Pembantah anti salib tidak seharusnya didakwa mengikut Akta Hasutan sebaliknya disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan untuk ugutan jenayah.
Kerana Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar asalnya ingin melepaskan abangnya Datuk Abdullah Abu Bakar yang mengetuai demonstrasi anti-salib di Taman Medan hari Ahad yang lepas dengan menafikan kes itu berunsur hasutan, mendakwa kumpulan pembantah itu di bawah Akta Hasutan tiba-tiba menjadi perkara yang “benar secara politik” sekali.
Kita kena tanya: Apa yang menjadi bersalah? Ketakutan kepada salib kerana kekurangan dalam akidah sendiri? Penghinaan kepada agama orang lain dengan menuntut supaya salib diturunkan? Ugutan untuk lakukan keganasan kalau tuntutannya tidak dipenuhi?
Ini tiga isu yang berlainan.
Isu Pertama: Ketakutan orang Islam kepada salib
Apabila orang Islam takutkan salib akan jejaskan akidah anak-anak muda, itu sebenarnya hal ehwal dalam orang Islam.
Sungguhpun salib itu menjadi simbol kepada agama Kristian, dan pernah menjadi simbol pemusuhan Islam-Kristian dalam perang salib, salib sebenarnya bukan hak milik orang Kristian.
Salib itu sebenarnya satu alat hukuman atau penyeksaan yang digunakan oleh orang Persia, Carthage dan Makedonia beberapa kurun sebelum Yesus Kristus dilahirkan dan dihukum mati dengan cara yang kejam ini.
Malah hukuman salib ini turut diwarisi oleh umat Islam kemudiannya. Ramai penyokong hukuman hudud di Kelantan itu mungkin tidak sedari, salah satu hukuman hudud dalam Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 Kelantan itu adalah hukuman salib.
Seksyen 10(a) Kanun itu berbunyi : “Dihukum bunuh dan selepas itu disalib jika mangsa kesalahan itu hirabah (rompakan) dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil”.
Kalau salib di gereja pun boleh menjejaskan akidah sebuah taman perumahan, apa akan jadinya kalau jenazah seorang perompak Muslim disalibkan? Moga-moga akidah anak-anak muda Kelantan itu jauh lebih kuat akidah mereka daripada anak muda Taman Medan sajalah.
Bagaimana untuk mengatasi ketakutan orang Islam terhadap salib itu hal ehwal orang Islam. Pihak yang perlu ambil tindakan bukanlah polis dan mahkamah, tetapi masjid dan jabatan hal ehwal agama.
Menarik sekali, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha, bila membuat komen pasal bantahan anti salib itu, menolak tindakan itu daripada segi undang-undang dan penghormatan kepada kepelbagaian agama, dan tidak menyentuh tentang pasal akidah.
Isu Kedua: Penghinaan kepada agama lain
Sememangnya kita harus menghormati sesama lain. Ini adalah isu kesopanan dalam hidup bermasyarakat. Setiap kanak-kanak harus diajar supaya mereka tahu bagaimana membawa diri sampailah dewasa nanti.
Yang tidak sopan itu namanya kurang ajar. Tak kiralah isunya salib atau azan, bentuknya membuat demonstrasi sebarangan atau merakam video.
Bagi ramai, cara penyelesaian kepada gejala kurang ajar ialah Akta Hasutan.
Persoalannya, bagaimanakah undang-undang dapat mengajar kita tentang betul atau salah. Undang-undang cuma boleh menghukum kesalahan, ia tidak semestinya boleh mengubah tanggapan dan nilai pihak yang dihukum.
Sebaliknya, hukuman undang-undang mungkin, secara tidak diingini, menjadikan pesalah yang dihukum itu wira dalam kaca mata mereka yang berkongsi tanggapan dan nilai yang sama.
Itu sebabnya gejala terorisme tidak berhenti dengan undang-undang yang ketat malah kejam.
Maka, kalau kita ingin masyarakat kita saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi, apa yang perlu adalah tindak balas pendapat awam yang betul kepada perbuatan kurang ajar. Itulah satu-satu caranya untuk ajar mereka yang kurang ajar.
Dalam insiden Taman Medan itu, perbuatan kurang ajar Abdullah dan kuncu-kuncunya rata-rata tidak disalahfahamkan sebagai mewakili umat Islam di Malaysia, kerana individu-individu dan badan-badan orang Islam serta-merta mengecam perbuatan kurang ajar itu.
Sebagai contoh, Muslim Professsional Forum (MPF) sebuah badan bukan kerajaan orang Islam yang dihormati telah serta-merta mengecam tindakan itu sekeras-kerasnya.
MPF menegaskan bahawa “agama Islam cukup kaya dengan pelbagai contoh teladan yang jelas dalam menghormati agama-agama lain, penganut-penganutnya, malah tuntutan untuk bertanggungjawab dalam melindungi tempat-tempat ibadah mereka” dan turut memberikan contoh Nabi Muhamad melayani 60 orang Kristian dari Yemen dan Sayyidina Umar ibn Al-Khattab menjamin kebebasan beragama di Jerusalem.
Kecaman meluas dari orang Islam terhadap perbuatan kurang ajar oleh segelintir orang Islam adalah cara paling baik untuk mencegah ulangan perkara yang sama.
Ini sama seperti kecaman seorang Padri Katolik Dr Sherman Kuek terhadap perbuatan kurang ajar Alvin Tan yang menghina azan orang Islam.
Apabila perbuatan yang cuba mewirakan diri di kaca mata komuniti sendiri dijawab dengan kecaman dan penolakan, maka niat dan motivasi mewirakan diri itu ditewaskan.
Dengan kecaman meluas orang Islam terhadap perbuatan kurang ajar Datuk Abdullah Abu Bakar dan kuncu-kuncunya, kita tidak perlukan Akta Hasutan.
Sebaliknya, kalau orang Islam rata-rata tidak ingin mengecam perbuatan kurang ajar kumpulan itu malah melihat mereka sebagai pejuang hak Muslim, apakah Akta Hasutan akan berkesan untuk mencegah ulangan gejala sebegini?
Isu Ketiga: Ugutan Jenayah
Abdullah dan kuncu-kuncunya tidak harus dihukum undang-undang semata-mata kerana mereka ada isu berkaitan dengan akidah atau kerana mereka berkelakuan kurang ajar. Ini isu agama dan pendidikan keluarga dan tidak perlu campur tangan undang-undang.
Akan tetapi, apabila kerisauan mereka tentang akidah anak muda atau sikap kurang ajar mereka menyebabkan ancaman keganasan kepada orang lain, maka mereka mesti dihadapi ke muka pengadilan kerana ancaman keganasan ini, bukan kerana kelemahan dalam pendidikan agama atau pendidikan keluarga.
Sememangnya, sekalipun seseorang itu menggunakan keganasan atau ugut untuk menggunakannya untuk sesuatu tujuan yang baik, dia tetap harus dihukum.
Sebagai contoh, kalau kerana kecintaannya kepada alam sekitar, jiran kita mengugut kita untuk menghentikan penggunaan beg plastik dengan mata pisau, atau kalau kerana keprihatinannya kepada anak-anak yatim, rakan sejawat kita memaksa kita untuk menderma kepada sebuah rumah anak yatim kalau tidak ingin tayar dilepaskan angin ataupun difitnah di internet, mereka mesti didakwa.
Mereka telah menafikan kebebasan orang lain membuat keputusan secara bebas. Sekalipun apabila dimotivasikan oleh tujuan yang murni, mereka telah melakukan kesalahan “ugutan jenayah” (Seksyen 503 di bawah Kanun Keseksaan).
Seksyen 506 Kanun Keseksaan seterusnya menetapkan untuk kesalahan ini hukuman maksima dalam bentuk penjara dua tahun dan denda.
Sekiranya pesalah mengugut untuk membunuh atau mengakibatkan kecederaan yang parah, atau membakar bangunan itu dengan api, atau melakukan apa-apa kesalahan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara sampai tujuh tahun, atau mencabuli maruah seseorang perempuan, maka tempoh penjara maksima menjadi tujuh tahun.
Sebagai perbandingan, Akta Hasutan yang pada ketika ini membawa hukuman maksima denda RM 5000 dan penjara selama tiga tahun tidak menghiraukan sama ada keganasan sebenarnya dihasratkan oleh pihak yang tertuduh.
Maka, dakwaan di bawah Akta Hasutan itu tidak adil apabila pihak yang tertuduh tidak berniat untuk mengakibatkan atau mengugut dengan keganasan dan apabila pihak yang tertuduh sememangnya berniat mengakibatkan atau mengugut dengan keganasan dan dilepaskan daripada hukuman yang lebih berat di bawah Kanun Keseksaan.
Ini sebenarnya apa yang berlaku kepada bantahan “kepala lembu” di Shah Alam pada 28 hb Ogos 2009 yang turut bersifat keagamaan apabila sekumpulan “penduduk orang Islam tempatan” membantah pindahan sebuah kuil Hindu ke komuniti mereka yang sebenarnya berbilang agama. Kononnya, terlalu banyak kuil Hindu akan menyebabkan orang Melayu kurang senang.
Mereka – kebetulan juga orang UMNO kebanyakannya – membawa sebiji kepala lembu yang baru disembelih, bukan saja ingin menyakitkan dan memarahkan orang Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci tetapi turut memberi amaran bahawa kalau perpindahan kuil itu tidak dihentikan, maka tumpahan darah akan berlaku.
Pada masa itu, seperti ketua polis negara sekarang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein cuba melindungi pembantah “kepala lembu”. Apabila kemarahan seluruh negara memaksa Polis untuk mengambil tindakan, geng “kepala lembu” itu didakwa bukan pasal ugutan jenayah, tetapi pasal hasutan dan perhimpuan haram.
Akhirnya, disabit hasutan kerana “berniat untuk mengakibatkan tegangan kaum”, dua orang didenda RM 3000 dan salah seorang daripada mereka dipenjarakan untuk seminggu manakala kesemua 12 orang pembantah didenda RM 1000 untuk perhimpunan haram.
Dengan “perlindungan” Akta Hasutan yang nampaknya telah memberi hukuman, mereka terlepas bukan saja daripada hukuman yang lebih berat di bawah Kanun Keseksaan, malah juga kesabitan kesalahan yang sebenarnya, ugutan jenayah.
Marilah kita menuntut geng anti-salib ini disiasat dan didakwa kerana mereka mengancam keganasan, bukan kerana mereka kurang ajar. – 28 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments