SEPT 19 — Jadi atau tidak jadi? Inilah soalan yang sering diajukan kepada saya menjelang dan selepas 16 September. Kepada banyak pihak, saya katakan, hati kecil saya berkata “jadi”. Cuma jadi itu bukan semestinya 16 September tetapi semangat 16 September untuk menukar kerajaan akan berlaku cepat atau lambat.
Saya katakan jadi kerana apa yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat dan apa yang berlaku dalam Umno dan Barisan Nasional sekarang membayangkan ia akan jadi.
Dalam Pakatan Rakyat, terbahagi kepada tiga kumpulan. PKR, DAP dan Pas. Hampir kesemua pimpinan PKR yang saya temui yakin seyakin-yakinnya, perubahan ini akan berlaku.
Elizabeth Wong (ketua penerangan Wanita PKR dan juga Exco Selangor) yang saya temui di majlis pertama yang beliau sertai selepas pulang ke Malaysia dari mengekori pasukan BN BBC dalam “lawatan sambil belajar” ke Taiwan yakin ia akan jadi. Ketika ditanya apakah ia Oktober, November atau Disember, Eli tegas mengatakan “lebih cepat dari itu”.
Dalam Pas, saya nampak ada dua kumpulan. Majoriti mereka yakin ia akan jadi. Kepada pemimpin Pas yang berada dalam sekretariat Pakatan Rakyat, mereka benar-benar yakin ia akan berlaku.
"Angka yang diperlukan sudah ada cuma masalah teknikal sahaja sekarang," kata Datuk Kamarudin Jaffar, Setiausaha Agung Pas. Yang dibimbangi oleh beliau adalah halangan-halangan yang bakal dibuat oleh Umno untuk mempastikan perkara ini tidak berlaku.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali sebagaimana wawancaranya dengan sekumpulan media agak tidak berapa yakin perkara ini akan jadi. Beliau memberikan alasan teknikal dan politik. Pandangan Mustafa juga dikongsi oleh beberapa pihak dalam DAP.
Untuk alasan teknikal, ada dua pandangan besar diberikan oleh beberapa pihak. Satu kumpulan yang berpegang kepada pandangan Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala satu lagi berdasarkan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abbas. Ia berkaitan dengan bagaimana kerajaan baru ini boleh ditubuhkan.
Abdul Aziz berpandangan, boleh dibuat tanpa melalui proses undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat. Cukup sekadar Yang di-Pertuan Agong mempunyai keyakinan bahawa Anwar mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru. Bagaimana Yang di-Pertuan Agong hendak yakin dengannya, itu boleh dilakukan diluar Dewan Rakyat. Saya difahamkan, ini pandangan Prof Aziz.
Namun Tun Salleh berpandangan, proses ini perlu berlaku dalam Dewan Rakyat. Perlu ada undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat dan kerajaan yang ada dijatuhkan dahulu dengan Perdana Menteri meletakkan jawatan dan barulah boleh Perdana Menteri baru dilantik.
Saya difahamkan, Istana Negara lebih berminat untuk melalui proses yang berdasarkan pandangan Tun Salleh itu. Tidak semestinya pandangan Aziz Bari salah tetapi pandangan Tun Salleh lebih selamat jika dilaksanakan. Maknanya, yang Anwar kata beliau mempunyai angka yang cukup itu perlu diuji di Dewan Rakyat.
Persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk sampai ke peringkat undi tidak percaya itu. Saya difahamkan, ada dua jenis usul dalam Dewan Rakyat. Kedua-dua jenis usul ini, bakal membawa Anwar dan penyokongnya ke jalan mati. Orang Kelantan kata “cannot go nih”.
Atas dasar itulah mungkin, cara-cara lain perlu dibuat oleh Anwar. Yang kita ketahui, sudah dua pucuk surat telah dihantar Anwar dan Pakatan Rakyat kepada Abdullah. Yang pertama pada 15 September lalu iaitu surat meminta satu pertemuan diadakan antara pemimpin Pakatan dengan Perdana Menteri Abdullah. Namun, ia telah dijawab, "tidak" oleh PM.
Surat yang kedua telah dihantar pada 18 September oleh Pakatan. Ia ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Anwar sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan Lim Kit Siang (pemimpin DAP). Ia bertujuan meminta Abdullah mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat. Dari situ, kata Anwar, ia akan dibuktikan samada Pakatan Rakyat mempunyai angka yang cukup atau tidak untuk membentuk kerajaan baru. Namun Abdullah juga berkata “tidak”.
Itu semua boleh dikatakan faktor yang berlaku dalam Pakatan. Bagi saya, faktor yang berlaku dalam Umno dan BN juga boleh membawa kepada pertukaran kerajaan baru ini akan jadi.
Baru-baru ini, kami di Siasah dikunjungi sekumpulan pemimpin dari Insap (Institut Kajian Strategik dan Polisi) yang dimiliki MCA. Rombongan yang dipimpin oleh CEO Insap, Fui K Soong ini turut disertai oleh pegawai dari bahagian penerangan MCA.
Dalam perbincangan hampir dua jam itu, mereka mendedahkan MCA bersedia untuk menjadi pembangkang dari menyerai kerajaan Pakatan. MCA tidak bersedia untuk menjadi “second brother” kepada DAP dalam Pakatan. Mereka juga rasa selepas menjadi pembangkang, MCA akan lebih berwibawa dan sokongan kepadanya akan kembali semula dari kalangan masyarakat Cina.
Pendek kata, MCA sendiri secara moralnya sudah bersedia menjadi pembangkang iaitu selepas BN jatuh. Itu apa yang berlaku dalam MCA.
Gerakan sendiri secara tegas sedang mengkaji untuk meninggalkan BN. Bahkan, disebut-sebut akan menyertai Pakatan Rakyat atau mana-mana parti dalam barisan baru politik negara itu.
Hal ini dipersetujui oleh para pegawai kanan Insap ini kerana bagi mereka ideologi dan struktor Gerakan membolehkan mereka menyertai PKR atau Pakatan.
Umno pula sedang berlaku perpecahan dalaman yang amat dahsyat. Ketika pemimpinnya mempermainkan soal 16 September, mereka menghantar 41 anggota Parlimen mereka dan parti BN yang lain ke Taiwan untuk “lawatan sambil belajar” ke sana bagi mengelakkan tarikh 16 September.
Begitu juga cabaran Anwar agar Abdullah mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat (untuk membuktikan dia masih mempunyai penyokong yang cukup atau tidak) di tolak oleh Abdullah. Padahal jika Abdullah yakin, sudah pasti cabaran itu disambut dan “matikan” apa yang dikatakan sebagai “retorik” Anwar itu dengan sidang Dewan Rakyat itu secara tuntas.
Saya yakin, Abdullah tidak yakin sebenarnya. Bukan kerana Anwar sahaja tetapi dari dalam Umno sendiri. Ini kerana, andai katalah Abdullah membuat sidang tergempar itu, kumpulan Muhyidin (yang inginkan peralihan kuasa dalam Umno berjalan dengan lebih cepat), mereka akan menyokong undi tidak percaya kepada Abdullah. Maka dengan itu Abdullah akan jatuh sebagai Perdana Menteri.
Namun, ketika ingin melantik Perdana Menteri baru, Muhyidin boleh pulang kepada BN kembali dan melantik Datuk Seri Najib atau beliau sendiri sebagai PM baru. Itu juga boleh berlaku.
Jadi dengan segala perkara yang tidak menentu ini, Abdullah tidak akan bersetuju untuk adakan sidang tergempar Dewan Rakyat dan akan berbuat apa sahaja termasuk menggunakan portfolio baru yang dipegangnya, Kementerian Pertahanan.
Namun, saya penuh keyakinan, perubahan kerajaan tetap akan jadi cuma persoalan masa sahaja sekarang. Marilah kita tunggu, semoga ia tidak terlalu lama.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments