Opinion

Raja tidak pandai berbuat salah

Bagaimana sistem monarki berperlembagaan dapat mengelakkan tukar ganti raja sebagai ketua negara sekalipun kerajaan tidak dapat elak daripada membuat kesilapan atau hilang popularitinya? Rahsianya terkandung dalam ungkapan "raja tidak pandai berbuat salah".

Ungkapan ini baru-baru menarik perhatian orang ramai apabila Sultan Brunei begitu teguh melaksanakan hukum hudud untuk semua rakyat, termasuk sekali untuk orang bukan Islam, tetapi mengecualikan seorang Islam, baginda sendiri.

Alasan baginda menafikan dirinya hak untuk diadili oleh hukum Allah ini bukanlah kerana seperti yang diketahui ramai baginda dan kerabat keluarganya banyak yang melakukan kesalahan berat di sisi Islam seperti meminum arak, berjudi dan berzina, tetapi sebaliknya kerana alasan "raja tidak pandai berbuat salah".

Ungkapan "raja tidak pandai berbuat salah" ini sebenarnya adalah penterjemahan daripada bahasa Inggeris yang berbunyi "the king can do no wrong".

Tidak melindungi salah laku peribadi

Sistem Monarki Berperlembagaan tidak percaya raja itu adalah dewa-raja yang berkuasa sakti yang dinamakan "daulat" seperti dalam amalan kerajaan Melayu kuno yang beragama Hindu-Buddha. Ia juga tidak percaya kepada doktrin "hak memerintah Raja itu kurniaan Allah" (divine right) yang diguna pakai oleh monarki mutlak di Eropah.

Kalau raja itu bukan dewa dan bukan nabi, kalau raja itu dicipta Tuhan sama rata dengan rakyat jelata, maka bagaimana raja boleh "tidak pandai berbuat salah"?

Ini sebenarnya adalah untuk memberikan immuniti kepada raja sebagai ketua negara supaya baginda tidak diheret ke mahkamah dan maruah negara dijatuhkan. Immuniti yang sama sebenarnya juga diberikan kepada ketua negara oleh kebanyakan kalau bukan semua negara republik. Kerana immuniti ini merangkumi tingkah laku peribadi, bagaimana negara demokrasi mengelakkan penyalahgunaannya untuk si ketua negara melakukan jenayah dan melepaskan diri?

Satu caranya ialah penghentian immuniti selepas ketua negara tamat tempoh tugasnya, ataupun, dalam keadaan luar biasa, pemecatan ketua negara untuk melucutkan immunitinya.

Untuk monarki berpelembagaan, cara kawalan dan imbangan paling berkesan ialah prospek penghapusan sama sekali sistem itu. Maka, kalau raja bersalah laku, raja itu amat serta-merta akan ditukar ganti. Kalau tidak, sistem monarki itu sendiri mungkin akan ditukar ganti dengan sistem republik. Itu sebabnya tiada raja atau anak raja yang menumbuk atau membunuh rakyat di Eropah. Tiada akta hasutan yang dapat menghalangi suara ramai. Suara rakyat yang menjadi keramat dalam Revolusi Perancis dan Perang Saudara England sentiasa diingati orang Eropah.

Jika kerajaan berparlimen itu hanya kekal selagi ia menikmati keyakinan ramai di kalangan wakil rakyat, maka sistem monarki berperlembagaan itu juga hanya kekal selagi menikmati keyakinan ramai di kalangan rakyat.

Oleh kerana ini, Raja Sepanyol, Juan Carlos, baru-baru ini berundur secara sukarela untuk digantikan puteranya, sungguhpun baginda sebelum ini disanjung tinggi kerana memulihkan demokrasi Sepanyol selepas kematian diktator Gen Francisco Franco pada 1975.

Suara menuntut penubuhan republik di Sepanyol semakin melantang apabila menantu diraja terlibat dalam skandal rasuah dan Raja Juan Carlos sendiri terlibat dalam rombongan pemburuan mewah di Afrika apabila rakyat jelata Sepanyol sengsara kerana krisis kewangan.

Bertakhta tetapi tidak memerintah

Ungkapan "raja tidak pandai membuat kesilapan" itu sebenarnya bertujuan utama untuk melindungi raja daripada tanggungjawab tingkah laku rasminya.

Raja England Charles II pernah dikatakan sedemikian:"Kata-kata baginda tidak boleh dibergantungi, baginda tidak sekali-kali menitahkan yang bodoh, tetapi juga tidak sekali-kali menitahkan yang bijaksana." (whose word no man relies on; who never says foolish thing, nor does a wise one."

Apa yang dititahkan raja itu sebenarnya dimaknakan oleh menteri-menterinya, maka, raja tidak harus dipersalahkan. Ini adalah keindahan sistem monarki berpelembagaan ala Westminster.

Raja sebagai ketua negara dipisahkan dengan jelas daripada perdana menteri sebagai ketua kerajaan. Maka, ketua kerajaan perlu ditukar ganti kerana kesilapan dan kehilangan populariti, tetapi ketua negara tidak.

Perdana menteri mungkin disayangi atau dibenci, tetapi raja yang berada di atas politik itu sentiasa boleh disayangi. Raja/ratu British dikatakan sebagai "bertakhta tetapi tidak memerintah".  Sungguhpun baginda mempunyai kuasa untuk menasihat kerajaan, keputusan dibuat oleh kerajaan dan baik buruk ditanggung kerajaan.

Oleh itu, apabila Britain memenangi Perang Falklands pada April 1982, itu kejayaan Perdana Menteri Margaret Thatcher, bukan Ratu Elizabeth II. Juga, apabila Cukai Kepala (Poll Tax) membarakan rusuah di London pada Mac 1990, itu kegagalan Thatcher, bukan Ratu Elizabeth II.

Thatcher sebagai ahli politik boleh naik dan turun tetapi Ratu Elizabeth II sebagai Yang di-Pertuan akan kekal disanjung tinggi. Ini sebabnya, Ratu Elizabeth II tidak menunjukkan kerestuan atau ketidakrestuan baginda apabila Thatcher dicabar dalam partinya dan menghadapi usul tidak percaya di Parlimen pada November 1990. 

 Itu bukan urusan Seri Paduka Baginda. Baginda akan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh parti pemerintah, atau Parlimen, kalau parti pemerintah itu jatuh.

Pengkhususan antara raja dan parti pemerintah

Sungguhpun, raja mempunyai kuasa budi bicara untuk menentukan sama ada permintaan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen atau melantik perdana menteri yang baru, keputusan yang buat biasanya adalah untuk melengkapi - dan bukan melemahkan atau bersaing dengan - peranan parti dalam kerajaan berparlimen.

Raja bertanggungjawab menentukan wakil rakyat mana yang mendapat keyakinan majoriti dalam Dewan. Kalau jawapannya nyata dan parti/gabungan pemerintah itu tidak jatuh, maka ketuanya seharusnya dilantik sebagai Ketua Kerajaan. Ketuanya jugalah satu-satu yang berhak memohon pembubaran Dewan, bukan mana-mana pihak lain.

Bukanlah kerja raja untuk menentukan sama ada ketua parti/gabungan pemerintah itu bijaksana atau tidak, berpengalaman atau tidak, berkaliber atau tidak. Itu kerja pengundi dan kemudiannya kerja wakil rakyat.

Kalau rakyat atau wakil rakyat memilih seorang pemimpin yang lemah, itu adalah hak mereka yang mesti dihormati raja. Maka pilihan raya umum Britain 2010 menghasilkan sebuah "parlimen bergantung" di mana kedua-dua Parti Buruh dan Parti Konservatif gagal mendapat majoriti mudah, Ratu Elizabeth II tidak mengambil bahagian dalam perundingan pembentukan kerajaan campuran antara kedua-dua parti ini dengan Parti Liberal Democrat.

Baginda tidak ada pendapat siapa bakat perdana menteri yang lebih baik. Ini adalah pengkhususan yang cukup unik dalam sistem kerajaan berparlimen.

Kerja Raja disanjung tinggi dengan tidak membuat apa-apa kecuali memainkan peranan minima yang menjadi lambang perpaduan rakyat. Kerja parti-parti politik ialah bersaing mendapatkan kuasa untuk memerintah, dan diganjarkan untuk kejayaan atau dihukumi untuk kegagalan pemerintahannya oleh rakyat.

Peranan seorang raja berperlembagaan adalah minima dan pasif. Dalam kata itu, apa yang mungkin dilihat dalam kacamata orang biasa sebagai "tidak ada gunanya" adalah kebergunaannya. Sebaliknya, jika raja cuba pandai-pandai menunjukkan kebijaksanaannya, maka baginda berpesong daripada peranannya dalam perlembagaan. Baginda menjadi tidak sesuai untuk terus bertakhta.

Itu yang sering dikatakan ke atas Raja Muda Charles, kalau baginda suka sangat ingin memerintah sebagai ahli politik, baginda harus lepaskan hak untuk bertakhta. Baginda boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya umum untuk menjadi perdana menteri. Itu baik untuk baginda dan juga sistem monarki berparlimen. – 22 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments