Kemungkinan kita akan mudarat kerana menikmati terlalu banyak kebebasan sebenarnya bergantung kepada sama ada Malaysia bangsa yang pintar atau bodoh, dan sama ada kemerdekaan kita pintar atau bodoh.
Kebebasan memerlukan pemerintah
Persoalan “apakah kebebasan itu mungkin berlebihan?” sebenarnya satu isu palsu. Sekalipun di Hong Kong yang ekonominya paling bebas juga kebebasan ada batasannya.
Anda tidak boleh melawat Hong Kong dengan tidak membawa pasport atau memulakan perniagaan tanpa lesen, sama ada ketika zaman penjajahan British dahulu atau zaman kawalan Beijing selepas 1997.
Kebebasan itu bukan sahaja tidak seerti dengan kekelamkabutan, kacau bilau dan ketiadaan undang-undang (lawlessness), sebaliknya penegakan kebebasan itu banyak bergantung kepada kewujudan undang-undang dan pemerintah.
Sungguhpun ada pihak yang menyarankan kebebasan bersifat anarki (ketidakwujudan pemerintah), tetapi rata-rata apabila kebebasan dijunjung negara demokrasi atau dibela pejuang hak asasi manusia dengan menekankan jaminan oleh perlembagaan, ia bermaksud kebebasan dalam kewujudan pemerintah*.
* Saya gunakan “pemerintah” seperti dalam bahasa Indonesia yang bermaksud “government” dan bukan membawa erti “ruler”. “Kerajaan” akan digunakan hanya apabila ia bermaksud “pemerintahan beraja” atau “politik beraja” (kingdom).
Jadi kebebasan dan pemerintah sebenarnya kawan dan bukan lawan. Penghayatan kewujudan pemerintah boleh dikaitkan dengan pemikir agung konservatif England yang bernama Thomas Hobbes (1588-1679), yang pertama sekali mengutarakan konsep “kontrak sosial”.
Kontrak sosial
Hobbes memanggil keadaan sebelum kewujudan pemerintah sebagai “keadaan semulajadi” (state of nature) dan membayangkan kehidupan manusia pada ketika itu sudah pastinya “bersendirian, miskin, buruk, kejam dan singkat."
Ini kerana manusia sungguhpun bebas, mereka tidak selamat. Yang kuat akan menyerang, menggertak malah mungkin membunuh yang lemah, sehinggalah mereka diserang, digertak atau dibunuh oleh pihak yang lebih kuat lagi.
Tanpa pemerintah, manusia hidup dalam “perang oleh semua terhadap semua” (war of all against all).
Maka demi keselamatan, manusia sanggup meninggalkan keadaaan semulajadi dan melepaskan kebebasan mereka untuk bermasyarakat dan bernegara. Negara diberikan kuasa untuk memerintah supaya individu tidak menyerang sesama sendiri.
Dalam konsep Hobbes, negara seumpama satu gergasi laut (dinamakan Leviathan) yang terdiri daripada individu yang tidak terbilang keramaiannya.
Ini adalah makna asal konsep “kontrak sosial”, satu kontrak bukan di antara kelompok (kaum atau kelas) tetapi di antara individu dengan kolektif (negara). Negara itu wujud untuk mencegah keganasan.
Konsep ini mempengaruhi pemikiran masyarakat Barat sehingga hari ini. Kebebasan dan keselamatan dikira dengan tukar ganti (trade-off) – lebih keselamatan, maka kurang kebebasan dan sebaliknya.
Sejauh mana kebebasan harus disekat dan sebesar mana kuasa harus diberikan kepada pemerintah itu berbeza mengikut mazhab fikiran yang lain.
Hobbes sebagai seorang pemikir konservatif yang hidup semasa Perang Saudara England (1642-1651) amat menghargai keselamatan dan percaya pemerintah yang jahat pun lebih baik daripada ketiadaan pemerintah atau anarki.
Jika beliau hidup di Malaysia zaman ini, maka beliau barangkali bersetuju dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan.
Pemikir-pemikir liberal mengambil pendirian yang berlainan. Pemikir agung liberalisme John Locke (1632-1704) yang hidup hampir setengah abad selepas Hobbes percaya rakyat berhak bangkit dan menggulingkan pemerintah yang zalim dan membelakangi kewajipan mereka dalam kontrak sosial untuk memelihara hak rakyat.
Ini tidak jauh daripada ungkapan terkenal Hang Jebat yang masyhur pada kurun ke-15, sungguhpun bukan dalam bahasa hak asasi manusia: “Raja alim raja disembah, raja zalim raja disanggah.”
Kejahatan yang perlu
Bagi saya, pandangan yang paling bernas berkenaan kebebasan dan kuasa pemerintah datang daripada Thomas yang lain.
Thomas Paine, seorang pemikir bangsa Inggeris kurun ke-18 yang menjelajah ke tanah jajahan di Amerika Utara dan “menghasut” rakyat di sana bangkit menuntut kemerdekaan dengan risalahnya yang amat berpengaruh dan berjudul “Common Sense”.
Thomas Paine berkata, “masyarakat dalam apa-apa keadaan pun adalah suatu keberkatan. Pemerintah dalam keadaan terbaik pun adalah kejahatan yang perlu dan dalam keadaan terteruk itu kejahatan yang tidak boleh disabari.” (Society in every state is a blessing, but Government, even in its best state, is but a necessary evil; in its worst state an intolerable one.)
Kata-kata Paine ini mungkin dikira nakal atau berniat jahat menentang DYMM Raja England, tetapi ia ditujukan kepada pemerintah secara umum dan tidak khas kepada mana-mana raja.
Sekalipun negara itu diperintah oleh orang yang paling alim dan mulia dengan cara yang paling adil, Paine akan rasakan ia masih “kejahatan yang perlu”.
“Kejahatan yang perlu” itu mungkin janggal kedengarannya, tetapi sebenarnya tidak kurang contohnya dalam kehidupan harian kita, misalnya ubat batuk dan Panadol.
Ubat batuk dan Panadol itu tidak menguntungkan kesihatan kita pada nalurinya tetapi menjadi perlu jika kita batuk atau sakit kepala. Jika kita ketagihkan ubat batuk atau Panadol sungguhpun kita tidak sakit, maka kita dikatakan “penagih dadah”.
(Dalam bahasa Inggeris, “dadah” itu “drug” yang sebenarnya bermaksud “ubat”. Dalam kata lain, “ubat” apabila diambil berlebihan dan ditagih, menjadi “dadah”.)
Dalam analogi yang sama, kalau kita “perlukan” pemerintah untuk mengawal hidup kita lebih daripada atau selain daripada mencegah keganasan, kita sebenarnya ketagih dengan pemerintah.
Antara paksa dan suka
“Perlu”nya pemerintah itu nyata dijelaskan oleh Thomas Hobbes, tetapi mengapa pemerintah itu jahat pada nalurinya? Apa bezanya pemerintah yang perlu ditakuti kelampauannya manakala masyarakat boleh sentiasa disanjung kewujudannya?
Jawapannya ialah pemerintah itu berasaskan paksaan dan masyarakat berasaskan kesukarelaan. Satu paksa, satu suka, dan bezanya macam syurga dan neraka.
Sesuatu perkara yang baik itu dihakis kebaikannya malah boleh menjadi kejahatan apabila dipaksa.
Sebagai contoh, perkahwinan sepatutnya menjadi penggabungan dua insan demi cinta. Tetapi jika perkahwinan itu berlaku secara paksaan ataupun penceraian itu tidak dibenarkan walaupun cinta itu sudah diganti sepenuhnya dengan benci dan dengki, maka perkahwinan itu bukan lagi keberkatan tetapi penghambaan salah satu pihak oleh pihak yang lain, ataupun sesama dua pihak.
Ini bermakna kalau kita ingin memupuk kebaikan dan mencegah kejahatan, kita harus melakukannya dengan memujuk supaya pihak lain lakukan secara sukarela dan bukan semata-mata kerana takutkan hukuman.
Ini menjelaskan mengapa di sesetengah negara, pemandu kereta berhenti di depan lampu merah pada larut malam walaupun tiada polis atau kamera pemantau dan sebaliknya di negara lain, hukum lalu lintas hanya dipatuhi demi ketakutan kepada polis atau kamera pemantau.
Dalam kata lain, jika kita lakukan sesuatu kerana suka, itu keikhlasan; dan jika kita lakukannya kerana paksa, itu kemunafikan.
Maka teguran Paine tentang bahaya kebergantungan kepada pemerintah itu bolehlah difahami sebagai pemupukan tingkah laku baik secara keikhlasan dan bukan kemunafikan.
Mengapa kebaikan itu akan diikuti?
Ini timbul kepada soalan baru: mengapa kebaikan itu akan diikuti? Apakah asas andaian ini? Andaiannya ialah kebanyakan manusia ini berakal. Kepercayaan kepada “akal” (reason) ini sebahagian daripada intisari nilai-nilai Pencerahan (Enlightenment) yang membawa pemodenan dunia hari ini, termasuk demokrasi.
Kalau kita berakal, maka kita akan cenderung kepada kebaikan selagi ditunjukkan kemanfaatannya.
Bak kata pepatah President Abraham Lincoln: “Anda boleh memperbodohkan sesetengah orang itu setiap masa, dan kadang kala semua orang sekali, tetapi anda tidak dapat memperbodohkan semua orang setiap masa.”
(You can fool some of the people all of the time, and all of the people some of the time, but you cannot fool all of the people all of the time.)
Maka kalau kita perlukan paksaan untuk masyarakat berbuat baik, ini hanya kerana dua sebab: masyarakat itu bodoh sampai tiada pemujukan boleh berjaya, atau masyarakat itu tidak bodoh tetapi pemerintah itu bodoh sampai tidak dapat memujuk dengan berkesan.
Sebenarnya kebebasan untuk individu bila diagregatkan menjadi kemerdekaan untuk negara.
Maka, apakah Malaysia yang merdeka perlu atau boleh bertoleransi dengan Akta Hasutan yang memang bersifat memaksa?
Ia terpulang pada jawapan kita kepada soalan ini: apakah masyarakat kita atau pemerintah kita bodoh sampai negara kita akan tenggelam dalam keganasan jika diberi kebebasan?
Dalam kata singkat, apabila kita meraikan kemerdekaan, apakah itu kemerdekaan pintar atau kemerdekaan bodoh? – 29 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments