Banjir besar tahun ini akan berulang. PAS mesti bertanya sendiri: sama ada kehijauannya bukan saja “hijau alim” dalam erti kata hasrat saja, tetapi “hijau alam” dalam erti kata dasar juga?
Seperti bencana lain, banjir luar biasa yang melanda Malaysia tahun ini menampakkan kemuliaan hati nurani rakyat Malaysia untuk menghulurkan tangan membantu kepada mangsa tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Semasa kita bersyukur dengan solidariti ini, kita harus bertanya sendiri dengan jujur: apakah sebab banjir tahun ini begitu teruk? Apakah kita boleh lakukan untuk mengurangkan kebarangkalian banjir sebesar ini berulang dalam masa 11 bulan lagi?
Kalau kita tidak menjawab soalan ini, maka pada hujung 2015 Malaysia terpaksa sekali lagi menggembleng tenaga manusia dan sumber ekonomi – mungkin lebih banyak daripada sekarang untuk menyelamatkan mangsa dan membantu mereka membina kampung halaman.
Sistem pengairan, hakisan dan perubahan iklim
Kejadian banjir boleh dibahagikan kepada sekurang-kurangnya tiga jenis faktor: sistem pengairan, kawasan tadahan hujan dan iklim.
Pertama, pada peringkat yang paling lokal, kalau parit dan sungai lebih dalam, lebih luas dan tidak tersumbat, maka air akan dapat dibawa ke arah hilir dengan lebih cepat, dan banjir dapat dikurangkan atau dielakkan.
Kedua, pembalakan dan pembukaan tanah memusnahkan kawasan tadahan air dan menyebabkan tanah gambut yang menyerap air tehakis. Hal ini menyebabkan tanah laterit yang merupakan lapisan di bawahnya dialirkan ke sungai dan mencetekkan sungai. Lapisan tanah laterit yang mengandungi banyak mineral besi (iron minerals) inilah yang mengakibatkan air bah bewarna merah.
Ketiga, kuantiti air hujan yang turun itu ditentukan pelbagai faktor secara global. Pengeluaran gas karbon dioksida yang berterusan dan melambung naik mengakibatkan pemanasan global dan iklim yang semakin tidak menentu.
Siapa untung membalak? Siapa sengsara banjir?
Malapetaka yang membawa kesengsaraan kepada satu suku juta rakyat Malaysia dan lebih 100,000 di Kelantan semata-mata adalah amaran ada yang tidak kena dengan model pembangunan kita.
Malapetaka ini bukan berlaku kerana tiada tangan pencuri dipotong di Kelantan lebih daripada seabad, tetapi kerana balak ditebang di Hulu Kelantan sesuka hati dalam dekad-dekad lalu.
Kajian dengan data Google menunjukkan Malaysia kehilangan keluasan hutan sebanyak 47,278 km persegi – lebih besar daripada seluruh Denmark dalam tempoh 12 tahun dari 2000 hingga 2012. Ini merupakan kehilangan setinggi 14.4%, paling tinggi di dunia.
Tidak dapat dinafikan ekonomi negara kita bermanfaat daripada sektor pembalakan. Persoalannya, apakah kos yang kita tanggung?
Paling penting lagi, siapakah yang mendapat untung? Siapakah yang menanggung kosnya? Apakah mangsa banjir sekarang yang selama ini kaya raya kerana pembalakan? Kalau tidak, apakah ini adil mereka yang menerima kemurkaan Allah atas pembinasaan alam oleh manusia?
Kalau aktiviti pembalakan ini sah diluluskan pemerintah, maka apakah dasar ini akan dikaji semula? Siapa yang harus bertanggungjawab atas kelulusan dasar ini? Sebaliknya, kalau pembalakan ini dijalankan secara haram, siapa yang harus diheret ke mahkamah?
Agenda pasca banjir
Cadangan Datuk Husamuddin Yaacub, pemilik Sinar Harian, supaya PAS dan Umno membentuk kerajaan campuran di Kelantan itu supaya Kelantan dapat dibangun semula mengingatkan kita betapa pentingnya untuk mula memikirkan agenda pasca banjir.
Sememangnya sistem federalisme kita memperuntukkan mekanisme untuk kerjasama pusat-negeri – sama ada pada waktu aman atau darurat – tanpa memerlukan pembentukan kerajaan campuran. Keji sekali kalau ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam malapetaka ini.
Apa yang rakyat perlukan bukanlah lawatan mesra rakyat ke kawasan banjir oleh pak-pak menteri atau kerabat diraja, ataupun dana pembangunan semula yang memang harus diperuntukkan, tetapi tindakan untuk meminimakan skala banjir dalam musim monsun pada penghujung 2015, termasuk penyiasatan dan pendakwaan pihak yang terlibat dalam pembalakan haram.
Di manakah politik hijau kita?
Hari ini, pemanasan global dan perubahan iklim sedunia menjadi agenda utama global dan ekonomi rendah karbon iaitu ekonomi yang kurang menghasilkan gas karbon dioksida menyebabkan pemanasan global – digalakkan oleh negara maju.
Sungguhpun amalan kitar semula sudah kian lama dijalani di Malaysia dan dasar pro-alam seperti pengurangan plastik telahpun dimulakan di Pulau Pinang dan Selangor, banjir besar kali ini sebenarnya menyeru agenda politik hijau yang lebih agresif.
Model pembangunan kita mesti dikaji semula. Impak bencana alam mesti lebih dipentingkan. Pengambilan keputusan mesti lebih telus, akauntabel dan menggalakkan penyertaan orang ramai.
Kita mesti mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida dengan menggalakkan pengangkutan awam dan bukan semata-mata menuntut penurunan harga minyak.
Kita mesti menekan brek dalam pembalakan dan pembukaan tanah baru. Untuk setiap pohon balak yang ditebang di hulu, kita mesti bertanya: apakah manfaat yang akan dikongsi rakyat dari hulu ke hilir? Apakah ia berbaloi dengan kosnya?
Janganlah hanya air banjir yang melimpah tetapi untung bertakung di poket pemimpin politik, pegawai tinggi, golongan bangsawan dan para hartawan.
Saya terfikirkan parti-parti hijau yang muncul untuk menentang pembinasaan alam sekitar, bukan saja di Eropah dan Amerika, tetapi juga di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Di manakah parti hijau kita? Apakah Pakatan Rakyat sanggup lebih menghijaukan paradigma dan dasar mereka?
Khususnya untuk PAS yang memang hijau warnanya, apakah hijaunya cuma “hijau alim” pada hasrat, ataupun ia “hijau alam” pada dasarnya juga?
Bukankah manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk menjaga bumi? Tidakkah kealiman itu merangkumi perasaan cinta kepada alam?
Saya difahamkan salah satu sebab warna hijau itu disukai Rasullullah ialah ia melambangkan oasis dan kehidupan dalam gurun yang gersang.
Seorang rakan Muslim saya memberitahu saya, kemudaratan manusia membinasakan alam sekitarnya sebenarnya diberi amaran oleh Allah dalam Al-Quran:"Telah tampak kerosakan di darat dan di laut akibat daripada perbuatan tangan-tangan manusia" (Surah ar-Rum: Ayat 41)
Relevan sekali kalau PAS yang selama ini gigih menentang ketamakan dan keangkuhan manusia dalam mengabaikan kehendak Allah ini juga turut menentang sebarang pemerkosaan alam yang juga merupakan kebejatan yang akan diperanginya secara habis-habisan.
Indah sekali kalau Ustaz Nasrudin Tantawi, Ustaz Nik Abdul dan rakan-rakan mereka boleh memprotes pembalakan haram di Gua Musang dan pembinaan empangan di Ulu Baram selain memprotes konsert di Bukit Jalil. – 4 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments