SEPT 2 — Apakah Datuk Seri Najib Razak mengawal penuh Umno kini? Nampaknya ramai yang tidak bersetuju dengannya. Kawalan beliau hanya sama sebagaimana Tun Abdullah Badawi mengawal Umno sebelum ini sahaja.
Persoalan ini menjadi topik yang hangat sejak kebelakangan ini apabila Najib memperkenalkan konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Berdasarkan konsep ini, kelihatan Najib mahu menyatukan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini di bawah banner satu Malaysia.
Maknanya, usaha hendaklah dibuat oleh semua pihak khasnya Umno sendiri untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia ini.
Jelas sekali, apa yang diusahakan oleh Najib adalah sebagai satu usaha beliau untuk menarik kembali sokongan orang bukan Melayu, Cina dan India, yang lari dari Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
Ini kerana dalam pilihan raya umum lalu, lebih 70 peratus pengundi Cina dan India dikatakan lari kepada Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan pemimpin MCA, MIC dan Gerakan kalah di kubu masing-masing.
Para pemimpin Umno yang bertanding di kawasan yang ramai pengundi Cina dan India juga kalah.
Pendekatan Najib ini samalah dengan pendekatan yang diambil oleh Tun Abdullah ketika Umno kalah teruk dalam pilihan raya 1999 lalu. Oleh kerana ketika itu orang Melayu yang lari dari Umno, maka pendekatan yang diambil adalah pendekatan Islam iaitu untuk menarik kembali pengundi Melayu. Maka lahirlah konsep Islam Hadhari.
Abdullah berjaya tetapi hanya sekali sahaja iaitu dalam pilihan raya 2004. Selepas itu, BN kalah teruk dalam pilihan raya 2008 apabila masing-masing mula sedar konsep Islam Hadhari itu. Ia hanya pendekatan reaktif Umno untuk membeli kembali undi Melayu.
Sebagaimana 1 Malaysia sekarang, Islam Hadhari juga mendapat sokongan berbelah bahagi dalam Umno sendiri. Yang menariknya, sebagaimana sekarang, timbalan Abdullah ketika itu, iaitu Najib yang kelihatan tidak berapa menyokong konsep itu.
Mentor Najib, Tun Dr Mahathir menyifatkan Islam Hadhari satu ajaran baru yang mengelirukan.
Sebagaimana Abdullah mempunyai seorang anak muda di belakang segala programnya iaitu Khairy Jamaludin, Najib juga ada. Pemuda itu adalah Omar Mustafa Ong. Omar adalah arkitek di belakang 1 Malaysia Najib. Keyakinan kepada Omar menyebabkan Najib sanggup berdepan dengan mentornya Tun Dr Mahathir dalam isu perlantikan Omar ke Lembaga Pengarah Petronas.
Sebagaimana yang Abdullah hadapi, itulah juga yang dihadapi oleh Najib kini. Akhbar rasmi Umno sendiri, Utusan Malaysia dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin dilihat tidak bersama dengan konsep 1 Malaysia Najib.
Sebuah laman web melaporkan, Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Koh Tsuu Koon pernah bertanya dalam mesyuarat Kabinet tentang cara akhbar Umno itu membuat laporan.
Muhyidin dilaporkan telah mempertahankan pendekatan akhbar itu dengan berkata, itu yang diperlukan oleh BN. Kuat sokongan Melayu kepada Umno, kuatlah BN.
Pendekatan kedua-dua mereka ini jelas menjadi ikutan di peringkat bawahan Umno. Di Shah Alam, sekumpulan NGO yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno sanggup berarak dengan kepala lembu berdarah ke bangunan SUK Selangor. Ia jelas sekali satu provokasi dan penghinaan kepada penganut agama Hindu.
Walaupun Datuk Ibrahim Ali, salah seorang tokoh utama pendekatan perkauman Umno ini, cuba memutar belitkan fakta dengan berkata 'kepala lembu adalah lambang PAS dicucuk hidung oleh DAP' namun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sendiri tidak bersetuju dengan tafsiran Ibrahim itu.
Khairy melalui Twitternya berkata, "Ibrahim Ali said checks by his org showed that the cow's head not aimed at Hindus but at MB& non-Hindu Excos. — Must think Msians stupid."
(Kata Ibrahim Ali, semakan oleh orang-orangnya mendapati, kepala lembu itu bukan ditujukan kepada Hindu tetapi MB dan Exco bukan-Hindu — mesti dia fikir orang Malaysia bodoh).
Persoalan yang tinggal kini adalah sejauh manakah 1 Malaysia boleh bertahan? Apakah ia mampu menghasilkan megic sebagaimana Islam Hadhari yang membawa kemenangan besar kepada BN 2004 lalu?
Nampaknya, dengan penentangan dan pendekatan dua nakhoda dalam Umno sekarang, 1 Malaysia tidak akan membawa Umno ke mana-mana. Silap-silap hanya ke longkang waktu sahaja. Bahkan ada yang meramalkan, tempoh pentadbiran Najib sebagai PM tidak akan melebihi tempoh Abdullah Badawi.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments