Opinion

Kalau-kalau rakyat dihina, akibatnya kerajaan binasa

19 JAN — Tahun 2011 bakal dipahatkan sebagai salah satu tahun yang terpenting dalam sejarah pembangunan tamadun manusia. Perkembangan pada tahun lepas telah menampakkan rombakan tararajah dunia yang sangat ketara akibat kebangkitan kuasa rakyat yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Di serata dunia, pelbagai gerakan massa telah tercetus. Daripada Occupy Wall Street di Amerika Syarikat kepada Arab Spring di Timur Tengah kepada Perhimpunan Bersih 2.0 di negara kita sendiri, rakyat sejagat telah berbangkit untuk menuntut perubahan dalam sistem kenegaraan masing-masing yang dilihat sebagai sudah tidak berfungsi, dijangkiti rasuah, mengutamakan kelompok elit dan mengeksploitasikan titik peluh golongan marhaen.

Rungutan para penunjuk perasaan mungkin berbeda dari tempat ke tempat. Ada yang menuntut hak asasi, ada yang menentang sistem kapitalisme kroni dan sebagainya. Namun begitu, hakikat asas yang menghubungkan gerakan-gerakan rakyat di seluruh dunia adalah faktor martabat. Dalam erti kata lain, apabila hak asasi seseorang itu dilanggar, apabila kebebasannya disekat, apabila cita-citanya dinafikan, apabila kehidupannya dibebankan, maka martabat seseorang insan itu juga dicabul.

Soal martabat ini tidak wajar diambil ringan. Pada 17 Disember 2010, alat perkakas seorang penjaja jalanan telah dirampas oleh pegawai penguatkuasa di bandar Sidi Bouzid, Tunisia. Alasannya, pemuda itu tidak mempunyai permit untuk menjaja. Apabila pemuda itu menyoal tindakan pegawai tersebut, beliau dibalas dengan tamparan ke muka.

Pemuda yang ditampar itu bernama Mohamed Bouazizi, berumur 26 tahun dan menyara hidupnya secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selama beberapa tahun menjaja, beliau kerap kali dibuli dan diugut oleh pihak berkuasa yang memandang rendah taraf sosialnya.

Pada hari Disember itu, Mohamed Bouazizi telah dicabul maruah dan martabatnya. Pada hari itu juga, beliau bertekad tidak sanggup lagi dihina. Lantas, beliau bertindak untuk membakar diri hidup-hidup di hadapan pintu masuk bangunan pihak berkuasa tempatan. Pada hari itu, nyawa Mohamed Bouazizi telah tamat, namun riwayatnya telah menghidupkan kata hati segenap rakyat Tunisia.

Sesungguhnya yang tercabul bukan hanya martabat seorang pemuda, tetapi martabat setiap insan jelata di negara Tunisia. Justeru mereka telah bangkit serentak untuk menuntut kembali martabat yang sudah lama dicabul oleh sebuah kerajaan yang mungkar dan serakah. Maka dari situ tersemailah bibit revolusi yang kemudiannya bercambah ke seluruh rantau dalam fenomena yang kini dikenali sebagai Arab Spring.

Satu persatu pemerintah-pemerintah yang rakus dan zalim telah ditumbangkan, daripada Hosni Mubarak di Mesir kepada Kolonel Ghadafi di Libya. Setahun dahulu, siapalah yang akan sangka bahawa dua orang diktator kuku besi yang telah berdekad-dekad berkuasa akan digulingkan oleh rakyat mereka sendiri?

Kebangkitan rakyat tidak hanya terbendung kepada rantau Timur Tengah. Tidak lama kemudian, gelombang revolusi telah tersebar ke benua-benua Eropah, Amerika dan Asia. Di Athens dan Madrid rakyat telah menunjuk perasaan terhadap pengangguran dan kekurangan peluang ekonomi, di Mexico dan India rakyat telah memprotes terhadap kadar jenayah dan rasuah yang keterlaluan, di New York dan Moscow rakyat telah membantah keras sistem ekonomi yang menguntungkan dan melindungi kelompok kapitalis elit.

Negara kita juga tidak ketinggalan. Pada 9 Julai 2011, kita telah menyaksikan satu demonstrasi jalanan besar-besaran di ibu kota apabila berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia telah berhimpun untuk menuntut pilihan raya yang lebih bersih, bebas dan adil. Sesungguhnya, hak mengundi itu melibatkan soal martabat juga. Setiap warga Malaysia sepatutnya dijaminkan hak untuk memilih kerajaannya melalui sistem pengundian yang adil dan telus. Sebarang pensia-siaan atau penafian hak itu merupakan pencabulan ke atas hak dan martabat rakyat.

Walaupun ditemu dengan rintangan ganas daripada pihak berkuasa, mereka tetap berterusan. Meskipun ditahan, dikasari dan ditembak dengan gas pemedih mata dan meriam air kimia, para penunjuk perasaan daripada setiap lapisan masyarakat tetap teguh dan tidak berundur. Akhirnya, Kerajaan Persekutuan telah diaibkan bukan sahaja di mata rakyat tetapi juga di mata dunia. Iktibarnya di sini, rakyat pantang dicabar.

Sungguhpun begitu, Kerajaan Persekutuan masih lagi belum serik. Dalam kejadian yang terbaru, segolongan mahasiswa telah berdemonstrasi secara aman untuk kebebasan akademik dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang selama 40 tahun telah mengongkong suara dan minda akademik di negara kita. Demonstrasi oleh pelajar-pelajar universiti merupakan kebiasaan di seluruh dunia, namun di Malaysia para penunjuk perasaan dilaporkan telah dibelasah oleh pihak polis sampai ada yang mengalami kecederaan teruk. Penghinaan para demonstran di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu juga merupakan penghinaan ke atas martabat dunia akademia.

Tampaknya Kerajaan BN tidak dapat memahami bahawa kancah baru di persada politik dunia sedang berkisar pada persoalan martabat. Sama ada masalah yang dihadapi itu berkisah tentang isu ekonomi, politik atau sosial, pokoknya tidak ada sesiapa pun yang ingin dicemuh dan ditindas. Dari Dataran Tahrir ke Wall Street ke Jalan Pudu, tidak ada sesiapa pun yang rela berdiam diri apabila martabatnya dicabul.

Sekiranya Kerajaan BN tidak mengambil iktibar daripada kebangkitan rakyat yang sedang giat berlaku di seluruh dunia, maka ia harus bersedia untuk ditimpa padah.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments