Opinion

100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

JUN 19 — Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Selangor, Puan Arfa’eza Aziz terletak di tingat 20 bangunan Sultan Salahudin, Shah Alam. Pejabat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula terletak di tingkat 21, satu tingkat di atas tingkat beliau.

Ketika saya mengunjungi Arfa (nama yang digunakan oleh rakan-rakan beliau) baru-baru ini, dia sibuk menguruskan jadual bosnya dengan media. Biliknya agak besar (berbanding pejabat Setiausaha Akhbar di Terengganu dan Kelantan) dan agak selesa.

“Besar...memang tetapi kalau you datang mengunjungi setiausaha akhbar sebelum saya, lagi terperanjat. Di bilik ini dulu ada dua komputer, mesin fax sendiri, telefon ada di dua meja dan sebagainya.

 

“Seolah-olah bila tuan punya bilik ini dulu duduk kat meja itu, walaupun dalam bilik ini juga, di situ akan ada komputer dan telefon untuk membantu dia bekerja.

“Tetapi, bila saya masuk ke sini, semua kena kontrol oleh Tan Sri. Konsep beliau adalah merakyatkan ekonomi. Sebab itu, nak tukar meja ini pun tak boleh. Yang dikeluarkan adalah,” cerita Arfa.

Inilah yang berlaku di pusat kegiatan kerajaan negeri Selangor dalam tempoh 100 hari selepas kerajaan Pakatan Rakyat dibentuk. Semua kegiatannya mematuhi pendekatan yang dikehendaki oleh MBnya, Merakyatkan Ekonomi.

“Maksudnya, setiap wang yang diperolehi hasil kemajuan ekonomi Selangor, akan disalurkan kembali kepada rakyat jika tidak kesemuanya, sebagian besar akan dikembalikan kepada mereka,” jelas Arfa.

Untuk 100 hari pertama, MB mengikat semua sekali perbelanjaan yang hendak dibuat. Semua kertas cadangan yang sampai akan dilihat di hujung kertas dahulu iaitu di bahagian implikasi kewangan.

“Inilah ajaran bos saya. Bila datang proposal, lihat di hujung dahulu,” kata Elisabeth Wong, salah seorang Exco kerajaan negeri ketika saya berjumpa dengan beliau baru-baru ini.

Saya membawa satu cadangan kepada Ely agar kerajaan negeri Selangor menerbitkan buku pengembaraan dua rakyat Malaysia ke seluruh dunia dengan kereta pacuan empat rodanya. Yang pertama komen beliau adalah sejumlah wang yang terpaksa dibelanjakannya untuk menerbitkan buku itu bukannya manafaat yang bakal diperolehi dari buku itu khasnya untuk portfolio beliau.

Seorang pegawai khas kepada exco kerajaan negeri juga mempunyai ceritanya tersendiri tentang cara pengurusan Tan Sri Khalid.

“Sekarang ini, semua projek pengeluaran pasir dibekukan secara blanket,” cerita Izham Hashim, Pegawai Khas kepada Datuk Dr Hassan Ali. Ini kerana, pengeluaran pasir telah menjadi isu besar kepada Selangor kerana bahan ini menjadi rebutan berikutan keperluan pasir untuk projek-projek pembangunan di negeri ini. Pihak yang mendapat permit mengeluarkan pasir di Selangor boleh menjadi orang kaya baru dengan serta merta berikutan permintaan terhadap pasir yang tinggi.

Pelbagai jenis penyelewengan dan salahguna kuasa berlaku berkaitan dengan pasir ini. Untuk mengkajinya dengan terperinci, segala urusan berkaitan permit mengeluarkan pasir dibekukan atas arahan MB.

Akibat sekatan secara blanket ini, projek untuk kepentingan negeri Selangor, untuk menyelesaikan masalah banjir, juga tersekat. Menurut Izham, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) mencadangkan agar sebatang sungai di daerah Kuala Selangor di perdalamkan untuk membolehkan aliran air tidak tersekat. Untuk itu, sebuah syarikat bersedia mengeluarkan pasir yang ada disitu secara percuma dengan syarat pasir itu menjadi hak mereka. Namun oleh kerana ini arahan blanket, maka projek mengeluarkan pasir bagi mendalamkan sungai itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

Ini adalah sudut negatif cara MB Selangor ini. Namun, beliau nampaknya tahu apa yang dibuat untuk 100 hari pertama ini. Mengenalpasti apa yang berlaku dalam kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

Pihak luar meletakkan Selangor negeri yang kaya, namun para petugas di dalam kerajaan baru ini terasa benar sempitnya pergerakan mereka akibat kekangan kewangan ini. Semuanya kerana satu iaitu untuk memenuhi pendekatan “Merakyatkan Ekonomi”.

Sebab itu, pada 9 Jun baru-baru ini, seharian MB Selangor dalam ‘bad mood’. Semua kakitangannya tidak berani membuat apa-apa hubungan terus dengan beliau kerana mereka tahu sangat perangai bos mereka itu.

Hari itu adalah hari di mana Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Datuk Ruslan Hassan membuat kenyataan kepada media bahawa Syabas menolak cadangan dan aku janji Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat Selangor.

Bukan setakat menolak, bahkan mengugut, jika kerajaan negeri melalui KDEB tidak membayar bil air percuma yang dihantar oleh Syabas dalam tempoh 14 hari, projek air percuma ini akan diberhentikan serta merta.

Padahal lebih 50 peratus saham Syabas dipegang oleh KDEB. KDEB pula dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Perbadanan Menteri Besar (MB Incorporated).

“Mungkin ini yang membengangkan bos aku,” cerita Arfa.

Adakah patut, anak syarikat sendiri tidak mahu mematuhi arahan Menteri Besar? Sedangkan inilah projek pertama kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan pendekatan “Merakyatkan Ekonomi” yang dipegang oleh Tan Sri Khalid.

Ketika ditanya, kenapa tidak dipecat sahaja pihak-pihak yang masih condong kepada kerajaan lama ini, Arfa menjelaskan, inilah cara Tan Sri Khalid. Beliau tidak mahu memecat seorangpun kakitangan kerajaan yang ada sehinggalah terbukti di depan mata beliau mereka tidak patuh kepada kerajaan negeri.

“Dia dah ada di situ, manafaatkan sahaja mereka,” kata Khalid kepada kakitangannya sebagaimana yang diceritakan kepada saya.

Sebelum ini, Khalid telah memaklumkan, rakyat negeri Selangor akan mula menerima air percuma ini mulai 1 Jun 2008. Ini adalah untuk memenuhi manifesto bersama antara PKR dan PAS yang diedarkan menjelang pilihan raya umum lalu.

Manifesto bersama PKR dan PAS bukan setakat air percuma sahaja. Banyak lagi yang dijanjikan. Ekoran itu, dalam konvensyen PAS Selangor 19 Mei lalu, para peserta konvensyen yang terdiri dari para pemimpin di peringkat pertengahan PAS, menyuarakan rasa tidak puashati mereka berkaitan dengan pelaksanaan manifesto ini..

Antaranya pemberian RM1,000 untuk semua pelajar IPT dari Selangor, penarikan balik cukai pintu untuk rumah kediaman dan sebagainya.

Namun, Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan negeri nanti, satu sidang akhbar khas akan dibuat untuk mengumumkan pelaksanaan kepada manifesto ini.

Satu jawatankuasa khas juga telah dibentuk untuk mengkaji manifesto ini. Antara anggotanya adalah anggota parlimen Kuala Selangor yang juga AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad dan Setiausaha Politik MB. Jawatankuasa ini juga dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan juga Penasihat Undang-undang negeri.

Semua anggota Exco Selangor juga telah diarahkan untuk mengumpul dan memberikan maklum balas kepada pejabat MB berkaitan manifesto ini untuk diproses dan seterusnya diumumkan kepada rakyat menjelang 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Nampaknya, 100 hari terlalu pendek masanya untuk menilai kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor ini. Namun, 91 peratus pembaca laman web siasahdaily.blogspot.com memberikan sangat baik dan baik untuk kerajaan ini. Hanya 9 peratus sahaja memberikan jawapan buruk dan sangat buruk.

Zulkifli Sulong is a veteran journalist who edits the Bahasa Malaysia weeky Siasah. An incisive observer of Malaysian politics, he writes an exclusive weekly column for The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments