Opinion

Jika benar begitu… Umno memang tidak sedar diri

FEB 1 — "Usaha menghubungi mereka sehingga pagi ini gagal dan kita mengecam segala usaha menganggu gugat Exco dan pentadbiran Kerajaan Negeri," kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin kepada sidang media pagi Ahad 1 Februari.

Kenyataan ini mengesahkan kehilangan dua Exco kerajaan Perak, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu, masuk hari kelima. Selain tidak dapat dihubungi hatta oleh keluarga mereka sendiri, mereka berdua juga telah tidak menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri yang terakhir minggu lalu.

Bagi MB Perak itu, pihaknya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan ekoran kehilangan ini hatta mereka sudah menyertai BN, beliau tidak kesah nampaknya. Asalkan kedua-dua tampil ke depan dan menjelaskan kedudukan sebenarnya.

Inilah yang berlaku di Perak kini. Tarikh kemasukan Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim ke dalam BN adalah hari terakhir kedua-duanya menghilangkan diri.

Sebelum ini, PKR Perak mendakwa Pengerusi BN Perak yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang juga Timbalan Perdana Menteri sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman dalam satu kenyataan lewat petang 31 Januari.

"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua Exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka," kata beliau.

Persoalannya kini adalah, jika benar BN mahu menarik kedua-duanya menyertai mereka, apakah tujuannya. Mahu menjatuhkan kerajaan negeri Perak? Ia tidak akan berlaku kalau setakat mereka berdua sahaja. BN memerlukan sekurang-kurangnya tiga Adun Pakatan Rakyat untuk menyertainya barulah kerajaan negeri yang ada boleh bertukar tangan.

Atas dasar itulah, ada berita angin yang tersebar kononnya BN berjaya memujuk Nasarudin kembali ke pangkuan mereka. Namun dengan kedatangan Nasarudin, bahkan antara yang terawal (8.50 pagi), menyertai pertemuan Adun dan pimpinan Pakatan di Perak pagi ini, berita angin itu tertolak dengan sendirinya.

Memang, berita angin juga turut tersebar kononnya dua Adun DAP akan menyertai BN. Namun dengan mood rakyat yang ada, perkara itu amat sukar berlaku.

Ini diakui oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Kamarudin Jaffar kepada penulis sendiri.

"Untuk mendapatkan yang ketiga memang sukar bagi Umno sekarang tambahan dengan mood yang ada di kalangan rakyat negara ini," katanya.

Atas dasar itu, dia sendiri tertanya-tanya apakah motif sebenar BN, jika benar mereka yang menyembunyikan kedua-dua Exco itu.

Jika kedua-duanya menyertai BN sekalipun, kerajaan Pakatan di Perak masih kekal, katanya.

"Kita masih majoriti satu kerusi. Kalau BN berjaya mendapatkan seorang lagipun, kerajaan Perak akan kekal sebagai kerajaan minoriti sehinggalah ia dijatuhkan melalui sidang Dewan Undangan Negeri," katanya kepada Siasah.

Bagi beliau, dengan mood yang ada pada rakyat sekarang, agak pelik jika benar tindakan Umno mahu membeli kedua-dua Exco itu.

Ini kerana, walaupun kedua-duanya boleh dipujuk dan dibeli dengan isu dakwaan rasuah yang mereka hadapi tetapi langkah itu tidak akan menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan kerana Umno memerlukan sekurang-kurangnya tiga Adun untuk menjadikannya majoriti dalam Dun Perak.

"Lainlah kalau Umno bertindak begitu semata-mata untuk membalas dendam ekoran penyertaan (Datuk) Nasarudin (Hashim) ke PKR," kata Kamarudin lagi.

Sementara itu, ramai tidak yakin Umno akan berusaha mendapatkan kedua-dua Exco itu menyertainya kerana jika Umno berbuat demikian terlalu jelas caranya iaitu memberikan janji untuk tidak mendakwanya di mahkamah ekoran dakwaan rasuah ke atas mereka berdua. "Umno sudah buruk dengan isu korupsi. Jika dia cuba dapatkan kedua-dua Exco itu melalui cara itu, semakin jelaslah kepada rakyat Umno memang korup dan peranan SPRM akan dipertikaikan," kata seorang penganalisa politik.

Namun, dengan (Datuk Seri) Najib (Razak) sendiri memimpin Umno Perak dia akan berbuat apa sahaja untuk menaikkan semula moral pemimpin dan ahli Umno yang rosak teruk kini, katanya.

Jika benar Najib berusaha ke arah itu tanpa memikirkan kerosakan imej yang lebih buruk untuk Umno, nampaknya, Umno tidak menerima 'jam loceng' yang berbunyi beberapa kali agar Umno bangun dari tidurnya.

Undi di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu jelas memberikan amaran kepada BN agar bangun dan sedar segera dari tidurnya. Najib sendiri juga mengaku perkara ini.

Jika benar Najib dan pemimpin BN berusaha ke arah itu, beliau juga tidak boleh lupa bahawa kerajaan negeri Perak juga nampaknya bersedia menghadapinya.

Nizar dalam sidang akhbarnya pagi ini berkata, pihaknya membuat persiapan ke arah itu namun tidak mahu mendedahkan persediaan yang dibuat apabila terdapat pengesahan dua Exconya telah melompat. Namun jelasnya semua adalah mengikut kuasa undang-undang yang ada.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments