JAN 19 - Sebagaimana tulisan saya menjelang hari mengundi, kini sah tiga senjata terakhir Pas mengena dan memberikan kemenangan mutlak kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut.
Apabila keputusan akhir dimaklumkan oleh pihak SPR, undi Abdul Wahid hanya bertambah 949 undi (32,883 berbanding 31,934 Mac 2008). Yang banyak menurun adalah undi BN iaitu dari 32,562 kepada 30,252 iaitu penurunan sebanyak 2,310 undi.
Inilah realitinya. Undi BN yang terlalu banyak turun berbanding dengan kenaikan untuk undi Pas. Bagi saya, Pas telah berjaya mengawal undi untuknya dengan baik bahkan menambahkan lagi bilangannya manakala BN gagal mengekalkan undinya bahkan hilang dengan banyak.
Kesemua ini dicapai dengan baik oleh calon Pas kerana kemantapan kerjasama di kalangan parti Pakatan Rakyat serta kelicinan jentera Pas yang bermula sejak hari kematian Datuk Razali lagi.
Tiga isu akhir yang saya sebutkan sebelum ini adalah hubungan Datuk Razali dengan calon BN, perletakan jawatan pegawai pengurus pilihan raya kecil ini dan kenyataan Chif Inspektor Azilah Hadri dalam pembelaan dirinya kerana didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Bagi saya, ketiga-tiga isu ini telah berjaya mengurangkan undi kepada BN. Dan kalau boleh saya katakan, memang benar pilihan raya ini adalah referandum untuk Datuk Seri Najib dan terbukti beliau telah ditolak oleh rakyat Kuala Terengganu sendiri.
Turut menolak beliau adalah rakyat negara ini apabila hampir kesemua poll bebas yang dibuat dalam laman web memihak kepada Mohd Abdul Wahid. Poll Yahoo.com.my memberikan undi 72 peratus kepada Wahid manakala Mstar.com.my memberikan Wahid 82 peratus. Poll Berita Harian pun memberikan kelebihan kepada Wahid.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya sebaik sahaja keputusan pilihan raya kecil ini diumumkan mencadangkan agar Datuk Seri Abdullah meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri.
Memang dari awal lagi, mentor Najib, Tun Dr Mahathir menyerang Abdullah dengan berkata calon pilihan Abdullah ini buruk bahkan sangat buruk. Ramai berpendapat ketika itu lagi, serangan ini bertujuan untuk meletakkan bebanan pilihan raya ini ke atas bahu Abdullah bukannya Najib.
Padahal, hampir siang dan malam, Najiblah yang memimpin jentera BN untuk pilihan raya ini, sebagaimana juga di Permatang Pauh. Sejak dari awal lagi media telah menundingkan jari bahawa pilihan raya ini adalah referandum untuk Najib dan sebagaimana dijangka Najib telah menafikannya.
Kini calon BN telah benar-benar kalah. Undi calon BN berkurang sehingga 2,310. Dari manakah angka ini? Ini perlu dikaji oleh jentera BN dengan mendalam jika parti itu ingin bangkit semula dan seterusnya memimpin negara lagi selepas pilihan raya ke 13 nanti.
Pertama, saya katakan, penyokong Pas bertambah kerana ramai dari orang atas pagar terutama di kalangan mereka yang terpelajar atau golongan menengah dan mendapat maklumat dengan baik,lari kepada Pas selepas mereka tidak puas hati dengan BN.
Antaranya tidak puashati dengan Najib selaku pengarah pilihan raya dan bakal timbalan perdana menteri. Bagi saya mesej dihantar dengan jelas oleh rakyat mereka tidak bersetuju Najib menggantikan Abdullah sebagai PM.
Kedua, saya katakan pengundi BN menurun kerana ramai penyokong Datuk Razali yang tidak keluar mengundi dan kalau keluarpun memberikan undi kepada Pas.
Memang, ramai kalangan penyokong Datuk Razali dahulu adalah petugas jabatan pelajaran atau guru-guru sekolah. Menurut maklumat saya, 70 - 80 peratus guru di Kuala Terengganu adalah penyokong Pas. Namun, apabila Datuk Razali bertanding, 20 - 30 peratus dari mereka memberikan undi simpati kepada Datuk Razali, namun kira-kira 50 peratus dari mereka kekal dengan Pas. Ini kerana, sikap profesional Datuk Razali sebagai ikon pendidikan di Terengganu.
Selepas ketiadaan Datuk Razali, mereka mempunyai dua pilihan. Yang penyokong Pas akan kembali memberikan undi kepada Pas manakala yang menyokong BN pula akan berfikir dua kali. Kalau mereka terpengaruh dengan maklumat bahawa Umno Kuala Terengganu pimpinan Datuk Wan Ahmad Farid yang menyusahkan Datuk Razali selama ini, mereka akan mengundi Pas atau terus tidak keluar mengundi. Saya lebih yakin golongan ini tidak keluar mengundi.
Jadi dengan sendirinya undi BN akan merosot.
Selain itu, perletakan jawatan Datuk Mat Rozali Kassim, Datuk Bandaraya Kuala Terengganu dari RO memberikan kesan kepada golongan menengah ini. Perletakan ini mengesahkan dakwaan Pas selama ini, memang RO yang sepatutnya menjadi pengadil turut 'menyepak bola' di padang.
Dan yang berkait terus dengan Najib adalah kenyataan Chif Inspektor Azilah Hadri dalam mahkamah bahawa dia mendapat arahan dari Musa Safri, ADC Najib untuk membantu Razak Baginda menguruskan Altantuya menjadi isu besar juga kepada golongan pertengahan di Kuala Terengganu ini.
Dalam tulisan sebelum ini, saya menulis begini:-
"Jika benar penyiasatan yang dibuat polis, pertolongan yang dimaksudkan adalah membunuh pihak yang menggangu Razak Baginda iaitu Altantuya Shaariibuu.
Itu fakta yang tidak berapa penting sebenarnya. Fakta yang terlebih penting adalah bagaimana ADC Najib boleh mengarahkan Azilah membantu Razak.
Adakah ADC itu mengarahkan Azilah Hadri tanpa pengetahuan bosnya iaitu Najib. Atau arahan yang dibuat ADC itu atas arahan bosnya pula iaitu Najib.
Perkara ini tidak dapat dielakkan lagi dari diperkatakan. Boleh dikatakan semua rakyat negara ini tertanya-tanya persoalan ini.
Apatah lagi sebelum ini sepupu Altantuya dalam keterangannya di mahkamah yang sama memberitahu Altantuya pernah menunjukkan kepadanya sekeping gambar yang menunjukkan dia (Altantuya) makan bersama dengan Razak dan seorang pemimpin Malaysia bernama Najib Razak.
Di Permatang Pauh, Najib bersumpah dalam sebuah masjid di sana bahawa dia tidak pernah kenal wanita Mongolia ini. Apakah di Kuala Terengganu ini Najib terpaksa sekali lagi bersumpah dalam masjid bahawa dia tidak pernah mengarahkan ADCnya mengarahkan Azilah Hadri 'menguruskan' Altantuya.
Pengundi Kuala Terengganu tentu ternanti-nanti tindakan Najib ini. Kita percaya, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak keberatan untuk membenarkan mana-mana masjid digunakan oleh Najib untuk membuat sumpah ini.
Kalau MB Kelantan yang berlainan parti dengannya boleh dibenarkan untuk menggunakan Masjid Hiliran untuk melancarkan jentera pilihan raya Kelantan bagi membantu calon Pas, takkan dia tidak boleh membenarkan Najib untuk menggunakan mana-mana masjid untuk bersumpah."
Inilah tiga senjata akhir yang digunakan oleh PAS pada hari Jumaat sehari sebelum mengundi. Satu sebaran di buat ke seluruh kawasan Kuala Terengganu mengenai tiga isu ini. Ternyata, sebaran ini berkesan.
Dalam usaha untuk memenangi kembali hati penyokong Datuk Razali, BN telah cuba sedaya upaya untuk memujuk keluarga beliau. Walaupun timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran pergi ke majlis tahlil Datuk Razali yang terakhir menjelang hari mengundi, namun kelibat Wan Farid tidak kelihatan.
Walaupun sebuah maktab perguruan dan sebuah sekolah menengah dinamakan dengan nama Datuk Razali namun media keesokan harinya tidak membesarkan laporannya. Saya meletakkan puncanya adalah serangan awal Pas ini.
Kini pilihan raya kecil telah selesai. Permatang Pauh membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat. Kuala Terengganu pula membawa MAWE (Mohd Abdul Wahid Endut) ke Dewan Rakyat. Kedua-duanya memberikan kesan besar kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
Apakah kerajaan BN yang ada ini akan kekal hingga ke pilihan raya ke 13 atau pilihan raya ke 13 terpaksa dipercepatkan untuk membolehkan BN mendapat mandat baru. Kita tunggulah ya....
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments