Mengapa pagar yang makan padi tetap dijunjung dan disanjung padi? Fenomena sedemikian dinamakan “Sindrom Stockholm” dalam kajian psikologi.
Stockholm, ibukota Sweden, sudah tentu tidak terasing lagi kepada rakyat Malaysia. Akan tetapi, Sindrom Stockholm tidak berkenaan dengan suaka politik dan jaminan kebebasan individu, tetapi pasal penculikan dan kehilangan kebebasan individu.
Mangsa penculikan membela penculik
Pada Ogos 1973, seorang banduan dalam cuti merompak sebuah cawangan bank di Stockholm dan menculik empat orang pekerja bank sebagai tebusan. Banduan kemudian disertai oleh seorang rakannya.
Apabila empat orang ini diselamatkan enam hari kemudian, mereka lebih takutkan kepada polis daripada penculik mereka.
Mereka bukan sahaja enggan memberi keterangan menentang kedua-dua penculik mereka, malah mereka menubuhkan sebuah tabung untuk membiayai kos undang-undang si penculik.
Apa yang berlaku di Stockholm bukanlah kes terpencil. Pada Februari 1974, seorang anak perempuan jutawan Patty Hearst diculik oleh sekumpulan gerila bandar puak kiri, Symbionese Liberation Army (SLA). Dua bulan kemudian, dia menyertai penculik-penculiknya merompak bank dengan senjata.
Apabila akhirnya tertangkap polis, gadis ini menyenaraikan pekerjaan sebagai “gerila urban” dan meminta peguamnya menyampaikan pesanan soladiriti kepada rakan-rakan seperjuangannya.
Identifikasi kepada penganiaya
Apa yang berlaku? Ahli psikologi percaya ini adalah suatu mekanisme terushidup (survival mechanism).
Mangsa penculikan percaya satu-satu caranya untuk semua orang selamat ialah tunduk kepada keinginan penculik. Apabila masa berlalu, mangsa mengenali lebih mendalam tentang penculik.
Dalam proses ini, jika penculik itu melakukan sesuatu yang baik kepada si mangsa, si mangsa itu senang melahirkan perasaan berterima kasih kepadanya dan imej si penculik beransur-ansur berubah daripada penganiaya kepada penyelamat.
Kemudian, persahabatanpun wujud. Si mangsa mendapati emosinya kurang diseksa jika ia dapat percayai si penculik itu sebenarnya adalah seorang kawan dan mereka boleh mencari penyelesaian bersama.
Malahan pihak lain yang cuba menyelamatkan si mangsa akan dilihat sebagai musuh yang ingin mengancam “rakan” atau “penyelamat”nya.
Dalam kata lain, untuk terus hidup, si mangsa menipu sendiri si penganiaya itu sebenarnya penyelamatnya, sampailah sayangkannya.
Daripada diseksa oleh kebimbangan nyawa akan terancam, si mangsa itu cuba menyakinkan dirinya secara tidak sedar, “keadaan bukanlah begitu. Saya adalah sebahagian daripada kumpulan penculik ini.”
Ahli psikologi panggil fenomena ini sebagai “identifikasi dengan penganiaya” (identification with the aggressor).
Sindrom Stockholm ini sebenarnya tidak terhad kepada kes penculikan. Ia boleh difahamkan secara umumnya sebagai kasih sayang yang ditaruhkan oleh mangsa kepada penganiaya.
Satu contohnya ialah fenomena sesetengah isteri-isteri yang kena belasah oleh suami tetapi tetap membela suaminya.
Pengabadian salahlaku apabila mangsa gantikan penganiaya
Tetapi, apa yang paling teruk tentang Sindrom Stockholm ialah ia berkeupayaan mengabadikan pengertakan atau penganiayaan dengan menyerap si mangsa sekarang untuk menjadi si penganiya masa depan.
Dalam universiti atau kolej, aktiviti-aktiviti “orientasi” (dikenali “ragging” jika serious) yang bertujuan untuk mematahkan maruah siswa-siswa baru (freshie) supaya mereka akan patuh kepada siswa-siswa tua (senior) itu biasanya paling giat dilakukan oleh siswa-siswa tahun dua, yang cuma setahun lalu menjadi mangsa.
Ini bermakna kalau mangsa-mangsa untuk sesuatu tahun itu mengambil iktizam untuk tidak mengulangi penderaan atau penghinaan yang mereka sendiri alami ke atas siswa-siswa baru tahun depan, maka tradisi buruk ini sudah tentu akan diputuskan.
Sememangnya seperti penjelasan sarjana tentang Sindrom Stockholm, si mangsa cenderung untuk tunduk dan demi tidak merasa bersalah atas kekecutan mereka, mereka akan menyakinkan diri mereka:
(i) pertama, kedua-dua mangsa dan penganiaya sememangnya ahli kepada komuniti yang sama (berasaskan keturunan, agama, negeri, jabatan/fakulti);
(ii) si penganiaya melakukan kesemua ini atas kebaikan bersama dan si mangsa dengan manfaat seperti mengeratkan silaturahim ahli-ahli komuniti, menghilangkan kesombongan siswa baru dan melatih ketagihan mereka;
(iii) penderaan/penghinaan ini adalah adil kerana setiap orang akan mengalaminya sebagai siswa baru dan kemudian mengenakannya ke atas orang lain sebagai siswa lama.
Ini sebenarnya tidak lain daripada gejala penderaan menantu perempuan oleh emak mertua dalam sesetengah masyarakat tradisional, seperti komuniti Cina pada masa silam.
Apabila menantu perempuan itu akhirnya menjadi ketua keluarga perempuan (matriarch) setelah penyeksaan bertahun-tahun, maka ia akan menggunakan kuasa barunya untuk mengulangi penderaan itu kepada menantu-menantu perempuan.
Penyiksaan itu seolah-olah itu suatu balasan – yang dikenakan mangsa generasi baru (menantu) kerana tidak berani melawan penganiaya generasi lama (mertua).
Ini adalah pengalihan kemarahan yang songsang tidak berasas sekali tetapi bukankah ia begitu lazim dalam hidup kita? Tidakkah ramai yang dihampakan atau disakiti oleh pihak kedua yang lebih kuat daripada mereka melepaskan geram mereka kepada pihak ketiga yang lebih lemah daripada mereka?
Ketaatan buta
Kalau kita lihat dalam sejarah, Sindrom Stockholm yang songsang ini sebenarnya banyak mencorak sejarah kita.
Apabila nenek moyang kita masih hidup secara dalam puak-puak yang gasar (barbaric), mereka sering menyerang sesama lain. Puak yang menang sering membunuh lelaki daripada puak yang kalah manakala para wanita dan kanak dihambakan sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijualbeli.
(Dari segi itu, kezaliman dan kekejaman militant Isis di Iraq dan Syria terhadap puak-puak yang melawan mereka itu tidaklah ganjil dalam konteks beribu-ribu tahun yang lalu. Perbuatan gasar mereka ini tidak boleh dibenarkan hari ini sememangnya dunia kita tidak lagi hidup dalam dan dengan kegasaran.)
Jika wanita dan kanak puak yang tertawan itu melawan dan tidak sudi diperlakukan, maka mereka akan diseksa dan dibunuh seperti kaum lelaki mereka. Maka, demi terus hidup, kebanyakan dari wanita dan kanak ini akan melahirkan Sindrom Stockholm.
Lama kelamaan, mereka yang diculik atau ditakluk itu akan menaruhkan ketaatan dan kesayangan kepada penculik dan penakluk mereka.
Sebagai contoh, Empayar Ottoman membina tentera elitnya, Janissaries, daripada kanak-kanak lelaki hamba yang kebanyakannya diambil daripada kaum-kaum Kristian yang ditakluki sebagai ufti manakala sebahagian kecil ditawarkan oleh ibu-bapa yang miskin yang inginkan masa depan lebih baik untuk anak mereka.
Askar-askar hamba yang menjadi Muslim ini diberikan latihan terbaik. Kerana mereka tiada pertalian keluarga, mereka menaruhkan kesetiaan penuh mereka kepada sultan dan menganggap askar hamba lain sebagai saudara.
Dan dengan kewiraan dan kesetiaan mereka, mereka menjadi senjata paling kuat Empayar Islam untuk melawan kuasa-kuasa Kristian, kadang-kala termasuk kaum kerabat lain.
Dari Mesir, Syam ke India, terdapat juga tentera hamba yang serupa yang digelar Mameluk (Hamba Putih dalam bahasa Arab).
Transformasi musuh kepada hamba setia ini sebenarnya berlaku di kebanyakan kalau bukan semua tamadun utama. Sindrom Stockholm itu sebenarnya menjadi pelekat masyarakat dalam “menyatukan” golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah.
Hamba dididik supaya taat kepada tuan dan rakyat dididik supaya taat kepada pemerintah. Cuma segelintir insan yang cukup bijaksana dan berani akan menolak pencucian otak sebegini dan menjerit sekuat-kuatnya: “raja alim raja disembah; raja zalim raja disanggah”.
Dan mereka yang berbuat berani menuntut hubungan berkontrak dengan pemerintah itu sudah tentu dijadikan watak jahat dalam sistem nilai yang autoritarian.
Kalau di zaman silam, mereka yang lali dari Sindrom Stockholm ini mungkin dibunuh oleh rakan yang mereka cuba bela dan tuntutkan keadilan. Di zaman moden, mereka mungkin terpaksa mencari suaka sampai ke Stockholm itu.
Ironiknya, apabila kita taksub dengan sentiment assabiyah atau nasionalisme, jarang ada yang tertanya apakah apa yang didukung hari ini pernahkah dilawan dan ditolak oleh nenek-moyang pada seketika dahulu, malah mungkin dengan pengorbanan nyawa.
Kalau kita tidak memeriksa sama ada kita sedang beroperasi di bawah Sindrom Stockholm, maka sudah tentu kita tidak mungkin menyedari yang padi telah dimakan pagar. Kita tidak mungkin sedar bahawa hantu yang kita takutkan itu mungkin semata-mata ciptaan pak bomoh yang kita pujakan.
Pagar makan padi, padi tetap sayangkah pagar – itu memanglah manifestasi Sindrom Stockholm yang paling lazim dalam hidup harian. – 6 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments