Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan saja ideolog agung, juga pengatur strategi agung untuk nasionalisme Islam.
Selepas pemilihan parti yang menampakkan kemenangan penuh puak pimpinan Hadi Awang, saya “masih” terbaca komentar di media sosial bahawa beliau diperdayakan Umno dalam isu Kanun Jenayah Syariah kerana ia tidak mungkin diluluskan di Parlimen.
Komentar sebegini agak lazim di kalangan penyokong Pakatan Rakyat (PR), sama ada di dalam atau luar parti PAS. Ia cuba menggambarkan Hadi sebagai seorang pemimpin politik yang naïf.
Bagi saya, analisa sebeginilah yang naïf, hampir bersifat propaganda dan tidak membantu kita – tidak kira kita sokong atau tolak Hadi – untuk lebih memahami apa yang berlaku dan membuat pilihan yang paling sesuai dengan nilai dan kesukaan masing-masing.
Analisa politik berfungsi untuk membantu kita memahami apa yang sebenar berlaku, bukan untuk memuaskan kesukaan kita.
Kalau seseorang yang tidak sehaluan dengan kita itu handal, maka analisa yang jujur harus katakan ia handal dan bukan bodoh.
Dan maka kalau analisa itu jujur dan tepat, ia seharusnya membantu pembaca memahami realiti sebenar sekalipun pembaca itu mungkin tidak berkongsi nilai yang sama dengan penganalisis.
Sebulan yang lepas, saya berhujah bahawa Hadi adalah ideolog agung PAS dan kelemahan puak pro PR ialah mereka kekurangan ideologi untuk mencabar hegemoni presiden parti Islam itu.
Lebih pahala sokong Pakatan?
Puak pro PR mungkin pandai melakukan perkara dengan betul dalam menjaga kesinambungan pakatan itu demi sasaran menawan Putrajaya.
Akan tetapi, bagi akar umbi PAS yang mengikut pandangan Dewan Ulama, kesinambungan PR itu kalau hanya dapat dijaga dengan melengah-lengahkan perlaksanaan hukuman hudud maka ia bukanlah perkara yang betul dibuat.
Kalau laksana hukum hudud boleh dapat pahala di akhirat, apakah kekalkan PR malah tawankan Putrajaya boleh dapatkan lebih pahala?
Daripada laporan media, saya tidak terbaca hujah puak pro PR yang berjaya menegakkan kelebihan pahala dalam pengekalan Pakatan, jika syaratnya ialah menundakan perlaksanaan hudud kerana masyarakat masih belum tersedia.
Dalam sebuah parti yang berteraskan agama dan malah sering bersifat pendakwah, tidaklah hairan ketewasan besar pihak yang memasarkan kejayaan duniawi di tangan pihak lawan yang memasarkan kejayaan akhirat. Logik ini sekalipun orang di atas pun boleh faham.
Sebaliknya, jawapan sesetengah penyokong PR (termasuk yang di luar PAS) terhadap agenda hudud puak Hadi ialah menekankan tipu muslihat Umno untuk memecahkan PR tanpa keikhlasan untuk melaksanakan hukuman hudud akhirnya.
Wacana sebegini mengambil sekurang-kurangnya dua bentuk. Bentuk pertama ialah bertanya: “mengapa negeri diperintah UMNO tidak melaksanakannya dahulu?” Bentuk kedua ialah menekankan pelbagai halangan perlaksanaan Hudud.
Suatu contoh ialah kegagalan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) membawa cadangan pindaan kepada hukum jenayah syariah ke mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada 11hb Mac, kononnya kemungkiran janji dalam jawatankuasa teknikal persekutuan-Kelantan terhadap perkara ini.
Bukan sekadar konspirasi Umno untuk pecahkan Pakatan
Penyokong PR suka mengaitkan kebangkitan agenda Hudud 3.0 ini (1.0 semasa 1993 dan 2.0 semasa 2003) dengan perpecahan Umno. Dalam kata lain, teori konspirasi Umno.
Pandangan ini memperkecilkan ikhtiar pihak kerajaan negeri Kelantan terutamanya Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dalam naiknya agenda Hudud 3.0.
Jika Pakatan yang tawan Putrajaya pada 5 Mei 2013, tak akan Nik Amar dan Ahmad tidak ambil peluang untuk minta lampu hijau dari orang sendiri untuk perlaksanaan hudud? Tetapi mungkinkah kerajaan persekutuan baru di bawah PR bersetuju?
Mustahil sekali, kerana bukan sahaja ramai pengundi bukan Muslim dan gelanggang tengah akan marahkan PR, malah mengikut amaran bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor, Sabah dan Sarawak mungkin akan menuntut kemerdekaan.
Sabah dan Sarawak bukan negeri Melayu. Dalam perundingan pembentukan Malaysia, pengadilan jenayah memanglah dipersetujui sebagai bidang kuasa persekutuan kerana Malaysia sebuah persekutuan sekular.
Bapa kemerdekaan dari bumi Borneo – sekalipun yang Muslim – tidak pernah bersetuju dengan hukuman potong tangan untuk pencuri Islam, rejam untuk penzina Islam atau disebat 40 kali untuk peminum arak Islam.
Maka, jika negeri Kelantan menuntut peluasan kuasa ke bidang pengadilan jenayah, maka Sabah dan Sarawak yang setaraf dengan seluruh Malaya akan mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk meluaskan kuasa masing-masing.
Sememangnya, sudah timbul suara dari Sabah dan Sarawak untuk tuntut perundingan semula Perlembagaan.
Ini bermaksud terdapat ketidakserasian antara PR yang mendapat sokongan daripada semua lapisan dan golongan masyarakat – Islam dan bukan Islam, Semenanjung Malaysia dan Borneo – dan perlaksanaan kanun jenayah syariah yang diidamkan oleh PAS.
Kalau PR sentiasa bertelingkah kerana isu kanun jenayah syariah, maka ramai pengundi akan rasa hampa dan mungkin tidak keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), membiarkan BN menang. Sekalipun PR menang PRU14, pemerintahannya pun mungkin tidak dapat kekal lama.
Dari segi itu, keputusan pemilihan PAS boleh membantu kedua-dua PAS dan PR mengambil posisi yang lebih jelas dan tidak mengelirukan pengundi.
Kepelbagaian pendapat tentang hukuman hudud
Sebelum kita menilai kepimpinan Hadi dalam isu Hudud, adalah penting kita memahami konteksnya.
Prof Yusuf Qaradawi menolak ketidakseimbangan yang berlaku apabila orang besar yang mencuri berjuta-juta dan berbilion-bilion dilepaskan sementara orang miskin yang mencuri dihukum dengan hukuman hudud.
Prof Tariq Ramadan pula langsung mencadangkan penangguhan hukuman hudud dan hukuman mati untuk elakkan ketidakadilan.
Membuat peninjauan mendalam dari pelbagai pandangan, Prof Madya Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) turut berpendapat hukuman hudud perlukan ijtihad baru.
Kerana saya jahil sekali tentang Islam, saya tidak boleh jelaskan mengapa pendapat dunia Islam di luar Malaysia atas isu ini begitu pelbagai sedangkan di Malaysia, sokongan kepada perlaksanaan hukuman Hudud menjadi kewajipan agama kepada semua orang Islam.
Kembalikan order sosio-politik prapenjajahan
Akan tetapi, sebagai ahli sains politik, saya boleh menghayati “agenda hudud” PAS sebagai sebuah projek nasionalisme Muslim dan kelebihan Hadi sebagai seorang ideologi dan ahli strategi.
Seawal 1981, Hadi menggariskan matlamat perjuangan PAS dalam amanat Hadinya yang terkenal, “Kita menentang BN bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah.”
Kanun jenayah syariah – tidak kira di Kelantan atau Terengganu – sebenarnya tidak terhad kepada hukuman Hudud (tetap), tetapi terdapat juga hukuman qisas (balasan) dan hukuman ta’zir (budi bicara).
Ia juga mempunyai undang-undang eviden yang berlainan daripada Kanun Tatacara Jenayah (CPC) di Mahkamah Common Law.
Yang ingin diangkat oleh PAS pimpinan Hadi maka bukan saja hukuman Hudud, tetapi adalah seluruh sistem pengadilan Syariah supaya seluruh umat Muslim dapat dikawal oleh undang-undang syariah dan bukannya Common Law yang dikira sebagai undang-undang kafir.
Ini sebenarnya adalah untuk memadam peninggalan penjajahan Malaysia dan kembalikan oder sosio-politik pra-penjajahan yang diimaginasikan sebagai berorientasikan hukuman hudud.
Imaginasi ini mungkin jauh berbeza daripada realiti kerana, menurut tokoh ilmuwan Islam yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya “Punishment in Islamic Law”, hukuman hudud berhenti sebelum genap dua kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad.
Akan tetapi, sasaran nasionalisme Muslim ini cukup menarik untuk orang Islam yang rasa marah terhadap penjajahan dan menyalahkan penjajahan sebagai sumber masalah orang Islam.
Umno menerima dakwah PAS
Jika semasa zaman Asri Muda, PAS bersaing dengan Umno untuk melihat siapa yang lebih nasionalis Melayu, amanat Hadi memberikan PAS perbezaan yang lebih baik dengan Umno: nasionalisme Muslim. Nasionalisme Melayu Umno dikecam sebagai assabiyah.
Dengan mengangkat institusi silam zaman keagungan Islam, nasionalisme Muslim membantu orang Islam mengatasi trauma penjajahan – sama ada kejatuhan Kesultanan Melaka pada 1511 atau ketewasan Kekhalifahan Ottoman pada 1918.
Dari segi ini, hukuman hudud bersifat teraputik untuk mengangkat maruah orang Islam yang rasa terancam oleh orang bukan Islam, sama ada di luar atau dalam negeri.
Dan dalam masa 34 tahun sejak Amanat Hadi, nasionalisme Muslim mencapai kejayaan besar.
Daripada diperalatkan oleh Umno, saya rasa PAS di bawah pimpinan Hadi sebenarnya berjaya mengubah orientasi Umno.
Kalau dulu Perdana Menteri Umno (Tun Dr Mahathir Mohamad) berani menghalang perlaksanaan hudud, kini cuma tinggal seorang Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) yang berani mengejek PAS.
Kalau dahulu orang Umno perlu dikafirkan, kini orang Umno yang semakin lemah menerima dakwah PAS dan secara perlahan-lahan menggantikan nasionalisme Melayunya dengan nasionalisme Muslim.
Untuk menyekat PAS daripada beranjak ke gelanggang tengah dalam PR, malah Isma disokong oleh Umno untuk memperjuangkan nasionalisme Muslim dengan cara yang lebih agresif.
Atas isu kanun jenayah syariah, misalnya, ISMA mengambil ketetapan bahawa kanun jenayah syariah harus dipakai atas kedua-dua orang Islam dan bukan Islam, dan orang Cina dan India yang bukan Islam tidak harus bercampur mulut kerana mereka adalah pendatang.
Semakin kuat Umno makan rasuah dan lawan sendiri, maka semakin perlunya Umno menciplak PAS. Daripada PAS diwarnakan biru, sebenarnya Umno yang menjadi semakin hijau.
Kerana nasionalisme mengalir dalam darah Umno, maka, tidak susah untuk Umno bergurukan PAS untuk beraksi sebagai nasionalis Muslim, malah menjadi lebih PAS daripada PAS. Kini, Terengganu dan Kedah sudahpun bersedia menghukum orang Islam yang ponteng sembahyang Jumaat.
Dengan kerjasama Umno, agenda Hadi untuk menghapuskan “perlembagaan penjajah”, “undang-undang kafir” dan “peraturan-peraturan jahiliyah” itu berpeluang untuk direalisasikan secara beransur-ansur dan muncul sebagai “political correctness” baru yang tidak boleh dipertikaikan.
Ini sebaliknya tidak mungkin berlaku dengan Pakatan. Ia mesti menjaga bukan saja kepentingan pengundi bukan Muslim dan negeri Borneo, tetapi juga suara Islamisme sejagat yang lebih menekankan maqosid (matlamat) Syariah daripada bentuk hukumannya.
Kalau yang dikejar PAS ialah nasionalisme Muslim, bukan Islamisme sejagat ataupun kuasa di Putrajaya, maka muktamar ini membuat keputusan yang tepat sekali. Sejarah pasti akan mencatatkan peranan besar Hadi dalam mengangkat lagi nasionalisme Muslim. – 7 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments