Pada tahun 80-an, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan amanatnya bertarikh 26 Februari 1986 yang menuduh dan menolak Umno sebagai kafir.
“Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
"Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad.
"Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”
"Amanat Hadi" ini mempunyai sekurang-kurangnya dua titik tolak yang sangat besar: pertama, mendefinisikan persaingan dua parti Melayu-Muslim sebagai persaingan antara Muslim dan orang kafir; kedua, menolak sama sekali Perlembagaan dan sistem politik kita sebagai peninggalan penjajah, satu hujah kuat digunakan oleh kem penggerak pelaksanaan penuh undang-undang syariah di Malaysia.
Amanat Hadi Awang 2.0?
Kenyataan Hadi pada 23 Januari 2015 mungkin tidak dihasratkan untuk dijadikan “Amanat Hadi Awang 2.0”. Antara lain, beliau dilaporkan berkata:
"Pilihan raya majlis perbandaran seperti diperjuangkan DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek.
"Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar.
"Kita tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk.
"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar.
"Yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi 'api dalam sekam' untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara."
Demokrasi dan kekerasan
Kenyataan Hadi ini penting kerana menggariskan dua isu yang sangat signifikan, dan rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada pendiriannya mewakili PAS dan pemahaman Islam mengikut PAS.
Isu pertama ialah sama ada demokrasi itu dilihat sebagai ancaman kepada kaum majoriti dan sama ada golongan bukan Islam dilihat sebagai “dhimmi”, yakni warga kelas kedua yang terlindung di bawah kekuasaan Islam dan bukan warga sama rata.
Isu kedua ialah sama ada keganasan dan ketakutan harus dijadikan satu asas dalam pengambilan keputusan.
Rencana ini menumpukan perbincangan kepada isu kedua. Ia merupakan pandangan peribadi saya, tidak mewakili mana-mana organisasi yang saya berkhidmat atau menyokong. Saya menulis dengan hati yang rendah memohon pencerahan daripada Tuan Guru dan juga para pemikir dalam PAS dan komuniti ilmiah kerana isu-isu ini begitu penting.
Keganasan politik and politik amok
Meminimakan keganasan politik (political violence) adalah matlamat mulia dalam politik. Ada yang menyifatkan kemaraan demokrasi sebagai “menggantikan pemancungan kepala (chopping heads) dengan pengiraan kepala (counting heads)”.
Dalam nada sama, sikap mengelak risiko terhadap keganasan politik adalah sesuatu pertimbangan yang sahih (legitimate).
Akan tetapi, mengelak keganasan politik tidak boleh dijadikan pertimbangan sehingga masyarakat dijadikan tebusan oleh pihak yang sanggup mengganas.
Sebaliknya, kecenderungan menggunakan keganasan mesti dicegah dan dihukum oleh bukan sahaja masyarakat demokratik, tetapi semua masyarakat bertamadun.
Kalau tidak, kita sebenarnya menggalakkan persaingan dalam kesanggupan mengganas – kalau kumpulan saya lebih rela berkorban dalam mengganas daripada kumpulan anda, maka kumpulan saya wajar bermaharajalela.
Oleh yang demikian, “politik amok” – menggunakan keganasan apabila rasa tercabar atau kehilangan kawalan diri - mesti ditolak sama sekali dalam demokrasi. Tiada alasan.
Sistem politik mesti berfungsi dengan baik supaya orang memilih lunas yang aman untuk berbincang, berdebat, mencari muafakat dan bukan berbunuhan sebagai cara penyelesaian pertembungan pendapat atau kepentingan.
Authoritarianisme dan Akta Hasutan
Keganasan, sebaliknya, adalah nadi hidup authoritarianisme. Salah satu hujah paling kuat untuk menjelaskan dan menyahihkan (legitimise) kewujudan pemerintah ialah manusia cenderung mengambil keganasan dan kecenderungan ini hanya boleh dikawal pemerintah dan bukan dengan akal atau nilai moral.
Dalam paradigma ini, kalau keganasan berlaku, pihak yang dituduh sebagai penghasut itu dikira salah.
Maka, kebebasan mesti ditekan. Apabila kebebasan disalahgunakan, maka kebebasan itu harus disekat dan bukan penyalahguna kebebasan itu ditunjukkan kesalahannya dan dihukum secara sosial seperti kutukan dan penghinaan.
Sebab itu kita lihat kerajaan authoritarianisme selalu tidak mengawal keganasan. Politik amok diberi ruang untuk bermaharajalela supaya rakyat takutkan kemudaratannya akan ketagihkan pemerintah yang kuat.
Malah pemerintah boleh bersubahat dengan golongan "pengamok” di mana mereka akan mengamok disebabkan kononnya provokasi dari parti pembangkang atau pengkritik pemerintah.
Ini menjadi alasan paling baik mengekalkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan.
Antara soalan yang pertama muncul dalam hati saya membaca “amanat” baharu Hadi ialah: kalau kerana risiko keganasan (letakkan terlebih dahulu sama ada penilaian risiko ini berasas) pilihanraya tempatan, maka besar lagi risiko jika Umno hilang kuasa, maka apakah demi keamanan, Umno boleh memenjarakan pemimpin PAS jika ia rasa kuasanya terancam dan kuncu-kuncunya mungkin akan mengamok kerana kemarahan dan kekhuatiran?
Saya terfikirkan pemimpin dan ahli PAS yang didakwa di bawah Akta Hasutan seperti Khalid Samad dan Wan Ji dan ramai lagi yang mungkin turut serta pada masa depan.
Apakah pemenjaraan mereka itu menjadi sahih jika ada pihak yang sanggup merusuh kerana tak tahan lihat mereka bebas?
Mei 13: Perbezaan Umno dan PAS
Sememangnya satu sebab Akta Hasutan dikekalkan tetapi jarang sekali diguna ke atas mereka yang mengancam mementaskan rusuhan 13 Mei itu ialah mengekalkan hantu 13 Mei itu supaya rakyat terutamanya yang bukan Melayu/Islam akan takut akan rusuhan dan memilih “syaitan yang mereka kenali”, sebagai meminjam kata-kata Dr Mahathir.
Dari Dr Mahathir sampai ke Ibrahim Ali, pemimpin Umno dan puak ultra-nasionalis tidak pernah tersembunyi dalam menghasut kebencian dan memberi amaran kepada bukan Melayu supaya tidak “bermain api”.
Saya cuba mencari dalam ingatan saya mana-mana pemimpin PAS selain Hadi yang pernah menggunakan rusuhan 13 Mei untuk menakutkan bukan Melayu/Muslim. Saya gagal dapat satu namapun.
Sekalipun di bawah Datuk Asri Muda yang dikira “assabiyah”, Kelantan tidak berlaku pertumpahan darah semasa 1969.
Saya pernah tertanya seorang pemimpin PAS: sekalipun PAS juga ada pemimpin yang bermentaliti assabiyah, yang lebih dukungkan Melayu daripada Islam, tetapi kita tidak dengar pemimpin PAS membuat ancaman keganasan seperti sesetengah pemimpin Umno, mengapa?
Jawapan rakan saya yang arif itu ialah ketagihan kepada keganasan sebagai alat untuk menakutkan rakyat itu terlalulah salah di sisi Islam.
Beliau berkongsi dengan saya Surah Az-Zukhruf 43:54: “(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.”
Maknanya jelas, umat Islam sejati tidak boleh menghalalkan ketakutan sebagai kaedah politik.
Maka saya fahamlah mengapa ahli Unit Amal sanggup melindungi rakan bukan Islam dalam perhimpunan daripada segala ancaman dan memenangi kepercayaan dan persahabatan ramai orang bukan Muslim terhadap PAS.
Arah 'baharu' PAS di bawah Hadi?
Dengan “amanat baharu” Hadi, persoalannya ialah apakah PAS sekarang telah mengambil arah baharu.
Sememangnya beliau tidak menghalalkan keganasan, tetapi bukankah secara tidak langsung keganasan dan ketakutan telah dihalalkan apabila hantu 13 Mei dijadikan alasan PAS menolak pilihanraya kerajaan tempatan?
Saya pohon pencerahan. – 25 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments