AUG 8 — Bagi orang Melayu, membincangkan isu “dalam kain” termasuk isu liwat secara terbuka memang sensitif. Sebab itu, apabila isu ini mula berbangkit pada tahun 1998 lalu, ia mendapat bantahan besar-besaran orang Melayu di negara ini.
Ketika media utama negara memboikot laporan mengenai kegiatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bantahan-bantahan ini, Harakah yang saya pimpin ketika itu melonjak naik jualannya hampir pada setiap keluaran. Dari 72,000 naskah setiap keluaran menjelang pilihan raya kecil Arau 1997 ke 380,000 menjelang pilihan raya umum 1999.
Hasilnya, dalam pilihan raya 1999, Pas mendapat manafaat terbanyak; 27 calon Parlimennya menang dan ia merupakan rekod dalam sejarah perjuangannya. Itu tidak termasuk keahlian Pas. Ekoran dari peristiwa itu, keahlian Pas mencecah satu juta orang.
Namun, kerajaan Barisan Nasional masih kekal dalam pilihan raya 1999 itu. Ini kerana sokongan penuh orang bukan Melayu iaitu Cina dan India kepadanya. Ekoran dari pilihan raya itu, Umno dianggap terus memimpin BN dengan ehsan Cina dan India ini.
Kini, kes liwat datang lagi. Media memperkenalkannya sebagai Liwat II. Tokoh yang sama juga iaitu Anwar Ibrahim didakwa atas tuduhan meliwat. Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam di bawah seksyen 337B Penal Kod yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Yang melatari peristiwa semalam adalah sokongan orang bukan Melayu iaitu Cina dan India adalah yang terburuk untuk Barisan Nasional. Ia dibayangkan melalui keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 lalu.
Dalam pilihan raya lalu, BN hilang kuasa dua per tiganya. Parti MCA dan MIC paling teruk dipukul pengundi. Hampir kesemua calonnya kalah kecuali di beberapa kerusi Parlimen dan negeri.
Buat pertama kali dalam sejarah juga calon-calon Pas di kawasan pengundi bercampur antara Melayu, Cina dan India memperolehi kemenangan. Dr Mariah Mahmud menang besar di Parlimen Kota Raja dan Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menang di Titiwangsa. Mahfuz Omar juga menang di Pokok Sena walaupun beliau kalah besar dalam pilihan raya 2004 ekoran lambakan ramai pengundi Cina ke kawasannya selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum itu.
Jika BN lemah dalam pilihan raya 1999 kerana isu liwat Anwar Ibrahim, BN lemah dalam pilihanraya 2008 kerana larinya sokongan Cina dan India.
Bayangkan apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan 26 Ogos ini (kalau tidakpun pilihan raya umum akan datang) apabila dua faktor ini bergabung. Orang Melayu meninggalkan BN kerana isu liwat ketika Cina dan India memang sudah meninggalkan BN.
Tanda-tanda penggabungan dua faktor ini mula dilihat melalui kajiselidik yang dibuat oleh Merdeka Centre, ekoran isu liwat ini. Menurut kajian itu, sokongan terhadap Anwar meningkat 7 peratus berbanding sebelum ini. Dalam masa yang sama sokongan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus menjunang. Dari sokongan terbaik selepas pilihan raya 2004 lalu kepada terendah dalam survey yang dikeluarkan pada 31 Julai 2008 lalu.
Inilah sebenarnya yang menekan Umno sekarang. Di segenap denyut nadi Umno sekarang panas dengan pertembungan dalaman. Jawatankuasa Disiplin Umno yang diketuai oleh veteran Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen boleh dikatakan gagal untuk mengawalnya.
Sebab itulah, jentera kerajaan iaitu Badan Pencegah Rasuah (BPR) terpaksa digunakan untuk menitor segala pergerakan ahli dan pemimpin Umno dalam kempen mereka bagi memastikan tidak ada politik wang dalam pemilihan kali ini.
Dalam masa yang sama, para pemimpin Umno yang menghadapi masalah di bahagian mereka mula marah-marah melalui media. Yang paling mengejutkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang paling marah dengan apa yang berlaku dalam bahagiannya di Kota Tinggi, Johor. Beliau berkata, sebagaimana yang dilaporkan media, kemaruk kuasa sedang berlaku di Kota Tinggi.
Perjalanan mesyuarat cawangan Umno bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman, kata Syed Hamid.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, pemilihan kali ini seperti dibayangi unsur “kemaruk kuasa” dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi bahagian itu khususnya jawatan Ketua Umno Bahagian.
Semua ini berlaku ekoran dari pencalonan yang diterima oleh lwqan beliau nampaknya lebih banyak dari yang diteriam oleh beliau sendiri selaku pemegang jawatan Ketua Bahagian sekarang.
Di Seremban, calon Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang ditahan BPR kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli Umno di Seremban petang 2 Ogos lepas.
Dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000 atas faktor kesihatan selepas tiga jam ditahan oleh BPR. Yang menariknya, Mohd Nor adalah penyokong kuat MB Negeri Sembilan Datuk Muhamad Hassan. Mohd Nor dikatakan akan melawan Datuk Ishak Ismail, ketua bahagian yang ada sekarang.
Semua cerita-cerita ini sebenarnya membuatkan perut para pemimpin Umno terasa senak.
Sudahlah usaha untuk memancing Pas untuk bersatu dengannya atas nama kepentingan Melayu dan Islam menerusi agenda muzakarah gagal, kini terpaksa pula menghadapi tekanan yang mahal hebat pula.
Pendek kata, saya amat bersetuju dengan pandangan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Anuar Musa... boikot sahaja pilihan raya kecil Permatang Pauh ini. Habis cerita. Dengan berbuat demikian, Umno boleh tumpukan perhatian untuk pemilihan dalamannya dan memperkemaskan mana-mana jenteranya yang longgar dan hampir tercabut sekarang.
Zulkifli Sulong is the editor of the Siasah weekly. He writes an exclusive weekly column for The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments