Opinion

Saya pro perubahan

Bersama Zul Sulong

MAY 15 — "Engkaulah pulak ambil alih tugas kawal kenaikan harga barang nih... tak larat dah aku."

Itulah kata-kata Shahrir Samad kepada adiknya, Khalid Samad ketika memuncak isu kenaikan harga barangan makanan baru-baru ini.

Shahrir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baru sebulan memegang jawatan itu.

Khalid, buat pertama kalinya menang dalam pilihan raya selepas lima kali menyertainya.

Shahrir adalah anggota Parlimen Umno manakala adiknya, Khalid adalah anggota Parlimen PAS dari Shah Alam.

Mereka berdua bergambar untuk umum secara bersama buat pertama kalinya selepas masing-masing mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada 28 April lepas.Mungkin kata-kata Shahrir kepada adiknya nampak ringan sahaja jika tidak ada latar belakang politik yang sedang melanda negara sekarang.

Perbualan itu bukan berlaku sekitar kenaikan harga barangan yang hari-hari berlaku sekarang sahaja. Ia melebihi dari itu.

Kalau sebelum ini, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC), Shahrir adalah antara pengkritik dalam kerajaan terhadap kawalan harga barangan ini. Kini beliau adalah menteri yang diberikan tanggungjawab mengendalikan soal kenaikan harga barangan ini.

Soal kenaikan barang diterima sebagai antara isu yang menyebabkan BN dilanda tsunami dalam pilihan raya ke 12 lalu.

Kenyataan Shahrir kepada adiknya itu seolah-olah mahu menyerahkan tanggungjawab mengendalikan soal kenaikan harga ini kepada PAS pula, salah satu anggota dalam Pakatan Rakyat, pimpinan Anwar Ibrahim.

Atau dengan lain perkataan, "Engkaulah pula yang memerintah, bagi kami jadi pembangkang pula."

Ini semua berlaku ketika cakap-cakap peralihan kuasa sedang hebat diperkatakan di negara ini.

Peralihan kuasa mempunyai kefahaman yang berbeza mengikut tempat dan parti politiknya kini. Dalam Umno, mereka bercakap soal peralihan kuasa dari Abdullah Ahmad Badawi kepada pemimpim lain dalam Umno.

Dalam PKR, para pemimpinnya bercakap soal peralihan kuasa dari Barisan Nasional yang memerintah Malaysia kepada Pakatan Rakyat yang dpimpin Anwar Ibrahim. Yang agak peliknya, para pemimpin PAS seolah-olah kurang berminat dengannya, walaupun menjadi anggota dalam Pakatan Rakyat.

Sebagaimana kata Ketua Pemudanya, Salahudin Ayub, mereka lebih berminat untuk menunaikan amanah rakyat yang ada iaitu mengendalikan lima negeri yang diperintah dengan penuh kebaikan. Apabila sampai waktunya, baru mengambilalih kuasa di peringkat Pusat.

Padahal jika benar-benar berlaku peralihan kuasa itu, sudah tentu PAS paling rugi kerana tersangkut dalam keadaan tidak bersedia menerimanya. Ketika itu, PAS hanya akan mengikut apa sahaja yang telah diagendakan pihak lain.

Selain Umno dan PKR, turut bercakap soal peralihan kuasa adalah para penggiat politik di Kelantan terutamanya PAS. Mereka masih mengira-ngira bila MB yang ada, Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan melepaskan jawatannya untuk diserahkan kepada orang baru.

Namun, petunjuk yang ada nampaknya masih samar-samar walaupun sudah beberapa kali petanda-petanda besar itu seakan-akan ada.

Sebelum pilihan raya lalu, Nik Aziz mengumumkan beliau akan memberikan hak sepenuhnya kepada ahli mesyuarat beliau untuk menentukan samada beliau perlu kekal atau sebaliknya.

Selepas pilihan raya, apabila menang besar, dan diterima beliau adalah faktor terbesar kemenangan PAS itu, Nik Aziz mengangkat sumpah sebagai MB.

Semua orang mengaku, beliau sememangnya wajar dan perlu berada di kerusi itu. Tetapi sampai bila? Sampai semua yang ada di kelilingnya runtuh dek sistem yang ada?.

Saya sentiasa pro kepada perubahan.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments