JULY 24 — "Tutup fail muzakarah, yang ada hanya muqabalah."
Inilah hasilnya selepas pertemuan penting tujuh dari 13 angota Majlis Syura Ulamak Pas di Kota Bharu petang Rabu lepas. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu selesai selepas hampir dua jam berbincang dan menghasilkan kenyataan di atas.
Muzakarah sudah menjadi perkara yang ada konotasi tersendiri dalam Pas dan Pakatan Rakyat. Ia sudah dianggap perbincangan ke arah perkongsian kuasa antara Umno dengan Pas. Mula-mula berbincang lepas itu Pas akan meninggal Pakatan dan menyertai Barisan Nasional (BN).
The Malaysian InsiderSaya petik tulisan itu sekali lagi di bawah ini:
"Jika dikaji dengan teliti, sikap para pemimpin Pas ini banyak kembali kepada cara Anwar dan PKR. Jika Anwar bersikap wajar dan memahami sensitiviti yang ada pada ahli dan pemimpin Pas, Pas akan terus bersama Pakatan. Yang menjadi percakapan di bawah adalah cara Anwar mengendalikan semua senario ini."
"Yang mengejutkan, para pemimpin dan penyokong setia Pas ini tidak kecewa dengan cara DAP bahkan sangat menyokongnya, tetapi sikap PKR yang menjadi tanda tanya. Lihat sahaja kes satu-satunyua Adun Pas di Pulau Pinang."
"Ketidakpuasan hati cara Anwar dan PKR ini sebenarnya merentasi dari Pulau Pinang, Kedah, Perak hinggalah ke Selangor. Ia boleh meletup bila-bila masa, dan bola sebenarnya terletak di kaki Anwar dan PKR. Anwar perlu bertindak segera atau kapal yang sama-sama dibina runtuh sebagaimana runtuhnya Barisan Alternatif menjelang 2004 lalu."
Yang saya maksudkan adalah, kerisauan di kalangan sesetengah pemimpin Pas terhdap cara Pakatan Rakyat dikendalikan dan orang yang boleh menyelesaikan persoalan ini adalah Anwar Ibrahim. Sebab itu saya kata bola di kaki Anwar.
Kini apa yang terjadi sudah terjadi. Perdana Menteri sudah hampir berjaya memecahkan pimpinan Pas dan bakal ada yang cedera dengan isu ini. Muktamar di Ipoh pertengahan Ogos depan bakal menjadi medannya.
Namun, wisdom dan kehebatan Majlis Syura Ulamak Pas telah meredakan keadaan. Keputusan pertemuan rombongan enam anggota kanan Majlis Syura dengan Mursyidul Am Pas telah benar-benar melegakan ahli Pas walaupun tidak mudah dilupakan begitu sahaja oleh kalangan kepimpinan Pas.
Andainya tidak ada pertemuan dan tidak ada keputusan itu, maka porak perandalah Pas terutama di kalangan ahlinya bahkan juga di kalangan kepimpinannya.
Benih curiga mencurigai berjaya ditanam baik oleh musuh tradisi Pas atas nama muzakarah ini. Hinggakan perkataan yang baik itu sudah dikira ada “jinx” oleh ramai kepimpinan Pas. Sokong saja muzakarah, bermakna menyokong Pas tinggalkan Pakatan dan menyertai BN. Padahal bagi majoriti kepimpinan Pas yang menyokong muzakarah ini (terutama kepimpinan Pemuda Pas yang bermesyuarat hingga jam 1 pagi 21 Julai lalu), muzakarah adalah usaha baik. Ia sesuai dengan pendekatan terbuka Pas sebagai sebuah jamaah Islam untuk bertemu dengan sesiapa sahaja dalam konteks dakwah.
"Kita dah hantar empat surat kepada Pemuda Umno untuk bermuzakarah, sekarang Umno dah setuju. Takkan kita hendak menolaknya," hujjah seorang pemimpin muda Pas dalam menyokong agenda muzakarah ini.
Namun, dari segi politiknya pula, ramai yang berhujjah, kenapa Umno tidak pernah menjawabpun empat surat yang dihantar itu ketika mereka menang besar tetapi ketika mereka tersepit dengan masalah dalaman dan penolakan rakyat, mereka menghulurkan tangan untuk bermuzakarah dengan Pas.
"Tidakkah ini ada agenda tersembunyi mereka," kata satu pihak yang lain pula. Bagi mereka yang jujur dengan perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam pula, Pas tidak boleh menolak tangan muzakarah yang dihulurkan oleh Umno ini walau dalam keadaan apa juapun.
Kepada golongan ini, bagi saya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lah pihak yang menghancurkan harapan mereka. Pendedahan beliau bahawa kepimpinan Pas yang boleh membuat keputusan sudah tiga kali bertemu dengan beliau telah meranapkan sama sekali cita-cita dan harapan murni golongan ini.
Ia dimusnahkan lagi oleh kenyataan Presiden Pas yang mengesahkan pertemuan itu tanpa menjelaskan dengan sempurna kewajarannya. Saya tidak menyalahkan Presiden dalam hal ini. Saya selalu berkata kepada para bos saya, tugas kami sebagai pegawai ini memberikan maklumat yang sesempurna mungkin sebelum mereka membuat sebarang keputusan.
Ketika hampir seluruh ahli sedang gila dituba oleh kenyataan Abdullah itu, tiba-tiba kita mengesahkan kenyataan itu tanpa penjelasan yang cukup. Ia pula bercanggahan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini dan juga kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas yang lain selepas kenyataan Abdullah itu.
Namun jelas, kehebatan kepimpinan Pas yang diketuai dua ulama ini (Nik Aziz dan Abdul Hadi) terserlah. Ia dibetulkan segera melalui pertemuan Majlis Syura Ulamak di JKR 10 itu 23 Julai jam 4 petang itu.
Harap-harap, segala yang keruh akan beredar segera dan Muktamar di Ipoh nanti tidak dijadikan medan untuk mencincang mana-mana pemimpin. Yang tidak dipersetujui, biarlah diselesaikan dalam Muktamar tahun depan di mana pemilihan pucuk pimpinan parti akan berlaku.
Harapan rakyat kini adalah Pas memberikan tumpuannya untuk menjadikan lima negeri Pakatan Rakyat adalah yang terbaik dan bakal menjadi negeri contoh.
Semoga dengannya, semua rakyat setuju, bukan BN sahaja mampu mentadbir negara dan ada juga pihak lain yang turut mampu.
Zulkifli Sulong writes an exclusive column for The Malaysian Insider apart from editing the Bahasa weekly Siasah.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments