MEI 22 — “Kita akan menjadi ekor sepanjang masa jika menyertai Umno walaupun dia sedang nazak sekarang,” kata naib presiden PAS Datuk Husam Musa ketika membentangkan kertas kerjanya di Ijtimak PAS Selangor Isnin lepas.
“Tak kan selepas 40 tahun lebih kita lanyak Umno, tiba-tiba apabila dia nak mati kita nak hantar ambulan kat dia untuk diselamatkan,” tambah beliau lagi.
Ini bukan kali pertama Husam bercakap begini. Sebaik sahaja lepas pilihan raya 8 Mac lalu dalam satu sidang medianya, apabila ditanya oleh wartawan tentang khabar angin adanya usaha Umno dan PAS untuk bekerjasama, Husam memberikan amaran keras kepada para pemimpin PAS berkenaan.
“Kita akan pecat mereka (pemimpin yang nak bekerjasama dengan Umno),” kata Husam.
Kenyataan Husam itu disokong oleh seorang lagi naib presiden PAS, Haji Mohamad Sabu. Bagi beliau, melalui pilihan raya baru-baru ini, rakyat telah menghantar mesej yang jelas, mereka mahukan PAS terus bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Bagi Mohamad, persepakatan antara PAS, DAP dan PKR ini akan terus kekal jika tidak ada serang menyerang antara satu sama lain.
“Kalau kita nak kalah senang je. Kita pakat kutuk sesama kita. PAS kutuk DAP, DAP kutuk PAS. PKR curigai DAP dan PAS, manakala PAS pula curigai PKR. Akhirnya kita pun akan bergaduh dan bila tiba pilihan raya kita kalahlah," kata Mohamad.
Bagi beliau, semua orang tahu PAS dan DAP mempunyai perbezaan tetapi banyak juga persamaaan yang ada antara mereka.
"Jika kita cari perbezaan, kita jumpalah. Tetapi kalau kita ingin terus menang, kita kena cari persamaan antara kita dan bekerja dalam kerangka persamaan itu,” kata beliau semasa merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Selayang.
Kenyataan di atas membayangkan betapa kuatnya azam para pemimpin muda PAS untuk mengekalkan Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas pilihan raya 8 Mac lalu. Mereka bimbang, kalau-kalau ada perbincangan lain pula dibuat ketika rakyat sudah memberi mandat untuk bersama dalam Pakatan.
Kenyataan-kenyataan ini mungkin nampak ringan tetapi inilah isu yang sedang panas diperbincangkan sekarang. Ia dicakapkan di mana-mana. Topiknya adalah ‘ke mana PAS mahu pergi ketika negara dalam persimpangan sekarang ini’. Bersama Pakatan, menerima pelawaan kumpulan Abdullah untuk memperkuatkan orang Melayu kononnya, atau mencari jalan baru bersama Tun Dr Mahathir.
Khabar angin sentiasa tersebar tentang pertemuan-pertemuan sulit di kalangan pemimpin utama parti.
Umno memang hari-hari sedang memancing PAS. Dari pemimpin tertinggi hinggalah ke pemimpin peringkat negeri dan kawasan. Hatta di peringkat kampong, sudah ada pemimpin Umno yang mula ke surau yang dikatakan di kawal oleh PAS, yang selama ini mereka akan mengelakkannya.
Sudah beberapa kali para pemimpin tertinggi PAS ditemui dan dihubungi untuk membolehkan pemimpin tertinggi Umno bersemuka dengan para pemimpin tertinggi PAS.
PAS pula tidak lagi menjadi sasaran media milik Umno. Begitu juga ucapan para pemimpinnya. PAS dianggap kawan. Yang menjadi sasaran adalah PKR dan DAP. Lihat sahaja ucapan Khairy Jamaludin dalam Parlimen. Yang diserang adalah PKR yang dilebelkan sebagai Projek Khinzir Raksaksa dan Karpal Singh yang menderhaka kepada Raja.
Dalam masa yang sama, para pemimpin PAS pula mengambil sikap terbuka. Ia dibuat berdasarkan konsep engagement yang telah diterima pakai oleh PAS. Mereka akan bertemu dengan sesiapa sahaja dalam kontek ini.
Dalam pada itu, mereka sentiasa sedar bahawa Umno akan sentiasa mendekati PAS apabila berada dalam keadaan tersepit. Ini yang selalu di ulang oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selepas peristiwa 13 Mei 1969, PAS diajak sertai kerajaan campuran. Atas nama perpaduan, PAS masuk. Bila Umno dah kuat, PAS ditendang keluar dan dihina semula oleh Umno. Mungkin ini yang hendak diperingatkan oleh Husam.
Minggu lalu sahaja pelbagai peristiwa penting berlaku. Selepas mengumumkan keluar parti, Tun Dr Mahathir bersama isterinya, Dr Siti Hasmah menjemput Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak makan dirumahnya.
Menurut Azizan, banyak yang dibincangkan. Yang rasmi adalah permintaan Tun untuk mengkaji perjanjian antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Kedah berkait dengan LADA di Langkawi. Ini kerana ia akan tamat dalam setahun dua ini. Jika kerajaan Kedah tidak mahu kontrak itu disambung, maka tamatlah riwayat LADA di Langkawi itu.
Namun yang terserlah adalah Tun ingin meluahkan perasaan kesalnya terhadap Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi, hatta kepada pemimpin PAS yang dianggap boleh dibawa berbincang. Turut juga bertemu Tun adalah para pemimpin PAS yang lain.
Mungkin sikap ini diambil Tun selepas merasakan pemimpin Umno hanya menganggap beliau sebagai penglipur lara sahaja bukan untuk diikuti cakapnya. Lihat sahaja apabila Tun meminta para pemimpin Umno keluar parti bersamanya, berapa kerat sahaja yang mengikut. Yang pasti hanya isterinya dan Sanusi Junid sahaja. Bahkan, anak didik beliau sendiri, Najib Razak, dalam pertemuan mereka berdua minggu lalu jelas menolak cadangan Tun. Najib dikatakan berkata kepada Tun, dia ada cara sendiri dalam menghadapi kebangkitan parti-parti dalam Pakatan Rakyat ini.
Melihat kepada apa yang berlaku, seolah-olah PAS tidak yakin dengan kesepakatan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Tambah-tambah lagi dengan ura-ura runtuhnya kerajaan BN itu dan wujud kerajaan baru nanti. Kalau mereka yakin, kenapa adakan pertemuan dengan pihak-pihak yang boleh dikira mengganggu kelicinan pembentukan kerajaan Pakatan di peringkat Pusat.
Jika dikaji dengan teliti, sikap para pemimpin PAS ini banyak kembali kepada cara Anwar dan PKR. Jika Anwar bersikap wajar dan memahami sensitiviti yang ada pada ahli dan pemimpin PAS, PAS akan terus bersama Pakatan. Yang menjadi percakapan di bawah adalah cara Anwar mengendalikan semua senario ini.
Yang mengejutkan, para pemimpin dan penyokong setia PAS ini tidak kecewa dengan cara DAP bahkan sangat menyokongnya, tetapi sikap PKR yang menjadi tanda tanya. Lihat sahaja kes satu-satunyua Adun PAS di Pulau Pinang.
Ketidakpuasan hati cara Anwar dan PKR ini sebenarnya merentasi dari Pulau Pinang, Kedah, Perak hinggalah ke Selangor. Ia boleh meletup bila-bila masa, dan bola sebenarnya terletak di kaki Anwar dan PKR. Anwar perlu bertindak segera atau kapal yang sama-sama dibina runtuh sebagaimana runtuhnya Barisan Alternatif menjelang 2004 lalu.
Zulkifli Sulong is editor of the weekly 'Siasah'
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments