkapi KJSK dan berjaya menyakinkan saya yang sebelum ini cuma menekankan “Semua kesalahan di bawah Kanun ini... hendaklah dibuktikan dengan... syahadah saksi” (Seksyen 39).

Beliau juga secara tidak langsung membuktikan dua perkara:

Pertama, kalau sesuatu jenayah itu dilakukan oleh orang Islam, maka sekalipun mangsanya orang bukan Islam, kesnya tetap akan dibicarakan di Mahkamah Syariah, dan, jaminan bahawa KJSK itu langsung tidak kena-mengena dengan orang bukan Islam adalah kenyataan palsu.

Kedua, kalau kes-kes melibatkan orang bukan Islam itu hanya kesalahan ta'zir, maka persoalan bahawa orang bukan Islam tersentuh Al-Quran atau Sunnah itu apabila meneliti KJSK sebagai pihak berkepentingan (stakeholder) adalah tuduhan palsu, kerana kesalahan dan hukuman ta’zir itu memang adalah hasil ijtihad (penggunaan akal manusia).

Saya cukup berterima kasih kepada saudara Fuad Syazwan dan sememangnya berusaha mengkaji EKMSK untuk memahami proses pengadilan syariah.

Akan tetapi, dalam keasyikan membaca undang-undang itu, saya yang keletihan itu tertidur dan termimpi lagi.

Pembicaraan “road rage” di bawah Kanun Keseksaan

Sekali lagi, malang tidak berbau apabila saya melawat negeri Kelantan. Kali ini saya tidak bersendirian tetapi datang bersama dengan Jebat, rakan saya.

Jebat seorang pemain musik rock yang berpandangan kritis, sering berdampingan dengan aktivis dan penulis seperti Hishamuddin Rais, Fathi Aris Omar, Adam Adli, Mandeep Singh dan dahulunya Ali Abd Jalil.

Apabila kami habis makan nasi kerabu sebagai sarapan dan ingin beredar, kami mendapati kereta Myvinya tidak dapat beredar kerana di depannya sebuah Vellfire baru "double park".

Jebat yang tidak sabar peribadinya tidak berhenti-henti membunyikan hon tetapi tiada pun orang muncul mengedarkan Vellfire itu.

Tidak boleh buat apa-apa, kami berduameneliti Vellfire itu. Nombor pletnya ialah JX18 tetapi di tepi plet itu terdapat sebuah simbol kebesaran yang tidak terdapat di Malaysia.

Beberapa minit kemudian, seorang berusia hampir 40-50 tahun dan berpakaian formal yang segak, muncul di depan kami dengan tiba-sertanya. Di tepinya dua orang lelaki yang nampaknya garang and angkuh.

“Why do you keep on honking? Don't you know who I am, boy?”, tanya orang itu dalam bahasa Inggeris.

“Siapa kau?” soalan Jebat memang tidak dapat tersimpan kemarahan dan penghinaannya.

“I am Tengku Jefferi. My grandfather is the Sultan of North Borneo. My brother-in-law is the MP here. So what if I let you wait? What can you do?”

Kesultanan North Borneo?  Saya teringat berita bahawa ramai orang kaya Malaysia pergi membeli pangkat Datuk dari situ.

“Celaka! Cucu raja ke, ipar YB ke, celaka saja kalau kurang ajar!” Jebat menjawab.

Saya terasa sesuatu buruk akan berlaku dan serta-merta bergerak untuk memisahkan mereka sambil meminta Tengku Jefferi itu: “Tengku, tolong edarkan kereta, kami akan tinggalkan sini serta merta juga. Tolonglah Tengku.”

Akan tetapi, sudah terlewat. Saya ditolak ke sebelah dan ditahan oleh kedua-dua orang pengikut Tengku itu.

Tengku Jefferi itu mula menyerang Jebat dengan sebatang "steering lock" besar. Serangan pertama terkena mulutnya dan Jebat terus berdarah. Jebat cuba melindungi kepalanya dengan tangan kanannya daripada serangan seterusnya.

Saya menjerit sekuat-kuatnya “Tolong! Tolong! Berhenti! Berhenti!” dalam ketakutan tetapi apabila ia berhenti, Jebat cedera parah.

Jebat diberitahu doktor bahawa beberapa kerat tulang di tangan kanannya patah dan tulang dua jarinya hancur, bermaksud dia tidak mungkin bermain gitar lagi. Dia juga kehilangan tiga biji gigi.

Pegawai penyiasat (IO) adalah yang sama saya temui dalam kes rompakan yang lama. Dia berasa simpati dengan kemalangan yang terus menimpa saya dan berjanji akan membawa Tengku Jefferi itu ke muka keadilan.

Tengku Jefferi itu didakwa mengakibatkan “kecederaan teruk” di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaraya mengemukakan dua orang saksi, iaitu saya dan Puan Siti, seorang makcik yang kebetulan melalui situ dan melihat bagaimana kes “keganasan jalanraya” itu berlaku.

Sungguhpun Puan Siti tidak dapat dengar dengan jelas pertingkahan yang berlaku, tetapi dia dapat melihat bahawa Tengku Jeferri yang mula menyerang.

Tengku Jeferri cuba memutarbelitkan ceritanya dengan menuduh bahawa Jebat bukan saja memakinya dengan perkataan “celaka” yang kata peguambelanya, suatu perkataan berbau hasutan yang boleh mengamokkan rakyat jelata, malah mencalar badan Vellfire itu dengan perkataan “celaka anak raja”, dan lalu menyerang Tengku Jefferi dengan penumbuknya.

Maka, serangan balas ke atas Jebat adalah tindakan mempertahankan diri yang terlepas kawalan kerana provokasi.

Tengku Jefferi menyokong cerita dongengnya dengan bukan saja keterangan daripada dua orang rakannya, tetapi juga gambar keretanya dicalar, malahan gambar dan laporan perubatan bahawa dia telah dicederakan di bahagian muka sehingga hidung berdarah.

Akan tetapi, setelah membandingkan keterangan dua orang saksi di pihak plaintif dan dua orang saksi di pihak orang tertuduh, hakim menolak hujah peguambela Tengku Jefferi berdasarkan pertahanan diri atau provokasi.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM10,000 kerana pada pendapatnya, keganasan itu terlalu serius dan boleh membawa maut jika Jebat tidak melindungi kepalanya dengan tangan kanannya.

Jebat juga menfailkan kes sivil untuk minta pampasan daripada Tengku Jefferi kerana dia tidak dapat lagi mencari rezeki dengan bermain gitar.

Di bawah Kanun Jenayah Syariah

Saya tidak tahu berapa pampasan Jebat dapat di Mahkamah Sivil kerana tiba-tiba Jebat dan saya berada di pejabat Pegawai Pendakwa Syarie (PPS).

Kami diberitahu oleh kerana orang tertuduh itu, Tengku Jeferri, seorang Islam, maka ia akan dibicarakan di Mahkamah Syariah di bawah Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang baru berkuatkuasa.

“Ini adalah sejenis kesalahan qisas, yang hukumannya bermaksud ‘balasan’.  Seksyen 35(1) Kanun menyatakan bahawa: ‘Mana-mana orang yang menyebabkakepn kecederaan anggota badan kepada seseorag, maka ia hendaklah dihukum dengan hukuman qisas, iaitu dikenakan dengan dikenakan kecederaan yang sama seperti kecederaan yang telah dilakukannya kepada mangsanya…”, kata PPS.

Jebat menyampuk, “Maksud saudara PPS ialah Tengku Jeferri itu harus dicacatkan tangan kanannya, dihancurkan tulang dua jarinya dan digugurkan tiga biji giginya? Saya cuma nak keadilan, bukan balasan sedemikian.”

PPS menjawab, “Hukum syariah sebenarnya memang menggalakkan pendamaian. Kalau saudara Jebat sanggup memaafkan Tengku Jeferri atau mencapai penyelesaian, sulh atau persetujuan dengannya, maka hukuman qisas itu boleh dikecualikan di bawah Seksyen 37.

“Malangnya, nampaknya Tengku Jeferri tidak berminat untuk mencari penyelesaian. Dia menuduh saudara yang menyerangnya dan dia cuma sekadar mempertahankan diri tetapi terhilang kawalan. Maka kita perlu teruskan pendakwaan dengan kesalahan Qisas kerana kita sudah ada dua saksi Islam yang boleh membuat Syahadah”, PPS teruskan penjelasannya.

“Habis, kalau keadilan ditakdirkan, bagaimana hendak laksanakan hukuman qisas dengan cacatkan tangan kanan, hancurkan tulang jarinya dan gugurkan giginya?”, Jebat terus bertanya.

“Sebenarnya, kanun itu tidak menyatakan mekanisma untuk hukuman qisas. Cuma ada panduan di bawah Seksyen 52 untuk 'cara memotong tangan dan kaki', yang merupakan hukuman hudud. Dan ini juga kes pertama, tiada contoh untuk jadi rujukan,” jelas PPS.

“Tetapi janganlah saudara Jebat risau. Di bawah Seksyen 35 tadi, ia juga menyatakan, sekiranya hukuman qisas itu tidak dapat dikenakan atau tidak dapat dilaksanakan dengan sebab syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syarak tidak dipenuhi maka pesalah itu hendaklah membayar arsy kepada mangsanya dan bolehlah dikenakan hukuman ta’zir dengan dipenjarakan.”

“Maksudnya, sekurang-kurangnya Tengku itu akan dipenjarakan dan anda mendapat pampasan – ini tidak menjejaskan hak saudara untuk tuntut pampasan sivil di mahkamah Common Law,” PPS teruskan penjelasannya.

“Apakah hukuman penjara maksimum?”, tanya Jebat yang lebih lega sekarang.

“Kesalahan menyebabkan kebinasaan atau kelemahan selama-lamanya fungsi atau kegunaan sesuatu anggota iu selama-lamanya itu dinamakan ‘itlaf solahiyyatu al-udhw’ di bawah Seksyen 36. Di bawah Seksyen 38, hukuman maksimumnya ialah penjara 10 tahun, lebih tinggi daripada had 7 tahun di bawah Kanun Keseksaan,” PPS ini memang teliti mendidik kami tentang hukum syariah.

“Bagaimana pula dengan pampasan?”, tanya lagi Jebat.

“Jumlah arsy ditetapkan dengan jelas di bawah Jadual II. Saudara hilang fungsi satu daripada dua tangan, maka diberi pampasan setengah diyat. Saudara hilang dua daripada sepuluh jari, maka akan diberi pampasan 2/10 diyat. Untuk sebatang gigi, pampasannya 1/20 diyat dan saudara hilang tiga batang gigi. Maka, jumlahnya 85% daripada satu diyat,” jawab pendakwaraya setelah menekan mesin pengiranya.

“Berapa nilai satu diyat?” tanya lagi Jebat.

“Satu diyat itu ‘bersamaan dengan harga emas semasa seberat 4.450 gram’ menurut Seksyen 3”, jawab PPS lalu menunjukkan jarinya kepada papan tanda “Harga Emas Hari Ini”  di dindingnya, “dan menurut harga emas hari ini RM140, satu diyat itu RM623, maka untuk tangan kanan, dua batang jari dan tiga biji gigi, saudara akan dapat pampasan RM530.”

“Nilai satu diyat itu sama dengan satu nisabkah, saudara PPS?” saya bertanya sementara Jebat sekarang berdiam saja.

“Benar, diyat itu sama nilai dengan nisab. Saudara Jebat, seperti saya kata tadi, ini tidak menjejaskan hak saudara menuntut pampasan melalui mahkamah sivil,” tambah lagi PPS.

“Apakah peluang Tengku Jeferri itu akan mendapat hukuman yang tegas?” tanya saya.

“Saya khuatir satu perkara. Tengku Jeferri mungkin mencabar nilai keterangan yang diberikan oleh saudara Chin Huat dan Puan Siti, kerana seorang itu bukan Muslim dan seorang lagi perempuan,” suara PPS tiba-tiba menjadi lebih rendah daripada biasa.

Saya tidak bertanya banyak lagi kerana tiba-tiba Jebat dan saya sudah berada di dalam mahkamah syariah.

Peguam syarie Tengku Jeferri sedang membuat hujah penggulungan dan apa yang dikhuatiri PPS itu telah berlaku.

“Yang Arif, satu-satu fakta yang dipertikaikan ialah siapa yang memulakan pertelingkahan dan serangan. Kita ada di satu pihak dua keterangan syahadah oleh lelaki Islam yang aqil baligh dan adil yang mengatakan Encik Jebat yang mulakannya.

"Di pihak lain pula, satu keterangan syahadah oleh perempuan Islam dan keterangan bayyinah oleh seorang bukan Islam yang mengatakan Tengku Jeferri yang mulakannya.

“Sekalipun dalam menentukan hukuman ta’zir, keputusan mahkamah harus mempertimbangkan implikasi sama ada akan memberikan pemberat yang sama kepada keterangan syahadah yang diberikan oleh dua orang saksi lelaki Islam itu dan keterangan yang diberikan oleh seorang perempuan Muslim dan seorang bukan Islam.

“Seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 Kelantan membenarkan orang bukan Islam memberikan bayyinah tetapi hanya mengikut Hukum Syarak, seperti dalam misalan yang diberikan oleh Enakmen itu, sebagai pakar, dan saudara Chin Huat bukanlah pakar dalam keganasan jalanraya.

“Sub-Seksyen 86(4) Enakmen yang sama pula menyatakan dalam keadaan umum, ‘keterangan hendaklah diberikan oleh dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan’. Ini mencadangkan keterangan perempuan tidak senilai keterangan lelaki.”

Saya tidak dapat mengikut hujah peguam syarie yang seterusnya banyak merujuk kepada hukum syarak.

Saya terfikirkan satu soalan lain yang lebih penting: apakah terjadi kalau Jebat lebih kuat daripada Tengku Jeferri itu dan berjaya merampas "steering lock" itu dan mencederakan Tengku? Apakah hukuman yang mungkin dijatuhkan kepada Jebat sebagai pesalah kalau keterangan rakan-rakan Tengku itu mempunyai pemberat yang lebih tinggi daripada keterangan Puan Siti dan saya?

Pohon tafsiran

Saya juga tidak tahu apa keputusan mahkamah syariah dalam mimpi kerana terkejutlah saya asyik tertanya-tanya apa terjadi jika Jebat yang dituduh.

Mimpi sememangnya bukan realiti. Dan tidak munasabah mengharapkan mimpi itu menepati realiti sepenuhya. Fakta mungkin tercelaru. Akan tetapi, apa yang dalam mimpi itu menggambarkan kepedulian yang mendalam.

Dengan hati yang rendah, saya sebagai seorang pihak berkepentingan – seperti mana-mana warga Malaysia, tak kira agama dan negeri, memohon rakan-rakan yang arif tafsiran mimpi baharu saya dan pencerahan ke atas KJSK and EKMSK supaya kita semua dapat menghayati kebaikan maqasid (tujuan) hukum syariah dan memastikan wasail (mekanisma) menepati maqasidnya.

Dalam pencarian ilmu ini, kalau ada apa yang salah silap, sama ada dalam mimpi atau semasa sedar, saya menyusun sepuluh jari. – 29 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments