Opinion

Kerajaan Selangor sedia terima MB baru?

SEPT 26 — KETIKA Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha keras untuk memenuhi janjinya untuk menukar kerajaan, para pegawai kanan kerajaan negeri Selangor, terutama lantikan politik, juga sedang bersiap-siap untuk menerima hakikat kalau-kalau mereka terpaksa mendapat seorang Menteri Besar baru apabila kerajaan pusat yang baru terbentuk nanti.


Cakap-cakap di kalangan mereka kini agar ketara bahawa, mereka besar kemungkinan akan mendapat bos baru menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikatakan akan dibawa ke Pusat jika Anwar berjaya dengan projeknya.

Yang disebut-sebut akan menggantikan Khalid sebagai MB Selangor adalan Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang juga anggota Parlimen Gombak serta Adun Bukit Antarabangsa, Selangor.

Khalid dikatakan akan dilantik oleh Anwar untuk menjadi tanaga penting dalam kerajaan pimpinan beliau. Besar kemungkinan Khalid akan mengambil tempat Tan Sri Muhyidin Yasin (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) atau Menteri Kewangan. Ini kerana, Anwar dikatakan sangat mengambil berat tentang ekonomi Malaysia yang sedang bermasalah sekarang ekoran kegawatan ekonomi global kerana masalah yang dihadapi ekonomi Amerika.

"Orang PAS kata mereka tidak mendapat tempat di bawah kerajaan negeri Selangor. You tengoklah nanti bila kami dapat MB baru, baru padan dengan muka orang PAS," kata seorang pegawai kanan pejabat MB Selangor.

Bagi beliau, Khalid telah memberikan terlalu banyak tempat kepada para pemimpin PAS di Selangor. Hinggakan para pemimpin PKR sendiri terasa mereka terpinggir di Selangor di bawah pimpinan Khalid.

"Dalam beberapa kes, apabila kita mahu lantik sesiapa dalam satu-satu jawatankuasa, nama pemimpin PAS sahaja yang keluar dari mulut Khalid. Kadang-kadang tu, kami terkejut, kenapa semuanya pemimpin PAS sahaja," katanya kepada penulis.

Antara nama yang sangat popular bagi Khalid adalah Dr Dzulkifli Ahmad (anggota Parlimen Kuala Selangor), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' (Titiwangsa) dan juga juga Dr Mariah Mahmud (Kota Raja). Nama ke empat-empat mereka selalu sahaja mendapat tempat dalam mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor.

"You tengoklah nanti kalau benar Azmin mengganti Khalid, bye-byelah PAS," kata pegawai berkenaan.

Hubungan PAS dan PKR selalu sahaja dibincangkan di mana-mana terutama dalam perbualan di kedai kopi atau sambil sembang-sembang sebelum atau selepas mesyuarat di kalangan aktivis PAS dan PKR.

Bagi sesetengah pemimpin PAS di Selangor, Khalid (MB Selangor) tidak memberikan tempat yang sewajarnya kepada para pemimpin PAS di Selangor terutama dalam menjalankan tanggungjawab kerajaan negeri. Mereka menganggap, PAS di kesampingkan.

Jika benar apa yang dinyatakan oleh pegawai MB Selangor ini, tuduhan sesetengah pemimpin PAS itu nampatnya meleset. Yang sebenarnya berlaku adalah para pemimpin PAS sentiasa menjadi pilihan MB Selangor itu. Tetapi bukan semua mereka. Khalid nampaknya memilih di kalangan mereka yang dianggapnya boleh menjalankan tugas tanpa mengira PAS atau PKR atau DAP. Sebab itu kita tidak hairan apabila aktivis PKR juga mempunyai persepsi yang sama dengan sesetengah pemimpin.

Di kalangan aktivis PKR, mereka terasa terpinggir selepas Pakatan Rakyat menang di lima negeri. Yang paling terasa adalah aktivis reformasi. Oleh kerana mereka kebanyakannya aktif di Selangor, maka apa yang berlaku di Selangor sering menjadi rujukan.

Di kalangan aktivis reformasi ini sudah ada semacam persepsi di kalangan mereka bahawa mereka hanya diperlukan untuk menyerang atau berdemo menentang Umno tetapi apabila memerintah negeri mereka tidak diperlukan.

Mereka tunjukkan, siapa dia Nik Nazmi yang kini menjadi Setiausaha Politik MB Selangor, sebelum ini. Apa sumbangan dia sehingga menjadi orang penting kerajaan negeri Selangor sekarang.

Nampaknya, nasib sesetengah pemimpin PAS dengan aktivis reformasi sebelum ini sama sahaja. Mereka tidak ada tempat yang sesuai dalam kerajaan kerana semua orang kononnya memilih yang boleh membuat kerja, yang berpendidikan tingi dan sebagainya. Yang aktivis ini hanya sesuai berdemostrasi untuk menjatuhkan kerajaan sahaja. Apabila kerajaan sudah terbentuk, pergilah mereka melata mencari jalan sendiri-sendiri untuk hidup.

Kepada mereka semua, saya percaya dunia belum kiamat dan hari esok masih ada. Cuma sedikit perjuangan diperlukan. Siapa akan  bela nasib kita kalau kita sendiri tidak memperjuangkannya.

Selamat hari raya, maaf zahir bathin.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments