Opinion

Polemik Oktoberfest: Cegah kemudaratan atau tegak ketuanan?

Kontroversi Oktoberfest bukan tentang arak semata-mata, tetapi gejala “politik sensitiviti” yang menggambarkan perpecahan mendalam masyarakat Malaysia.

4 jenis bantahan terhadap Oktoberfest

Bantahan terhadap Oktoberfest – atau secara prinsipnya perkara lain yang menjolok mata bagi puak konservatif Islam sebenarnya boleh dipecahkan kepada 4 jenis pendirian, jika kita teliti motivasi dan alasannya.

Bantahan pertama berasaskan “kepentingan sejagat”.

Penggunaan alkohol harus disekat atau diharamkan sama sekali kerana memudaratkan kesihatan peminum dan orang sekitarnya. Sungguhpun alkohol diharamkan dalam sesetengah agama, agama tidak dijadikan alasan utama dalam memujuk orang ke arah mengurang atau menghapuskan alkohol.

Bantahan kedua berdiri atas pertimbangan “perlindungan kepada umat Islam”.

Tingkah laku yang diharamkan Islam (tetapi tidak berunsurkan jenayah dalam agama dan budaya lain) harus dicegah jika boleh mengajak orang Islam mengambil bahagian. Dalam kata lain, selagi orang Islam tidak terlibat, maka tingkah laku sebegini bebas dilakukan bukan Islam.

Bantahan ketiga berprinsipkan “sensitiviti sejagat”.

Ia mengajak masyarakat menjaga sensitiviti orang lain supaya silaturrahim boleh dijaga. Maka, jika sesuatu itu menjolok mata bagi orang Islam, maka ia harus dielakkan sekalipun mereka tidak mengambil bahagian. Jika “sensitiviti” ini dijadikan panduan sejagat, maka perkara yang melanggar sensitiviti kaum lain juga harus dielakkan atau dicegah.

Bantahan keempat berprinsipkan “ketuanan orang Islam”, tetapi sering diperwakili sebagai “sensitiviti umat Islam”.

Bezanya dengan bantahan jenis ketiga ialah pelaksanaannya yang sehala: cuma sensitiviti umat Islam yang dijaga dan sensitiviti kaum lain sering dilupakan ataupun sengaja diabaikan. Ini berasaskan pegangan Malaysia adalah bumi Melayu-Islam, dan apa yang kaum Melayu-Islam tidak suka itu tidak harus diadakan. Dan berleluasanya perkara yang haram di sisi Islam akan menjatuhkan air muka umat Islam sebagai komuniti yang dominan.

Sikap keras/lembut terhadap bukan Islam

Pilihan antara keempat-empat jenis bantahan tersebut sebenarnya boleh memberikan isyarat tentang sikap seseorang atau sesebuah badan Islam terhadap kaum bukan Islam, iaitu ingin bersikap lembut (soft) atau keras (tough).

Sikap yang paling lembut tertonjol dengan prinsip "kepentingan sejagat" yang tidak mengorbankan prinsip Islam, tetapi tidak juga menonjolkan ketuanan Islam terhadap kaum bukan Islam. Contoh paling berjaya dalam pelaksanaan prinsip ini dalam Islamisasi di Malaysia ialah pengharaman judi di Internet semasa Piala Dunia 2010 oleh pihak berkuasa tempatan di negeri diperintah Pakatan Rakyat, bermula di Pulau Pinang.

Halangan itu menjaga kepentingan Islam, tetapi tidak dilaksanakan dalam nama Islam. Malah, pengumuman halangan itu diumumkan oleh ketua menteri Pulau Pinang pada Hari Wesak.

Pengharaman ini mendapat sokongan semua lapisan masyarakat tanpa mana-mana pihak membantah atas nama kebebasan kebudayaan, dan akhirnya kerajaan Persekutuan juga terpaksa menarik balik sokongan kepada syarikat perjudian yang terlibat.

Pendirian yang sederhana lembut adalah "sensitiviti sejagat" yang menjaga kepentingan umat Islam, tetapi juga meminta mereka melaksanakan sekatan diri (self-restraint). Ia menghasilkan masyarakat yang saksama secara mutlak, tetapi tidak liberal dalam erti yang pragmatik.

Sebagai contoh, jika sebuah jamuan akan dihadiri orang Islam dan Hindu, maka kedua-dua daging babi dan daging lembu harus dielakkan. Dan jika ada seorang yang cuma makan sayur-sayuran, maka semua hidangan harus menjadi sayur-sayuran.

Pendirian yang sederhana keras adalah "perlindungan kepada umat Islam". Ia melindungi norma komuniti Islam daripada cabaran luar tanpa mengenakan sekatan yang tidak perlu ke atas bukan Islam. Hasilnya ialah masyarakat yang tidak saksama secara mutlak tetapi liberal dalam erti yang pragmatik.

Pendirian yang paling keras sudah tentu adalah "ketuanan Islam/sensitiviti Islam". Ia memberikan isyarat yang jelas Melayu-Islam adalah tuan di bumi ini. Sokongan bukan Muslim diharapkan dan bantahan akan dilihat sebagai cabaran kepada kaum majoriti.

Sudah tentu, ia mengajak kemarahan dan penentangan kaum bukan Muslim dan menjejaskan silaturahim kaum.

Namun bagi individu dan kumpulan yang ingin menonjolkan diri sebagai pejuang umat Islam, pendirian yang paling keras ini sudah tentu menjadi pilihan yang terbaik.

Dalam kes Oktoberfest, bantahan PAS nyata sekali bukan berdasarkan "kepentingan sejagat".

Terdapat kumpulan bukan Islam yang membantah atau tidak menyokong pengambilan alkohol, tetapi tidak nampak usaha PAS untuk membina kerjasama antara agama/budaya dalam perkara ini.

Maka tidak jujurlah jika bantahan itu dikatakan mencegah kemudaratan daripada pengambilan alkohol. Ia juga bukan pasal prinsip "perlindungan kepada umat Islam" adalah pendirian yang diutarakan Khalid SamadKalau itu kepeduliannya, kejayaan Oktoberfest di 1-Utama yang tiada seorang Islam pun mengambil bahagian itu tidak akan menjolok mata untuk para pembantahnya.

Akhirnya, prinsip yang ditonjolkan juga bukan "sensitiviti sejagat". Kalau tidak, golongan pembantah Oktoberfest ini sudah tentu membantah panggilan Ibrahim Ali untuk membakar Bible Bahasa Malaysia/Indonesia yang menggunakan kalimah Allah!

Pendirian puak konservatif PAS - dalam nama menjaga "sensitivity Muslim" -- sebenarnya berasaskan prinsip "Ketuanan Muslim", yakni sikap yang paling keras terhadap bukan Muslim.

PAS sememangnya sentiasa mengambil sikap keras dalam menentang pengambilan alkohol oleh golongan Muslim, tetapi apakah ia sentiasa bersikap keras terhadap pengambilan alkohol oleh golongan bukan Muslim?

Sebuah gambar yang tersebar di Internet menunjukkan tiga penyokong PAS Cina minum beer yang bertimbunan tinnya di Bilik Gerakan PAS di Wakaf Tapai Markas PAS di Marang, Terengganu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12.

Pendirian PAS Marang di bawah Tuan Guru Hadi Awang semasa itu jauh lebih liberal daripada pendirian yang diambil oleh Khalid Samad hari ini. Apakah sensitiviti Muslim lenyap apabila datangnya musim undi?

Jadi persoalan yang lebih menarik ialah: mengapa PAS sekarang mengambil sikap "keras" dan seolah-olah cuma untuk menunjukkan "kekerasannya" dalam perkara ini?

Reaksi bukan Islam

Apa yang menghampa dan memarahkan ramai pembantah Oktoberfest ialah mereka memberikan publisiti percuma kepada acara itu.

Ramai bukan Islam yang dulu mungkin tidak tahu tentang Oktoberfest minum untuk merakamkan bantahan mereka terhadap bantahan PAS. Sesetengah pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat juga turut ikut sama.

Peserta, terutamanya pemimpin Pakatan Rakyat dilemparkan sekurang-kurangnya tiga jenis tuduhan: tidak bermoral, tidak menghormati sensitiviti Islam dan tidak mempedulikan masa depan Pakatan Rakyat kerana ia menyinggung perasaan ramai pengundi.

Tuduhan tidak bermoral ini mengandaikan semua manusia – sekurang-kurangnya semua warga Malaysia – mempunyai nilai dan piawaian moral yang bukan saja sama, tetapi mengikut piawaian Islam.

Ini sudah tentu tidak benar. Sebagai contoh, agama Buddha mengharamkan pengambilan alkohol tetapi budaya Cina tidak. Upacara “holy communion” dalam agama Kristian memang asalnya menggunakan “wine” merah dan banyak gereja masih terus mengikut tradisi ini.

Malah, kelaziman meminum arak atau tuak dalam Pesta Gawai di Sarawak atau Pesta Kaamatan di Sabah mungkin tidak jauh beza daripada kelaziman meminum arak dalam Oktoberfest. Tuduhan pengambilan alkohol itu (kecuali berlebihan) perkara tidak bermoral sebenarnya sudah menyinggung sensitiviti ramai bukan Islam.

Isu “sensitiviti Islam” dan isu “Pakatan kehilangan undi Melayu apabila pemimpin bukan Melayu ambil alkohol secara terbuka” sebenarnya perkara yang sama – apakah bukan Islam akan terima ketuanan Muslim di bawah Pakatan?

Di bawah pemerintahan Umno, terlalu kerap sekali kaum bukan Islam mendapati “sensitiviti” itu adalah jalan sehala.

Daging babi yang haram untuk orang Islam tidak boleh dijual secara terang-terangan di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, tetapi lembu yang suci boleh disembelih di kawasan awam seperti Parlimen dan sekolah.

Bible bahasa Malaysia/Indonesia ditahan kerana kononnya akan mengajak umat Islam masuk agama Kristian; tetapi dakwaan kaum Bumiputera Kristian diberi imbuhan untuk masuk Islam itu tidak disiasat.

Apa yang membimbangkan kaum bukan Islam tentang bantahan terhadap Oktoberfest ialah alasan “sensitiviti Islam” untuk menyekat kebebasan mereka kerana tidak akan berhenti dengan alkohol.

Ini adalah kekhuatiran “floodgate” yang memang lazim apabila kepercayaan antara satu sama lain itu rendah.

Di Selangor, Exco PAS  baru Zaidy Abdul Talib sudah pun mengisytiharkan beliau ingin menutup 15,000 pusat yang terlibat dengan kegiatan maksiat.  Mengikut definisi beliau, ini tidak terhad kepada rumah pelacuran dan perjudian tidak berlesen yang memang salah di sisi undang-undang, tetapi juga “pusat urut, disko dan pub”.

Beliau nampaknya melantik dirinya sebagai penjaga moral semua warga Selangor mengikut piawaiannya.

Apakah pembantah Oktoberfest itu mengharapkan bantahan mereka akan diterima dengan hati yang gembira oleh bukan Islam?

Mengapa bukan Islam harus susah-payah mengubah kerajaan bersama rakan Islam mereka kalau ketuanan Melayu ala Umno akan digantikan oleh ketuanan Islam ala PAS?

Namun bukan Islam yang merasa hampa dengan gejala ini harus faham psikologi mendalam mengapa ramai orang Melayu berkongsi sentimen “ketuanan” dan gembira melihat kebebasan bukan Islam tersekat, terutamanya selepas 2008.

Ramai orang Melayu hampa dengan kegagalan Umno/BN memajukan orang Melayu dan pada masa yang sama tidak yakin nasib mereka akan dibela oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, mereka khuathir nasib orang Melayu akan semakin terjejas apabila orang bukan Islam tidak lagi tertekan di bawah Pakatan Rakyat.

Selagi rasa tidak selamat orang Melayu ini tidak diatasi, politik “sensitiviti Islam” akan terus bersama kita.

Suka tidak suka, hanya apabila orang Melayu berasa selamat barulah orang bukan Islam akan dapat merasa bebas.

Ada baiknya kalau semua, sama yang minum atau tidak minum arak, boleh ingat betapa kuatnya nasib kita warga Malaysia semua saling bergantungan. Hanya kesedaran ini yang boleh cegah kita semua daripada kemabukan assabiyah. – 17 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Gambar yang tersebar di Internet di Bilik Gerakan PAS di Wakaf Tapai Markas PAS di Marang, Terengganu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12. – Gambar ihsan Wong Chin Huat, 16 Oktober, 2014. Gambar yang tersebar di Internet di Bilik Gerakan PAS di Wakaf Tapai Markas PAS di Marang, Terengganu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12. – Gambar ihsan Wong Chin Huat, 16 Oktober, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments