Opinion

Mungkinkah sokongan sebilangan orang Islam untuk Isis itu rasional?

Ancaman Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) tidak dapat diatasi selagi kita tidak mengakui dengan jujur “kerasionalan” sebahagian orang Islam yang menyokong kumpulan pengganas ini dan menghapuskan “kerasionalan”nya.

Mungkin untuk menjawab Islamofobia di Amerika Syarikat yang semakin berluluasa, wartawan data Max Galka cuba menjawab soalan “berapa peratus Muslim menyokong Isis" dengan mengumpulkan hasil soal selidik beberapa buah badan penyelidik yakni PEW Research Centre, Washington Institute, Fikra Forum, Independent Institute for Administration and Civil Society Studies (IIACSS), ORB International, Arab Centre for Research and Policy Studies, dan Zobgy Research Services.

Hasil kajian sekunder Galka ini yang kemudiannya dilaporkan The Independent, akhbar United Kingdom, membariskan 20 buah negara yang majoriti penduduknya orang Islam mengikut sokongan rakyatnya kepada Isis.

Daripada 20 negara ini, 9 negara mencatatkan sokongan 5% ke bawah, seterusnya 6 dengan sokongan antara 6% dan 9%.

Cuma 5 negara mencatatkan mempunyai penyokong Isis melebihi 10%. Yang paling tinggi ialah 21% di Syria, dan Malaysia mengambil tempat ke-4 dengan 11%.

Daripada 1 segi, Galka membidas propaganda Islamofobia. Daripada segi lain, apakah gelas air ini separuh kosong atau separuh penuh?

Sememangnya kebanyakan rakyat di negara majoriti Muslim tidak menyokong Isis, tetapi peratusan penyokong bila diterjemahkan kepada nombor mutlak, ia masih membimbangkan.

Sebagai contoh, 11% daripada 27 juta penduduk Malaysia berjumlah hampir 3 juta ramainya.

Untuk perbincangan lanjut, saya  menyusunkan semula kajian yang dikumpulkan dalam Jadual 1 dan Jadual 2. Apa yang ditafsirkan sebagai “sokongan kepada Isis” itu berlainan daripada kajian ke kajian.

Sungguhpun badan pengkaji, kaedah dan masa pengkajian itu berbeza, namun kekonsistenannya agak jelas untuk kebanyakan negara.

Sebagai contoh, sokongan untuk Isis di Lebanon hampir sifar tidak kira diukur Pew Research Centre dan Zogby Research Services di Amerika Syarikat atau Arab Centre for Research and Policy Studies di UAE.

Sebaliknya, sokongan Isis adalah tinggi di kalangan orang Syria dalam kajian yang dijalankan IIACSS di Iraq, sama ada pada 2014 (27%) atau 2015 (21%).

Malah, seperti yang diukur  Arab Centre for Research and Policy Studies, sekalipun di kalangan pelarian Syria di Jordan, Lebanon dan Turki, sokongan untuk Isis masih setinggi 13%.

Jawapan kepada soalan "Secara amnya, apakah anda mempunyai pandangan positif atau negative terhadap Isis?” dalam soal-selidik Arab Centre for Research and Policy Studies, November 2015.

Mengapa mereka yang kehilangan rumah halaman dan terpaksa menjadi pelarian kerana Isis masih menyokong Isis?

Sudah pasti ada di kalangan rakan beragama Islam yang akan cepat menolak “kerasionalan”nya kerana kezaliman Isis itu bertentangan dengan ajaran Islam dan seterusnya mendakwa data soal selidik ini semuanya adalah propaganda Amerika Syarikat.

Saya sememangnya tidak hairan kalau ada yang turut mengemukakan teori konspirasi yang Isis itu adalah ciptaan Amerika Syarikat malah Israel.

Ini langsung tidak menghairankan.

Dalam kajian Arab Centre for Research and Policy Studies, pada puratanya cuma 20% daripada responden 8 negara Arab menerima Isis adalah hasil persekitarannya: rantau (Timur Tengah), masyarakat di sana dan persengketaan antara mereka.

Seramai 69% yang lain mendakwa ia adalah ciptaan asing.

Akan tetapi saya ingin menjemput saudara pembaca yang lebih objektif untuk mempertimbangkan soalan ini: tidak mungkinkah sokongan orang Islam kepada Isis itu bersifat rasional?

Di sini, “rasional” tidak membawa pengadilan moral.

Rasional cuma bererti seseorang itu mengambil langkah tertentu yang akan menguntungkannya.

Dalam erti ini, adalah rasional untuk seorang yang tamak untuk memakan rasuah jika kebarangkalian dia dihukum hampir sifar.

Juga adalah rasional untuk seorang yang malas untuk mencuri tulang jika dia tidak akan dihukum.

Sejauh mana seseorang itu bersikap rasional ditentukan, bukan kerana kebaikan hatinya, tetapi  kecerdikan akalnya.

Maka, orang jahat boleh jadi rasional dan orang baik boleh jadi tidak rasional.

Malahan, manusia mungkin memberikan alasan yang rasional untuk perbuatan yang jahat atau buruk.

Itu dinamakan rasionalisasi.

Sebagai contoh, seorang menteri makan rasuah mungkin menyakinkan dirinya yang memakan rasuah itu tidak berdosa. Bukan saja kerana semua menteri lain juga makan rasuah.

Lebih daripada itu, hanya dengan memakan rasuah, beliau dapat membeli undi untuk terus berkuasa. Dan hanya dengan terus berkuasa, beliau dapat membela agama, bangsa dan negara.

Rasuah itu menjadi “kejahatan yang perlu” (necessary evil).

Mungkinkah kezaliman Isis dirasakan ramai orang Islam dirasakan sebagai “kejahatan yang perlu” untuk mencapai sesuatu “kebaikan lebih besar” (the greater good)?

Kalau mungkin, sokongan orang Islam kepada Isis itu boleh jadi rasional.

Dan selagi “kebaikan lebih besar” (matlamat) itu dilihat begitu besar sehingga ia dapat menghalalkan “kejahatan yang perlu” (cara), bagaimana sokongan “rasional” ini dapat ditewaskan?

Kecaman terhadap kezaliman Isis mungkin tidak berkesan kerana penyokong Isis juga kurang bersetuju dengan cara Isis tetapi menerimanya kerana menyokong matlamat Isis.

Maka, untuk melawan Isis, kita tidak boleh cuma menekankan kejahatan caranya, tetapi harus meneliti “kerasionalan” matlamatnya.

Kita mesti berani bertanya: apakah kebaikan untuk orang Islam jika Isis mencapai matlamatnya iaitu mendirikan sebuah kekhalifahan yang menyatukan seluruh umat di dunia? – 3 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments