Opinion

Pengalaman sebagai penal dalam debat paling prestij abad ini

JULY 18 — "Zul, Datuk Seri Anwar akan berdebat dengan Shabery Cheek malam esok. Mengikut formatnya, dia kena lantik seorang penal dari kalangan orang yang berlatar belakangkan kewartawaanan untuk menjadi penal ini. Jadi kita cadang supaya you jadi penal Datuk Seri Anwar."

Itulah mula segala apa yang berlaku. Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Strategik PKR yang juga anggota Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail semasa menelefon saya Isnin, 14 Julai lepas iaitu sehari sebelum debat itu.

Saya sebenarnya amat keberatan untuk menerima tawaran ini. Ini kerana, sebelum ini Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub telah meminta saya menjadi penal beliau semasa debatnya dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad. Namun kerana permintaan itu di saat-saat akhir (tiga jam sebelum debat bermuda), saya berjaya menolaknya.

Lalu kepada Saifudin, saya nyatakan, kalau boleh carilah orang lain dahulu. Biarlah nama saya dalam senarai ketiga atau ke empat selepas calon-calon lain.

"Tak Zul. Hingga kini, hanya nama you sahaja yang ada dalam senarai kami dan kami harap you tidak menolaknya," kata Saifudin yang menjadi promoter kepada Anwar dalam debat anjuran Agenda Daily ini. Beliau juga turut memaklum, Anwar telah bersetuju dengan cadangan nama saya ini.

Tidak beberapa minit selepas itu, bos saya, Datuk Kamarudin Jaffar menelefon dan memaklumkan beliau juga telah bersetuju dengan pemilihan itu.

Jadi, saya tidak ada sebarang alasan lagi, maka terjadilah apa yang terjadi. Saya telah terpilih sebagai salah seorang watak dalam Debat teragung abad ini antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan. Shabery pula menamakan Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia sebagai penalnya.Tajuk debat adalah "Hari ini memerintah, esok turun harga minyak" di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia disiarkan secara langsung melalui TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

Saya terkejut, bagaimana boleh Datuk Seri Anwar memilih saya sebagai penalnya. Ia terjawab apabila saya menyertai mesyuarat bersama kepimpinan PKR di rumah Anwar di Segambut Dalam, pinggir bandaraya Kuala Lumpur petang 14 Julai sehari sebelum debat itu berlangsung.

Padahal, kalau hendak dikira, saya lebih rapat dengan Shabery berbanding dengan Anwar dari segi hubungan peribadi. Beliau pernah menjadi Presiden PMUM dan PMIUM semasa saya belajar di kampus Universiti Malaya itu.

Selepas tamat belajar, Shabery menjadi guru di Institut Berakan, Kuala Terengganu. Di situ juga beliau aktif bersama PAS di Terengganu. Selepas itu, apabila saya menjadi Pengarang Harakah, Shabery adalah kolumnis tetap Harakah hinggalah beliau bersama-sama dengan ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah menguburkan parti Melayu Semangat 46.

"Ini saudara Zulkifli Sulong, bekas Ketua Pengarang Harakah yang memimpin Harakah ketika era reformasi 1998 lalu. Ketika itu Harakah berada dipuncak sehingga pernah dicetak 380,000 naskah setiap keluaran," beritahu Saifudin kepada rakan-rakannya.

"Ini saya perkenalkan penal saya Zulkifli Sulong. Tengoklah, kita percaya kepada orang PAS untuk menjadi penal," kata Anwar memperkenalkan saya sebelum memulakan mesyuarat dengan pimpinan kanan PKR di rumahnya sebagai persiapan menghadapi debat itu.

Apakah formula kejayaan Anwar dalam debatnya bersama Shabery? Bagi saya, dokongan kuat pasukan di belakang tabirnya adalah punca utama kejayaan beliau di samping karisma Anwar sebagai pemimpin dan pemidato yang baik.

Hanya mereka yang berkarisma seperti Anwar sahaja dapat fokus dengan baik kepada debat itu. Padahal pada siangnya, waran tangkap telah dikeluarkan kepada beliau. Beliau juga sedang menghadapi tuduhan meliwat pembantunya. Walau dengan latar belakang itu, Anwar dapat memberikan fokus yang baik dalam debat itu.

Seorang rakan saya memberitahu, laman web Mstar.com.my, laman web yang dimiliki oleh kumpulan akhbar The Star yang dikawal oleh MCA, dalam poll mereka telah memberikan kemenangan di pihak Anwar sebaik sahaja debat bermula lagi.

Ketika itu, katanya, markah Anwar adalah 65 peratus dan Shabery 35 peratus. Namun, markah Shabery terus merudum apabila debat semakin panjang berlangsung dan Shabery semakin banyak menghabiskan masanya yang berharga untuk menyerang Anwar bukannya mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

Sebagaimana yang dirancang, Anwar sejak dari awal lagi memfokuskan tawaran yang hendak diberikan kepada rakyat jika Pakatan Rakyat dipilih sebagai kerajaan iaitu menurunkan harga minyak petrol sebanyak 50 sen. Dengan nilai 50 sen itu, kerajaan perlu memperuntukkan RM5 bilion setahun. Persoalannya dari manakah hendak diambil wang berjumlah RM5 bilion itu. Inilah yang dijelaskan Anwar sepanjang debat itu untuk menunjukkan bahawa cadangan Anwar itu adalah realistik dan boleh dilaksanakan.

Sebagai penal, selepas mendengat segala perbincangan dalam pasukan debat Anwar itu, saya telah membuat proposal tiga soalan untuk Anwar dan tiga soalan untuk Shabery. Dan nampaknya, saya hanya berjaya mengemukakan satu soalan untuk setiap orang sahaja.

Soalan saya untuk Shabery adalah:

"Pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga minyak 30 sen. Hasilnya, kerajaan jimatkan RM4.3 bilion darinya. Kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk meningkatkan prasarana pengangkutan awam. Mengikut jawapan di Parlimen, kerajaan baru belanjakan RM834.75 juta untuk prasarana pengangkutan. Kenapa perkara ini berlaku? Kali ini, kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial membelanjakannya, apa jaminan kerajaan dalam perbelanjaan dari penjimatan RM13 bilion ini. "

Yang menariknya, Shabery mengambil sikap tidak menjawab soalan saya bahkan menyerang saya kononnya saya tidak mengikuti perkembangan harga minyak ini. Bagi saya inilah kesilapan Shabery.

Hampir kesemua orang yang berjumpa dengan saya selepas debat itu bertanya “Kenapa Shabery tidak menjawab soalan Zul". Akibatnya pelbagai andaian yang dibuat yang kebanyakannya negatif untuk Shabery sebagai pihak yang berdebat dalam debat itu. Saya hanya tukang tanya sahaja bukannya pendebat. Kalah menang adalah untuk Anwar atau Shabery bukan kami yang bertanya ini.

Dengan kehebatan Anwar dan salah strategi sendiri, Shabery kena akur bahawa dia bukannya pemenang dalam debat yang paling banyak mendapat perhatian untuk dekad ini itu.

Dari pelbagai poll yang dibuat, ia menunjukkan Shabery adalah pihak yang tertinggal dalam debat ini. Mungkin poll yang paling berwibawa adalah yang dibuat oleh Mstar sebagaimana yang saya sebutkan di atas.

Pembaca Mstar memberikan Anwar 87 peratus manakala Shabery hanya 6.7 peratus sahaja. Selebihnya sama-sama hebat.

Zulkifli Sulong is a veteran journalist who writes an exclusive weekly column with The Malaysian Insider apart from editing the Bahasa Malaysia weekly Siasah.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments