Opinion

Saya mahu lebih daripada Gong Xi Fa Cai

“Gong Xi Fa Cai” tidak bermaksud “Selamat Tahun Baharu Cina”, tetapi sebaliknya “tahniah atas rezeki lumayan”. 

Untuk tahun kambing ini dan juga selama-lamanya, saya mengharapkan lebih daripada kekayaan dan keselamatan, tetapi kebahagiaan dan juga persaudaraan.

Saya biasa menyampaikan ucapan raya kepada, bukan sahaja rakan-rakan dan kenalan, malah orang yang tidak kenali, semasa perayaan, tidak kira itu Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Deepavali, Krismas, Visakhi, Gawai, Kaamatan dan sebagainya.

Bagi saya, kita saudara dalam kemanusiaan, saya mogakan saudara saya gembira meraikan perayaannya dan cita-citanya dicapai, dan saya cuba memahami sebagaimana yang boleh budaya dan kepercayaan mereka dalam usaha saya untuk menghayati kepelbagaian yang dikurniakan.

Saya tidak pernah rasa kecinaan saya akan diancam oleh keindiaan apabila memakai dhoti atau oleh kejawaan apabila saya memakai blangkon.

Saya tidak pernah khuatir dengan mengucapkan “Selamat berpuasa”, “Selamat berbuka puasa” dalam bulan Ramadhan dan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” apabila Shawal menjelma, maka saya akan mengundang rakan-rakan Muslim saya untuk mengislamkan saya.

Sememangnya saya begitu yakin dengan jatidiri dan warisan saya dan tidak ada fobia tentang diri saya akan “murtad budaya”. Semakin saya memahami budaya dan tamadun lain, semakin saya tahu apa yang saya harus hayati dan apa yang saya harus kikiskan dalam amalan budaya saya.

Untuk tahun-tahun yang lalu, semasa Tahun Baharu Cina, saya juga sering menerima ucapan “Selamat Tahun Baru Cina” ataupun lebih kerap lagi “Gong Xi Fa Cai”,  bukan sahaja daripada rakan-rakan dan kenalan, tetapi juga orang yang saya terjumpa di lift, kedai, jalan raya, pengangkutan awam dan sebagainya secara rambang tetapi tidak kenali. 

Ucapan-ucapan ringkas ini meriakan hati saya kerana saya dapat merasakan silaturahim di belakang ucapan yang ringkas itu. Seperti kata pepatah orang Arab, “apa yang datang dari mulut sampai di telinga, apa yang datang dari hati sampai di hati.”

Tetapi tahun ini, saya hairan bahawa, selain seorang cashier Melayu di Econsave Kampar, tiada seorang yang bukan kenalan saya mengambil inisiatif untuk ucapkan “Selamat Tahun Baru Cina” atau “Gong Xi Fa Cai” kepada saya.

Saya tidak pasti sama ada ini kerana negara kita terkurung oleh kesedihan akibat kezaliman politik atau kebimbangan tentang kemalapan ekonomi.

Kemudian saya terbaca seruan di Facebook dari seorang yang menggelar dirinya sebagai Sultan Jamal: “Sahabat-sahabat Muslim, tidak perlu ucap “Gong Xi Fa Chai” kepada sahabat kita yang beragama Budha. Cukup sekadar ‘Happy Holiday’ atau ‘Selamat Bercuti’.

'Gong Xi Fa Cai'/tahniah atas rezeki lumayan

Nyata sekali, Sultan Jamal yang cuba memberikan nasihat agama ini tidak faham bukan saja maksud ucapan “Gong Xi Fa Cai”, malah perbedaan antara budaya Cina dan agama Budha.

Seperti sesetengah orang Cina yang fikirkan Hari Raya Aidil Fitri itu Tahun Baharu Orang Melayu, Sultan Jamal ini nampaknya fikir semua orang Cina itu beragama Budha dan semua penganut Budha itu orang Cina, seperti penyamaan orang Melayu dengan agama Islam yang digerakkan oleh sesetengah pihak. Kedua-dua memahami dunia ini berdasarkan imej diri.

Pada hal, “Gong Xi Fa Cai” langsung tidak berunsurkan akidah. “Gong Xi” maksudnya “taniah”, “Fa Cai” itu “dilimpahi rezeki lumayan”.

Mengapa orang Cina begitu mementingkan rezeki? Sebenarnya, orang Cina juga bersapa sesama sendiri dengan soalan “sudah makan?”.

Ini kerana bumi Cina padat dengan penduduk dan ditimpa selalu dengan bencana alam dan juga peperangan.

Maka, dalam sejarahnya selama 4-5 ribu tahun itu, kebanyakan masa, kebanyakan orang Cina khuatir tentang kemiskinan dan kebuluran. Maka, dilimpahi rezeki dan dikurniai makanan amat disyukuri sampai menjadi ucapan tahunan dan pertanyaan harian.

Ahli psikologi Abraham Maslow mencadangkan teori “Hierarki Keperluan Manusia”, di mana keperluan manusia itu terbahagi kepada empat kelas, dan kita akan cuba memenuhi keperluan yang lebih rendah sebelum mengejar keperluan yang lebih tinggi.

Empat kelas keperluan ini ialah pertama, keperluan fisiologis iaitu makanan, pakaian, tempat teduhan yang perlu untuk meneruskan hidup; kedua, keperluan keselamatan dan keamanan; ketiga, keperluan rasa memiliki sosial dan kasih saying; keempat, keperluan penghargaan; kelima, keperluan “aktualisasi diri”, iaitu pencapaian potensi diri.

Dalam rangka ini, “Gong Xi Fa Cai” mencerminkan kehendak untuk memenuhi keperluan physiologikal dan keselamatan.

Dengan hutang 1MDB dan cukai GST yang akan melanda Malaysia pada bulan April, saya tidak tahu siapa yang tidak perlu atau tidak hayatkan rezeki yang lumayan?

Saya sudah tentu inginkan “Fa Cai” tetapi saya juga ingin lebih daripada itu.

Selamat tahun baru/Xin nian kuai le

Ucapan piawaian untuk Tahun Baharu Cina itu sebenarnya ialah “Xin Nian Kuai Le”. Ungkapan ini tepat diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris bila kita sebut “Happy New Year” kerana “Xin” itu “Baru”, “Nian” itu “Tahun” dan “Kuai Le” itu “gembira”.

Maknanya berubah apabila kita terjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu dan menjadi “Selamat Tahun Baharu”. “Selamat” dalam Bahasa Cina berbunyi “An Quan” tetapi sememangnya tiada ucapan “Xin Nian An Quan”.

Ini menunjukkan perbezaan besar antara Bahasa/Budaya Melayu daripada bahasa/budaya lain. “Selamat” diucapkan untuk bukan sahaja hari raya, tetapi juga waktu dalam hari, seperti “Selamat Pagi”.

Ini menunjukkan nenek-moyang orang Melayu sedar tentang risiko dan ketidaktentuan dalam kehidupan dan mementingkan keperluan ini, sungguhpun mereka mungkin kurang khuatir tentang kemiskinan atau kebuluran.

Kita sukar rasa gembira kalau kita sentiasa tidak selamat. Maka, daripada Xin Nian Kuai Le yang umum, saya lebih sukakan “Selamat Tahun Baharu” yang khas mogaannya.

Saya mogakan keselamatan dalam pengangkutan supaya kemalangan tidak berlaku di darat, laut dan udara.

Sebagai seorang mangsa jenayah jalanraya, keganasan penguatkuasa dan penganiayaan politik, saya mogakan rakyat Malaysia selamat daripada ketiga-tiga ancaman ini.

Saya mogakan mereka yang membunuh mendiang Altantuya dan Teoh Beng Hock, dan semua penjenayah lain – tak kira apa pakaian orang biasa atau unifom – akan dihadapkan ke mahkamah dan dihukum sewajarnya, untuk menegakkan keadilan dan juga menakutkan sesiapa yang ingin lakukan jenayah.

Saya juga mogakan keselamatan untuk rakyat-rakyat yang teraniaya seperti orang Yarzidi, Kristian, Kurdish, Syiah Arab yang dibunuh, dirogol dan dihambakan oleh pengganas IS; gadis-gadis Nigeria, Gabon yang dijadikan hamba seks oleh pengganas Boko Haram; komuniti Rohinya yang dizalimi di Burma dan rakyat Palestin yang dizalimi oleh Israel.

'Xin nian Jjn bu' / kemajuan dalam tahun baru

Saya juga mogakan “Xin Nian Jin Bu” yang bermaksud kemajuan dalam tahun baru. “Jin Bu” bermaksud “langkah mara ke depan”.

Kalau gunakan teori Maslow, maka ini adalah keperluan “aktualisasi diri”. Sebagai insan, kita seharusnya memajukan diri kita dan memaksimakan potensi kita, secara individu dan juga sebagai negara-bangsa.

Kalau kita sendiri tidak bermaju, maka kita ketinggalan apabila dunia bergerak ke depan. Dan kita tidak boleh menghalang dunia daripada berpusing ke depan setiap saat.

Saya moga kita semua akan takutkan kemunduran dan oleh itu gigih memperkuatkan daya saing kita dan bukan cuba menekan persaingan daripada orang lain.

Untuk mencapai kemajuan, syarat yang paling utama ialah kepercayaan kita kepada penaakulan (reasoning) dan oleh itu kebebasan individu membuat penilaian dan keputusan. Kita mesti mencegah diri daripada mengikut secara babi buta malah taksub dengan autoriti.

'Wan shi ru yi' / kesemua kemahuan direstui

Ucapan Tahun Baharu Cina yang paling menyeluruh sudah tentu ialah “Wan Shi Ru Yi” yang bermakna segala kemahuan kita akan direstui. “Wan Shi” bermaksud “sepuluh ribu perkara” manakala “Ru Yi” bermaksud “seperti yang diingini”.

Kemahuan saya yang paling ingini ialah kemuafakatan untuk mendukung persaudaraan antara kita sebagai manusia dan sebagai anak Malaysia di samping usaha kita menjaga akidah dan warisan kita.

Kalau ikut teori Maslow, perasaan dimiliki sosial ini cumalah keperluan yang peringkat ketiga. Akan tetapi, bagi saya, aktualisasi saya tidak bermakna kalau saya dinafikan pengiktirafan oleh tanahair sendiri, seolah-olah anak yang diberi makan tetapi dinafikan kasih-sayang ibu.

Saya adalah rakyat Malaysia generasi ketiga dan saya harap bermula tahun kambing ini, tiada orang yang akan memanggil saya sebagai pendatang atau orang asing, malah lebih teruk lagi, mengganggap saya sebagai jhimmi (warga kelas kedua bukan Muslim yang terlindung di bawah pemerintah Islam), ataupun saya dikehendaki untuk melucutkan warisan dan jatidiri budaya sebelum saya diterima sebagai saudara.

Di bawah langit yang saya junjung, dan di atas bumi yang saya pijak, saya harap kita semua berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. – 23 Februari, 2015. 

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments