MAC 5 — "Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri," kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia telah disiarkan secara jelas dalam beberapa akhbar khasnya akhbar The Sun.
Kuasa inilah yang digunakan oleh Sultan Terengganu ketika melantik Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku pemimpin tertinggi BN, mahukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai MB.
Ia juga berlaku di Perlis. Walaupun Abdullah, melalui suratnya mahukan Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi MB, namun Datuk Mat Isa Sabu yang diperkenankan oleh Raja Perlis.
Selepas Mac 2009 nanti, Abdullah akan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Inilah janji beliau dan ia diulangi lagi baru-baru ini.
Selepas beliau meletakkan jawatan, sebagaimana dikatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melantik siapa sahaja yang difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
"Tidak boleh. Baginda mesti melantik ketua parti iaitu Najib?" kata seorang anggota Parlimen Umno kepada saya. "Dalam kes Terengganu berbeza kerana Idris bukan ketua parti," tambah ahli Parlimen dari Umno berkenaan lagi.
Jika benar apa yang dikatakan beliau itu, bermakna tidak benarlah apa yang dikatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat itu.
Kini, khabar angin tersebar luas kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak berapa senang dengan bakal Perdana Menteri yang ada. Ini kerana, beliau terlalu banyak “masalah” yang belum selesai yang dipikul dan digalasnya.
Jika begitu, bagaimana kalau ada usaha dibuat untuk memberikan alternatif kepada baginda untuk memilih "orang yang difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat". Bukan Najib sahaja bahkan ada orang lain juga layak untuk mendapat status itu... mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Inilah yang sedang hangat dibincangkan sekarang. Saya percaya inilah asasnya mengapa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan cadangan kerajaan perpaduan atau unity government beliau.
Tanpa prajudis kepada sebarang perancangan yang dibuat oleh Presiden Pas itu, pada pandangan saya, selain dari Najib, anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga layak untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia boleh dipertimbangkan dalam konteks kerajaan perpaduan ini.
Selepas The Malaysian Insider dan Siasah menyiarkan kenyataan Abdul Hadi tentang kerajaan perpaduan ini, Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li ini, adalah pemimpin pertama yang menyambut baik cadangan ini.
The Malaysian Insider sendiri berpandangan, Ku Li bercakap bukan untuk Umno tetapi untuk Malaysia. Beliau jelas sudah keluar dari kotak pemikiran biasa Umno.
Saya juga yakin, bukan hanya Ku Li sahaja yang berfikiran sebegitu tetapi ada ramai lagi pemimpin dan wakil rakyat Umno yang berpandangan seperti beliau. Ramai antara mereka sudah sedar, Umno sudah terlalu tertinggal dalam memahami hasrat rakyat Malaysia. Umno sudah terlalu terkongkong oleh sikap ketuanan mereka. Namun, mereka hanya diam sahaja. Mereka menunggu siapakah yang akan ke depan.
Inilah yang berlaku di Terengganu selepas 8 Mac 2008 lalu. Datuk Ahmad Said bukanlah pilihan kedua selepas Idris Jusoh untuk menjadi MB. Namun kerana dia yang berani dan sanggup, dia terpilih.
Jadi, kenapa kita tidak melihat cadangan kerajaan perpaduan ini atas prinsip ini. Sebuah kerajaan sementara yang mana semua pihak (Umno, Pas, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti politik) bersatu tenaga demi kepentingan Malaysia.
Kerajaan perpaduan ini akan meletak semula dasar-dasar negara di atas landasan yang betul demi kepentingan kita bersama yang bernaung di bawahnya. Kita beri alternatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pilihan selain Najib selepas Abdullah meletakkan jawatannya.
Untuk itu, saya meletakkan, biarlah Ku Li menjadi pilihan lain selain Najib untuk menjadi perdana menteri kerajaan perpaduan ini. Di bawahnya akan ada pemimpin PKR, DAP, Pas, Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain yang menjadi menterinya berdasarkan kekuatan parti masing-masing dan kesediaan mereka menyertai kerajaan perpaduan ini.
Saya percaya, kita telah membuat satu kebaikan kepada negara apabila kita memberikan pilihan kepada ketua negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong, untuk membuat pilihan bukannya terpaksa memilih yang satu sahaja.
Apabila saya melontar idea ini, banyak pihak yang menyifatkan saya menjual cerita penglipurlara. Cerita lakluk, kata seorang blogger. Saya juga dituduh sebagai agen kepada projek muzakarah Pas-Umno yang tidak jadi itu. Namun, melihat kepada senario politik yang ada sekarang, saya percaya, semua adalah serba mungkin.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments