Opinion

Bahayanya bila isu perkauman dijaja di Bukit Gantang

MAC 30 – Siapakah di belakang penempatan penyokong parti-parti yang bertanding di Bukit Gantang Ahad semalam (29 Mac) kini menarik perhatian pelbagai pihak. Ini kerana, meletakkan penyokong Pakatan Rakyat di bukit umpama meletakkan pasukan pemanah di Bukit Uhud dalam sejarah Islam yang terkenal itu.

Ekoran kedudukan yang strategik, di mana-mana sahaja dalam blog atau laman web, gambar para penyokong Pakatan Rakyat di hari penamaan calon Bukit Gantang menarik perhatian. Ini kerana kedudukan yang baik menyebabkan ia jelas kelihatan dan nampak ramai pula.

Oleh kerana penyokong BN berada di bawah bukit, maka ia tidak kelihatan. Dan yang terlebih penting lagi memang jelas, para para penyokong Pakatan Rakyat jauh lebih ramai. Ia diakui oleh Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyidin Yasin apabila berkata, jumlah kedatangan penyokong tidak penting yang penting adalah pengundi.

Pilihan raya kecil ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PR, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin, calon BN, Ismail Saffian dan calon bebas, Kamrul Ramizu Idris.

Sejak dari awal lagi, Umno memainkan isu calon tempatan. Ini kerana, sejak lebih 30 tahun lalu Bukit Gantang tidak pernah menerima calon tempatan yang mewakili BN. Lalu pemilihan Ismail Safian dianggap satu kelebihan kepada BN.

Isu utama yang dihadapkan kepada calon Pas pula adalah Nizar derhaka kepada Sultan Perak apabila menolak arahan baginda agar beliau meletakkan jawatan. Beliau juga dianggap calon DAP kerana pemimpin DAP Perak yang mula mencadangkan nama beliau sebagai calon.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai MB Perak juga, Nizar didakwa hanya alat kepada DAP sahaja kerana Adun Pas hanya enam orang sahaja dalam Dun Perak. DAP 18 dan PKR lapan. Untuk itu, hasillah apa yang dinamakan pemberian geran kekal 999 tahun kepada 3,000 lot tanah kampung baru yang didiami oleh orang Cina di Perak.

Kini, Nizar telah dipilih oleh Pas sebagai calonnya. Ia dibuat dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat di Perak menjelang hari pengumuman calon 23 Mac lalu.

Umno, dalam sebaran mereka mendakwa sebagaimana yang di atas. Nizar adalah calon DAP. Nizar adalah derhaka kepada raja. Nizar bagi tanah kepada orang Cina di Perak.

Apabila seorang rakan saya bertanya, apa pandangan saya tentang pilihan raya kecil Bukit Gantang, saya berkata, nampaknya Umno akan terus dengan politik perkaumannya. Umno belum sedar lagi, ketika semua orang berfikir kepada politik damai dan politik perpaduan, Umno terus dengan cara memecah belahkan rakyat.

“Biarlah Umno begitu, biar dia hancur,” kata kawan saya itu. “Masalahnya Umno kini sedang memerintah negara. Dia bukan hancurkan partinya sahaja, dia juga akan menjejaskan negara,” kata saya.

Apabila ditanya lagi, apa Pas akan buat, saya berkata, buat masa sekarang Pas hanya akan mencetak semula semua sebaran-sebaran perkauman Umno yang diberikan kepada orang Melayu itu. Pas akan edarkan sebaran itu kepada orang Cina dan India di Bukit Gantang.

Dalam pilihan raya Bukit Gantang 2004 lalu, calon Pas Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali mendapat 14,406 undi. Tan Lian Hoe (BN) mendapat 23,294 undi. Majoriti BN adalah 8,888. keputusan ini menunjukkan Pas mendapat kira-kira 40 peratus undi Melayu sahaja. Parti itu tidak mendapat undi bukan Melayu. Kalau adapun kurang dari 10 peratus dari jumlah undi keseluruhan mereka.

Dalam pilihan raya umum 2008, Allahyarham Roslan Shaharum mendapat 20,015 undi, Azim Zabidi (BN) mendapat 18,449 dan calon bebas M Murganan 872 undi. Majoriti Roslan adalah 1, 566.

Mengikut analisa yang dibuat, Roslan mendapat kira-kira 45 peratus undi Melayu dan 20 peratus undi bukan Melayu.

Ramai yang bersetuju, jika Umno habis-habisan berjuang untuk mendapatkan undi Melayu dengan memainkan sentimen perkauman dalam pilihan raya ini, undi untuk PAS tidak akan berkurangan dari undi yang diperolehi oleh Dr Lo’ Lo’ dalam pilihan raya 2004 lalu iaitu 14,400 undi.

Kini, dengan pendekatan Umno yang ada, BN akan kehilangan undi bukan Melayunya. Hampir 40 peratus pengundi yang berketurunan Cina dan India di Bukit Gantang ini akan pergi kepada Pas. Apatah lagi dengan kempen Umno bahawa Nizar adalah calon DAP.

Ramai yang meletakkan 80 peratus dari kira-kira 22,000 pengundi Cina dan India di Bukit Gantang ini akan mengundi PAS dalam pilihan raya kecil ini. 80 peratus bermakna 8,783 pengundi keturunan ini akan memberikan undi kepada PAS. Ini bermakna, 14,000 (undi untuk Dr Lo’ Lo’ 2004) + 8,783 undi Cina dan India akan diperolehi oleh calon PAS. Ini bermakna Pas akan memperolehi undi sebanyak 22,783 undi.

Dari pengiraan inilah, ramai yang membuat anggaran Pas akan menambahkan majoritinya dalam pilihan raya Bukit Gantang ini dari 1,566 ke sekitar 4,000 hingga 5,000 dalam pilihan raya kecil ini.

Anggaran ini akan menjadi kenyataan jika kempen BN berdasarkan perkauman ini akan berterusan dalam pilihan raya kecil ini.

Sebuah badan bebas, Ilham Centre dalam soalselidik yang mereka buat di Bukit Gantang pada 21 dan 22 Mac lalu mendapati 40 peratus penduduk Bukit Gantang yakin PAS akan menang dalam pilihan raya kecil itu nanti berbanding hanya 25 peratus yang menjangkakan BN menang, manakala 34 peratus lagi tidak pasti.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments