Kebarangkalian besar, 3 arus (trend) yang memudaratkan di 2015 akan diteruskan dalam 2016: penganiayaan ke atas pengkritik pemerintah, kekacauan ala Low Yat/Kota Raya, dan pengasingan berasaskan agama.
Manusia suka mendengar berita atau cerita baik. Itu sebabnya kita mengucapkan “selamat pagi”, “selamat tahun baru” dan sebagainya yang menggambarkan harapan dan aspirasi kita.
Kalau ikut fikiran itu, maka kolum minggu ini harus memaparkan cerita baik untuk 2016 seperti pendidikan Malaysia akan terus bertaraf terunggul di dunia, masa depan ekonomi Malaysia cerah sekali, 1Malaysia sudah berjaya direalisasikan ataupun Wawasan 2020 akan tercapai 4 dahulu lebih awal.
Tetapi saya bukan tukang cerita dongeng (fairy tales) dan mitos, dan sebaliknya seorang ahli sains politik. Saya imbas kembali 2015 dan melihat 3 arus yang cukup membimbangkan.
Arus pertama yang membimbangkan ialah penganiyaan politik ke atas pengkritik pemerintah.
Kita sudahpun tidak dapat mengingati bilangan wakil rakyat yang didakwa kerana melaksanakan hak mereka untuk bersuara atau berhimpun di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Itu tidak termasuk lagi dengan jumlah aktivis dan rakyat jelata yang turut didakwa kerana membantah tingkahlaku pemerintah.
Untuk mencipta suasana menakutkan untuk semua supaya tidak berani bersuara, maka bukan saja pengkritik pemerintah didakwa, malah pensyarah, pemikir, penterjamah, penerbit, pengurus kedai buku turut dibawa ke mahkamah atas nama melindungi raja dan agama.
Seolah-olah kuasa pemerintah tidak cukup untuk menekan suara rakyat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bercontohkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada tahun 1969-1971 akan ditubuhkan tak lama lagi. Rang undang-undangnya diluluskan ahli parlimen BN di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mempertimbangkan dan membicarakan kemudaratannya.
Terdiri daripada perdana menteri, timbalan perdana menteri, 3 orang menteri kanan dan ketua 3 angkatan negara – birokrat, tentera dan polis, MKN akan mengambilalih kuasa kabinet sebagai “pihak berkuasa pusat bagi kerajaan” dalam perihal keselamatan negara yang merangkumi isu politik seperti kedaulatan, integriti wilayah, kestablilan sosio-politik dan perpaduan negara.
Berbeza daripada Mageran yang merupakan pengganti kabinet sementara apabila negara berada di bawah darurat, MKN boleh bila-bila masa mengenakan pemerintahan darurat di wilayah yang diisytiharkan sebagai “kawasan keselamatan”.
Pengarah operasi yang mengetuai “kawasan keselamatan” boleh memberi arahan kepada semua “entiti kerajaan” yang mengikut definisinya merangkumi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini bermaksud dalam senario terburuk, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin tidak dapat disempurnakan dan Najib akan terus berkuasa sekiranya sebelum keputusan penuh diumumkan, negeri kubu kuat diisytiharkan sebagai “kawasan keselamatan”.
Lebih daripada membisukan pengkritik pemerintah dengan dakwaan di bawah undang-undang zalim seperti Sosma dan Pota, MKN boleh digunakan untuk memastikan kritikan kepada pemerintah tidak berkesan bagi menekan penukaran pemerintahan atau memaksa pemerintah mengubah dasar atau tingkahlakunya.
Arus kedua yang membimbangkan ialah kekacauan sepertimana yang berlaku di Plaza Low Yat pada 22 Julai dan di Kompleks Kota Raya pada 20 Disember.
Dalam kedua-dua kes ini, tuduhan dibuat berlakunya penipuan terhadap pengguna kaum Melayu dilakukan penjual kaum Cina dalam pembelian telefon bimbit. (Dalam kes Low Yat, pengguna yang kononnya tertipu itu sebenarnya suspek pencuri telefon bimbit).
Secara prinsipnya, semua penipuan dalam jualbeli harus dihukum untuk menegakkan keadilan, tanpa mengira kaum atau agama si penipu dan si mangsa.
Jika memang berlaku penipuan sistematik antara penjual telefon di Plaza Low Yat dan Kompleks Kota Raya, maka laporan seharusnya dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan KPDNKK harus mengambil tindakan serta-merta.
Penyiasatan dan tindakan sewajarnya harus diambil sekalipun jika yang menipu pengguna kaum Melayu ialah penjual kaum Melayu, ataupun jika yang ditipu penjual kaum Cina ialah pengguna kaum Cina.
Kalau memang berlaku penipuan, maka penjual yang salah harus didakwa di mahkamah atau dikenakan hukuman eksekutif. Sebaliknya, kalau tiada bukti berlaku penipuan, maka tuduhan tersebut juga harus disangkal pihak berkuasa untuk mengelakkan anasir jahat menangguk di air keruh.
Unsur kaum tidak harus dan tidak mungkin ditimbulkan sama sekali jika pihak berkuasa berfungsi sewajarnya.
Akan tetapi, dalam kedua-dua peristiwa ini, kita tidak baca mengenai tindakan KPDNKK untuk menyiasat atau menyangkal tuduuhan.
Sebaliknya, 2 respons berbau perkauman berlaku.
Pertama, keganasan atau amok ke atas kedai dan penjual yang dituduh menipu mereka yang ingin “memperjuangkan maruah orang Melayu”.
Yang menariknya, polis juga tidak bertindak serta-merta bagi mengelakkan kekacauan daripada berlaku.
Dalam kes Plaza Low Yat, kemarahan mereka yang menyebelahi “pengguna Melayu” dibiarkan membara selama 5 jam daripada pukul 7 malam sampai berlakunya rusuhan selepas larut malam sungguhpun Ibu Pejabat Kontigen Polis Kuala Lumpur cuma 7 minit jaraknya daripada tempat kejadian. Ali Tinju yang asalnya didakwa menghasut akhirnya digugurkan kesnya dengan Jabatan Peguam Negara memberikan alasan kurang bukti.
Dalam kes Kompleks Kota Raya, juga tidak nampak peningkatan anggota polis yang meronda di situ sungguhpun Ali Tinju cuba membuat demonstrasi berunsur ugutan 2 kali sebelum kekacauan tercetus.
Kedua, pelancaran MARA Digital Mall yang khas dioperasikan penjual Melayu/Bumiputera yang turut dikecualikan sewa untuk 6 bulan pertama.
Idea ini datang daripada menteri kemajuan luar bandar dan wilayah yang mempunyai bidang kuasa ke atas MARA, selepas kekacauan di Plaza Low Yat dan mendapat “sokongan” dalam bentuk cadangan “boikot penjual Cina” dalam kes di Kompleks Kota Raya.
Arus ini sangat berbahaya kerana pemerintah (state) dilihat enggan atau tidak memainkan peranannya sebagai penjaga keadilan dan kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, sebaliknya cuba membela suatu kaum daripada kononnya gertakan kaum yang lain.
Hidup dalam sebuah masyarakat yang majmuk, sudah tentu tidak mungkin setiap persengketaan itu cuma melibatkan individu daripada kaum yang sama sahaja.
Jika setiap persengketaan yang melibatkan individu daripada kaum yang berlainan dijadikan seolah-olah konflik kaum, bagaimana negara kita mungkin aman dan damai?
Selagi sikap pemerintah tidak berubah, maka lebih banyak lagi kekacauan ala Low Yat dan Kota Raya akan muncul pada 2016.
Arus ketiga yang membimbangkan ialah wujudnya “pengasingan berasaskan agama” (religious apartheid) seperti yang diingatkan Dr Syed Farid Al-Atas.
Sememangnya setiap komuniti mempunyai pantang larang dan juga kesukaan (preference) yang tersendiri, terutamanya kerana agama, budaya dan bahasa.
Akan tetapi, apakah kita perlu menjadikan agama, budaya dan bahasa sebagai tembok yang memisahkan kita?
Sebagai contoh, perlukah kita dilarang menyampaikan ucapan penyambutan perayaan sesama lain?
Sudah tentu orang Kristian tidak akan kurang bahagia kalau rakan mereka yang beragama Islam tidak dibenarkan untuk mengucap “Selamat Hari Natal”.
Tetapi, apakah larangan ini munasabah? Saya tidak menjadi keliru kerana mengucap kepada rakan Muslim saya “Selamat Menyambut Maulidur Rasul”.
Apakah kebaikannya kepada negara kalau kaum yang tidak beragama Islam tidak lagi mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri/Adha” kepada rakan mereka yang beragama Islam kerana takut kepercayaan mereka turut dikelirukan?
Yang lebih penting daripada larangan ucapan perayaan ialah amalan untuk membezakan halal dan haram dalam hampir semua perkara.
Hypermarket NSK memperkenalkan troli halal dan bukan halal, amalan yang kononnya akan diperundangkan untuk dipaksa ke atas semua peniaga. Apa perlunya troli halal apabila daging babi memang dibungkus dalam dua-tiga lapisan plastik dan tidak mungkin mencemari troli?
Kalau benar-benar ingin mengelakkan pencemaran, mengapa NSK dan KPDNKK tidak memperkenalkan urusniaga tanpa tunai kerana wang kertas dan wang siling sentiasa berpindah tangan dan mungkin terkena dengan sisa-sisa makanan haram?
Apakah pembezaan troli halal ini benar-benar kerana agama?
Soalan yang sama timbul dengan munculnya Air Mineral Premium Halal (RM 6-6.50 sebotol) yang pertama di dunia, ataupun cadangan untuk mewujudkan keretapi halal yang pertama di dunia?
Saya sudah tentu tidak layak dan tidak berani menjawab soalan ini.
Tetapi saya terbaca pandangan ulama seperti Wan Ji dan kumpulan Islamis seperti Muslim Professional Forum yang tidak bersetuju dengan cadangan troli halal.
Yang lebih menarik ialah pandangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak puas hati perniagaan halal tidak didominasikan orang Islam sendiri, seolah-olah lebih daripada kehendak agama, tujuan penting pembezaan halal dan haram ialah perlindungan ekonomi (economic protectionism) untuk mengkayakan usahawan Islam.
Apabila agama diperalatkan sebagai tembok yang memisahkan rakyat, bagaimana agama dapat dihormati semua dan rahmatnya dinikmati semua?
Saya memohon maaf kalau rencana ini menjatuhkan semangat saudara pembaca untuk menyambut tahun 2016.
Akan tetapi, masa depan tidak semestinya gelap gelita sekali.
Kerana setiap daripada kita mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada ingin menjadi tembok yang memisahkan sehingga kita terus ditindas, ataupun, jambatan yang menyambungkan silaturahim supaya kita boleh melawan kezaliman.
Mungkin kita cuma perlu tanya sendiri: bukankah kita dicipta berlainan supaya kita boleh mengenali sesama sendiri? – 27 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments