Opinion

Jalan menuju Putrajaya semakin jelas

AUG 29 — Selepas berjaya ke Parlimen, kini ramai menunggu apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya ke Putrajaya pula bagi mengambilalih tampuk pemerintahan negara.

Inilah yang selalu ditanyakan kepada saya. Bukan sahaja dari kalangan penggiat politik tetapi juga orang-orang kampung yang selama ini tidak langsung minat dengan politik.

Pertanyaan ini bukan sahaja berlegar di sekitar bangunan Parlimen ketika Anwar mengangkat sumpah pada 28 Ogos lalu tetapi juga di mana sahaja.

Menghadapi persoalan sebegini, saya ada dua jawapan kepada mereka. Pertama, saya tidak dapat mengesahkan samada ia akan berlaku. Tetapi, jawapan saya yang kedua menyusul iaitu, tanda-tanda ia akan berlaku semakin jelas dari hari ke hari.

Ketika keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 lalu, saya  bertegas, bukan senang untuk Pakatan Rakyat menarik 30 anggota Parlimen BN menyertainya. Saya bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Anwar gunakan wang untuk menarik wakil rakyat ini menyertainya, BN lagi banyak duit untuk mempertahankan mereka.

Namun beberapa senario yang berlaku kebelakangan ini semakin meyakinkan banyak pihak, Anwar sememangnya menuju ke Putrajaya. Cuma persoalan masanya sahaja yang belum pasti.

Sebelum ini, saya telah nyatakan dalam tulisan saya di sini bahawa langkah kerajaan menaikkan harga minyak 41 peratus menjadi sebab penting keyakinan rakyat kepada Anwar. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak, Anwar berjanji, "Hari ini bentuk kerajaan, esok harga minyak akan turun".

Mula-mula Anwar berjanji akan menurunkan sebanyak 50 sen semasa Debat beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Selepas itu, apabila harga minyak dunia mula turun, beliau dengan penuh keyakinan berkata, harga petrol boleh diturunkan ke RM2.00 iaitu diturunkan sebanyak 70 sen.

Kenaikan harga minyak dan janji penurunannya oleh Anwar menyebabkan rakyat keseluruhannya bersama Anwar. Namun ketika itu, di kalangan parti-parti politik, khasnya dalam BN, mereka terus yakin bersama dengan Umno dalam BN.

Namun, menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini, cara Umno berkempen di situ telah menyebabkan rakan-rakannya dalam BN mulai terfikir, apakah mereka harus kekal dalam komponen itu.

Sepanjang kempen itu, Umno dengan jelas mengambil pendekatan perkauman untuk cuba memenangi 69 peratus pengundi Melayu dalam kawasan pilihan raya itu. Lihat sahaja isu kouta 10 peratus bukan bumiputera untuk memasuki UiTM.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekadar melontarkan pandangan peribadinya sahaja agar UiTM membuka pintunya bagi memperuntukkan 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera.

Umno nampaknya mengambil pendekatan yang benar-benar perkauman dalam menangani isu ini. Melalui dorongan Naib Canselornya yang sememangnya terkenal dengan Umno itu, pelajar-pelajar UiTM berarak, berdemo dan menyerahkan memorandum kepada pejabat MB Selangor. Ia diikuti oleh pelajar-pelajar UiTM di kampus-kampus lain. Padahal pemimpin yang awal mencadangkan perkara ini adalah Tun Dr Mahathir sendiri.

Selain itu, isu ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam diambil pendekatan sentimen perkauman oleh para pemimpin Umno. Ia jelas dilihat dalam isu forum "Memeluk Islam" yang dianjurkan oleh Majlis Peguam.

Orang Cina dan India memerhati gelagat ini. Mereka sudah terkesan dengan pendekatan Umno sejak Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghunuskan keris di perhimpunan agung Umno lagi. Ia ditambah lagi dengan pendekatan kempen Umno di Permatang Pauh.

Hasilnya, MCA dan Gerakan mengkaji untuk keluar dari BN.

Calon Presiden MCA yang disokong oleh kepimpinan parti itu sekarang, Datuk Ong Tee Keat ketika bercakap di Pahang berkata, jika Umno terus dengan slogan ketuanan Melayu dan tidak membuat reformasi, anggota BN yang lain termasuk MCA akan meninggalkan BN.

Sebelum itu, Pemangku Persiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon memberitahu, bukan sahaja Gerakan mengkaji untuk keluar BN, parti-parti lain juga membuat kajian yang sama.

Penasihat Gerakan, Tun Lim Keng Yaik pula berkata, ia terserah kepada perwakilan parti itu yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.

"Jika kami keluar BN nanti, kami tidak akan memperjuangkan satu kaum sahaja bahkan menjadi parti pelbagai kaum," kata Ong Tee Kiat, Naib Presiden MCA sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Cina, Nanyang Siang Pau.

Sebelum ini, seorang lagi calon Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata, "MCA perlu mengkaji sikapnya seumpama 'orang gaji' kepada Umno."

Jika Umno bersikap perkauman dengan slogan ketuanan Melayunya, buat apa MCA dan Gerakan ini terus bersamanya sedangkan di luar sana Anwar melambai-lambai untuk bersama-sama dengan mereka di mana 'ketuanan rakyat' yang ditawarkan.

Jadi, bukan lagi anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang sememangnya tidak berpuashati dengan layanan kerajaan Pusat terhadap mereka, di Semenanjung juga sudah mula menunjukkan minat untuk bersama Anwar dan Pakatan Rakyatnya.  Saya juga yakin, ramai kalangan anggota Parlimen Umno sendiri yang akan terjun sebelum kapal BN itu karam.

Semua senario di atas menunjukkan bahawa apa yang disebut Anwar untuk ke Putrajaya itu bukan angan-angan tetapi sudah berpijak ke bumi nyata. Kenyataan itu semakin jelas apabila beliau menang dengan majoriti 15,671 iaitu bertambah 2,283 undi dari yang diperolehi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Kini yang dibincangkan di kalangan para pemimpin Pakatan Rakyat adalah bagaimanakah caranya untuk menjadikan 16 September itu satu event (acara) penukaran tampuk pemerintahan yang ada.

"16 September nanti bulan puasa. Parlimen ketika itu bercuti, bagaimana ye pertukaran kerajaan akan berlaku," tanya anggota Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad kepada saya.

Namun, Khalid sendiri menjawab, yang boleh menukar kerajaan yang ada adalah Yang di-Pertuan Agung. Apabila Agung berpuashati bahawa Pakatan Rakyat mempunyai anggota Parlimen yang melebihi Barisan Nasional, maka ketika itu terpaksalah Yang di-Pertuan Agung mengisytiharkan, Pakatan Rakyat menjadi kerajaan dan Anwar adalah Perdana Menterinya.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments