OCT 11 — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan pergi. Beliau tidak akan mempertahankan jawatannya dalam Umno. Beliau juga akan melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri Mac 2009. Itu yang diumumkan Abdullah baru-baru ini.
Timbalan beliau, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan mengambil alih jawatan sebagai presiden dan perdana menteri. Najib sudah mengumumkan akan bertanding jawatan presiden Umno Mac tahun depan.
Jurucakap utama dalam menjatuhkan Abdullah, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden. Apabila ramai kalangan pemimpin Umno yang lain mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, mereka semua adalah “Pak Lawak” sahaja. Calon sebenar timbalan presiden Umno adalah Muhyiddin sahaja, orang lain tidak layak.
Melihat kepada kenyataan ini, ahli Umno dan peminat politik di negara ini sepatutnya jelas, pemain cator sebenar dalam Umno adalah bekas presiden Umno ini iaitu Dr Mahathir. Dialah yang mencatorkan segala-galanya.
Sejak dari mula menyesali pemilihan Abdullah sebagai presiden Umno dan perdana menteri lagi, Mahathir sudah berusaha menaikkan Najib. Beliau juga berusaha menaikkan Muhyiddin sebagai timbalan kepada Najib.
Mula-mula Mahathir mendesak Abdullah berundur. Dalam masa yang sama beliau mendesak Najib turut mendesak Abdullah berundur. Namun Najib kelihatan setia kepada Abdullah. Dia tidak mahu lawan Abdullah secara terbuka.
Ekoran dari itu, Mahathir mula kelihatan kesal. Dia juga mula membuat kenyataan kononnya Najib bukan orang pilihan beliau lagi. Nama Muhyiddin mula naik. Ekoran itu juga, nama bekas pencabar beliau Tengku Razaleigh Hamzah naik. Dalam satu pertemuan antara Mahathir, Tengku Razaleigh, Muhyiddin, Tan Sri Sanusi Junid dan beberapa pemimpin veteran Umno, Mahathir mencadangkan kepada Tengku Razaleigh agar dia melawan Abdullah. Apabila ditanya Tengku Razaleigh, apa kapasitinya membuat cadangan itu sedangkan dia bukan ahli Umno, Mahathir berkata dia akan menyertai Umno semula segera.
Ekoran dari itu, lahirlah regu baru dalam Umno iaitu Tengku Razaleigh-Muhyiddin akan menentang Abdullah-Najib. Mahathir memberi janji kepada Tengku Razaleigh, dia akan menyokongnya untuk menjatuhkan Abdullah.
Ekoran pertemuan itulah, Muhyiddin mengumumkan Mahathir akan menyertai Umno semula. Team Tengku Razaleigh-Muhyidin juga mula tersebar.
Namun, Mahathir tidak berhenti di situ. Dia memanggil Najib dan memberikan kata dua kepadanya. Jika kamu tidak mahu lawan Abdullah, aku mempunyai team yang kuat iaitu Tengku Razaleigh-Muhyiddin untuk melawan kamu berdua.
Melihat kepada kesungguhan Mahathir inilah, Najib mula sedar. Dia bakal menghadapi pencabar yang kuat dan bakal kalah. Hilang impian untuk jadi PM dan hilang cita-cita untuk menjadi presiden.
Ekoran itu, Najib menerima kata dua Mahathir dan mula bekerja untuk menekan Abdullah supaya jangan bertanding jawatan presiden dan mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Mac 2009.
Semua penyokongnya bercakap atas nada ini. Sepupunya Datuk Hishammuddin Hussein. Penyokong setia pelan peralihan kuasa ala-Mahathir, Muhyiddin dan Tan Sri Rafidah Aziz. Turut serta adalah Datuk Shafei Apdal yang kesal dengan layanan Abdullah terhadap Umno Sabah. Kesemua mereka bercakap dalam mesyuarat MT mendesak Abdullah berundur. Dibayangkan kepadanya bahawa akar umbi Umno mahukan beliau berundur segera. Dibayangkan kepadanya juga jika bertandingpun, dia bakal tidak akan mendapat jumlah pencalonan yang cukup untuk bertanding. Dia juga dibayangkan, jika terus kekal sebagai presiden dan PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya dengan cita-citanya untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Akhirnya Abdullah pasrah. Dia benar-benar terkejut. Yang paling mengejutkan beliau adalah apabila dikaji oleh petugas dan penyokongnya, kesemua gambaran yang diberikan kepada beliau itu adalah manufactured (direkacipta) bukannya asli. Dan di belakang segala suasana buatan dan rekacipta itu termasuklah timbalan beliau yang diyakini beliau kesetiaannya selama ini, Najib. Rupanya dia tidak sabar, telah Abdullah dalam hatinya.
Kini segala-galanya jelas. Abdullah mengambil sikap tidak melawan kerana tidak mahu memecahkan Umno. Beliau tidak mahu dilihat sebagai orang yang terlibat sama dalam menjatuhkan kerajaan BN yang ditunjangi Umno.
Sikap Abdullah ini disifatkan sebagai sikap pemimpin Umno peringkat awal dahulu. Ini bermakna, dalam Umno hanya tinggal dia seorang sahaja lagi yang mesih bersikap begitu.
Padahal beliau sedar, akar umbi Umno tidak menyalahkan beliau sepenuhnya terhadap apa nasib parti itu dalam pilihan raya umum lalu. Sebahagian besarnya kerana kerja-kerja bekas presiden Umno yang meminta rakyat agar jangan mengundi BN kerana mahu menjatuhkan beliau. Ia ditambahkan lagi dengan kelebihan bebanan pribadi yang dibawa oleh timbalan beliau ke atas parti.
Abdullah akan berundur dengan baik. Namun, apa nasib orang-orang di sekeliling beliau yang berusaha bermati-matian untuk mempertahankan beliau selama ini. Sekurang-kurangnya Datuk Mohd Ali Rustam, Datuk Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib sudah dilebelkan sebagai pak lawak oleh Mahathir, dalang utama siri ini.
Selain, penyokong dalam parti, apa nasib anak menantu beliau? Bagaimana Khairy Jamaludin? Apakah kebolehan, latar belakang akademik yang kuat dan wang yang beliau habiskan untuk naik ke persada kepimpinan Umno selama ini akan hilang begitu sahaja. Poll yang dibuat oleh sebuah laman web menunjukkan nama anak Mahathir, Datuk Mukhriz adalah pilihan utama untuk menjadi ketua pemuda kini.
Bagaimana nasib anak beliau Kamaludin? Bagaimana dengan perniagaannya? Masih selamatkah dia?
Bagaimana pula dengan nasib Tengku Razaleigh. Dia nampaknya telah ditipu hidup-hidup oleh musuh politiknya selama ini. Selepas dijanjikan bulan dan bintang, dia ditikam dari depan-depan oleh Mahathir sendiri apabila berbincang pula dengan Najib. Nampaknya dia hanya menjadi alat untuk Mahathir mengugut Najib sahaja.
Apakah Tengku Razaleigh masih yakin akan mendapat pencalunan yang cukup untuk bertanding melawan Najib sebagai presiden. Saya yakin, kalau Tengku Razaleigh masih berfikiran begitu, dia bukan ahli politik yang hebat sebagaimana disangka. Dia terlalu naif jika begitu.
Di luar Umno, pelbagai peluang menanti Tengku Razaleigh. Ada yang berpendapat, biarkan Tengku Razaleigh kesal, kecewa dan menangis dahulu dalam Umno, baru kita tunjukkan jalan yang terbuka luas di luar kepadanya. Namun, saya tidak berfikir begitu. Dalam politik, peluang perlu dicekup ketika datangnya peluang itu.
Kita serahkan kepada Tengku Razaleigh sendiri untuk menilai semua episod ini di samping pilihan-pilihan lain yang beliau ada dan sememangnya terbuka luas.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments