Opinion

Sebiji batu untuk dua ekor burong

JULY 10 - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat wajar sekali menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat segala tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, dia bakal tidak akan hilang apa-apa bahkan boleh 'membunuh dua ekor burung dengan satu batu sahaja' dengan cara ini.

Anwar adalah musuh politik utama Barisan Nasional (BN) yang diterajui Abdullah manakala Najib pula bila-bila masa sahaja akan mencabar Abdullah sebagai Presiden Umno. Ura-ura jelas menyebut, Najib sudah ada 77 bahagian Umno yang sedia mencalunkan nama beliau sebagai Presiden Umno.

Jikalah benar, melalui Suruhanjaya Bebas yang sudah pasti dipercayai awam ini, Anwar didapati bersalah, maka Anwar kenalah menerima hukuman dari kerajaan dan juga rakyat.

Jika Suruhanjaya Bebas ini mendapati Anwar tidak bersalah, maka terimalah seadanya dan pada ketika itu, nama baik Abdullah sebagai Perdana Menteri akan dikenang ramai kerana berani menerima kenyataan.

Begitu juga Najib. Jika didapati beliau bersalah atas tuduhan bersekongkol dengan pembunuhan Altantuya sebagaimana yang didakwa Raja Petra Kamarudin (RPK) dalam Penyataan Bersumpahnya (SD), maka Najib kenalah pergi dan mahkamah keadilan akan menentukan sikap seterusnya.

Begitu juga tuduhan SD P. Balasubramaniam. Jika didapati benar dakwaan itu, maka terpaksalah Najib menerima hukuman yang sewajarnya. Jika tidak benar, kenalah Bala menerima pulu hukuman sewajarnya.

Apabila ini berlaku, siapapun tidak akan menyebarkan fitnah lagi kerana sudah diperjelaskan segala-galanya melalui suruhanjaya itu.

Ini sesuai sekali dengan penyataan Abdullah sendiri. Negara sekarang sedang dihamburkan dengan pelbagai jenis fitnah.

Persoalannya benarkah yang dihamburkan itu fitnah. Siapa yang percaya ianya fitnah?

Mereka yang menyokong Anwar menganggap apa yang didedahkan beliau itu benar. Begitu juga Najib. Sudah tentu beliau akan menafikan segala tuduhan yang dibuat RPK dan Bala itu.

Namun siapa percaya dengan penafian itu. Najib mengatakan ianya fitnah tetapi para penyokong Anwar, RPK dan Bala juga menganggap SD itu benar. Ia menjadi fitnah apabila Bala menukar balik SDnya itu. Ekoran itu keyakinan terhadap Najib dan kerajaan semakin jatuh. Polis telah dituduh membuatkan Bala menukar SDnya.

Jadi, pihak manakah yang berwibawa untuk menjernihkan suasana.

Sehingga kini, rekod yang ada kepada Suruhanjaya Bebas Diraja adalah yang terbaik. Segala yang dianggap fitnah selama ini, apabila melalui proses penyiasatan suruhanjaya, ia menjadi kenyataan dan diyakini kebenarannya oleh semua pihak. Dan yang baiknya, semua orang menerima baik hasil siasatannya kecuali beberapa kerat yang berkepentingan.

Tun Dr Mahathir mendakwa, Anwar memukul dirinya sendiri ketika Anwar keluar dengan mata lebam dalam tragedi black eyes yang terkenal itu. Ternyata, selepas suruhanjaya ditubuhkan didapati yang memukul Anwar adalah Ketua Polis Negara dan beliau telah menerima hukuman hasil tindakannya itu.

Begitu juga bila Anwar dedahkan tape video VK Lingam. Ramai pemimpin mendakwa ianya fitnah. Bekas Ketua Hakim Negara menafikan VK Lingam berkomunikasi dengan beliau dalam video itu.

VK Lingam sendiri menyatakan 'macam dia' dalam video itu tetapi enggan mengesahkannya.

Tetapi selepas suruhanjaya ditubuhkan, semuanya jelas.

Kini, Pakatan Rakyat melalui kenyataan ketiga-tiga pemimpinnya menuntut agar badan bebas menyiasat dakwaan seorang pemuda berusia 23 tahun, Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998 lalu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.

Saya percaya, apabila dakwaan sekali lagi dibuat ke atas Anwar, terdetik juga dalam hati ramai orang, apakah Anwar benar-benar bersih. Jika dia bersalah, kita sebagai penyokong kebenaran kena menerima hakikat itu walaupun kita sangat ingin menikmati segala harapan baru yang diberikan Anwar kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, RPK dan Bala mendakwa pelbagai jenis dakwaan terhadap Najib. Kedua-dua tuduhan pula nampaknya saling kait mengait antara satu sama lain.

Memang terdetik dalam hati benarkah dakwaan kedua-duanya itu. Dari satu sudut kita terasa, benarkah dakwaan mereka. Tetapi dari sudut yang lain, tak kan kedua-dua berani menghulurkan tengkuk mereka untuk dipancung begitu sahaja.

Jadi, adalah sangat wajar kini Abdullah selaku Perdana Menteri mententeramkan semua pihak dengan suruhanjaya diraja. Saya sendiri secara pribadi setuju bahawa, real politik yang ada sekarang sudah memualkan dan perlu dihentikan segera. Ia sangat tidak baik untuk negara dan hanya Perdana Menteri mampu menghentikannya secara tuntas iaitu melalui suruhanjaya diraja.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments