Opinion

Adakah umat Islam Malaysia bersedia Al-Quran dikaji bukan Islam?

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS) mungkin lebih “liberal” daripada apa yang difahami ramai, tetapi apakah umat Islam di Malaysia sudah bersedia apabila bukan Muslim mengkaji dan meneliti Al-Quran?

Beberapa hari lepas, saya menerima pesanan Whatsapp mengingatkan orang bukan-Islam mengenai pengedaran Al-Quran percuma di Teluk Pulai, Klang.

Ia menasihatkan bukan Islam tidak menerima naskhah Al-Quran itu atas dua pertimbangan.

Pertama, si penerima akan diminta mengisi borang yang kononnnya untuk tujuan rekod tetapi akan digunakan untuk berdakwah kepadanya, malah mengubah status kedudukan agamanya kepada Islam.

Kedua, kerana Al-Quran itu kitab suci yang mesti dihormati, orang bukan Islam yang menerimanya tidak boleh melepaskannya begitu sahaja.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) yang sebelum ini menyeru bukan Islam tidak menerima Al-Quran percuma atas alasan ia bertujuan menukar agama bukan Islam, menafikan pesanan itu datang daripada mereka.

IIS yang melancarkan program kitab terjemahan "One Soul One Quran" bulan lepas, pula menafikan operasi pengagihan di Klang itu adalah usaha mereka.

Norani, pengurus IIS menolak dakwaan pengedaran Al-Quran itu bagi menukar agama orang bukan Islam.

Menurutnya, ia bagi menangani Islamofobia "kerana kami ingin sampaikan apa yang Islam ajari”.

Lebih menarik lagi adalah ulasan Datuk Othman Mustapha, ketua pengarah Jakim, bahawa “menerima Al-Quran tidak menjadikan anda Islam dan tiada siapa yang boleh dipaksa untuk menerima Islam”.

Apa yang boleh ditafsirkan daripada pendirian IIS dan Jakim ialah pengiktirafan secara jelas bahawa “pemahaman” bukan bermaksud “persetujuan”.

Kerana itu, penerimaan Al-Quran (yang mungkin mendalamkan “pemahaman”) tidak bererti pemelukan (yang seharusnya terjadi dengan “persetujuan”).

Perbezaan kedua-dua konsep ini nampaknya perkara kecil tetapi sebenarnya besar implikasinya. Dengan kata lain, kalau saya memahami Islam, tidak semestinya saya bersetuju dengan Islam. Seterusnya, ini bermakna keputusan saya tidak memeluk Islam itu tidak bermakna saya tidak fahami Islam.

Sebaliknya, mungkin semakin saya memahami Islam, semakin saya ketahui ia tidak sesuai (incompatible) untuk jiwa (psyche) saya.

Logik sama sudah tentu juga boleh dipakai untuk agama lain, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taois, Bahai, Majusi dan sebagainya.

Seseorang bukan Muslim mungkin meninggalkan agama asalnya kerana sedar mengenai ketidaksesuaian (incompatibility) agama itu dengan jiwanya.

Pada masa sama, pemahaman antara-agama (interfaith) hanya akan mendalamkan keimanan mereka bahawa jiwa mereka sesuai (compatible) dengan agama asal.

Dalam kata lain, pemahaman terhadap agama yang lebih mendalam berpotensi membawa kepada pendalaman atau perubahan kepercayaan seseorang, dan akhirnya melahirkan pemeluk agama yang lebih beriman dan jujur.

Mereka mengikuti sesuatu kepercayaan itu bukan kerana dipaksa, diberi imbuhan atau dilahirkan ke dalam agama itu dan seterusnya tidak dibenarkan meninggalkannya.

Pengiktirafan bahawa “pemahaman” bukan bermaksud “persetujuan” dalam bidang agama sebenarnya adalah pengiktirafan kepelbagaian manusia yang mungkin bersesuaian dengan agama berlainan dan perlunya kebebasan beragama.

Ramai di antara kita mungkin menganggap kebebasan beragama akan merugikan agama masing-masing dan menguntungkan agama lain atau fahaman ateisme.

Dalam kata lain, terdapat andaian bahawa agama sendiri kurang daya persaingan jika individu dibenar membuat pilihan.

Kalau dilihat daripada perspektif dunia, ia nyata tidak benar, sekurang-kurangnya untuk Islam.

Islam yang dihapuskan di Eropah zaman silam semasa ketiadaan kebebasan agama kini berkembang di Eropah zaman sekarang dengan kebebasan agama.

Ini bukan sahaja kerana kadar pertumbuhan populasi yang lebih tinggi di kalangan umat Islam atau penghijrahan masuk umat Islam ke Eropah, tetapi juga kerana pemelukan Islam oleh orang bukan Islam yang jauh lebih tinggi daripada orang Islam yang meninggalkan Islam.

Sebagai contoh, menurut The Economist, anggaran yang dibuat oleh Kevin Brice, seorang penyelidik di University of Wales Trinity Saint David, 5,200 orang di Britain memeluk Islam setiap tahun.

Di Amerika Syarikat pula, Pew Research Centre menganggarkan hampir sesuku umat Islam adalah mualaf, kebanyakan mereka berketurunan Afrika.

Dalam kata lain, kalau ada yang merasakan Islam itu agama kurang berdaya saing dan perlu perlindungan, itu tidak benar sekurang-kurangnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

Kembali kepada Malaysia. Banyak hikmat daripada kempen pengedaran Al-Quran percuma dan penterjemahannya kepada bahasa bukan Melayu ini.

Pertama, kalau pengedaran Al-Quran percuma dalam bahasa minoriti itu berkesan menangani Islamofobia, maka kesan positif kitab Injil dan kitab suci dalam bahasa kebangsaan dalam menangani Kristianofobia dan fobia terhadap agama lain di kalangan pengikut mana-mana agama juga harus diiktiraf.

Sesungguhnya Perkara 11(4) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di Wilayah Persekutuan “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”, tidak harus digunapakai untuk menyekat pengkongsian bahan-bahan yang bertujuan menangkis sebarang prasangka terhadap agama bukan Islam.

Sememangnya, penerimaan Al-Quran tidak bermaksud pemelukan Islam. Pemahaman ini seharusnya sama untuk Injil, Tipitaka, Vedas, Guru Granth Sahib, Dao De Jing dan sebagainya.

Kedua, gambar yang disiarkan di internet menunjukkan sebuah van khas “Multicultural Reverted Muslims” (MRM) digunakan dalam pengedaran Al-Quran percuma itu dicat dengan slogan “1 God, 1 Faith, 1 Religion, 1 Mission”, diikuti dengan “the messages of all prophets in Islam: Adam, Abraham, Moses, Jesus dan Muhamad”.

Sememangnya agama Nabi Ibrahim (Abraham) banyak persamaan di samping perbezaan.

Nyata sekali, MRM yakin usaha ini akan mendalami pemahaman antara-agama dan tidak menghasilkan kekeliruan dalam mana komuniti, Kristian atau Islam.

Keyakinan ini sudah tentu boleh menjadi asas menyelesaikan kontroversi larangan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Ketiga, tidak salah kalau kempen pengedaran Al-Quran percuma ini berjaya mengislamkan mereka yang jiwanya sememangnya sesuai dengan Islam, selagi tiada unsur paksaan, termasuk paksaan yang lembut.

Namun, bagi menyingkirkan unsur paksaan, mereka yang menerima Al-Quran percuma itu mesti bebas membincangkan persamaan dan perbezaan Islam dengan agama asal mereka.

Ini bermakna, mereka mungkin membincangkan agama Islam di kalangan rakan-rakan seagama mereka dan tidak semestinya dengan badan pendakwah Islam.

Mereka mesti bebas mendengar, bukan sahaja hujah mengapa Islam sesuai dengan jiwa mereka, tetapi juga hujah bertentangan mengapa Islam itu tidak sesuai.

Selama ini, perbincangan antara agama dianggap sensitif dan pandangan kritikal antara agama sering dilihat sebagai berniat jahat. Malah, perbincangan mendalam sering “diharamkan” atas alasan “yang membincangkannya tidak berpengetahuan”.

Jika pengedaran Al-Quran percuma kepada bukan Islam tidak berhasrat memberikan tekanan kepada si penerima Al-Quran memeluk Islam, maka kajian, penelitian dan perbincangan yang terbuka tentang kandungan Al-Quran di kalangan bukan Islam itu mungkin terjadi, seperti mana di jabatan perbandingan agama (comparative religion) di universiti asing.

Apakah umat Islam Malaysia bersedia dengan perubahan ini?

Apakah pihak berkuasa tidak akan menuduh mana-mana bukan Islam yang berkongsi kesimpulan mereka bahawa Islam tidak sesuai dengan jiwa mereka itu sebagai “anti-Islam”? – 1 Mac, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments