Opinion

Wan Farid: Terbukti Abdullah masih berpengaruh

DIS 22 — Pemilihan Datuk Wan Farid Wan Salleh sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu telah memenuhi sebahagian impian yang saya mahu lihat dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti. Kini, saya menunggu calon Pas pula. Jika Datuk Wan Mutalib Embong, timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu dipilih, maka “my dream contest” saya terlaksana sepenuhnya. Impian ini telah saya lakarkan sepenuhnya dalam tulisan saya sebelum ini.

Memang nama Wan Farid sebagai calon BN sentiasa timbul sejak dari hari kematian Datuk Razali Ismail lagi. Namun, ia diganggu sedikit sebanyak oleh permainan politik dalam Umno, apatah lagi menjelangnya pertembungan dalam Umno Mac 2009 nanti.

Wan Farid dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dikaitkan pula dengan menantu PM, Khairy Jamaludin Abu Bakar. Wan Farid sebut-sebut sebagai wakil Khairy dalam menjalankan apa-apa projeknya di Terengganu melalui wang ehsan ketika Datuk Seri Idris Jusoh memimpin Terengganu sebelum ini. Wan Farid juga dikaitkan dengan beberapa projek Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin Abdullah sebelum ini. Antaranya Tragedi Hitam Batu Burok yang telah menyebabkan dua penyokong Pas terkena peluru hidup.

Ekoran keintiman hungan itu, apabila Datuk Seri Najib Razak bakal mengambil alih kuasa Mac 2009 (jika tidak ada apa-apa pertukaran pelan), nama Wan Farid agak kelabu sikit. Dia dibayangi oleh Ketua Sektor, Jabatan Pelajaran Terengganu, Muhamad Zuber Embong. Sehingga jam 12 tengahari Sabtu lepas (hari nama Wan Farid diumumkan sebagai calon), nama Muhamad Zuber masih di atas. Bahkan, Zuber dikatakan telah siap dengan surat perletakan jawatannya sebagai pegawai kerajaan untuk membolehkan beliau bertanding dan seterusnya melibatkan diri dalam politik.

Nama Wan Farid juga dikatakan hampir terlepas untuk menjadi calon BN apabila dia dilantik satu penggal lagi sebagai senator apabila penggal pertamanya tamat 23 Disember ini. Dalam masa yang sama nama Senator Nordiana, ketua Puteri Umno Terengganu, tidak disambung untuk penggal kedua.

Namun, keputusan atau kompromi saat akhir diperolehi dan nama Wan Farid diumumkan sebagai calon. Mengikut maklumat yang saya terima, Muhamad Zuber telah dimaklumkan, beliau akan dipilih sebagai calon oleh bakal presiden Umno, Najib dan persiapan rapi telah dibuat oleh beliau. Saya juga difahamkan, beberapa hari menjelang pengumuman itu, Abdullah selaku Presiden Umno telah memaklumkan secara jelas kepada Wan Farid dia adalah calon BN.

Nampaknya, jika peristiwa ini diambil kira, pengaruh Abdullah dalam kepimpinan Umno masih tinggi walaupun beliau akan melepaskan jawatannya Mac 2009. Jika tidak masakan beliau masih boleh menentukan calon pilihan raya yang penting ini padahal sudah jelas beliau akan meninggalkan tampuk kepimpinan Umno itu Mac depan.

Ramai juga tertanya-tanya, kenapa sampai lebih dari sekali Abdullah terpaksa menegas dan mengesahkan beliau akan memenuhi pelan peralihan kuasa Mac 2009 nanti.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas presiden Umno yang dikatakan sangat berpengaruh itu, pernah memberikan amaran untuk menggerakkan ahli-ahli Umno menentang Abdullah jika PM itu mahu menangguhkan peraihan kuasa Mac 2009 nanti.

Nampaknya, dari kenyataan kedua-dua tokoh ini, isu apakah pelan peralihan kuasa dalam kerajaan dari Abdullah kepada Najib, masih belum tuntas lagi. Ada pihak-pihak dalam diam-diam sedang berusaha untuk merubahnya.

Ia ditambah panas lagi apabila dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, lebih sepuluh anggota Dewan dari Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar memberikan sokongan terbuka kepada Abdullah. Ia dizahirkan melalui sokongan mereka kepada penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SARM) dan Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPK). Bahkan, Anwar sendiri mempertikaikan kenapa Abdullah tidak menerima sokongan penuh dari para penyokong kerajaan sendiri dalam membahaskan cadangan penubuhan kedua-dua suruhanjaya ini.

Kini, melalui pemilihan Wan Farid, penyokong setia dan petugas berdedikasi Abdullah dan menantunya Khairy, terbukti pengaruh Abdullah masih kuat. Padahal, Wan Farid akan berkhidmat kepada Najib selepas Mac 2009 nanti. Secara tabiinya, calon pilihan Najiblah yang sepatutnya menjadi pilihan raya Umno. Ini tidak berlaku dan calon pilihan Najib iaitu Muhamad Zuber terpaksa menggigit jari dan ia pula berlaku di saat-saat akhir.

Nampaknya, walaupun hampir kesemua pemimpin Umno akan hadir ke Kuala Terengganu, tetapi kempen mereka sebenarnya bukan untuk memenangkan Wan Farid tetapi lebih untuk calon-calon mereka yang akan bertanding Mac 2009 nanti.

Jika benar Wan Mutalib akan menjadi calon Pas, semua ini memudahkan laluan beliau untuk menuju ke bangunan Parlimen yang terletaknya Dewan Rakyat. Harap-harapnya begitulah.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments